Thursday, February 3, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 2 REJAB 1443 / 4 FEBRUARI 2022

UKURAN JAHILIYYAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami petunjuk Allah SWT di dalam Al-Quranul Karim. FirmanNya:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ٥٠ ]سورة المائدة : ٥٠[


(Maksudnya): Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.

Bagaimana kita memahami berkenaan ukuran jahiliyyah yang tidak mengikut petunjuk Allah dan tidak mengikut hukum-hukumNya? Ukurannya bukan kerana tidak ada harta, tidak ada kemajuan atau tidak ada ilmu langsung. Jahiliyyah bukan kerana kemiskinan, bukan kerana buta huruf dan bukan kerana sebab-sebab duniawi. Puncanya adalah kerana tidak mengikut hukum dan petunjuk Allah SWT.

Kerajaan yang paling bertamadun di zaman dahulu. iaitu kerajaan Firaun di Mesir sangat maju dan sangat kaya sehingga mampu mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi dan hebat menandakan kemajuannya daripada segi dunia dan kekayaan hartanya. Tetapi Allah meletakkan itu adalah jahiliyyah, kerana tidak beriman kepada Allah.

Begitu juga kaum 'Ad yang dapat mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi mencakar langit, tetapi dianggap jahiliyyah kerana mereka tidak beriman kepada Allah SWT. Kaum Tsamud yang boleh membina bangunan pada bukit yang pejal dan batu yang besar yang dipahat dijadikan rumah dan bilik-bilik juga dianggap jahiliyyah kerana mereka tidak mengikut petunjuk Allah SWT.

Golongan Ahli Kitab daripada kalangan Yahudi dan Kristian yang alim dan tahu kitab serta mengetahui tentang Nabi Muhammad SAW juga dianggap orang-orang jahiliyyah kerana tidak beriman dan tidak memakai hukum Allah. Mereka adalah orang-orang jahiliyyah.

Orang-orang Arab Makkah yang dilahirkan di Makkah, hidup lama di Makkah dan mati di Makkah serta menjadi pemimpin di Makkah dianggap jahiliyyah bila mereka tidak beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Bahkan sahabat Nabi sendiri, Abu Zar Al-Ghifari RA apabila bertengkar dengan seorang sahabat yang lain, Bilal bin Rabah RA sehingga Abu Zar berkata kerana marahkan Bilal:

يَا ابْنَ الْمَرْأَةُ السَّوْدَاء


(Maksudnya): Wahai anak kepada ibu perempuan yang hitam legam.

Bilal mengadu kepada Nabi SAW. Lalu Nabi memanggil Abu Zar dan berkata kepadanya:

يَا أَبَا ذَرٍّ أَعَيَّرْتَهُ بِأُمِّهِ، إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ. ]رواه البخاري ومسلم وأحمد[


(Maksudnya): Wahai Abu Zar, adakah berani engkau menghinanya dengan ibunya? Sesungguhnya engkau seorang yang ada perangai jahiliyyah.

Lalu Abu Zar bertaubat kepada Allah SWT dan menyesal atas perbuatannya.

Bahkan apabila umat Islam yang dikalahkan oleh kaum Tatar di Baghdad, mereka telah mengadakan satu undang-undang yang dicampurkan undang-undang Islam bersama undang-undang Yahudi, Kristian dan undang-undang akal mereka sendiri, ulamak menganggap itu adalah undang-undang jahiliyyah.

Begitulah orang-orang Islam pada hari ini yang beramal dengan undang-undang yang bukan Islam, walaupun ada Islam di dalamnya yang dicampur aduk, itu adalah cara-cara jahiliyyah yang dilarang oleh Allah SWT. Orang-orang Islam yang tidak peduli halal dan haram, itu adalah jahiliyyah.

Marilah kita melakukan muhasabah, menghitung diri kita adakah kita sungguh-sungguh berpegang dengan petunjuk Islam semuanya ataupun tidak.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ٢٠٨ ]سورة البقرة : ٢٠٨[


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut jejak langkah-langkah  Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment