Showing posts with label SEJARAH. Show all posts
Showing posts with label SEJARAH. Show all posts

Tuesday, January 5, 2010

SURAT MAHATHIR KEPADA TUNKU

SURAT MAHATHIR KEPADA TUNKU (mengata dulang........)

Batu 6, Titi Gajah, Alor Star, 17hb. Jun 1969 Y.T.M. Tunku,

Patek berasa dukachita kerana tujuan patek membuat kenyataan kepada akhbar telah di-salah faham oleh Y.T.M. Tunku. Sa-benar-nya tujuan patek sama-lah juga dengan tujuan Tunku, ia-itu untok menyelamatkan negara ini daripada bahaya yang menganchamkan-nya.

Pendapat-pendapat Tunku berasaskan kepada cherita-cherita yang di-bawa kepada telinga Tunku oleh orang-orang yang mengelilingi Tunku yang chuma suka mencherita kepada Tunku perkara2 yang mereka fikir Tunku suka atau patut dengar sahaja. Benarkan-lah patek bercherita berkenaan dengan keadaan, fikiran dan pendapat2 rakyat yang sa-benar-nya supaya Tunku dapat faham tujuan patek membuat kenyataan yang di-tegor itu.

Tunku biasa cherita kepada patek sendiri ia-itu Tunku mengelakkan rusohan dengan menahan hukum bunoh yang di-jatohkan kepada 11 orang subversif China. Sabenar-nya tindakan Tunku ini-lah yang mengakibatkan rusohan dan kematian yang berpuloh kali banyak yang terjadi semenjak 13 Mei.

Tunku selalu "bertolak-ansor," ia-itu memberi kepada orang2 China apa yang mereka tuntut. Punchak tolak-ansur ini ia-lah pembatalan hukum bunoh tadi. Pembatalan ini menimbulkan kemarahan yang besar oleh orang2 Melayu.

Orang2 China pula menganggap Tunku dan Kerajaan Perikatan sebagai pengechut dan lemah dan boleh di-tolak ke-sana ke-mari. Sebab itu orang2 China tidak takut lagi menolak Perikatan dan orang2 Melayu pula tidak ingin kepada Perikatan. Sebab itu orang2 China dan India membuat kurang ajar pada 12 Mei kepada orang Melayu. Kalau Tunku biasa di-ludah di-muka, di-maki dan di-tunjok kemaluan, boleh-lah Tunku faham perasaan orang Melayu.

Orang2 Melayu yang Tunku fikir tidak memberontak telah-pun menjadi gila dan mengamok sehingga mengorbankan nyawa mereka dan membunoh orang yang mereka benchi kerana Tunku terlangsong bagi muka. Tanggong-jawab tentang mati-nya orang2 ini, Islam dan kafir, terpaksa di-letak di-atas bahu pemimpin yang salah pendapat.

Patek mohon ma’af tetapi patek ingin sampaikan perasaan orang-orang Melayu kepada Y.T.M. Tunku. Sabenar-nya, orang2 Melayu sekarang, baik PAS baik Umno, betul2 benchi pada Tunku, terutama orang2 yang di-hina-kan oleh orang China dan yang kehilangan rumah-tangga, anak-pinak, saudara-mara kerana tolak ansur Tunku.

Mereka kata Tunku chuma ingin di-kenal-kan sebagai "The Happy Prime Minister" walau-pun ra’ayat menderita. Mereka tahu bahawa dalam keadaan dharurat-pun Tunku ashek bermain poker dengan kawan2 China Tunku. Budak2 polis mencherita yang Tunku mengguna-kan kenderaan dan eskot Polis untuk menchari kaki poker.

Sa-balek-nya pula orang2 China tidak ada sedikit-pun hormat kepada Tunku. Mereka berkata Tunku "naïve" dan tidak ada kaliber. Ada lagi yang mereka kata yang tak dapat patek sebut-kan. Kata2 itu datang dari semua golongan orang China, dari intelek sa-hinggga China becha.

Pada masa lewat2 ini lagi satu kesan burok telah timbul. Orang2 Melayu dalam Civil Servis, dari Perm. Sec. ka-bawah, pegawai2 tentera dan polis Melayu tidak ada lagi kepercayaan dan respect kepada Tunku. Patek tahu kebanyakan mereka sokong PAS dalam undi pos.

