Friday, August 30, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 29 ZULHIJJAH 1440 / 30 OGOS 2019


DOA YANG TERBAIK

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan dunia dan akhirat adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil pengajaran daripada teguran Allah s.w.t kepada orang-orang arab yang baru sahaja menganut Islam yang masih berbaki di dalam diri mereka sifat-sifat jahiliyyah. Mereka menunaikan ibadat haji, ibadat yang ditunaikan sejak zaman jahiliyyah kerana memuliakan Nabi Ibrahim a.s, terus diamalkan di zaman Islam dan menjadi rukun Islam yang kelima. Apabila mereka menunaikan haji, mereka mengambil kesempatan dengan mengekalkan cara-cara lama di zaman jahiliyyah. Di antaranya yang berkait dengan ibadat yang wajib ikhlas kerana Allah s.w.t. Allah menurunkan firman-Nya:

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ ﴿٢٠٠﴾ وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ﴿٢٠١﴾ أُولَٰئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِّمَّا كَسَبُوا ۚ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ ﴿٢٠٢﴾ [سورة البقرة : ٢٠٢-٢٠٠]

(Maksudnya): Apabila kamu telah menyelesaikan ibadat hajimu, maka berzikirlah (dengan menyebut) Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak daripada itu. Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada siksa neraka". Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada apa yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.

Allah s.w.t menyedarkan bahawa perjalanan hidup manusia ini tidak sama dengan binatang dan tidak sama dengan makhluk-makhluk yang lain. Manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah s.w.t, diajar kepada mereka betapa kebesaran Allah s.w.t sehingga disambungkan kehidupan mereka bukan di dunia ini sahaja. Mereka mesti melalui alam barzakh dan alam dihidupkan semula yang dinamakan alam akhirat yang kekal selama-lamanya. Ia berbeza dengan binatang yang dihancurkan menjadi tanah. Dibezakan dengan bukit bukau dan gunung ganang yang dihancur leburkan dan dimusnahkan.

Adapun manusia ini akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t pada hari dan masa yang dinamakan hari kiamat, menghadapi kehidupan selama-lamanya, berbekalkan apa yang mereka lakukan semasa kehidupan di dunia ini, berbekalkan amalan-amalan mereka yang ditugaskan oleh Allah s.w.t yang dinamakan ibadat, yang dinamakan syariat Allah s.w.t yang merupakan amanah yang besar, yang dinamakan mentadbir urusan bumi, mengatur bumi dan makhluk-makhluk yang lain. Di atas tugas-tugas ini, manusia dimuliakan oleh Allah s.w.t.

Amalan mereka akan dihisab. Mereka tetap sebagai makhluk yang lemah yang mempunyai kelemahan-kelemahan. Mereka diajar supaya bergantung kepada Allah s.w.t dengan menggunakan segala nikmat yang diberi oleh Allah s.w.t seperti nikmat tubuh badan, akal fikiran, roh dan harta benda. Semua nikmat itu dipersembahkan kepada Allah s.w.t dalam amal ibadat yang dinamakan solat (sembahyang), puasa, zakat, haji yang diwajibkan dan amalan-amalan yang disunatkan.

Peluang beribadat kepada Allah s.w.t diambil untuk memohon kepada Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ia menandakan kesyukuran kepada Allah s.w.t dengan memanjatkan doa kepada Allah s.w.t, doa dalam perjalanan hidup mereka iaitu perjalanan hidup dunia sehingga perjalanan hidup di hari akhirat sampai diselamatkan oleh Allah s.w.t, Tuhan yang mereka puja itu.

Maka Allah s.w.t mengajar doa yang terbaik:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

(Maksudnya): Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada siksa neraka.

Apabila Rasulullah s.a.w mengunjungi seorang pemuda yang tenat menghadapi kesakitan, baginda bertanya kepadanya: "Apakah perasaanmu dalam keadaan ini?"

Pemuda itu menjawab: "Ia mengingatkan dosa-dosa yang banyak yang telah saya lakukan. Saya harap biarlah saya disiksa di dunia ini, jangan disiksa di hari akhirat".

Rasulullah s.a.w menegurnya, "Jangan berkata begitu. Katakanlah: رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada siksa neraka).

Allah s.w.t memakbulkan doa pemuda itu dengan disembuhkan daripada kesakitan yang dihadapinya dan mendapat janji di hari akhirat yang disebutkan oleh Allah dan Rasul-Nya s.a.w.

Peluang berdoa yang terbaik setelah menunaikan ibadat sama ada ibadat sembahyang, ibadat puasa, ibadat zakat, ibadat haji dan ibadat sedekah. Jadikan itu sebagai tawassul untuk berdoa kepada Allah s.w.t kerana ibadat itu mempunyai keberkatannya, khususnya ibadat haji yang ditunaikan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w:

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ. [رواه احمد]

(Maksudnya): Haji yang mabrur (haji yang diterima) itu tidak ada balasan melainkan syurga.

Ibadat begini hendaklah disertakan dengan doa-doa yang baik untuk dunia dan akhirat. Begitulah juga ibadat-ibadat yang lain hendaklah disandarkan dalam doa kepada Allah untuk meminta kebaikan dunia dan kebaikan akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ ﴿٢٨﴾ [سورة البقرة : ٢٨]

(Maksudnya): Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment