Thursday, February 24, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 23 REJAB 1443 / 25 FEBRUARI 2022

ISRAK MIKRAJ DAN PERJUANGAN MEMBEBASKAN BAITUL MAQDIS

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Maka sesungguhnya berjayalah mereka yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

۞ سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ  ١ ]سورة الإسراء : ١[


(Maksudnya): Maha Suci Tuhan yang telah menjalankan hambaNya di waktu malam, daripada Masjid Al-Haraam (di Makkah Al-Mukarramah) ke Masjid Al-Aqsa (di Baitul Maqdis), yang Kami berkati di kelilingnya, supaya Kami memunjukkan kepadanya tanda-tanda (ketuhanan dan kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Ayat ini menceritakan peristiwa Israk dan disertakan Mikraj, apabila Rasulullah SAW dijemput menjadi tetamu Allah. Di malam bersejarah itu baginda menjadi imam sembahyang berjamaah bersama roh para anbiya' 'alaihimus solatu wassalam. Ini menunjukkan mereka satu agama Islamnya dan kemuliaan kepada nabi kita Muhammad SAW.

Allah juga telah menetapkan Baitul Maqdis menjadi kiblat pertama kepada umat Islam sebelum diubah menghadap ke arah Ka'abah di Makkah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS yang menjadi bapa kepada para anbiya'. Ibrahim AS juga memakmurkan Baitul Maqdis. Ini menunjukkan betapa besar dan mulianya juga Baitul Maqdis kepada umat Islam dan menjadi salah satu tanah suci yang sunat dikunjungi dan besar juga fadilatnya.

Muslimin yang dirahmati Allah!

Kini Baitul Maqdis dikepung oleh kaum Yahudi (Zionis) bangsa paling dimurkai Allah dan bermusuh terhadap Islam dan umatnya sejak zaman Rasulullah dan selama-lamanya. Kota suci ini diceroboh setiap masa dan jamaahnya diganggu setelah bumi Palestin dirompak oleh Yahudi (Zionis) dengan sokongan negara-negara kuasa besar dunia dan negara yang berada di bawah pengaruhnya sejak tahun 1948 ketika umat Islam dalam keadaan lemah kerana berpecah belah dan dijajah oleh musuh-musuhnya.

Kelemahan umat Islam apabila mereka meninggalkan ajaran yang berkait dengan urusan kehidupan dunia khususnya dalam urusan pemerintahan negara, menyebabkan banyaknya berlaku dosa dan maksiat. Maka berlakulah ujian Allah bagi menyedarkan mereka supaya kembali semula kepada Islam yang sempurna yang pernah menjadikan umat ini umat yang mulia mengikut janji Allah yang berfirman:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ١١٠ لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى ۖ وَإِن يُقَاتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ ١١١ ]سورة آل عمران : ١١١-١١٠ [


(Maksudnya): Adalah kamu sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia dalam keadaan kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenarnya). Kalaulah Ahli Kitab itu beriman nescaya lebih baik kepada mereka, tetapi kebanyakan mereka itu menjadi fasik (jahat). Mereka tidaklah dapat memberi apa-apa mudarat kepada kamu, melainkan sekadar menyakitkan hati. Dan jika mereka memerangi kamu nescaya mereka penakut lari bertempiaran kemudian mereka tidak mendapat pertolongan Allah.

Para jamaah yang dirahmati Allah!

Dalam sejarahnya Baitul Maqdis pernah ditakluk oleh tentera salib (Kristian) daripada Eropah sehingga hampir seratus tahun. Allah telah melahirkan seorang pemimpin bernama Sultan Solahuddin Al-Aiyubi daripada bangsa Kurdi. Baginda telah berjaya menyedarkan umat Islam supaya kembali kepada Islam dan bertaubat kepada Allah, serta berjaya menyatukan umat Islam yang berpecah. Akhirnya Allah memberi kemenangan yang bersejarah apabila Baitul Maqdis berjaya dibebaskan dan tentera musuh dihalau berundur daripada tanahair umat Islam.

Para jamaah yang dirahmati Allah!

Percayalah bahawa janji Allah akan berlaku lagi apabila umat Islam bertaubat kembali semula kepada Islam, kerana Allah tidak sekali-kali mungkiri janjiNya. Firman Allah:

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ]سورة الحج : ٤٠ [


(Maksudnya): Demi sesungguhnya Allah mesti menolong sesiapa yang menolong meninggikan agamaNya (Islam), sesungguhnya Allah itu Maha Gagah Perkasa.

