Friday, March 13, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 18 REJAB 1441 / 13 MAC 2020


ISRAK MIKRAJ DAN CAHAYA ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ، وَإِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِعِيْنَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾ [سورة الإسراء : ١]

(Maksudnya): Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut oleh umat Islam di bulan Rejab walaupun para ulamak tidak sependapat menentukan tarikh dan bulan, masa berlakunya peristiwa tersebut, dengan tahun dan bulan yang berbeza, tetapi kita wajib beriman. Peristiwa yang menakjubkan itu benar-benar berlaku. Para sahabat yang sibuk dengan perjuangan Islam menghadapi tentangan yang hebat, memandang tidak penting mencatat bilakah berlakunya peristiwa itu. Apa yang penting ia benar-benar berlaku menjadi tanda kekuasaan Allah s.w.t, bukan sahaja kepada Rasul-Nya Muhammad s.a.w, bahkan kepada umat Islam dan seluruh manusia supaya mereka memahami kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t.

Bagaimana seorang rasul yang dilahirkan di tengah masyarakat Arab yang paling jahiliyyah dan paling jahat, bukan sahaja membunuh sesama sendiri, bahkan sanggup membunuh anak-anak perempuan kerana tidak berguna untuk berperang. Sifatnya sangat kasar dan keras serta sangat ganas. Bagaimana nabi yang diutuskan untuk seluruh manusia diwahyukan oleh Allah:

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ ۖ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٥٨﴾ [سورة الأعراف : ١٥٨]

(Maksudnya): Katakanlah: "Wahai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimah-kalimah-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk.

Manusia di seluruh dunia semua bangsa dan kaum sehingga hari kiamat bukan keluarga dan bangsanya sahaja. Bagaimana perjuangannya boleh berjaya untuk seluruh dunia kalau di tempatnya sendiri dan keluarganya sendiri sudah ditentang dan dilawan dengan hebatnya, sehingga orang yang paling hampir dengannya iaitu Abu Talib, bapa saudaranya yang berpengaruh dan disegani di Makkah yang melindunginya telah meninggal dunia. Isterinya Khadijah radiAllahu 'anha yang telah membelanjakan kekayaannya juga meninggal dunia. Dua manusia yang penting dicabut oleh Allah s.w.t. Bagaimana hendak berdakwah ke seluruh dunia? Baginda terpaksa menghadapi keadaannya yang sebegitu rupa.

Maka Allah s.w.t menjemputnya pada malam Israk dan Mikraj menjadi dhif (tetamu) Allah s.w.t dalam perjalanan yang sangat jauh di waktu malam, hanya satu malam sahaja untuk melihat manusia semenjak Adam a.s sehingga hari kiamat, untuk melihat alam dunia dan alam akhirat, melihat alam bumi dan alam langit sehingga tujuh petala langit mengatasinya lagi sehingga Sidratul Muntaha, mengatasi bulan, matahari bintang dan cakerawala di langit yang jaraknya berjuta-juta tahun perjalanan cahaya, melihat alam nyata dan alam ghaib, melihat alam dunia dan alam akhirat. Bagaimana boleh dilakukan hanya pada satu malam sahaja? Itulah kekuasaan Allah s.w.t.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا

(Maksudnya): Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari.

Tuhan yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan, Tuhan yang tidak boleh dibanding dengan makhluk, Tuhan yang Maha Berkuasa boleh menjadikan Israk dan Mikraj yang besar luas dan lama itu dalam satu malam sahaja dengan kekuasaan-Nya untuk menyatakan bahawa dunia yang kamu lihat sangat besar ini terlalu halus di sisi Allah s.w.t. Semua manusia termasuk kerajaan-kerajaan besar yang menentang Islam adalah habuk yang halus, tidak mampu menghadapi kekuasaan Allah s.w.t.

