Thursday, April 28, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 27 RAMADAN 1443 / 29 APRIL 2022

  AL-QURAN MUKJIZAT ILMU

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. 

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Dan carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah mereka yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ٩ ]سورة الحجر : ٩ [


(Maksudnya): Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar Memeliharanya.

Saudara muslimin yang dirahmati Allah,

Al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadan yang diberkati ini adalah mukjizat yang besar yang diberi kepada nabi akhir zaman, Muhammad SAW untuk menjadi petunjuk kepada seluruh manusia [هُدً لِلنَّاسِ], manusia di akhir zaman ketika manusia berbangga dengan ilmu dalam segala bidangnya, khususnya ilmu sains dan teknologi yang mencipta alat-alat yang luar biasa, timbulnya fahaman-fahaman yang direka oleh akal fikiran manusia.

Allah memberi mukjizat ilmu melalui Al-Quranul Karim kepada Nabi Muhammad SAW, berbeza dengan mukjizat yang diberi kepada rasul-rasul di zaman dahulu, dengan perkara luar biasa yang dapat dilihat dengan mata seperti taufan Nabi Nuh AS yang menenggelamkan semuanya, Nabi Ibrahim yang tahan dibakar dalam api, Nabi Musa dengan tongkat yang menakjubkan, Nabi Sulaiman menguasai bahasa burung yang terbang di udara dan memerintah jin, makhluk yang ghaib bukan sahaja manusia, Nabi Isa menyembuhkan penyakit yang tidak mampu dirawat oleh ilmu perubatan manusia dan menghidupkan orang yang mati. Adapun Al-Quran adalah mukjizat ilmu yang diberi kepada Nabi Muhammad SAW, ilmu yang luar biasa yang tidak mampu dilawan oleh seluruh alam.

Allah Ta'ala memberi jaminan Al-Quran dipelihara oleh Allah, bukan sahaja memberi petunjuk kepada manusia yang tidak boleh dilawan petunjuknya sehingga hari ini. Ternyata Al-Quran adalah kitab yang benar daripada Allah. Kitab-kitab yang lain seperti Taurat, Injil dan lain-lain sudah diubah dan dipinda serta disesatkan yang terpesong daripada asalnya. Adapun Al-Quran, Allah mengurniakan ketahanan, tidak boleh dirosakkan atau dipinda oleh manusia walau bagaimana bijak sekalipun, dengan apa cara sekalipun. Walaupun Al-Quran dibakar hangus, ia tetap dipelihara oleh Allah di dalam dada para ulamak. Ilmu-ilmunya dipelihara oleh Allah, walaupun kitab-kitabnya habis dibakar kerana ilmunya di dalam dada para ulamak.

Pernah berlaku dalam sejarah Islam, apabila kaum Tatar yang ganas menakluk negeri-negeri Islam di Asia Tengah sehingga menawan Baghdad sampai ke Syam dan Palestin. Baghdad adalah pusat kerajaan Islam yang merupakan pusat ilmu, akhirnya menjadi kolam darah oleh pembunuhan bala tentera Tatar yang ganas. Kitab-kitab yang disimpan di Baghdad dipunggah, sama ada dibakar hangus ataupun dijadikan jambatan untuk menyeberangi Sungai Furat dan Dajlah, sehingga air kedua sungai itu berubah menjadi hitam oleh dakwat tulisan kitab-kitab yang dikarang oleh ulamak-ulamak. Tatar yang ganas mengganas dengan menyimbah arak di masjid, membunuh sesiapa yang melintas, menyerang sehingga keseluruhan negara Islam.

