Showing posts with label Politik Perak Darul Ridzuan. Show all posts
Showing posts with label Politik Perak Darul Ridzuan. Show all posts

Thursday, January 10, 2013

Ustaz Azli Musa Menang Saman RM100,000






10 Januari 2013, IPOH - Fauzi Muda, bekas Ketua Penerangan PKR Perak, yang kini telah keluar dari parti PKR, kalah dalam perbicaraan mahkamah atas saman fitnah terhadap Ketua Penerangan Dewan Ulama' Pas Perak, AF Ustaz Azli Musa yang didakwa menyalahgunakan kuasa di ketika Pakatan Rakyat memerintah Perak selama 11 bulan yang lalu.

Mantan Ketua Cabang PKR Ipoh Barat itu diperintah mahkamah untuk membayar RM100,000 kepada Yang Dipertua Pas Ipoh Barat itu. Fauzi Muda juga diarahkan supaya memohon maaf secara terbuka di dalam Utusan Malaysia.

Friday, May 18, 2012

ULASAN DEWAN ULAMAK PAS NEGERI PERAK MENGENAI KENYATAAN TAN SRI DATO’ SERI HAJI HARUSSANI ZAKARIA, MUFTI KERAJAAN NEGERI PERAK BERDASARKAN BERITA HARIAN, ISNIN, 14 MEI 2012 / 22 JAMADIL AKHIR 1433H

Dewan Ulamak Negeri Perak ingin memberikan ulasan mengenai kenyataan Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang disiarkan dalam Berita Harian, Isnin, 14 Mei 2012H / 22 Jamadilakhir 1433H. Walaupun menyedari bahawa terdapat kemungkinan sebahagian daripada yang disiarkan mungkin tidak sebagaimana yang diucapkan sebagaimana kenyataan-kenyataan beliau yang terdahulu namun bagi pihak PAS Perak amat perlu menjelaskan bebarapa perkara yang mungkin akan mengelirukan Umat Islam yang tidak memahami hakikat yang sebenar.

Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa Perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan Agama Islam demi kuasa dan kerusi politik adalah merupakan tuduhan melulu jika tidak diasaskan kepada kajian dan pembuktian yang lengkap. Adakah beliau benar-benar memahami matlamat asal PAS dan sudut manakah yang sudah diselewengkan. Adakah beliau merasakan PAS melakukan sesuatu sesuka hati sedangkan Pas dikawal oleh Majlis Syura Ulama yang dianggotai oleh para ulamak yang berwibawa dan setaraf dengan barisan para mufti di negara ini.

 Saranan agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti adalah merupakan satu saranan yang hanya akan membuktikan Majlis tersebut hanya mengikut telunjuk UMNO. Ini kerana bukan hanya PAS sahaja yang menggunakan nama Islam di negara ini. Apakah badan-badan lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam dan Jabatan Agama Islam wajar menggunakan perkataan Islam sedangkan sebahagian daripada tindakan agensi kerajaan ini juga tidak terlepas daripada kesilapan dan dikritik oleh cendiakawan Islam sehingga menjejaskan nama baik Islam. Kenapa tidak beliau menyarankan agar tindakan ini dimulakan dengan badan seperti Sister In Islam yang dengan jelas dianggap oleh beliau selama ini sebagai memusuhi Islam.

Gesaan beliau “kepada ahli dan penyokong PAS, khususnya yang fanatik dan taksub segera kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras” tidak mencerminkan keadaan yang sebenar. Apakah salah bagi seseorang individu Muslim fanatik dan taksub kepada perjuangan menegakkan Syariat Islam keran itulah sebenarnya ajaran Islam. Bukankah semua Muslim diperintahkan agar menerima Islam sepenuhnya termasuk perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Islam. Bukankah lebih wajar beliau menggesa ahli dan penyokong UMNO yang berterusan mentaati pemimpin mereka yang berterusan mencari alasan untuk tidak melaksanakan ajaran islam sepenuhnya.