Allah menunjukkan bagaimana mukjizat ilmu yang diturunkan kepadanya, iaitu ilmu Al-Quranul Karim berjaya melembutkan hati yang keras menjadikan manusia yang ganas dan zalim itu, paling adil dalam sejarah manusia. Manusia yang buta huruf, berilmu sehingga menakluk dunia yang luas selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Yang penting cahaya Islam itu tidak padam dengan wafatnya Rasulullah s.a.w. Walaupun tidak ada nabi dan rasul selepasnya, tetapi risalah Islamnya berpanjangan sehingga hari kiamat disambung oleh umatnya turun temurun selagi dunia belum kiamat.

Inilah Islam yang kita terima, Islam yang kita percaya dan yakin, Islam daripada Allah s.w.t, Islam yang tidak boleh dipadamkan cahayanya kerana cahayanya adalah kekuasaan Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.          
وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾ [سورة الحج : ٤٠]

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, March 12, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 18 REJAB 1441 / 13 MAC 2020


PEMIMPIN DITAATI, NEGARA HARMONI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ ﴿٢٤﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Para tetamu Allah yang dikasihi sekalian,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Semoga kita semua mendapat keredaan Allah s.w.t di dunia dan di akhirat.

Mimbar sentiasa mengalu-alukan kehadiran para jamaah sekalian yang istiqamah menunaikan kewajipan kepada Allah s.w.t. Inilah bukti sikap tanggungjawab kita kepada tuntutan syariat yang menjadi perisai hidup setiap muslim. Pada hari yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita sama-sama menghayati khutbah yang bertajuk; "Pemimpin Ditaati, Negara Harmoni".

Para hadirin yang dirahmati Allah s.w.t sekalian,

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kita tentunya mengimpikan negara kita terus membangun, maju, berdaya saing dan menjadi contoh kepada negara-negara lain. Keamanan dan keharmonian antara kaum adalah faktor yang sangat penting untuk mencapai kemajuan yang seimbang dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya. Justeru, kepimpinan negara mestilah memastikan keseimbangan tersebut terus terpelihara. Maksud firman Allah dalam Surah As-Sajdah ayat 24 sebagaimana yang dibacakan di awal khutbah tadi:

"Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami"

Imam Ibnu Katsir dalam menafsirkan ayat ini berkata:

"Ketika mereka bersabar dalam melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, membenarkan para Rasul-Nya dan mengikuti risalah yang diberikan kepada mereka, nescaya mereka menjadi pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah Allah, mengajak kepada kebaikan, memerintahkan yang ma'aruf dan melarang kemungkaran".

Setiap pemimpin seharusnya menjadi contoh dan taudalan kepada masyarakat. Saiyidina 'Umar Al-Khattab r.a pernah berkata bahawa; "Manusia mengikuti cara hidup pemimpinnya". Kata-kata ini menepati realiti kehidupan kebanyakan masyarakat. Justeru, dengan adanya pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah tentu dia akan memberi kesan yang mendalam kepada cara hidup masyarakat.

Kaum muslimin yang berbahagia,

Sesungguhnya sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita wajib mentaati pemimpin. Dalam konteks negara, pemimpin yang mesti kita hormati ialah ketua utama negara iaitu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja. Malah kita juga mestilah menghormati kepimpinan negara iaitu jamaah menteri atau kabinet.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara mestilah difahami dan dihayati dengan sepenuhnya. Setiap titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mestilah ditaati oleh setiap rakyat. Baginda Tuanku menjadi simbol kepada perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama. Amat menyedihkan apabila masih ada dalam kalangan rakyat yang berani mempersenda Institusi Raja di negara ini. Inilah yang menghakis perasaan hormat dan cintakan negara. Ingatlah firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 59:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ ... ﴿٥٩﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu".

