Thursday, May 26, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 20 SYAABAN 1437 / 27 MEI 2016

MUHASABAH DIRI SEBELUM MENJELANG RAMADHAN

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ﴿١٤٤﴾

Bermaksud: "Kerapkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah (mendongak) ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Ka'abah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (yahudi dan nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Ka'abah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan". (Surah Al-Baqarah Ayat 144)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayatilah isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan kita memperolehi keredhaan di sisi Allah سبحانه وتعالى. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Muhasabah Diri Sebelum Menjelang Ramadhan".

Sidang hadirin sekalian,

Ayat yang dibacakan di awal khutbah tadi dipetik dari Surah Al-Baqarah Ayat 144 berkisar tentang bagaimana Allah سبحانه وتعالى menurunkan wahyu supaya memalingkan kiblat kaum Muslimin dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Peristiwa ini terjadi pada bulan Sya'aban di mana Rasulullah صلى الله عليه وسلم sering berdoa kepada سبحانه وتعالى agar kiblat kaum Muslimin kembali ke Masjidil Haram di Makkah. Antara amalan-amalan yang sangat dituntut pada bulan ini adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sepertimana yang diriwayatkan dari Usamah bin Zaid رضي الله عنه dia berkata:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللهُ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ مِنْ شَهْرٍ مِنَ الشُّهُورُ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانٍ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يُغْفَلُ النَّاسَ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانٍ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْاَعْمَالِ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِيْنَ فَأَحَبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

"Aku berkata; Ya Rasulullah, saya tidak pernah melihatmu berpuasa dalam suatu bulan dari bulan-bulan yang ada seperti puasamu di bulan Sya'aban. Baginda bersabda; Itulah bulan yang manusia lalai darinya antara Rejab dan Ramadhan. Dan merupakan bulan yang di dalamnya diangkat amalan-amalan kepada Rabbul 'Alamin. Dan saya menyukai amal saya diangkat, sedangkan saya dalam keadaan berpuasa". (Hadith riwayat Imam An-Nasa'ie)

Apa yang mimbar ingin sampaikan di sini mengenai kelebihan bulan Sya'aban yang mana masih ramai umat Islam tidak mengetahui seperti peristiwa dan amalan di atas betapa mulianya bulan Sya'aban di sisi Allah dan Rasul-Nya. Hadith di atas juga mengingatkan kita bahawa bulan Sya'aban seolah-olah menjadi bulan untuk kita semakin giat menyediakan jiwa, rohani dan fizikal kita untuk melangkah masuk ke dalam bulan tarbiyah iaitu Ramadhan Al-Mubarak.

Bulan Ramadhan merupakan bulan pahala, rahmat dan kebaikan dicurahkan oleh Allah سبحانه وتعالى tanpa ada sempadan. Oleh itu kita perlulah menyediakan diri agar layak menjadi hamba yang dikurniakan Allah سبحانه وتعالى dengan kemuliaan. Jiwa kita ini ibarat pakaian yang perlu disucikan dan dibersihkan daripada dosa agar ia kemudian selayaknya mendapat tempat curahan rahmat dan kemuliaan Allah سبحانه وتعالى ke dalamnya. Bagaimana kita boleh mengharapkan keredhaan Allah sedangkan diri kita masih lagi bergelumang dengan dosa, hati kita masih lagi dipenuhi dengan sifat kebencian, kesombongan, keangkuhan serta penyakit hati yang lain. Bagaimana kita boleh mengharapkan Allah menjadikan kita orang yang dibebaskan daripada api neraka pada bulan Ramadhan nanti jika kita ini masih lagi melakukan perkara yang boleh menghalang kita daripada Syurga Allah?

