Monday, November 22, 2010

Amalan Khurafat Dalam Masyarakat Melayu

GARIS PANDUAN KHURAFAT DAN AZIMAT TUJUAN Garis panduan ini disediakan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bahaya kepercayaan terhadap khurafat dan azimat yang boleh menggugat aqidah seseorang. Panduan ini adalah berdaarkan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Bil: 3/40/96 yang bermesyuarat pada 7 – 9 Ogos 1996. LATAR BELAKANG Garis panduan mengenai khurafat dan azimat ini disediakan ekoran daripada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada 6 Oktober 1987 supaya diperincikan penjelasan mengenai khurafat dan azimat. Ia bertujuan untuk memberi kefahaman dan penjelasan kepada umat Islam mengenai aspek-aspek khurafat dan azimat serta pandangan Islam mengenainya. TAKRIF KHURAFAT Menurut المعجم الوسيط Juzu’ 1 (hal237) Khurafat ditakrifkan sebagai: " الخرافة : الحديث المستملح المكذوب" Bermaksud: “Cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta.” Menurut kamus المنجد فى اللغة والاعلام (hal. 175): الخرافة ج خرافات : الحديث الباطل مطلقا Maksudnya: “Khurafat, jama’nya khurafaat ialah sebarang cerita yang sebenar-benar dusta.” Menurut Kamus Idris al-Marbawi (hal. 169) pula khurafat ialah: cerita karut (karut marut). Daripada beberapa definisi yang diutarakan, dapatlah dibuat kesimpulan seperti berikut: “Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam.” Berdasarkan takrif di atas, khurafat merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut dan dusta. TAKRIF AZIMAT Takrif Azimat pula menurut المعجم الوسيط (hal. 621) ialah : العزيمة : الرقية Maksudnya : Azimat: Jampi Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya Fatwa Mu’asirah (hal. 189) ialah: الرقية “ أن يرقى الشخص ويعزم عليه بكلام لا يفهم “ Maksudnya: “Bahawa seseorang itu berjampi dan berazimat dengannya dengan kata-kata yang tidak dapat difahami.” Di dalam Kamus المعجم فى اللغة والاعلام (hal. 276) juga disebut bahawa azimat ialah الرقية iaitu memohon pertolongan/bantuan untuk memperolehi sesuatu perkara dengan menggunakan kekuatan yang melampaui kekuatan tabi’i. Menurut Kamus Dewan, (hal. 70) Azimat ialah: “Barang (tulisan) yang dianggap mempunyai sakti dan dapat melindungi pemakainya.” Berdasarkan takrif-takrif yang diberikan di atas, kesimpulan azimat ialah suatu bentuk permohonan untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau untuk memudharatkan orang lain dengan menggunakan objek-objek dan ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa-kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semulajadi apabila dijampi atau dipuja. CIRI-CIRI KHURAFAT DAN AZIMAT Di antara ciri-ciri khurafat ialah: a) Ianya tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith. b) Ia merupakan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut. c) Ia bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam. d) Ia berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk tujuan yang memudharatkan dan menyeleweng dari akidah Islam. e) Ia menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan yang tertentu. f) Ia ada mempunyai unsur-unsur negatif pada akidah dan syariah Islam. Sementara ciri-ciri azimat pula ialah: a) Kepercayaan kepada kekuatan sesuatu benda bukan berdasarkan kepada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith. b) Menjadikan tulisan-tulisan, rajah-rajah dan objek-objek tertentu sebagai tangkal. c) Menggunakan jampi serapah yang dicampuraduk dengan perkara-perkara kufur yang boleh membawa kepada syirik. d) Berjampi kepada objek-objek atau rajah-rajah yang dicampuraduk dengan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan tertentu. BENTUK-BENTUK KHURAFAT DAN AZIMAT Di antara bentuk-bentuk khurafat ialah: a) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, bukit, tongkat dan sebagainya. b) Kepercayaan kepada sial majal seperti adat mandi safar, adat mandi membuang sial dan sebagainya. c) Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepong tawar adat pantai dan sebagainya. d) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan oleh petani-petani seperti bersemah (memuja semangat padi) dan membuang ancak di sungai dan laut dan bermain pantai. e) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, contohnya seperti tidak boleh melihatkan bayi di muka cermin kerana kelak ia akan mati di dalam air. Tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala dan sebagainya. f) Percaya kepada ramalan-ramalan bintang, angka-angka atau rajah-rajah tertentu. g) Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang, kubur-kubur yang dianggap wali dan sebagainya. Sementara bentuk-bentuk azimat ialah: a) Menjampi batu, cincin, rantai, baju, keris dan sebagainya untuk dijadikan pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih dan sebagainya. b) Membungkus tulisan-tulisan, rajah-rajah atau objek-objek tertentu dengan kain kuning untuk dijadikan tangkal. c) Menjampi tulisan-tulisan yang tidak diketahui maknanya seperti الصلاع dan dicampuradukkan dengan ayat-ayat al-Quran contohnya: 111 م 111 5 3 الله لا الا اله هو الحى القيوم d) Berjampi atau berazimat menggunakan kata-kata dicampuraduk dengan kata-kata sihir dan kufur yang tidak diketahui maknanya, contohnya: “Bikana, makna, Nabi Yakun, Numa Yakun Akjulah