As-Syeikh Muhammad Mutawalli As-Sya'rawi menyatakan bahawa suruhan taat kepada pemerintah perlulah didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Ini supaya masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan dalam masa yang sama terhindar daripada penindasan. Justeru, setiap pemerintah dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Dalam sebuah hadits sahih daripada Saiyidina 'Abdullah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: "Mendengar dan mentaati (pemerintah) adalah wajib bagi setiap muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai, selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah (wajib) dia mendengar dan mentaati". (Hadits riwayat Al-Bukhari : 7144, Abu Daud : 2626)

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya setiap pemimpin itu mestilah mempunyai ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi pemimpin yang bertanggungjawab. Justeru, terdapat beberapa ciri pemimpin yang layak menduduki jawatan tertinggi negara, antaranya:

Pertama: Islam. Ini adalah kerana urusan pemerintahan adalah salah satu hukum syarak yang berkaitan dengan pentabdiran hal ehwal umat Islam.

Kedua: Matang. Oleh itu, tidak sah melantik kanak-kanak, orang yang jahil dan yang seumpama dengan mereka sebagai pemerintah, walaupun mereka dikelilingi oleh para penasihat.

Ketiga: Bersifat adil. Orang yang bersifat adil ialah orang yang tidak melakukan dosa besar seperti membunuh, berzina dan memakan riba. Dia juga tidak berterusan melakukan dosa kecil.

Keempat: Mempunyai pengetahuan tentang hukum agama dan dalilnya. Pemerintah mestilah mengetahui hukum-hakam syarak dan dalil-dalilnya. Pengetahuan ini akan membolehkannya berijtihad. Jika dia tidak mampu berijtihad, maka dia hendaklah mempunyai penasihat yang memahami hukum-hakam Islam.

Kelima: Bijaksana dan mempunyai pemikiran holistik. Sifat ini membolehkan seseorang pemerintah mampu mentadbir, menjaga keselamatan negara dan rakyat daripada sebarang ancaman. Kebijaksanaan ini hanya dapat dikesan dan dinilai oleh mereka yang berpengalaman, ahli syura dan mereka yang pernah menjalankan tugas-tugas ini.

Keenam: Melaksanakan nilai-nilai Islam. Beramal untuk Islam adalah wajib. Ini kerana tidak akan terlaksana syariat Allah di muka bumi sekiranya sistem dan undang-undang ciptaan manusia lebih diutamakan ke atas masyarakat. Justeru, pemimpin mestilah membawa rakyat mengamalkan cara hidup berteraskan nilai-nilai Islam.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah s.w.t,

Marilah kita saling berusaha menjaga keamanan dan kesejahteraan negara serta saling ingat-mengingati sesama kita, agar terus memelihara keharmonian masyarakat yang berbilang kaum. Berilah sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menangani isu-isu berkaitan penghinaan kepada agama, penghinaan kepada institusi raja, perkauman dan lain-lain. Sebagai rakyat yang bijak, kita mestilah mengamalkan sikap "semak sebelum sebar" terhadap sesuatu berita yang diterima.

Mimbar juga mengambil kesempatan untuk menyarankan kepada setiap pentadbiran masjid dan surau diri Jumaat di negeri Perak supaya melaksanakan solat hajat selepas solat Jumaat hari ini dan hari-hari yang lain mengikut keperluan bagi memohon kesejahteraan, keamanan dan keselamatan negara daripada sebarang pergolakan, huru-hara dan wabak penyakit berbahaya seperti Covid-19. Semoga Allah s.w.t mengabulkan doa kita, insyaAllah.

Mengakhiri khutbah pertama hari ini, khatib ingin mengemukakan beberapa kesimpulan sebagai ingatan kita bersama.

Pertama: Setiap pemimpin seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat. Baiknya rakyat adalah cerminan bagi baiknya para pemimpin.

Kedua: Mentaati pemerintah perlulah didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah s.a.w supaya masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan dalam masa yang sama mereka juga terhindar daripada penindasan.