Justeru, mimbar ingin berpesan kepada diri sendiri dan sidang jama'ah sekalian agar sama-sama kita kembali bermuhasabah diri. Masih belum terlewat untuk kita memperbaiki jiwa yang sememangnya jika tidak dipupuk dari awal akan menyebabkan nafsu amarah menguasai diri. Ini sesuai dengan firman Allah سبحانه وتعالى di dalam Surah Yusuf Ayat 53:

۞ وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٥٣﴾

Maksudnya: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sememangnya menundukkan hawa nafsu merupakan suatu proses yang berterusan dan memerlukan mujahadah yang tinggi. Manusia yang lalai akan membiarkan nafsunya menguasai dirinya. Maka di dalam memastikan nafsu kita ini dapat dikawal dengan baik, pastikanlah kita tidak lalai daripada berzikir mengingati Allah سبحانه وتعالى. Ketika mana nafsu mula membisikkan kemahuan bermaksiat, maka bersegeralah kita mengingati Allah. Ini kerana hati yang sentiasa mengingati Allah akan menghasilkan ketenangan dan kedamaian dalam diri kita. Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah mengajarkan doa iaitu:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِّلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

Bermaksud: "Wahai Tuhan yang Maha Hidup dan Maha Berdiri dengan sendiri-Nya, dengan rahmat-Mu aku memohon bantuan, perbaikilah segala urusanku dan jangan Engkau tinggalkan aku untuk diriku walau sekelip mata". (Hadith riwayat Imam An-Nasa'ie dan Al-Baihaqi)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, 

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, beberapa amalan tambahan di dalam bulan Sya'aban untuk kita sama-sama melaziminya bagi persediaan sebelum menjelangnya Ramadhan. Antaranya:

1. Menjaga solat lima waktu secara berjamaah. Ini jelas disebut dalam beberapa hadith Nabi صلى الله عليه وسلم tentang kelebihan menjaga solat berjamaah dan ancaman orang yang meninggalkannya padahal ia berkemampuan melaksanakannya.

2. Memperbanyakkan membaca, menghafaz dan mengulang kaji Al-Quran. Amalan ini adalah sebesar-besar pintu kebaikan kerana di dalamnya terkandung keutamaan dan pahala yang besar di sisi Allah سبحانه وتعالى.

3. Sentiasa menghidupkan qiyamullail. Lazimilah qiyamullail secara berterusan tidak hanya dilakukan pada bulan Ramadhan sahaja tetapi juga bulan-bulan yang lain.

4. Menghubungkan silaturrahim. Inilah antara tang sewajarnya diperhatikan oleh umat Islam di bulan Sya'aban ini supaya kita berusaha mengamalkan sebaik-baik ketaatan sebelum dihisab amalan kita di hadapan Allah kelak.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنُؤْمِنُ بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْخَلَائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأً فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى مُخْبِرًا وَآمِرًا:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.

Ya Allah, ya Tuhan kami, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan-Mu, negara dan negeri kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan di kalangan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Sila klik di sini.

Friday, May 20, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 13 SYA'ABAN 1437 / 20 MEI 2016

MENGUKUHKAN PERPADUAN DEMI AGAMA ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَ‌ٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣﴾

Bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyyah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga), demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu Ayat-Ayat keterangan-Nya sampai kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya". (Surah Ali-Imran Ayat 103)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat sekalian agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayatilah isi kandungan serta jangan bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan kita memperolehi keredhaan di sisi Allah سبحانه وتعالى. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: "Mengukuhkan Perpaduan Demi Agama Islam".

Saudara-saudaraku yang dikasihi Allah,

Keamanan dan kesejahteraan adalah dua perkara yang cukup bermakna dan tidak mampu dinilai dengan wang ringgit. Dengan keamanan inilah, kita mampu untuk melaksanakan segala perintah Allah سبحانه وتعالى dengan tenang dan tenteram tanpa merasa bimbang. Hal ini berbeza sama sekali dengan saudara-mara kita yang berada di Palestin. Syria dan negara-negara Islam bergolak yang lain. Kehidupan mereka dihantui dengan hujanan bom dan tembakan peluru tanpa henti. Telinga mereka telah lali dengan ribuan letupan setiap hari. Mata mereka sudah kering untuk menangisi kesyahidan ahli keluarga yang dicintai. Hati mereka cukup tabah menempuh liku-liku duniawi. Adakah kita semua gembira dengan situasi sebegini? Adakah kita sanggup mengharungi dugaan bertali arus bak lautan tidak bertepi?