Khalifah 'Umar bin Al-Khattab RA berkata:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.


(Maksudnya): Kita adalah umat yang diberi kemuliaan gagah perkasa bersama Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan dengan cara yang lain daripada Islam nescaya kita dihukum oleh Allah menjadi hina dan lemah.

Para jamaah yang dirahmati Allah!

Keadaan Baitul Maqdis dalam bahaya, kerana kaum Yahudi (Zionis) juga berusaha merobohkan Masjidil Aqsa bagi menggantikan dengan rumah ibadat agama Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman mengikut cerita dongeng mereka.

Hadits Rasulullah SAW telah menjanjikan kemenangan:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ يَخْذُلُهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. قَالُواْ مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّه؟ قَالَ هُمْ أَصْحَابُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ. [رواه الترمذي]

(Maksudnya): Masih ada di kalangan umatku satu kumpulan yang menegakkan agamaNya (Islam) yang berani menghadapi musuh dengan gagah perkasa, mereka tidak boleh dikalahkan oleh musuh dan orang-orang yang mengecewakan mereka melainkan mereka ditimpa kesusahan, walaupun begitu Allah akan memberi kemenangan apabila mereka dalam keadaan tidak berganjak. Para sahabat bertanya: Siapakah mereka itu, wahai Rasulullah? Sabda Rasulullah s.a.w: Mereka ialah penduduk Baitul Muqaddis dan di keliling Baitul Muqaddis.

Para jamaah yang dirahmati Allah!

Kumpulan yang disebut oleh Rasulullah SAW telah zahir sekarang, dikenali dengan Harakatul Muqawamatul Islamiyyah (HAMAS) dan tanzim jihad di Ghaza dalam Palestin dan Hizbullah di selatan Lubnan. Mereka semua berjuang atas nama Islam.

Maka adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam di seluruh dunia menyokong kumpulan Islam ini mengikut kemampuan masing-masing bagi menyahut seruan Allah yang berfirman:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَٰذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ]سورة النساء : ٧٥ [


(Maksudnya): Dan apalah yang menghalang kamu daripada berperang kerana menegakkan agama Allah, padahal orang-orang yang lemah tertindas dai kalangan lelaki, perempuan dan kanak-kanak sedang merayu: "Wahai Tuhan kami! Selamatkanlah kami yang berada dalam negeri yang berlaku zallim terhadap kami, dan jadikanlah dari sisiMu wahai Tuhan kami Penolong dan Pelindung kepada kami".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, February 17, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 16 REJAB 1443 / 18 FEBRUARI 2022

 IMAN, AMAL, BENAR DAN SABAR

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْأَحَدِ، الْفَرْدِ الصَّمَدِ، الَّذِى لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَالْعَصْرِ ١ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ٢ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ٣ ]سورة العصر : ١-٣[


(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Surah ini adalah satu surah yang sangat pendek yang menjadi amalan generasi awal umat Islam mengakhirkan majlis mereka dengan membaca Surah ini.

Al-Imam As-Syafi'e pernah menyatakan:

لَوْ لَا أَنْزَلَ اللهُ عَلَى هَذِهِ الْأُمَّةِ إِلَّا هَذِهِ السُّورَةَ لَكَفَتْهُمْ


(Maksudnya): Kalau sekiranya Allah tidak menurunkan kepada umat ini melainkan Surah ini sahaja, nescaya cukup bagi mereka.

Surah ini terkandung di dalamnya perkara-perkara yang mesti dilakukan oleh diri manusia dalam kehidupan dunia ini. Allah memulakan Surah ini dengan bersumpah dengan masa. Perkara yang Allah bersumpah dengannya menunjukkan sesuatu yang penting. Masa adalah penting bagi kehidupan kita dalam dunia yang sentiasa dimakan oleh umur kita. Sekiranya kita tidak menggunakan masa dengan baik, maka rugi di dunia dan rugi di akhirat. Allah menegaskan, mereka yang tidak rugi hanya mereka yang mengisi masanya dengan beriman, mengerjakan amal yang soleh, berpesan-pesan dengan perkara yang benar dan berpesan-pesan supaya bersabar.