Ketiga: Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang menjadi Rukun Negara mestilah difahami dan dihayati dengan sepenuhnya oleh setiap warga negara. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-A'araf ayat 96:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾

Maksudnya: "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Selaras dengan fokus yang diberikan kepada kelestarian sumber dan alam sekitar dalam pembentangan belanjawan negeri Perak bagi tahun 2020, mimbar mengajak sidang Jumaat sekalian untuk sama-sama mendoakan agar kerajaan negeri Perak terus berusaha ke arah memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan dapat mengurangkan masalah perubahan iklim.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ، فِي الْهِنْد، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

Ya Allah, muliakan Islam dan kaum muslimin, dan hinakanlah kaum musyrikin yang memusuhi Islam. Ya Allah, selamatkanlah saudara-saudara kami di Palestin dan di India, selamatkanlah saudara-saudara kami di Palestin dan di India. Bantulah mereka ya Allah, dan berilah kami kekuatan untuk membantu mereka.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

Friday, March 6, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 11 REJAB 1441 / 6 MAC 2020


PERTEMBUNGAN DENGAN IBLIS


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita menyaksikan dan percaya kepada kebijaksanaan Allah s.w.t, Tuhan yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, tiada lagi tuhan yang lain daripada-Nya. Allah berfirman:

... وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّفَسَدَتِ الْأَرْضُ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ ﴿٢٥١﴾ [سورة البقرة : ٢٥١]

(Maksudnya): Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.

Allah yang meletakkan manusia di atas muka bumi ini untuk menghadapi makhluk yang berbeza-beza sifat-sifatnya yang menyebabkan kehidupan manusia itu penuh dengan cabaran dan sangat mencabar. Ia berbeza dengan alam langit yang sentiasa taat kepada Allah s.w.t menjadi fitrah dan sifat tabi'inya. Maka Allah menjadikan makhluk manusia dengan sifat-sifat yang istimewa mempunyai akal fikiran untuk berfikir setelah mereka diletakkan di atas muka bumi. Allah menegaskan bahawa kebenaran itu hanya daripada Allah.

وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ ... ﴿٢٩﴾ [سورة الکهف : ٢٩]

(Maksudnya): Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu adalah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya".

Allah menjadikan perlawanan sejak diciptakan Nabi Adam a.s, makhluk pertama yang dilahirkan zuriat keturunannya yang bernama manusia dengan sifat-sifat kejadian yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Betapa hebatnya cabaran itu menggerunkan para malaikat sehingga mereka bertanya:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ ﴿٣٠﴾ [سورة البقرة : ٣٠]

(Maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Di bumi itu banyak urusannya seperti memakmurkan bumi, menggunakan makhluk-makhluk yang lain, sama ada binatang yang bergerak atau galian yang tidak bergerak atau tumbuh-tumbuhan yang berbagai jenis, semuanya mengandungi hikmah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Semua perkara itu boleh diurus oleh manusia yang punya akal fikiran dan ilmu yang akan diberi oleh Allah s.w.t bersama dengan petunjuk wahyu. Ditunjukkan dalam majlis malakut di alam malaikat, pertembungan di antara malaikat dan Iblis di hadapan Allah s.w.t. Satu makhluk lain yang tidak layak berada di langit iaitu makhluk Iblis, bila Allah menguji makhluk ini.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ ﴿٣٤﴾ [سورة البقرة : ٣٤]

(Maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.

Setelah Adam dilatih oleh Allah s.w.t di dalam syurga itu, dididik dengan ilmu, percaya kepada Allah, melihat kejadian malaikat dan Iblis bersama tabiat masing-masing. Adam punya hawa nafsu dikawal dengan batas halal dan haram. Allah mentakdirkan Adam melakukan kesalahan yang ditipu dan digoda oleh Iblis, lalu dihalau ke bumi bersama dengan Iblis. Adam bertaubat dan kembali kepada Allah, tetapi Iblis tidak bertaubat.

Adam melahirkan zuriatnya, melahirkan nabi-nabi 'alaihis solatu wassalam dengan wahyu daripada Allah. Sementara Iblis menggoda manusia dengan menubuhkan pasukan pengikut dan bala tenteranya. Maka berlakulah pertembungan di atas muka bumi ini di antara mereka yang beriman dan taat kepada Allah dengan akhlak yang mulia menghadapi Iblis dan pengikutnya yang derhaka dan buruk akhlaknya serta sombong takbur melawan Allah s.w.t.