Apabila kita perhatikan usaha pertama baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم untuk membina masyarakat di Madinah ialah dengan mendirikan masjid sebagai asas perpaduan. Seterusnya, baginda menyatukan dua golongan yang telah beratus tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Aus dan Khazraj, lalu dikenali golongan ini sebagai Anshar. Baginda juga telah menyatukan golongan yang datang daripada Makkah yang diberi nama golongan Muhajirin. Maka hasilnya, terbentuklah satu masyarakat yang bersatu padu yang disatukan dengan ikatan ukhuwwah Islamiyah bercirikan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Hujurat Ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ .... ﴿١٠﴾

Bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu".

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Islam adalah agama paling sempurna yang mendapat keredhaan oleh Allah سبحانه وتعالى, manakala baginda Nabi صلى الله عليه وسلم diutuskan sebagai rahmat bagi umat akhir zaman. Hati dan perasaan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli dengan wang ringgit mahupun harta kekayaan. Namun, apabila hati manusia tersebut diikat dengan Islam dan Iman, maka ianya akan tertambat dan bertaut menjadi satu. Ini merupakan nikmat kurniaan yang terbesar daripada Allah kepada hamba-Nya yang beriman. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Anfal Ayat 63:

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٦٣﴾ 

Bermaksud: "Dan yang mempersatukan hati mereka. Walaupun kamu membelanjakan semua harta kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana".

Hadirin sidang Jumaat sekalian,

Seperti mana peribahasa yang biasa kita dengar, bersatu teguh bercerai roboh adalah merupakan ungkapan ke arah perpaduan. Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sendiri sangat menitik beratkan nilai-nilai perpaduan seperti kasih sayang, hormat menghormati dan bertolak ansur sesama Islam. Antaranya dalam hadith baginda nabi صلى الله عليه وسلم yang mahsyur:

عَنْ أَنَسٍ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Bermaksud; "Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه; Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda: Tidak beriman seseorang kamu dengan iman yang sempurna, sehinggalah ia kasih kepada saudaranya sebagaimana ia kasih kepada dirinya sendiri". (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Maka jelaslah bahawa perpaduan ini termasuk dalam urusan agama dan amat dituntut di dalam Islam. Manakala sifat yang suka kepada permusuhan dan perbalahan sesama Islam amatlah dibenci Allah dan Rasul-Nya. Sebagaimana sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللهِ اْلأَلَدُّ الْخَصِمُ

Bermaksud: "Yang paling Allah benci ialah yang keras kepala dalam perbalahan". (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Cubalah kita lihat sendiri perjalanan kehidupan masyarakat Islam pada hari ini. Dalam hadith ini Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu kita bahawa Allah teramat benci manusia yang apabila berbalah, dia melampaui batas bahkan menolak kebenaran hanya semata-mata ingin menegakkan hujjahnya sendiri walaupun ianya menyimpang dari kebenaran. Berkeras kepada dengan hujjah sendiri lalu berusaha menegakkan benang yang basah dengan memperturutkan nafsu amarah. Inilah juga antara sifat dan tabiat orang munafik seperti yang termaktub dalam Surah Al-Baqarah Ayat 204:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ ﴿٢٠٤﴾

Bermaksud: "Dan di antara manusia ada mengagumkan engkau dengan tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia dan dia bersaksikan Allah (bersumpah dengan mengatakan bahawa Allah berada di pihaknya), padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (terhadapmu wahai Muhammad)".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Perdamaian sangat dianjurkan oleh Islam. Manusia yang memusuhi perdamaian adalah mereka yang telah memasuki perangkap syaitan dan konco-konconya. Perasaan dendam kesumat dan taksub tidak mengira tempat menjerumuskan seseorang ke kancah permusuhan dan perpecahan. Musuh-musuh Islam pastilah amat suka jika umat Islam berpecah belah dan bercakaran sesama sendiri. Tetapi jikalau musuh ingin menghulurkan perdamaian hendaklah kita juga melakukan perdamaian sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى di dalam Surah Al-Anfal Ayat 61:

۞ وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١﴾

Maksudnya: "Dan jika pihak musuh cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Berwaspadalah daripada sebarang bentuk ashobiyyah iaitu semangat kebangsaan atau perkauman yang menyokong kumpulannya dengan melulu. Jika dahulu ashobiyyah boleh diertikan taksub kepada kaum sendiri, bangsa sendiri atau kumpulan sendiri. Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya: "Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ashobiyyah, buka dari golongan kami mereka yang berpegang atas ashobiyyah dan bukan dari golongan kami sesiapa yang mati atas dasar ashobiyyah". (Riwayat Abu Dawud)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Jika orang Islam bersatu pasti kekuatan dan kemenangan akan berpihak kepada kita. Tetapi, jika umat Islam berpecah, pasti ada golongan yang cuba menangguk di air yang keruh untuk mengambil kesempatan di atas kelemahan kita umat Islam. Lihatlah betapa ruginya umat Islam akibat perpecahan tersebut.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي عَلَّمَ وَأَنْعَمَ، وَهَدَنَا بِالْقُرْآنِ لِلَّتِي هِيَ أَقْوَامُ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْخَلَائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ. وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى أَمَرَكُمْ بِأَمْرٍ بَدَأً فِيهِ بِنَفْسِهِ وَثَنَّى بِمَلآئِكَتِهِ الْمُسَبِّحَةِ بِقُدْسِهِ. فَقَالَ اللهُ تَعَالَى مُخْبِرًا وَآمِرًا: 
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. 
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. 

Ya Allah, ya Tuhan kami, kamimemohon agar dengan rahmat dan perlindungan-Mu, negara dan negeri kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan di kalangan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ،
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman Google Drive. Klik sini.

Thursday, May 12, 2016

KHUTBAH JUMAAT 6 SYAABAN 1437 / 13 MEI 2016

GURU: PEMBINA NEGARA BANGSA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
... قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٩﴾
 اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ، أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أًيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ  الْمُؤْمِنُونَ، اِتَّقُوْا اللهَ اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan termasuk dalam kalangan orang-orang yang dikasihi oleh Allah dan seterusnya mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah kita pada hari ini, "Guru : Pembina Negara Bangsa" yang merupakan tema sambutan Hari Guru tahun 2016 Masihi bersamaan 1437 Hijri. Sebelum memulakan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang Jumaat agar menumpukan perhatian terhadap khutbah yang bakal disampaikan. Fahami dan hayati isi kandungannya serta janganlah bercakap-cakap dan membuat bising. Mudah-mudahan kita memperolehi keredhaan daripada Allah سبحانه وتعالى.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanggal 16 Mei setiap tahun, telah diadakan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan. Ini bagi mengingati jasa dan pengorbanan seorang insan bergelar guru. Ingatlah, walau apapun kedudukan kita sekarang, pastinya bermula daripada didikan seorang guru. Guru merupakan murabbi, pendakwah yang diiktiraf sangat mulia di sisi agama dan masyarakat, kerana mereka mewarisi tugas-tugas para Rasul, dalam membimbing manusia ke jalan kebenaran dan membentuk tamaddun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu. Betapa besarnya peranan guru ini, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk jalan, menerangi laluan sama ada di desa atau di bandar, di darat atau di lautan. Anas bin Malik رضي الله عنه meriwayatkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:

إِنَّ مَثَلَ الْعُلَمَاءِ فِي الْأَرْضِ كَمَثَلِ النُّجُومِ فِي السَّمَاءِ يُهْتَدَى بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ فَإِذَا انْطَمَسَتْ النُّجُومُ أَوْشَكَ أَنْ تَضِلَّ الْهُدَاةُ

Bermaksud: "Sesungguhnya perumpaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit, yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan, sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri  akan hilang arah tujuan". (Riwayat Imam Ahmad)

Saiyidina Umar رضي الله عنه pernah berkata: "Kematian seribu ahli ibadat adalah sedikit kesannya berbanding kematian seorang alim (ahli ilmu) yang mahir ilmu halal haram dalam syariat Allah".

Imam Asy-Syafi'ie amat menghormati gurunya, beliau pernah berkata; "Malik bin Anas adalah guruku, seandainya tidak ada Imam Malik dan guruku seperti Ibnu 'Uyainah, maka hilangah ilmu ulamak-ulamak seluruh negeri Hijjaz ini".

