Friday, March 6, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 11 REJAB 1441 / 6 MAC 2020


PERTEMBUNGAN DENGAN IBLIS


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِ اللهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita menyaksikan dan percaya kepada kebijaksanaan Allah s.w.t, Tuhan yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, tiada lagi tuhan yang lain daripada-Nya. Allah berfirman:

... وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّفَسَدَتِ الْأَرْضُ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ ﴿٢٥١﴾ [سورة البقرة : ٢٥١]

(Maksudnya): Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.

Allah yang meletakkan manusia di atas muka bumi ini untuk menghadapi makhluk yang berbeza-beza sifat-sifatnya yang menyebabkan kehidupan manusia itu penuh dengan cabaran dan sangat mencabar. Ia berbeza dengan alam langit yang sentiasa taat kepada Allah s.w.t menjadi fitrah dan sifat tabi'inya. Maka Allah menjadikan makhluk manusia dengan sifat-sifat yang istimewa mempunyai akal fikiran untuk berfikir setelah mereka diletakkan di atas muka bumi. Allah menegaskan bahawa kebenaran itu hanya daripada Allah.

وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَاءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ ... ﴿٢٩﴾ [سورة الکهف : ٢٩]

(Maksudnya): Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu adalah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya".

Allah menjadikan perlawanan sejak diciptakan Nabi Adam a.s, makhluk pertama yang dilahirkan zuriat keturunannya yang bernama manusia dengan sifat-sifat kejadian yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Betapa hebatnya cabaran itu menggerunkan para malaikat sehingga mereka bertanya:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ ﴿٣٠﴾ [سورة البقرة : ٣٠]

(Maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Di bumi itu banyak urusannya seperti memakmurkan bumi, menggunakan makhluk-makhluk yang lain, sama ada binatang yang bergerak atau galian yang tidak bergerak atau tumbuh-tumbuhan yang berbagai jenis, semuanya mengandungi hikmah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Semua perkara itu boleh diurus oleh manusia yang punya akal fikiran dan ilmu yang akan diberi oleh Allah s.w.t bersama dengan petunjuk wahyu. Ditunjukkan dalam majlis malakut di alam malaikat, pertembungan di antara malaikat dan Iblis di hadapan Allah s.w.t. Satu makhluk lain yang tidak layak berada di langit iaitu makhluk Iblis, bila Allah menguji makhluk ini.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَىٰ وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ ﴿٣٤﴾ [سورة البقرة : ٣٤]

(Maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.

Setelah Adam dilatih oleh Allah s.w.t di dalam syurga itu, dididik dengan ilmu, percaya kepada Allah, melihat kejadian malaikat dan Iblis bersama tabiat masing-masing. Adam punya hawa nafsu dikawal dengan batas halal dan haram. Allah mentakdirkan Adam melakukan kesalahan yang ditipu dan digoda oleh Iblis, lalu dihalau ke bumi bersama dengan Iblis. Adam bertaubat dan kembali kepada Allah, tetapi Iblis tidak bertaubat.

Adam melahirkan zuriatnya, melahirkan nabi-nabi 'alaihis solatu wassalam dengan wahyu daripada Allah. Sementara Iblis menggoda manusia dengan menubuhkan pasukan pengikut dan bala tenteranya. Maka berlakulah pertembungan di atas muka bumi ini di antara mereka yang beriman dan taat kepada Allah dengan akhlak yang mulia menghadapi Iblis dan pengikutnya yang derhaka dan buruk akhlaknya serta sombong takbur melawan Allah s.w.t.

Allah menjanjikan manusia yang berjaya yang paling tinggi mengawal hawa nafsunya, teguh dengan beriman mengatasi segala maksiat, nabi-nabi dan rasul 'alaihis solatu wassalam mengatasi kemuliaan malaikat. Di sana ada manusia mengatasi kemuliaan malaikat. Di sana juga ada manusia yang mengikut Iblis, walaupun punya akal, tetapi macam binatang yang tidak berakal, bahkan ada yang lebih hina daripada binatang. Allah menunjukkan dua contoh dalam perjalanan hidup manusia di atas muka bumi dan dihisab oleh Allah pada hari kiamat kelak.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ﴿١١٥﴾ [سورة المؤمنون : ١١٥]

(Maksudnya): "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari pada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

1 comment:


  1. JACKPOT ynag besar hanya di AJOQQ :D
    WA : +855969190856

    ReplyDelete