Dewan Ulamak PAS tidak bersetuju dengan dakwaan beliau bahawa perpecahan Umat Islam adalah disebabkan oleh sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam. Perpecahan Umat Islam sebenarnya adalah disebabkan sebahagian daripada mereka yang mengaku sebagai Islam tetapi tidak mahu patuh sepenuhnya dengan Syariat Islam. Mana mungkin kita mahu mengajak para pejuang Islam meninggalkan Syariat Islam semata-mata untuk menyatukan umat.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan Himpunan Bersih 3.0, adalah amat jelas dibuat sebelah mata kerana tidak ada seorangpun wakil penganjur yang diambil keterangan mengenainya. Kerosakan harta benda dan kecederaan orang ramai boleh dielakkan jika pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab mereka bagi mengawal keadaan, bukan menambahkan provokasi sehingga menimbulkan suasana tegang. Apakah beliau yakin terdapat niat di pihak penganjur untuk menjatuhkan kerajaan.

Dalam Islam ulamak juga berselisih pandangan mengenai hukum menjatuhkan kerajaan yang sah walaupun kerajaan diperintah oleh pemimpin Islam yanmg fasik selagi pemerintah menjaga kebajikan umat Islam. Apakah beliau begitu pasti pemerintah negara ini benar-benar menjaga kebajikan Umat Islam ataupun hanya menjaga kebajikan Umat Islam yang menjadi penyokong tegar mereka semata-mata. Peserta Bersih 3.0 yang hanya datang berbekalkan garam dan tuala kecil amat jauh untuk diistilahkan sebagai “ bughah atau pemberontakan melampau yang menghancurkan negara, sekaligus membolehkan pemberontak dihukum bunuh” kerana ulamak mensyaratkan bagi kes Bughah yang boleh di hukum bunuh mestilah pemberontakan tersebut mempunyai kekuatan dan bersenjata.

Oleh yang demikian, Dewan Ulamak PAS Negeri Perak menasihatkan agar Tan Sri Dato’ Seri Haji Harussani Zakaria kembali kepada fungsi dan peranan beliau yang asal sebagai Mufti yang bertanggungjawab menasihati kerajaan agar tunduk kepada kehendak Allah. Oleh kerana beliau tidak memahami situasi politik semasa yang begitu mencabar, beliau perlu mengurangkan ulasan berkaitan politik yang hanya memberi ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menyalahgunakan kenyataan beliau. Jika beliau terus dengan sikap berat sebelah seperti ini maka kepercayaan Umat Islam terhadap beliau akan beransur terhakis dan kegemilangan beliau sebagaimana dahulu yang dihormati sebagai seorang ulamak yang berani dan bijaksana tidak akan dapat dikembalikan buat selama-lamanya.

Ustaz Ibrahim Zakaria
( Naib Ketua Dewan Ulama' PAS Perak )

Wednesday, July 15, 2009

Himpunan Mansuhkan ISA

PAS menyokong penuh langkah Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang bakal mengadakan Himpunan besarnya bagi mendesak Kerajaan Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos 2009 di Istana Negara. Sehubungan dengan itu semua ahli PAS diminta untuk hadir memberikan sokongan terhadap Himpunan ini. Semua Ketua-ketua Penerangan Negeri dan PAS Kawasan diminta mengadakan siri-siri ceramah dan edaran risalah penerangan berhubung kezaliman Akta ISA serta mengajak lebih ramai rakyat untuk menghadiri Himpunan ini. PAS turut mengajak semua NGOs dan Individu yang prihatin untuk turut sama menunjukan kebersamaan anda bagi memastikan pihak Kerajaan memansuhkan Akta ISA yang sering dijadikan alat politik segelitir pihak yang berkepentingan untuk menakutkan rakyat।
Mansuhkan ISA!!!, Mansuhkan ISA!!!, Mansuhkan ISA!!! Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tuesday, May 5, 2009