Allah menjanjikan manusia yang berjaya yang paling tinggi mengawal hawa nafsunya, teguh dengan beriman mengatasi segala maksiat, nabi-nabi dan rasul 'alaihis solatu wassalam mengatasi kemuliaan malaikat. Di sana ada manusia mengatasi kemuliaan malaikat. Di sana juga ada manusia yang mengikut Iblis, walaupun punya akal, tetapi macam binatang yang tidak berakal, bahkan ada yang lebih hina daripada binatang. Allah menunjukkan dua contoh dalam perjalanan hidup manusia di atas muka bumi dan dihisab oleh Allah pada hari kiamat kelak.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ﴿١١٥﴾ [سورة المؤمنون : ١١٥]

(Maksudnya): "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari pada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, March 5, 2020

KHUTBAH JUMAAT – 11 REJAB 1441 / 6 MAC 2020


KELESTARIAN ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ ﴿٣٠
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Terlebih dahulu saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan erti kata yang sebenarnya, iaitu dengan kita melaksanakan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa diberkati dan dilimpahi rahmat serta kasih sayang Allah s.w.t di dunia ini dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Bersempena dengan sambutan Hari Landskap Negara 2020 peringkat negeri Perak, yang telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Mu’izuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulah pada 3 Mac 2020 di Laman Budaya Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk; “Kelestarian Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Alam sekitar merupakan anugerah Allah s.w.t yang sangat bernilai bagi menjamin kesejahteraan hidup kita di dunia. Allah s.w.t telah menciptakan alam ini dengan penuh kesempurnaan dan keseimbangan untuk memastikan kemakmuran hidup manusia dan makhluk ciptaan Allah yang lain dapat hidup dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan. Kebanyakan makhluk amat bergantung kepada sumber-sumber alam di muka bumi ini terutama sekali manusia.

Bumi yang luas ini dijadikan tempat tinggal manusia serta makhluk yang lain, gunung-ganang sebagai pasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, hujan sebagai sumber rezeki, manakala pelbagai jenis haiwan dan hidupan di daratan dan lautan dijadikan untuk keperluan hidup manusia. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam Surah Ibrahim ayat 32 dan 33:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْأَنْهَارَ ﴿٣٢﴾ وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ دَائِبَيْنِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ ﴿٣٣﴾  

Maksudnya: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Mutaakhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai kejadian bencana alam seperti kebakaran hutan, banjir, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau, ombak besar dan seumpamanya, yang ada sebahagiannya melibatkan kerugian harta benda dan meragut nyawa manusia dan haiwan di hutan belantara. Fenomena ini jelas memperlihatkan bahawa alam ini masih belum ditadbir urus menepati tatacara yang sepatutnya oleh manusia yang telah diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi ini oleh Allah s.w.t sepertimana yang dikehendaki dan diperintahkan oleh-Nya. Sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ... ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) tatakala Tuhan engkau berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"....

Manakala di dalam satu sabda baginda Rasulullah s.a.w juga, baginda pernah mensifatkan bahawa kita semua adalah khalifah yang diberi amanah untuk mengurus dan mentadbir bumi ini dengan sebaiknya, dan Allah s.w.t akan melihat apa yang kita lakukan. Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ، وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا، فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ، فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ، فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ.