Pegawai Melayu dari Polis, tentera dan askar biasa maseh patoh kepada kerajaan oleh kerana arahan sekarang sesuai dengan kehendak mereka sendiri. Kalau Tunku membuat apa2 yang tidak di-ingini oleh mereka, patek perchaya mereka tidak akan menurut kata Tunku.

Patek tahu Tunku takut kominis mengambil kesempatan kalau timbul kekachauan dalam negeri. Patek lebih takut kalau kerajaan mula "lose control over the armed forces". Sa-kali ini terjadi, keadaan tidak akan puleh semula. Sampai bila-pun kerajaan civil mesti tundok kepada tentera. Tunku biasa jadi "Happy Prime Minister" tetapi orang yang akan turut ganti tak akan merasai "happiness" apa2.

Patek harap Y.T.M. Tunku jangan-lah menipu diri dengan berkata "satu hari mereka akan bershukor dengan perbuatan saya". Ta’akan yang sa-orang itu selalu betul dan yang banyak selalu salah. Patek ingin sampaikan kepada Tunku fikiran ra’ayat yang sa-benar, ia-itu masa telah lampau untuk Tunku bersara dari menjadi perdana menteri dan Ketua Umno.

Patek faham betul2 kuasa yang ada pada Tunku dan patek masih ingat nasib Aziz Ishak. Tapi patek tak akan jadi sa-orang yang bertanggong-jawab kalau patek tidak terangkan apa yang patek sebut-kan. Kalau di-penjara sa-kali-pun patek terpaksa kata apa yang patek telah kata-kan.

Patek di-beritahu ia-itu Tunku berkata patek Pakistani. Patek tidak perchaya kata2 orang kerana patek tahu Y.T.M. Tunku tidak akan berkata begitu. Patek-lah yang selalu mempertahan-kan Tunku apabila orang2 PAS kata yang Tunku anak Siam yang ta’ berhak memimpin orang Melayu. Jadi Tunku juga akan mempertahan-kan patek walau-pun maseh ada dua sudu darah Pakistani dalam tubuh badan patek.

Patek sa-kali lagi mengulangkan ia-itu kenyataan yang patek buat itu ia-lah menchegah kejadian yang akan menambah perasaan benchi orang2 Melayu terhadap kerajaan dan menggalak-kan orang2 China menjatohkan lagi maruah orang2 Melayu. Rusohan yang lebeh besar akan berlaku jika ini di-biarkan. Tentera sendiri tidak akan dapat di-kawal. Dan lagi kalau T.H. Tan dan dewan orang China boleh membuat kenyataan, kenapa ketua2 Umno tidak boleh?

Patek menulis surat ini dengan hati yang ikhlas dan harapan bahawa Y.T.M. Tunku akan bacha surat ini dengan sa-penoh-nya sendiri. Patek berdo’a ke-hadhrat Allah subhanahuwataala supaya di-buka hati Tunku untok menerima kenyataan yang sa-benar ini walau-pun pahit dan pedas.

Patek Yang Ikhlas,

(Dr. Mahather bin Muhammad)

Friday, December 11, 2009

SEJARAH PERJUANGAN KITA

PAS DAN TUNTUTAN AWAL TERHADAP PERLEMBAGAAN NEGARA SELEPAS 1955

Pilihanraya Persekutuan 1955 di adakan - dengan kemenangan mutlak yang berpihak kepada parti Perikatan (51 daripada 52 kerusi), kerajaan British telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu dengan beberapa syarat yang telah dikenakan.

Pada awal Januari 1956, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah mengetuai satu rombongan ke London bagi membincangkan mengenai masa depan negara khususnya pembentukan Suruhanjaya Bebas untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kerana parti-parti perkauman yang menganggotai Perikatan (UMNO-MCA-MIC) ketika itu masih mempunyai masalah dalam mencari penyelesaian dan kata sepakat tentang nama negara selepas merdeka, status kerakyatan, bahasa kebangsaan, agama rasmi serta kedudukan dan hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Hal ini sangat rumit kerana adanya kepentingan yang berbeza antara satu sama lain. Cadangan mengenai pembentukan Suruhanjaya Bebas ini telah dicadangkan oleh Perikatan dan telah dipersetujui oleh British. Bagaimanapun, cadangan mengenai pembentukan Suruhanjaya Bebas yang dianggotai oleh orang asing itu telah ditentang hebat dan dibantah keras oleh PAS. PAS berpendapat perlembagaan negara ini tidak seharusnya dibuat oleh orang yang lain daripada anggota atau akyat negara ini sendiri.