Presiden Dan Timbalan Mesti Dari Golongan Ulamak

Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu menyokong kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Mohamad Daud Iraqi yang menegaskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS mestilah disandang oleh golongan ulama’. Ia merupakan satu peringatan kepada semua ahli tentang dasar ‘Kepimpinan Ulama’’ yang telah memutuskan bahawa kepimpinan utama, mestilah terdiri dari kalangan ulama’. Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata demikian apabila ditemui pihak media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke 9 Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (YAKEP) di Tok Jiring dekat sini, hari ini. Menurutnya dasar Kepimpinan Ulama’ telah dibawa oleh pemuda pusat kedalam Muktamar tahun 1983 dan diterima sebulat suara. Oleh sebab itu, katanya, Majlis Syura Ulama’ ditubuhkan dan sejak itu ia menjadi amalan parti, jawatan Presiden dan Timbalan mestilah dari kalangan ulama’. “Amalan kita daripada dulu lagi, teraju kepimpinan utama, Presiden (mestilah dari kalangan) ulama’ dan Timbalan Presiden (juga dari kalangan) ulama’. “kemudian dibantu oleh naib-naib Presiden yang digabungkan antara ulama’ dan golongan profesional dan juga (dibantu) oleh ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat,” ujarnya. Katanya kenyataan Ketua Dewan Ulama’ tersebut mestilah disokong sepenuhnya oleh semua pihak bagi menjaga kepentingan parti dan menjaga sokongan serta kepercayaan masyarakat terhadap PAS pada hari ini.

Wednesday, April 8, 2009

Isyarat Dari Bukit Gantang

Kemenangan calon PAS, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti 2,789 undi wajib diinsafi oleh semua penyokong Pakatan Rakyat. Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memperoleh sebanyak 21,860 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi dan calon Bebas, Kamarul Ramizu mendapat 62 undi. Ingatan Allah dalam Surah An-Nasr semestinya menjadi panduan dalam menghadapi ujian kemenangan. Pengajaran yang besar juga seharusnya diambil oleh pemimpin dan penyokong Barisan Nasional, Suruhanjaya Pilihanraya, penjawat-penjawat awam, ahli-ahli akademik, pihak istana dan tidak ketinggalan mufti-mufti seluruh negara. Antara isyarat yang dipancarkan melalui kemenangan ini antaranya adalah : a. Rakyat sudah menolak politik perkauman yang mendiskriminasi mana-mana kaum. b. Rakyat Perak menolak rampasan kuasa secara tidak bermoral. c. Penderhakaan terhadap Allah lebih besar daripada penderhakaan kepada manusia. d. Ketinggian daya intelek rakyat marhain sudah ada yang lebih tinggi daripada sebahagian dari ahli akademik yang tidak berprinsip. e. Bloggers dan blog-blog mereka telah mengambilalih sepenuhnya tugas dan peranan media-media perdana. f. Celik agama di kalangan rakyat jelata menyebabkan fatwa-fatwa agama tidak lagi menjadi hak eksklusif bagi para mufti dan peranan mereka akan sirna jika terus menjual agama dengan harga yang tidak seberapa. g. Seluruh negara tidak lagi mempunyai pilihan kecuali bersedia menghadapi pilihanraya seluruh Negeri Perak kerana rakyat mahukan pembubaran untuk menyerahkan mandat kepada kerajaan yang benar-benar mewakili inspirasi rakyat. h. Seluruh negara harus menginsafi, bahawa khurafat yang mengatakan hanya Barisan Nasional sahaja yang mampu memerintah negara tidak relevan lagi untuk dikumandangkan di era ini. Semoga peristiwa hebat ini akan membawa kebaikan kepada semua pihak dan bakal menjadi pemangkin kepada perubahan lanskap negara ke arah yang lebih gemilang.