Allah telah melakukan satu perkara yang bersejarah pada 25 Ramadan 658 hijrah, tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Saifuddin Qutuz Rahimahullah dari Mesir telah berjaya mengalahkan kaum Tatar di 'Ain Jalut di Palestin, suatu perkara yang dianggap mustahil, tetapi tidak mustahil dengan kekuasaan Allah SWT. Berlaku perkara yang menakjubkan, pemimpin-pemimpin Tatar yang ganas berubah menjadi Islam. Mereka masuk Islam, mempertahankan Islam, menegakkan kerajaan Moghul di India, membina tamadun Islam. Tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia, melainkan sejarah Islam. Kebiasaannya bangsa yang dijajah yang lemah akan terpengaruh dengan penjajah, bangsa yang dijajah akan terpengaruh dengan budaya penjajah, sama ada pakaiannya, bahasanya dan semua pengaruh penjajah dianggap mulia. Betapa hinanya bangsa itu. Tetapi ketika umat Islam berpegang teguh dengan Al-Quran, bukan sahaja cahaya Islam yang tidak boleh dipadamkan itu, petunjuk kepada umat Islam, bahkan mempertahankan kekuatan mereka berjaya memasukkan Islam ke dalam hati-hati penjajah dan Islam berjaya dipertahankan.

Kita menyaksikan di zaman mutaakhir apabila perang salib yang terus menerus dilakukan, akhirnya kerajaan Islam jatuh dan tumbang di awal abad yang lalu. Islam tidak ada pelindung negara yang berdaulat, negeri-negeri Islam dipecah-pecah, bangsa umat Islam dilaga-lagakan. Ketika Islam dalam keadaan yang lemah, mereka melancarkan serangan pemikiran untuk memadamkan cahaya Islam dengan cara mendidik anak-anak orang Islam melalui Orientalis (orang-orang Eropah yang mengaji Islam dengan tujuan untuk merosakkan Islam), mendidik anak-anak orang Islam untuk merosakkan umat Islam. Mereka gagal merosakkan Islam, bahkan sebahagian Orientalis itu masuk Islam dan menyebarkan Islam di Eropah.

Pada hari ini, anak-anak orang Islam yang dilatih dengan budaya Barat, hanya segelintir sahaja yang terpengaruh dengan Barat dan terikut-ikut dengan mereka. Sebahagian anak-anak orang Islam kembali kepada Islam dan mempertahankan Islam. Berlaku kehebatan Allah SWT menundukkan kuasa Firaun yang menghalang kelahiran Nabi Musa AS dengan menyembelih anak-anak lelaki Bani Israil dan menghidupkan anak-anak perempuan sahaja. Tiba-tiba Musa yang hendak dibunuh itu dibesarkan di dalam istana Firaun sendiri, yang akhirnya menjatuhkan Firaun dan menghancurkan kerajaannya.

Hari ini kita menyaksikan mereka yang mahu menghancurkan Islam dengan menghancurkan ilmunya telah gagal. Islam dipelihara oleh Allah SWT. Semua ajaran yang lain daripada Islam sama ada agama atau ideologi, undang-undang dan apa cara sahaja terbukti kelemahan dan kegagalannya. Maka wajiblah kita umat Islam lebih yakin dan percaya kepada Islam. Dan marilah kita membina diri di bulan Ramadan ini untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah hasil daripada puasa. Hanya mereka yang bertaqwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

الٓمٓ ١ ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ٢ ]سورة البقرة : ١-٢ [


(Maksudnya): Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya daripada  Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Friday, April 15, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 13 RAMADAN / 15 APRIL 2022

 AL-QURAN LAKSANA LAMPU SULUH

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِيْنَ نَذِيْرًا.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Maka sesungguhnya berjayalah mereka yang bertaqwa kepada Allah.

Saudara muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan daripada Allah SWT yang berfirman:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ١٨٥ ]سورة البقرة : ١٨٥ [


(Maksudnya): (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Para ulamak meriwayatkan melalui hadits-hadits yang banyak, Allah Ta'ala memilih Al-Quran diturunkan dari Lauh Mahfuz ke Baitul 'Izzah di langit dunia, dimuliakan dan diarak oleh sejumlah malaikat yang ramai pada satu malam yang dipilih oleh Allah SWT.