Maksudnya: "Dunia ini cantik dan hijau, dan sesungguhnya Allah s.w.t telah melantik kamu sebagai khalifah (pentadbirnya). Maka, Dia akan melihat bagaimana yang kamu akan lakukan. Berhati-hatilah dengan dunia, dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita, sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israel adalah wanita". (Hadits riwayat Muslim no. 2742)

Bertepatan dengan konsep khalifah yang diberi amanah mentadbir bumi ini, maka sangat penting untuk kita memastikan sumber yang ada dimanfaatkan sebaik-baiknya, serta dijauhkan daripada sebarang bencana. Ini bagi memastikan generasi anak cucu kita yang akan datang dapat menikmati dan merasainya. Persoalannya kini, adakah kita meninggalkan sesuatu yang lebih baik atau sebaliknya untuk anak cucu kita? Firman Allah dalam ayat 165 Surah Al-An'aam:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٦٥﴾

Maksudnya: "Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sebahagian kamu atas sebhagiannya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Sehubungan dengan itu, amatlah penting bagi kita memastikan sumber yang ada dimanfaatkan sebaiknya bagi membolehkan generasi akan datang menikmati kehidupan dalam persekitaran yang baik dan berkualiti. Namun persoalan yang timbul ialah, sejauh manakah kita punya rasa bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar ini?

Tabiat seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa buangan termasuk bahan kimia secara terus ke laut dan sungai, melepaskan asap kilang tanpa tapisan, menceroboh hutan secara berleluasa, menjalankan aktiviti pembangunan secara tidak terkawal, pembakaran secara terbuka, semua ini akan memberikan kesan kepada alam sekitar seperti peningkatan suhu bumi, pencemaran sumber air, udara, banjir besar, tanah runtuh, kepupusan flora dan fauna, dan perubahan cuaca yang akan menjejaskan kehidupan manusia.

Harus kita sedar dan insaf bahawa, pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar sebenarnya adalah berpunca dan disebabkan oleh kerakusan dan kecuaian kita sendiri. Sebagaimana yang diperingatkan oleh Allah s.w.t dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Lihatlah betapa penting dan berharganya alam sekitar ini kepada kita manusia dan makhluk Allah yang lain. Maka seharusnya kita menyedari bahawa bumi ini hanyalah pinjaman sementara daripada Allah s.w.t kepada manusia. Tidak sewajarnya alam ini diperlakukan sedemikian rupa. Pelbagai kempen kesedaran alam sekitar akan berakhir dengan kegagalan sekiranya tahap kesedaran masyarakat masih di tahap yang mengecewakan. Oleh itu, ia mesti bermula dari diri sendiri, seterusnya keluarga, masyarakat dan negara.

Oleh yang demikian mimbar menyeru hadirin sekalian, marilah kita sama-sama menjayakan titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak agar usaha memelihara alam sekitar dapat diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat. Ini termasuk sekolah-sekolah, masjid dan surau, agensi-agensi kerajaan, persatuan penduduk dan sebagainya. Usaha ini merupakan detik permulaan dan perlu diteruskan bagi menjamin kelestarian alam sekitar di negeri Perak ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai panduan buat kita bersama:

Pertama: Allah telah mencipta alam ini dengan amat sempurna dan seimbang untuk kemakmuran manusia.

Kedua: Manusia bertanggungjawab memakmurkan bumi dan memelihara alam sekitar dengan sebaik-baiknya kerana ia adalah suatu amanah dalam konteks individu, keluarga, masyarakat dan juga negara.

Ketiga: Islam melarang sebarang bentuk perlakuan kerosakan di atas muka bumi, sama ada kerosakan jiwa, harta benda mahupun alam sekitar. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 61:

۞ وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُّجِيبٌ ﴿٦١﴾

Maksudnya: "Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan iabadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا، وَسَلِّمْ دِينَنَا، وَسَلِّمْ أَوْلَادَنَا، وَسَلِّمْ إِخْوَانَنَا، وَسَلِّمْ مِنْ مُسْلِمِينْ، وَسَلِّمْ شَعْبَ مَالِيزِيَا يَا الله مِنْ كُلِّ بَلَاءٍ، وَوَبَاءٍ، وَضِيقٍ، وَهَمٍّ، وَفِتْنَةٍ، وَغَمٍّ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بِلَادِنَا هَذَا خَاصَّة، وَعَنْ بُلْدَان مُسْلِمِينَ عَامَّة، يَا أَكْرَمَ الأَكْرَمِين، يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.