Saiyina Ali رضي الله عنه juga pernah berkata: "Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah guruku".

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin memetik nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya supaya menghormati guru, katanya: "Wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, kerana Allah سبحانه وتعالى menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmah, sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Profesyen seorang guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik, malah menjadi seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat, untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia, agar menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Dalam mengharungi proses sistem pendidikan tersebut khususnya di negara kita, seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasnya di bilik darjah dan sekolah. Antara cabaran yang sering dihadapi oleh guru ialah berhadapan dengan pelbagai latar belakang masyarakat dan salah faham terhadap peranan guru.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam mendepani cabaran-cabaran tersebut, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia memandang serius berkaitan dengan peranan ibu-bapa dan komuniti terhadap pendidikan dengan mewujudkan e-sarana seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

E-sarana merupakan satu usaha bagi meningkatkan penglibatan ibu-bapa dalam pembelajaran anak-anak di dalam dan di luar sekolah. Kemahiran dan kepakaran yang ada pada ibu-bapa dikongsi bersama dalam membina pendidikan anak-anak. Oleh itu, amatlah penting penglibatan ibu-bapa bersama anak-anak dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu mereka mendapat kejayaan pada masa hadapan. Bagi membuktikan matlamat itu tercapai, ibu-bapa juga perlu bekerjasama dan berperanan sebagai guru di rumah. Sepertimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-Maidah Ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢﴾ 

Bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amat berat azab siksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada zaman yang mencabar ini, anak-anak lebih terdedah dengan pelbagai anasir negatif yang boleh menyebabkan mereka lalai dan leka, sebagai contoh leka dengan telefon pintar, leka dengan internet dan leka dengan pelbagai jenis bentuk hiburan.

Akhirnya, peranan guru sebagai pembimbing sebenar telah dipinggirkan, mereka lebih percaya kepada maklumat yang diambil daripada internet yang belum pasti kesahihannya. Budaya ini boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham berlaku dalam perkara ibadat, akhlak dan lebih membimbangkan lagi jika melibatkan akidah.

Kita juga dikejutkan dengan pelbagai berita berkaitan penyertaan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan Islamic State dan lebih mengejutkan lagi, apabila ada murid sekolah yang terlibat sama. Menurut sumber berita, strategi licik cubaan merekrut pelajar sekolah itu menggunakan medium facebook sebelum membiayai perjalanan pelajar tersebut ke negara tertentu dengan memberikan tafsiran sempit terhadap erti jihad sebenar semata-mata ingin mendapat balasan syurga.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Al-Quran telah mengingatkan kita tentang kepentingan masa. Maka sebagai umat Islam, masa berkualiti amat penting khususnya kepada anak-anak pelajar. Hasil kajian yang telah dibuat, masa anak-anak berada di sekolah hanya 15% manakala masa untuk tidur 33% sementara 52% pula masa anak-anak berada di rumah dan bersama komuniti masyarakat.

Marilah kita bersama-sama memastikan kualiti masa anak-anak dijaga dan diuruskan dengan baik, agar tidak menyesal dikemudian hari, sebagaimana sabda junjungan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم :

اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هِرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاءَكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Bermaksud: "Rebutlah peluang lima keadaan sebelum datangnya lima yang lain, keadaan mudamu sebelum datangnya masa tuamu dan keadaan sihatmu sebelum datangnya masa sakitmu dan keadaan kayamu sebelum datangnya masa fakirmu, keadaan lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu dan keadaan hidupmu sebelum datangnya masa matimu". (Riwayat Imam Termizi)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢﴾ 

Bermaksud: "Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang umiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka Ayat-Ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata". (Surah Al-Jumu'ah Ayat 2)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ عَبْدِكَ وَرَسُلِكَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أًجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.  

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati inti-pati khutbah yang disampaikan, sebagai pedoman di dalam kehidupan kita. Antaranya:

Pertama: Guru merupakan insan yang perlu dihormati dan dihargai jasanya, bukan diperlekeh apatah lagi dihina.

Kedua: Ibu-bapa dan masyarakat juga perlu berperanana sebagai seorang guru di luar sekolah,

Ketiga: Pengurusan masa yang berkualiti penting bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang akademik dan akhlaknya.