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ١ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ٢ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ٣ ]سورة القدر : ١-٣ [


(Maksudnya): Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Al-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Al-Qadar itu? Malam Al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Itulah malam yang dipilih oleh Allah SWT yang menunjukkan kemuliaan Al-Quranul Karim. Ia adalah kalam Allah Ta'ala yang menjadi petunjuk kepada hamba-hambaNya dalam kalangan manusia yang ditugaskan di atas muka bumi. Allah Ta'ala yang menunjukkan manusia itu, tidak membiarkan begitu sahaja. Dengan rahmatnya dikurniakan petunjuk yang terkandung di dalam Al-Quran. Itulah petunjuk yang kita minta dan doakan pada tiap-tiap rakaat sembahyang:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ٦ ]سورة الفاتحة : ٦ [


(Maksudnya): Tunjukkanlah kami jalan yang betul.

Firman Allah Ta'ala:

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ٢ ]سورة البقارة : ٢ [


(Maksudnya): Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Adalah menjadi satu hikmah yang besar di bulan Al-Quran diturunkan, diwajibkan kita berpuasa, melawan hawa nafsu kita sendiri. meninggalkan perkara-perkara yang penting di dalam hidup kita di atas dunia ini, dilarang melakukannya di siang hari pada bulan Ramdan seperti makan minum dan kemahuan hawa nafsu yang lain untuk melatih kita menjadi orang yang taat kepada Allah SWT. Kemuncaknya adalah menzahirkan sifat taqwa.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣ ]سورة البقرة : ١٨٣ [


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Untuk melatih diri kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah. Taqwa itu dibuktikan dengan dengan menjadikan Al-Quran itu petunjuk yang diamalkan dalam kehidupan kita. Bukan sahaja dibaca dan dihafal, tetapi tetapi tidak faham dan tidak beramal dengan hukum hakam serta tidak mengikut petunjuknya. Allah memberi contoh yang buruk akan orang-orang Yahudi:

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ٥ ]سورة الجمعة : ٥ [


(Maksudnya): (Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Begitulah bandingannya orang yang hanya membaca Kitab Allah dan menghafalnya, tetapi tidak mengamalkan hukum hakamnya dan tidak mengikut petunjuknya.

Nabi SAW memperingatkan umatnya dengan bersabda:

يَخْرُجُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ أَحْدَاثُ الْأَسْنَانِ سُفَهَاءُ الْأَحْلَامِ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ، يَمْرُقُونَ مِنْ الْدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنْ الرَّمِيَّةِ. ]رواه ترمذي]


(Maksudnya): Pada akhir zaman nanti akan muncul golongan manusia yang usia mereka masih muda dan cetek pengetahuan. Mereka membaca Al-Quran, tetapi tidak melewati kerongkong mereka (bacaan tidak diangkat dan diterima oleh Allah). Mereka bercakap dengan perkataan sebaik-baik manusia (Nabi Muhammad SAW). Mereka keluar daripada batas-batas agama seperti terkeluarnya anak panah yang menembusi tubuh binatang buruan.

Inilah bandingan mereka yang membaca Al-Quran dan menghafalnya sahaja tanpa beramal dengan perintah-perintah yang ada di dalamnya. Inilah bencana yang dihadapi oleh umat Islam yang ada pada hari ini pada akhir zaman. Mereka menjadi umat yang lemah sehingga boleh dipermainkan oleh orang, tidak menjadi umat yang mulia kerana mereka tidak mengikut Al-Quran dan tidak beramal dengan perintah-perintahnya serta tidak mengikut petunjuknya.

Al-Quran adalah laksana lampu suluh yang menyuluh perjalanan hidup kita, mengetahui mana-mana tempat yang bahaya dan tempat yang selamat. Kalau lampu tidak digunakan untuk menyuluh, maka tidak ada faedah dan tidak ada maknanya. Ia hanya disimpan sahaja, tidak digunakan untuk menyuluh perjalanan hidup kita. Allah Ta'ala menegaskan kepada Nabi SAW:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ١٠٥ ]سورة النساء : ١٠٥ [


(Maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah ditunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.