Adalah suatu perkara yang benar-benar ganjil jika sekiranya Persekutuan Tanah Melayu yang sedang di ambang pintu kemerdekaan ini telah membuat satu suruhanjaya yang meletakkan nasib dan masa depannya sesudah mencapai kemerdekaan kepada beberapa orang yang dijemput khas datang ke negara ini dan mengadakan pula penyiasatan-penyiasatan yang telah ditentukan jalannya untuk menggambarkan tuntutan-tuntutan dan hasrat rakyat negara ini bagi di masukkan di dalam perlembagaan tersebut. Perbuatan ini selain daripada sesuatu yang ketara keganjilannya, adalah berlawanan dengan asas jatuh bangun dan asas kepercayaan sesuatu bangsa kepada dirinya sendiri.

Bagi PAS, jika sekiranya suruhanjaya tersebut perlu diadakan juga, ia hendaklah diwujudkan dari orang yang benar-benar tahu hal dan selok-belok negara ini. Pada peringkat awal,PAS tidak keseorangan dalam memperkatakan perkara ini. Raja-raja Melayu juga tidak bersetuju untuk menerima Suruhanjaya Bebas tersebut. Malah salah seorang daripada Raja Melayu pernah melahirkan kebimbangan beliau terhadap kejujuran Suruhanjaya Bebas itu dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Bantahan PAS itu bagaimanapun tidak berkesan. Pada awal Mei 1956 - pembentukan suruhanjaya telah dilakukan dan wakil-wakilnya telah dilantik oleh pihak British dan Perikatan. Suruhanjaya ini telah dikenali sebagai Suruhanjaya Reid dengan dianggotai oleh lima orang wakil, iaitu dari England, Pakistan, India, Kanada dan Australia. Empat daripada lima wakil tersebut bukan merupakan daripada kalangan orang Islam.Sebagaimana disebutkan di awal tadi, perlantikan suruhanjaya ini adalah untuk membuat cadangan perlembagaan bagi mendapatkan pandangan-pandangan yang tidak berat sebelah. Butir-butir lanjut rujukan suruhanjaya itu adalah seperti berikut:

1. Mewujudkan sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat;
2. Menjaga kedudukan dan kehormatan Raja-Raja Melayu;
3. Perlantikan salah seorang sultan sebagai Raja Berperlembagaan Bergelar.
4.Suruhanjaya ini telah mengadakan perjumpaan atau sidang pertamanya pada akhir Jun 1956.

Walaupun tidak bersetuju dengan pembentukan suruhanjaya itu, namun sebagai tanda penghormatan PAS kepada asas demokrasi dan memandangkan kepada kepentingan bangsa dan negara, maka PAS telah mengemukakan memorandumnya kepada suruhanjaya tersebut pada 14 Julai 1956. Dalam memorandum itu, PAS telah mengingatkan anggota-anggota suruhanjaya itu bahawa Tanah Melayu adalah negeri Melayu yang telah diakui oleh sejarah dan telah diiktiraf oleh undang-undang.

Justeru, peruntukan dalam perlembagaan bagi mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu hendaklah dilihat dari konteks tersebut. Pada pandangan PAS, sebarang usaha untuk menidakkan hak keistimewaan itu adalah bercanggah dengan hak kemanusiaan dan prinsip undang-undang. Orang-orang Melayu hanya mempunyai satu kedudukan sahaja dalam negeri ini, iaitu mereka memiliki negeri ini dan hak kedaulatan mereka ke atas negeri ini adalah mutlak.

Oleh kerana itu juga, PAS telah meminta Suruhanjaya Reid untuk menolak kaedah Jus Soli yang dituntut oleh bangsa asing sebagai prinsip dalam pemberian status kerakyatan. Tuntutan itu tegas PAS sekiranya diterima akan sehubung dengan perkara ini. PAS juga mencadangkan agar struktur sosial dan pola kebudayaan Tanah Melayu hendaklah disesuaikan dengan hak kedaulatan Melayu. Kebudayaan kebangsaan Persekutuan hendaklah berumbikan kebudayaan Melayu. Berkaitan dengan itu juga, Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa pengantar di semua peringkat pendidikan.