Iman adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan kita sehingga hari akhirat. Beriman kepada semua Rukun Iman - kepada Allah, Rasul dan perkara yang ghaib serta janji-janji yang benar daripada Allah melalui kita yang diturunkan menjadi asas kepada semua amalan kita. Mereka yang tidak ada iman, semua amalnya ditolak oleh Allah SWT. Maka iman hendaklah dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengaji dan belajar bersungguh-sungguh untuk membetulkan iman kita dan mengetahui perkara yang boleh merosakkan iman, serta berusaha untuk menguat dan menambahkan iman kita.

Iman adalah teras kepada semua kehidupan kita. Jika tidak ada teras, maka runtuhlah kehidupan kita di dunia sampai ke hari akhirat.

Yang kedua, mengerjakan amal yang soleh (amal yang baik) dan meninggalkan amal yang jahat. Amal yang baik, dalam hubungan kita dengan Allah SWT, hubungan kita dengan diri kita sendiri, hubungan kita dengan keluarga, dengan jiran, dengan masyarakat dan dengan semua benda yang ada kaitan dalam kehidupan kita di dunia ini. Ia mestilah dilakukan mengikut perintah Allah SWT dengan batas-batas halal dan haram, betul dan salah. Semua perkara yang baik yang dilakukan oleh manusia dalam semua hubungan itu dijanjikan oleh Allah pahala yang sangat besar, sehingga sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda, sampai 700 kali ganda dan bahkan lebih daripada itu yang hanya diketahui oleh Allah SWT.

Dalam masa yang sama, amal yang baik juga adalah bertaubat daripada dosa. Kesedaran dan keinsafan kita apabila melakukan kesalahan, dengan kembali kepada perkara yang betul, beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Termasuk amal yang baik juga adalah meninggalkan kejahatan. Bukan sahaja tidak berdosa, bahkan diberi pahala oleh Allah SWT dengan syarat semua amal yang soleh itu mestilah dengan ikhlas kerana Allah Ta'ala. Bukan kerana menunjuk-nunjuk kepada orang, atau membesarkan diri dan sebagainya.

Seterusnya mesti berpesan dalam perkara yang benar. Yang benar hanyalah satu iaitu daripada Allah SWT sahaja.

الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ ١٤٧ ]سورة البقرة : ١٤٧ [


(Maksudnya): Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu, oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

Allah yang Maha Mengetahui, yang Maha Bijaksana, yang Maha Adil, yang Maha Penyayang terhadap hambaNya, semua perkara yang diperintah oleh Allah adalah benar. Semua perkara yang dilarang oleh Allah adalah salah. Semua perintah adalah baik dan semua yang dilarang membawa kejahatan dan keburukan kepada kita.

Oleh sebab mengikut yang benar ini sangat mencabar dalam kehidupan dunia yang bercampur aduk antara yang benar dan yang salah, halal dan haram, adil dan zalim, ia sangat mengelirukan. Kita mesti berpesan-pesan di antara satu sama lain, nasihat menasihati di antara satu sama lain, bina hubungan kasih sayang di antara satu sama lain untuk memelihara diri dan semua rakan-rakan sahabat dan keluarga kita.

Oleh sebab kebenaran mesti bertarung dengan kebatilan, kebaikan berlawan dengan kejahatan, maka berlaku perjuangan dalam kehidupan ini yang memerlukan kita sabar dengan kesabaran yang tinggi. Kesabaran boleh menahan kita daripada terjerumus ke dalam kejahatan. Ia merupakan benteng yang sangat kuat. Maka kuatklanlah diri kita dengan sabar, percaya kepada janji-janji Allah yang memberi kebaikan dunia dan akhirat sekiranya kita mengikut perkara yang benar. Hadapi kejahatan dengan sabar, hadapi perkara yang salah dengan sabar, walaupun berhadapan dengan kesusahan. Semua kesusahan dalam sabar itu diberi pahala oleh Allah SWT.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ٢٠٠ ]سورة آل عمران : ٢٠٠ [


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Friday, February 11, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 9 REJAB 1443 / 11 FEBRUARI 2022

 KURNIA ALLAH TIADA TANDINGAN

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil pengajaran daripada firman Allah SWT:

وَقَالُوا إِن نَّتَّبِعِ الْهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا ۚ أَوَلَمْ نُمَكِّن لَّهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَىٰ إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِّزْقًا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ ٥٧ ]سورة القصص : ٥٧[