Keempat: Negara amat memerlukan modal insan yang berkelakuan baik dan mempunyai kemahiran yang tinggi dan...

Kelima: Semua pihak perlu berganding bahu dalam memartabat pendidikan demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ingatlah, negara cemerlang terhasil daripada umat cemerlang, umat cemerlang terhasil daripada keluarga yang cemerlang, keluarga cemerlang terhasil dari individu cemerlang manakala individu cemerlang terhasil daripada didikan cemelang bergelar guru.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.

Ya Allah, bukakanlah hati kami untuk melaksanakan ibadat zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan. Berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan para pewakaf yang telah menginfaqkan harta mereka ke jalan-Mu. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، 
عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang Google Drive. Klik sini.

Friday, May 6, 2016

KHUTBAH JUMAAT - 28 REJAB 1437 / 6 MEI 2016

ISRAK DAN MIKRAJ: PERINGATAN KEPADA MANUSIA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، بَلَّغَ الرِّسَالَةَ وَأَدَّى الْأَمَنَةَ وَنَصَحَ لِلْأُمَّةَ وَجَهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ وَتَرَكْنَا عَلَى الْمَحَجَّةِ الْبَيْضَآءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيْغُ عَنْهَا إِلَّا هَالِكٌ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.  

Muslimin yang dirahmati Allah,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah سبحانه وتعالى dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah سبحانه وتعالى dan memperbanyakkan selawat serta berusaha melaksanakan segala sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Mudah-mudahan ianya akan memberi manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang berbahagia,

Kita kini berada di penghujung bulan Rejab. Di dalamnya pernah berlaku suatu peristiwa penting iaitu Israk dan Mikraj pada tanggal 27 Rejab, satu peristiwa yang menguji keyakinan umat Islam terhadap risalah kenabian baginda صلى الله عليه وسلم.

Allah سبحانه وتعالى telah menunjukkan kasih-Nya kepada baginda صلى الله عليه وسلم melalui peristiwa Israk dan Mikraj setelah berbagai kesukaran dan halangan yang dialami oleh baginda dalam usahanya menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia. Suatu ketika baginda telah dipulaukan oleh kaumnya, baginda juga telah diuji dengan kehilangan orang yang disayanginya, bahkan baginda juga telah dicederakan dan dilukai oleh orang-orang yang memusuhinya. Rintihan daripada ujian-ujian inilah maka anugerah kemuliaan telah diberikan oleh Allah سبحانه وتعالى kepada baginda melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Israk dan Mikraj merupakan satu perjalanan yang telah mempertemukan baginda dengan para anbiya' disepanjang perjalanannya sehinggalah akhirnya baginda telah diperkenankan bertemu dengan Allah سبحانه وتعالى untuk menerima kefardhuan solat lima waktu sehari semalam. Selain daripada ini, peristiwa ini juga telah memaparkan banyak perkara kepada kita tentang gambaran nikmat dan azab kehidupan selepas kematian, gambaran termasuk mereka yang ingkar dan berbuat maksiat kepada Allah سبحانه وتعالى. Kesemua itu telah dipertontonkan kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan telah diperjelaskan oleh Jibril عليه السلام yang mengiringi perjalanan tersebut.

Antara gambaran azab siksaan yang telah dipertontonkan kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم disepanjang pengembaraan tersebut ialah:

1. Peristiwa sekumpulan manusia yang menghentak kepala mereka ke batu. Ini adalah gambaran orang-orang yang lalai mengerjakan solat.

2. Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan tumbuh-tumbuhan berduri. Ini pula merupakan gambaran mengenai orang yang enggan mengeluarkan zakat.

3. Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan daging busuk sedangkan di tangannya ada daging yang baik. Ini pula gambaran orang-orang yang melakukan perbuatan zina.

4. Peristiwa sekumpulan manusia yang meletakkan bebanan demi bebanan di atas belakangnya sedangkan dia sudah tidak mampu lagi untuk memikulnya. Inilah gambaran orang-orang yang tidak layak memegang suatu amanah tetapi sanggup mengambil amanah tersebut sedangkan dia tidak mampu untuk melaksanakannya.

