Thursday, August 18, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 21 MUHARRAM 1444 / 19 OGOS 2022

HIJRAH MEMBINA KUASA POLITIK

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ،  نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamat (dunia dan akhirat) orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar petunjuk dan peringatan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam Al-Quran:

الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ٤١ ] سورة الحج : ٤٠-٤١  [


(Maksudnya): Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Ini adalah satu perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada umat Islam, khususnya umat Muhammad Shollallahu 'Alaihi wa Sallam iaitu perintah wajibnya berpolitik menegakkan kerajaan yang memberi kuasa kepada Islam, suatu kewajipan yang dilupakan oleh orang Islam pada hari ini dan dinafikan oleh mereka kerana kejahilan mereka. Kewajipan yang ditunaikan oleh Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam dengan perjuangan yang hebat sehingga menolak tawaran pemimpin-pemimpin Mekah untuk melantiknya menjadi raja (pemimpin) dan diberi harta kekayaan dengan syarat tidak menjadikan Islam itu berkuasa dan memerintah. Ia sekadar menjadi raja atau pemimpin sahaja, sedangkan hukum Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak berdaulat dan tidak memerintah. Tawaran itu ditolak oleh Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam.

Walaupun menerima tentangan yang hebat; ada sahabat-sahabatnya yang dibunuh, disiksa dan diganggu perjuangannya. Kerana menunaikan kewajipan itu, Nabi Shollallahu 'Alaihi wa Sallam mencari negeri lain yang sanggup menerima Islam untuk memerintah dan berkuasa. Apabila orang-orang Madinah, kaum Aus dan Khazraj yang datang menunaikan haji kerana menghormati Nabi Ibrahim 'Alaihi Salam yang dihormati oleh penganut semua agama. Mekah menjadi kunjungan semua agama. Semua mereka menghormati Nabi Ibrahim 'Alaihi Salam.

Peluang ini diambil oleh Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam untuk bertemu dengan pemimpin-pemimpin kaum yang datang, menawarkan kepada mereka janji kemenangan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Semua pemimpin itu menolak, kecuali pemimpin Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah yang telah mendengar berita kelahiran Nabi akhir zaman melalui orang-orang Yahudi yang ramai berkumpul di Madinah, menunggu-nunggu kedatangan Nabi akhir zaman. Orang Madinah masuk Islam dan berbai'ah (berjanji setia) menyerahkan harta, diri dan tanahair mereka untuk ditegakkan Islam itu berkuasa dan memerintah.

Maka berlakulah hijrah (perpindahan). Nabi Shollallahu 'Alaihi wa Sallam memerintahkan para sahabat yang berada di Mekah dan di tempat-tempat lain berhijrah ke Madinah untuk mendirikan kuasa politik negara supaya Islam itu memerintah dan berdaulat. Maka Rasulullah Shollallahu 'Alaihi wa Sallam berjaya menegakkan kerajaan yang mengandungi masyarakat majmuk, bukan sahaja orang Islam, bahkan termasuk orang yang bukan Islam yang bosan dengan kezaliman pemimpin-pemimpin mereka sendiri. Mereka mahu keamanan, mereka ingin mencuba. Ada yang masuk Islam dan ada yang ingin menunggu dan melihat apa dia Islam itu. Pemimpin-pemimpin Yahudi Bani Qainuqak, Bani Nadir, Bani Khuraizah, walaupun bukan semua, tetapi sebahagian mereka menyertai Sahifah Madinah (Piagam Madinah) satu perjanjian yang terkenal. Kemudian diikuti oleh orang-orang Kristian Nasrani, termasuk orang-orang musyrikin yang bencikan kezaliman.

Maka Islam memerintah, dipimpin oleh Nabi Shollallahu 'Alaihi wa Sallam untuk mengajar umatnya bagaimana untuk memerintah negara. Nabi itu bukan sahaja mengajar sembahyang, puasa, zakat, haji dan nikah kahwin, tetapi termasuk mengajar politik memerintah negara. Apabila Nabi Shollallahu 'Alaihi wa Sallam wafat, para sahabat menyambung kewajipan ini secara ijmak (sepakat), tidak ada khilaf dalam kalangan ulamak-ulamak sahabat. Mereka bermesyuarat memilih pengganti-pengganti Nabi yang disebut Khulafaur Rasyidin untuk menjalankan kewajipan ini.

Khalifah Abu Bakar RadiAllahu 'anhu dalam ucapannya setelah dibai'ah menjadi ketua negara mengatakan, antaranya:

مَا تَرَكَ قَومٌ الْجِهَادُ اِلَّا عَمَّهُمُ اللَّهُ بِالذُّلِّ وَالْفَّسَادِ.


(Maksudnya): Tidak ada kaum yang meninggalkan kewajipan berjihad (untuk menegakkan Islam) melainkan Allah membiarkan kehinaan dan kerosakan ke atas mereka.

Hari ini kita sedang mengalami umat Islam ditimpa kelemahan, keburukan dan kejahatan di seluruh pelusuk dunia. Dalam keadaan yang lemah, mereka dijajah oleh musuh-musuh kafir yang bukan Islam, ditakluk tanahair mereka setelah mereka meninggalkan kewajipan menegakkan Islam. Hanya segelintir dan sedikit sahaja yang berjuang mempertahankan Islam. Sebahagian orang Islam leka dengan kehidupan, hidup mereka sekadar untuk makan dan tidur, menunggu mati dan beribadat sahaja, tanpa menghiraukan tanahair orang Islam yang dijajah.

Kemudian penjajah kafir bukan Islam itu memasukkan ke dalam pemikiran orang Islam ajaran fahaman politik tidak ada dalam Islam, politik itu kotor, politik itu tipu, orang Islam tidak perlu ambil tahu tentang pemerintahan negara. Dari mana datangnya ajaran ini? Ajaran ini datangnya daripada Kristian, apabila Raja Rom Konstantin menganut agama Kristian, diubahnya agama itu dan dipinda-pinda ajarannya untuk mendapat kuasa. Dipanggil paderi-paderi berhimpun dan bermesyuarat serta dibuat satu keputusan, dalam Islam tidak ada politik dan pemerintahan. Ditulis di dalam kitab Injil antaranya Injil Matta (Injil Mathews):

دَعْ مَا لِلَّهِ لِلَّهِ وَمَا لِيقَيْصَرَ لِيقَيْصَرَ. 


(Maksudnya): Biarkan perkara Tuhan diserahkan kepada Tuhan dan perkara raja (pemerintah) diserahkan kepada pemerintah.

Mereka memisahkan urusan pemerintahan daripada agama. Ajaran sesat dan menyesatkan ini dibawa masuk ke dalam negara Islam dan dianuti oleh sebahagian besar orang Islam yang menyebabkan mereka tidak mengambil tahu hal-hal pemerintahan. Mereka fikir tentang hidup, makan, tidur dan beribadat semata-mata. Kuasa tanahair mereka diambil oleh orang bukan islam. Mereka menjadi bangsa yang hina beratus-ratus tahun. Namun Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak izin cahaya Islam dipadamkan. Akan ada orang yang mempertahankan Islam, tetapi golongan yang mempertahankan Islam ini tidak disokong oleh orang-orang Islam sendiri di seluruh negara Islam.

Dalam keadaan Islam bertahan tidak berkuasa dan Allah Subhanahu wa Ta'ala menunjukkan ajaran sesat sekularisme yang memisahkan politik daripada agama itu telah merosakkan masyarakat barat di Eropah dan negara-negara komunis, menyebabkan rakyat mereka menjadi binatang. Hubungan keluarga sudah terputus, anak-anak tidak pedulikan ayah, ibu bapa tidak pedulikan anak-anak. Ada orang-orang kaya yang menulis wasiat kepada anjing penjaganya. Berlaku di negara barat, anak-anak sudah meninggalkan rumah, hidup dalam keadaan bersuka ria. Adakah kita mahu hal seperti ini berlaku kepada orang Islam dengan kesesatan itu? Wajib bagi kita kembali kepada ajaran Nabi Shollallahu 'Alaihi wa Sallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala memperingatkan kita:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ١١٠ ] سورة آل عمران : ١١٠  [


(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.