(Maksudnya): Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mengikut petunjuk (Islam) bersamamu (wahai Muhammad) nescaya kami akan diserang dan dibinasakan di Makkah ini oleh semua mereka yang berada di keliling kami (yang menolak Islam). (Allah menjawab): Tidakkah mereka sedar bahawa Kamilah yang telah meletakkan mereka di tanah haram yang aman ini, diberi kepada mereka semua jenis buah-buahan, rezeki daripada Kami (yang datang daripada luar Makkah), tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Ini menunjukkan bahawa sifat semulajadi yang ada pada diri manusia, percaya kepada Allah dan percaya akan benarnya ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, petunjuk asal kepada seluruh manusia sejak Nabi Adam AS, tetapi mereka tidak mengerti kekuasaan Allah SWT yang Maha Berkuasa. Itulah Allah yang memberi petunjuk Islam itu. Mereka melihat pandangan zahir sahaja.

Seluruh pelusuk dunia dalam keadaan jahiliyyah, kabilah-kabilah Arab dalam keadaan jahat, zalim dan liar, kuasa-kuasa besar di seluruh dunia semuanya dalam keadaan yang melampau. Mereka merasakan sekiranya Makkah mengikut petunjuk Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, akan binasalah penduduknya. Mereka tidak boleh keluar bebas ke seluruh pelusuk, nanti dirompak, disamun dan dibunuh oleh kabilah-kabilah Arab yang lain yang berada di sekeliling Makkah. Mereka tidak mampu menghadapi kuasa-kuasa besar dunia yang jahat di timur dan barat. Mereka melupai kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, bahawa semua makhluk yang dianggap berkuasa itu makhluk yang sangat halus dan sangat lemah.

Allah membuktikan kemenangan kepada rasul-rasul yang membawa Islam, apabila Nabi Nuh AS membawa ajaran Islam, berdakwah selama 950 tahun, orang-orang yang menganggap perjuangan Nabi Nuh mustahil mendapat kejayaan dan kemenangan, Nabi Nuh akan musnah bersama-sama pengikutnya. Apabila tiba masanya, Allah membinasakan kaum Nabi Nuh dengan taufan yang besar. Nuh dan pengikut-pengikutnya mendapat kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT walaupun memakan masa yang sangat panjang.

Begitulah juga perjuangan Nabi Ibrahim AS menghadapi Raja Namrud, yang memerintah kerajaan Babylon, kuasa besar dunia yang tidak ada tandingan di zamannya. Nabi Ibrahim sebatang kara menghadapi kerajaan kuasa besar dunia boleh menang dengan perjuangan yang dibawa olehnya, perjuangan agama Tauhid. Mereka melupai di sebaliknya kekuasaan Allah SWT. Apabila tiba masanya, Namrud dibinasakan oleh bala tentera nyamuk sahaja. Ibrahim mendapat kemenangan, melahirkan zuriat nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaimus solatuwas salam.

Begitulah juga Allah menyebut di dalam Al-Quran tentang Nabi Musa AS menghadapi Fir'aun yang mempunyai bala tentera yang ramai dan kuat di zamannya, tidak mungkin Nabi Musa mencapai kemenangan. Apabila tiba masanya, Fir'aun dan bala tenteranya ditenggelamkan oleh Allah di dalam laut.

Itulah kekuasaan Allah dan itulah kemenangan yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Muhammad SAW. Allah membuktikan bagaimana bumi Makkah yang kering, tidak ada tumbuhan dan tanaman - وَادٍ غًيْرِ ذِي زَرْعٍ (lembah yang tiada tanaman) - tidak ada air yang banyak, tetapi dikurniakan rezeki yang melimpah ruah yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Makkah dijamin keamanannya oleh Allah SWT, tetapi pemimpin-pemimpinnya tidak percaya kepada jaminan Allah itu. Mereka melakukan syirik, menyembah patung-patung dan berhala-berhala, memuja jin dan syaitan dan melupai Tuhan yang Satu yakni Allah SWT.