sebenar-benar Zat Allah.” HUKUM BERAMAL DENGAN KHURAFAT DAM AZIMAT Islam sangat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qiyas adalah ditolak oleh Islam. Sabda Rasulullah s.a.w. عن عائشة رضي الله عنها قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد (متفق عليه) Maksudnya: “Barangsiapa mengada-adakan di dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Dan sabdanya lagi: عن عائشة رضي الله عنها قالت : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد (رواه أحمد ومسلم) Maksudnya: “Barangsiapa mengerjakan sesuatu pekerjaan yang tiada di dalam agama kami, maka yang dikerjakannya itu tertolak.” ( Riwayat Ahmad dan Muslim) Di dalam Islam, percaya kepada benda-benda yang dijadikan sebagai benda keramat seperti pokok, kubur, telaga dan sebagainya, serta memuja, memohon pertolongan dan melepaskan nazar pada benda-benda berkenaan dan percaya ianya mempunyai kuasa selain dari Allah S.W.T., adalah membawa kepada syirik dan bertentangan dengan kepercayaan tauhid kepada Allah S.W.T. Sabdanya: عن ابن مسعود مرفوعا قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : الطيرة شرك الطيرة وما منا الا ولكن الله يذهبه بالتوكل (رواه أبو داود والترمذي) Maksudnya: “Percaya kepada burung itu syirik, percaya kepada burung itu syirik, dan tiada seorang pun dari kita melainkan dilanda oleh perasaan itu, tetapi Allah akan menghilangkannya dengan tawakkal.” Burung yang disebutkan sebagai contoh termasuk seperti biawak, gagak, kelicap). (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi) Amalan memuja jin dan memohon pertolongan darinya seperti yang selalu dilakukan oleh seseorang bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan. Orang-orang yang bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tukang tenun adalah tergolong di dalam golongan orang-orang yang bodoh dan menzalami diri sendiri. Ini dijelaskan oleh Firman Allah S.W.T.: ولا تدع من دون الله ما لا ينفعك ولا يضرك فان فعلت فانك اذا من الظالمين (سورة يونس : 106) Maksudnya: “Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendapatkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Surah Yunus: 106) Sabda Rasulullah s.a.w. عن أبى هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من أى عرافا أو ساحرا أو كاهنا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد صلى الله عليه وسلم (رواه احمد وحاكم) Maksudnya: “Barangsiapa yang menemui tukang tilik atau tukang sihir dan menanyakan sesuatu kepadanya lalu terus mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya ia telah mengkufurkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.” (Riwayat Ahmad dan Hakim) Sabdanya lagi: عن عمران بن حصين قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ليس منا من تطير ولا من تطير له أو تكهن أو سحر أو سحر له (رواه الطبراني) Maksudnya: “Bukan dari golongan kami sesiapa yang merasa sial atau meminta diramalkan kesialannya atau merenung nasib atau minta ditenungkan atau mensihirkan atau meminta disihirkan.” (Riwayat al-Tabrani) Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam. Di dalam hadith riwayat Abu Daud dan Iman Ahmad, Rasulullah pernah bersabda: عن ابن مسعود رضي الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ان الرقي والتمائم والتولة شرك (رواه أبو داود وأحمد) Maksudnya: “Dari Ibn Mas’ud, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sesungguhnya jampi mentera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad) Jampi mentera juga merupakan bentuk azimat yang seringkali dilakukan sabda Rasululullah s.a.w. عن عوف بن مالك قال : كنا ترقى فى الجاهلية , فقلنا يا رسول الله : كيف ترقى فى ذلك؟ فقال : اعرضوا على رقاكم لا بأس بالرقي ما لم يكن فيه شرك (رواه مسلم) Maksudnya: “Dari ‘Auf Ibn Malik, katanya: Dahulu kamu melakukan jampi di zaman jahiliyah, lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapat tuan dalam hal ini? Beliau bersabda: Perlihatkanlah kepadaku jampi-jampimu itu. Tidak mengapa melakukan jampi-jampi itu selama tidak mengandungi hal-hal syirik.” (Hadith Riwayat Muslim) Menurut Dr. Yusuf al-Qardawi di dalam kitab Fatawa al-Mu’asirah sesuatu jampi itu harus dilakukan berdasarkan kepada 3 syarat: i) Ia mesti didasarkan kepada Allah S.W.T. dan nama-nama-Nya. ii) Ia mestilah dituturkan dengan bahasa Arab dan kata-kata yang boleh difahami maknanya. iii) Beriktikad bahawa ianya tidak memberi kesan dengan sendirinya, tetapi dengan takdir Allah S.W.T. Di dalam amalan perubatan tradisional, terdapat jenis-jenis jampi yang dibolehkan (diharuskan) dan ada yang diharamkan. Jampi-jampi tersebut ialah: i) Jampi yang diharuskan Jampi jenis ini ialah jampi yang menetapi 3 syarat seperti yang telah dinyatakan di atas. ii) Jampi yang diharamkan Jampi yang ditegah dan diharamkan ialah jampi yang mengandungi unsur-unsur syirik, pemujaan jin, syaitan, menggunakan ilmu hitam atau sihir, menggunakan bahasa-bahasa yang tidak difahami atau yang bercampuraduk, seperti jampi yang dimulakan dengan sebutan Bismillah atau Alhamdulillah dan diseru nama-nama hantu dan jin, kemudian disudahi dengan ucapan “Berkat kata Lailahillallah Muhammadar Rasulullah” atau seumpamanya. PENUTUP Kesimpulannya, segala bentuk khurafat dan azimat sama ada yang berbentuk amalan atau kepercayaan boleh membawa kepada syirik dan kepada bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.