5. Peristiwa sekumpulan manusia yang berenang di dalam lautan darah sedangkan mulutnya diisi dan dipenuhi dengan batu. Inilah gambaran orang yang memakan riba.

6. Peristiwa yang tidak kurang dahsyatnya juga ialah mengenai sekumpulan manusia yang mencakar-cakar wajah mereka dengan kuku yang tajam, kemudian mereka mengambil cebisan daging mereka sendiri dan memakannya, kemudia mereka pula mengambil daging orang lain yang berbau busuk lalu memakan daging tersebut. Inilah gambaran orang-orang yang mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Selain daripada gambaran-gambaran yang telah disebutkan, terdapat banyak peristiwa yang telah dipertontonkan kepada baginda صلى الله عليه وسلم pada malam tersebut. Ada peristiwa yang baik dan tidak kurang pula peristiwa yang amat menakutkan.

Sesungguhnya peristiwa yang dipertontonkan kepada baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم pada malam Israk dan Mikraj sebenarnya adalah sebagai peringatan kepada umat Islam agar menghindarkan diri mereka daripada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah سبحانه وتعالى dan juga Rasul-Nya.

Apa yang berlaku pada sebahagian masyarakat kita pada hari ini seolah-olah tidak mengambil peduli dengan peringatan-peringatan daripada peristiwa Israk dan Mikraj. Sebilangan masyarakat Islam kini sudah merasa selesa walaupun sering meninggalkan solat yang telah difardhukan ke atas mereka. Sebahagian yang lain pula sentiasa sibuk dengan urusan-urusan kerja ketika mana umat Islam yang lain sentiasa patuh mengerjakan tuntutan solat. Ini telah diperingatkan dalam Surah Maryam Ayat 59:

۞ فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا ﴿٥٩﴾

Bermaksud: "Maka datanglah sesudah mereka, keturunan-keturunan yang melalaikan solat dan menurut hawa nafsu, maka mereka bakal menghadapi azab (di dalam neraka)".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Pada hari ini semakin berleluasanya perbuatan maksiat yang berlaku dalam masyarakat kita, malah sukar untuk dibendung, Perbuatan zina, pelacuran, rogol dan lain-lain lagi telah acap kali didedahkan dalam akhbar-akhbar. Perbuatan-perbuatan terkutuk ini yang melibatkan umat Islam, baik yang muda mahupun yang tua, baik yang telah bersuami isteri apatah lagi yang muda remaja. Kenapakah mereka sanggup meratah daging yang busuk dan menjijikkan selama-lamanya di akhirat kelak hanya untuk memuaskan keinginan nafsu yang sementara di dunia ini? Apa yang nyata, orang-orang seperti ini tidak pernah mengambil peduli tentang segala bentuk ancaman yang datang daripada Allah سبحانه وتعالى disebabkan nafsu serakah yang telah menguasai diri mereka. Firman Allah سبحانه وتعالى dalam Surah Al-A'araf Ayat 179:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَـٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٧٩﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakkannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak tidak dipergunakannya untuk memahami (Ayat-Ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti keesaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ ﴿٨٨﴾ إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ ﴿٨٩﴾

Bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu pun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit nifaq)". (Surah As-Syu'arak Ayat 88 - 89)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya setiap perkara yang datang daripada Allah سبحانه وتعالى itu mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri. Walaupun maksud dan tujuan tersebut kita yakin bahawa kesemuanya adalah untuk kebaikan makhluk ciptaan-Nya yang wujud di alam ini terutamanya umat manusia. Maka begitulah juga keadaan dengan apa yang telah digambarkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Sesungguhnya apa yang telah ditumjukkan oleh Allah سبحانه وتعالى kepada baginda صلى الله عليه وسلم dan umatnya ini seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa berusaha memperbaiki firi pada setiap masa sebelum tibanya hari  yang dijanjikan Allah سبحانه وتعالى, hari yang tiada manfaat baginya harta dan juga anak-pinak, hari yang tiada penaung bagi setiap insan melainkan naungan Allah سبحانه وتعالى iaitu hari perhitungan di padang mahsyar.