Allah menunjukkan bagaimana umat Muhammad yang keluar dari Makkah berhijrah ke Madinah di padang pasir yang kering kontang, selepas wafat Nabi SAW, cahaya Islam tidak boleh dipadamkan. Semua kuasa besar dunia jatuh dan tumbang di hadapan cahaya Islam. Walaupun orang Islam mengalami kelemahan pada hari ini dengan sebab mereka meninggalkan Islam itu, mereka lupa daratan dan leka, tetapi cahaya Islam dipelihara oleh Allah SWT. Hanya mereka yang percaya kepada kekuasaan Allah akan terus bersama dengan Islam sama ada tenggelam atau timbul, menang atau kalah, di atas atau di bawah. Kurnia Allah tidak ada bandingan dan tidak ada tandingan.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

... وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ]سورة الحج : ٤٠[


(Maksudnya): Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, February 3, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 2 REJAB 1443 / 4 FEBRUARI 2022

UKURAN JAHILIYYAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami petunjuk Allah SWT di dalam Al-Quranul Karim. FirmanNya:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ٥٠ ]سورة المائدة : ٥٠[


(Maksudnya): Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.

Bagaimana kita memahami berkenaan ukuran jahiliyyah yang tidak mengikut petunjuk Allah dan tidak mengikut hukum-hukumNya? Ukurannya bukan kerana tidak ada harta, tidak ada kemajuan atau tidak ada ilmu langsung. Jahiliyyah bukan kerana kemiskinan, bukan kerana buta huruf dan bukan kerana sebab-sebab duniawi. Puncanya adalah kerana tidak mengikut hukum dan petunjuk Allah SWT.

Kerajaan yang paling bertamadun di zaman dahulu. iaitu kerajaan Firaun di Mesir sangat maju dan sangat kaya sehingga mampu mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi dan hebat menandakan kemajuannya daripada segi dunia dan kekayaan hartanya. Tetapi Allah meletakkan itu adalah jahiliyyah, kerana tidak beriman kepada Allah.

Begitu juga kaum 'Ad yang dapat mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit, tetapi dianggap jahiliyyah kerana mereka tidak beriman kepada Allah SWT. Kaum Tsamud yang boleh membina bangunan pada bukit yang pejal dan batu yang besar yang dipahat dijadikan rumah dan bilik-bilik juga dianggap jahiliyyah kerana mereka tidak mengikut petunjuk Allah SWT.

Golongan Ahli Kitab daripada kalangan Yahudi dan Kristian yang alim dan tahu kitab serta mengetahui tentang Nabi Muhammad SAW juga dianggap orang-orang jahiliyyah kerana tidak beriman dan tidak memakai hukum Allah. Mereka adalah orang-orang jahiliyyah.

Orang-orang Arab Makkah yang dilahirkan di Makkah, hidup lama di Makkah dan mati di Makkah serta menjadi pemimpin di Makkah dianggap jahiliyyah bila mereka tidak beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Bahkan sahabat Nabi sendiri, Abu Zar Al-Ghifari RA apabila bertengkar dengan seorang sahabat yang lain, Bilal bin Rabah RA sehingga Abu Zar berkata kerana marahkan Bilal:

يَا ابْنَ الْمَرْأَةُ السَّوْدَاء


(Maksudnya): Wahai anak kepada ibu perempuan yang hitam legam.

Bilal mengadu kepada Nabi SAW. Lalu Nabi memanggil Abu Zar dan berkata kepadanya:

يَا أَبَا ذَرٍّ أَعَيَّرْتَهُ بِأُمِّهِ، إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ. ]رواه البخاري ومسلم وأحمد[


(Maksudnya): Wahai Abu Zar, adakah berani engkau menghinanya dengan ibunya? Sesungguhnya engkau seorang yang ada perangai jahiliyyah.

Lalu Abu Zar bertaubat kepada Allah SWT dan menyesal atas perbuatannya.

Bahkan apabila umat Islam yang dikalahkan oleh kaum Tatar di Baghdad, mereka telah mengadakan satu undang-undang yang dicampurkan undang-undang Islam bersama undang-undang Yahudi, Kristian dan undang-undang akal mereka sendiri, ulamak menganggap itu adalah undang-undang jahiliyyah.

Begitulah orang-orang Islam pada hari ini yang beramal dengan undang-undang yang bukan Islam, walaupun ada Islam di dalamnya yang dicampur aduk, itu adalah cara-cara jahiliyyah yang dilarang oleh Allah SWT. Orang-orang Islam yang tidak peduli halal dan haram, itu adalah jahiliyyah.

Marilah kita melakukan muhasabah, menghitung diri kita adakah kita sungguh-sungguh berpegang dengan petunjuk Islam semuanya ataupun tidak.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ٢٠٨ ]سورة البقرة : ٢٠٨[


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut jejak langkah-langkah  Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.