Bahasa Inggeris hanya akan menjadi bahasa kedua sahaja dan itu pun untuk tempoh jangka masa lima tahun sahaja. PAS juga meminta agar Bahasa Melayu digunakan dalam setiap urusan pentadbiran. Penggunaan Bahasa Inggeris hanya sekadar yang diperlukan sahaja dan ia mestilah dipastikan tidak menjejaskan perkembangan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan. Sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas dan dasar perjuangan, PAS dengan tegas mencadangkan agar agama Islam dijadikan agama rasmi negara. Ini adalah kerana PAS yakin dan percaya bahawa ajaran Islam sememangnya berkemampuan untuk memandu kemajuan negara dari segi politik. Dari segi sistem pemerintahan, PAS bersetuju dengan bentuk sistem Persekutuan yang sedia ada.

Bagaimanapun, PAS menekankan bahawa sistem itu hendaklah tertakluk kepada kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu atau Majlis Raja-Raja Melayu yang diketuai oleh Yang Di Pertuan Besar. Yang Di Pertuan Besar akan dianggap sebagai Raja Berperlembagaan dan Pemerintah Tertinggi bagi Persekutuan Tanah Melayu. Mengenai soal kerakyatan, PAS mencadangkan agar prinsip kerakyatan yang termaktub dalam Undang-Undang Kebangsaan British 1948 hendaklah dikekalkan dengan beberapa pindaan dibuat, iaitu:

1. Jangka masa bermastautin yang diperlukan oleh bangsa asing bagi melayakkan mereka memohon status kerakyatan ialah tidak kurang daripada 15 tahun.
2.Penggunaan prinsip Jus Soli untuk bangsa asing.
3.Hanya Bahasa Melayu sahaja yang digunakan untuk peperiksaan kelayakan bahasa bagi mendapatkan hak kerakyatan.

Selain itu, PAS juga telah meminta supaya dimasukkan dalam perlembagaan bahawa sesiapa yang telah mencapai kelayakan untuk memohon status kerakyatan di negara ini hendaklah membuat keputusan muktamad sama ada mereka berhasrat untuk menjadi rakyat negara ini ataupun tidak. PAS menganggap pengistiharan ini adalah penting bagi keamanan negara. Ini adalah kerana sekiranya seseorang itu enggan membuat demikian ia akan dianggap sebagai bangsa asing. Disamping itu juga, sekiranya seseorang itu tidak mengemukakan permohonannya dalam tempoh jangka masa tiga tahun selepas kelayakan, ia tidak lagi layak untuk mengemukakan permohonan.

PAS juga menuntut agar satu rupa bangsa sahaja diwujudkan di Tanah Melayu, iaitu rupa bangsa Melayu. Dari segi hak keistimewaan orang-orang Melayu, PAS meminta Suruhanjaya Reid memperakui bahawa Persekutuan Tanah Melayu adalah milik orang-orang Melayu. Justeru, hak keistimewaan sebagai tuan rumah hendaklah dihormati dan dipertahankan sampai bila-bila masa. Bagaimanapun, PAS telah memberi jaminan bahawa hak kaum asing akan tetap dihormati seperti yang telah dimaktubkan.

PAS juga akan menentang sebarang cubaan oleh kaum asing untuk merampas hak orang-orang Melayu kerana ia bertentangan dengan hak kedaulatan orang-orang Melayu di negara ini. PAS juga menegaskan bahawa sebarang pindaan berhubung dengan hak keistimewaan orang-orang Melayu, Bahasa Kebangsaan dan Agama Islam hendaklah dengan persetujuan sebulat suara Majlis Raja-Raja Melayu. Dapatlah dikatakan di sini bahawa kesemua pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menerima baik saranan dan cadangan yang telah dikemukakan oleh PAS itu khususnya mengenai hak ketuanan Melayu dan segala bentuk keistimewaan yang berkaitan dengannya seperti isu bahasa dan agama yang harus dipertahankan dalam Perlembagaan baru itu.