Thursday, October 21, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 15 RABIUL AWAL 1443 / 22 OKTOBER 2021

 NIKMAT PERSAUDARAAN BERDASARKAN IMAN

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَامِ وَفَضَّلَنَا كَثِيْرٍ مِنَ الْأُمَمِأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ١٠٣ [سورة آل عمران : ١٠٣]


(Maksudnya): Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebab turunnya ayat ini adalah memberi peringatan kepada umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w yang telah berjaya dipersatukan dengan persaudaraan Islam, khususnya dalam kalangan Aus dan Khazraj; dua qabilah Arab penduduk Madinah yang berperang sejak beratus tahun kerana sebab-sebab dunia. Setelah mereka masuk Islam, mereka disatukan dengan semangat persaudraan Iman dan Islam, laksana bersaudara yang lebih akrab daripada saudara kandung.

Kesatuan umat Islam ini menyebabkan orang-orang yahudi Madinah tidak senang kerana hasad dengki mereka terhadap Islam dan penganutnya. Lalu mereka merancang dengan menugaskan penyair yang petah bercakap dengan ingkapan syair yang menarik membangkitkan semula semangat kepahlawanan Aus dan Khazraj. Ini menyebabkan pemuda-pemuda Aus dan Khazraj berbangga dengan pahlawan masing-masing, lalu mereka bertengkar sehingga hampir mencetuskan semula peperangan.

Demi mendengar berita pergaduhan itu, maka Nabi s.a.w datang bersama dengan para sahabat dalam kalangan pemimpin untuk memberi nasihat kepada mereka, "Adakah kamu hendak kembali semula ke zaman jahiliyyah (zaman belum Islam) dalam keadaan kamu masih hidup dalam kalangan kamu?"

Bagi menguatkannya, Allah s.w.t menurunkan ayat tersebut. Setelah ayat tersebut dibaca kepada mereka, iman yang ada di dalam hati mereka menyedar dan menginsafkan. Mereka menyesal, menangis, bertaubat dan bermaafan di antara satu sama lain.

Ini adalah peringatan daripada Allah s.w.t kepada umat Islam sehingga hari kiamat. Para ulamak tafsir mengatakan:

الْعِبْرةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.


(Maksudnya): Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.

Ia bukan khusus di zaman Nabi s.a.w bagi kalangan Aus dan Khazraj sahaja, tetapi ia menjadi pengajaran kepada umat Islam sehingga hari kiamat.

Supaya mereka menyedari betapa mulianya persaudaraan yang diasaskan di atas Iman dan Islam ini sehingga digambarkan oleh Nabi s.a.w:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى. [رواه البخاري ومسلم]


(Maksudnya): Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu angggotanya mengadu kesakitan, maka anggota tubuh yang lain turut merasa sakit dan demam.

Walaupun yang sakit itu hanya jari sahaja, tetapi ua menyebabkan mata tidak boleh tidur, tubuh demam dan seluruh anggota sakit. Itulah hubungan persaudaraan dalam kalangan orang Islam berdasarkan kepada Iman yang mesti dipelihara yang merupakan nikmat daripada Allah s.w.t.

Kita menyaksikan akhir-akhir ini hubungan persaudaraan dalam kalangan orang Islam sudah menjadi rapuh yang menandakan lemahnya iman mereka. Maka menjadi kewajipan kepada kita kembali kepada petunjuk Allah s.w.t. Iman adalah nikmat yang paling besar. Di antara tanda iman itu ialah mengeratkan hubungan persaudaraan sesama kita.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ١٠ [سورة الحجرات : ١٠[


(Maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, October 14, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 8 RABI'UL AWWAL 1443 / 15 OKTOBER 2021

 AMARAN KERAS ALLAH TERHADAP MANUSIA

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ المُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. 

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ ١٢٤ قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا ١٢٥ قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا ۖ وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنسَىٰ ١٢٦ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي مَنْ أَسْرَفَ وَلَمْ يُؤْمِن بِآيَاتِ رَبِّهِ ۚ وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَشَدُّ وَأَبْقَىٰ ١٢٧ [سورة طه : ١٢٤-١٢٧]


(Maksudnya): Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?" Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya; dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ayat-ayat ini merupakan amaran yang keras daripada Allah s.w.t kepada seluruh manusia. Yang dirahmati oleh Allah tidak dibiarkan begitu sahaja di dalam kehidupan dunia ini, diturunkan petunjuk melalui nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus solatuwas salam yang berakhir dengan nabi akhir zaman Muhammad s.a.w. Diberi kepada Rasul itu kitab Allah yang diwahyukan, petunjuk yang sangat benar yang menyuluh perjalanan hidup mereka dengan terang benderang, melihat semua yang betul, berakhir dengan Al-Quranul Karim, kitab mukjizat ilmu yang tidak boleh dilawan oleh sesiapa, benar petunjuknya.

Namun masih ramai dalam kalangan manusia yang tidak mempedulikan petunjuk Allah s.w.t, sama ada mencari petunjuk yang lain (petunjuuk syaitan dan musuh Allah) atau mencipta dan mereka ajaran sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah s.w.t bagi menjalani kehidupan mereka.

Allah s.w.t memberi amaran, mereka yang lari daripada petunjuk Allah yang ada di dalam ayat-ayatNya akan mengalami kehidupan yang sempit dan susah, walaupun mereka berharta, kaya raya dan berpangkat. Kehidupan sempit dan susah kerana tidak mendapat berkat dan tidak mendapat manfaat dalam kehidupan dunia, apalagi di akhirat.

Kita menyaksikan dalam kehidupan dunia hari ini dialami oleh masyarakat manusia, berlakunya banyak keburukan, kezaliman dan penindasan sesama sendiri dalam negara, keluarga dan masyarakat, keruntuhan akhlak dan perangai, banyaknya jenayah dan terakhir dengan berbagai-bagai penyakit yang tersebar dalam kehidupan manusia. Semuanya adalah amaran daripada Allah s.w.t, apabila manusia itu tidak mengikut petunjuk dan ajaran Allah s.w.t.

Ketahuilah Allah yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Adil, Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya. Semua ajaran Allah itu membawa kebaikan kepada manusia; semua yang disuruh mendatangkan manfaat, semua yang halal mendatangkan faedah. Sementara semua yang haram mendatangkan mudarat.

Tetapi kebanyakan manusia tidak peduli dengan petunjuk Allah s.w.t. Maka berlakulah kerosakan dalam kehidupan mereka, menyebabkan kesempitan di dalam perjalanan kehidupan ini sudah dirasa di dalam dunia untuk menjadi amaran kepada mereka supaya mereka insaf sebelum meninggalkan dunia, ditanam di dalam kubur menghadapi alam akhirat, menghadapi hisab dan balasan selepasnya, sekiranya mereka tidak sedar dan tidak insaf.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ٤١ [سورة الروم : ٤١]


(Maksudnya): Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.