Friday, August 28, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 9 MUHARRAM 1442 / 28 OGOS 2020

MERDEKA : MEMBANGUN MASYARAKAT PRIHATIN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي اَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَام، وَأَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْحُرِّيَةِ وَالْإِسْتِقْلَالِ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya serta berbakti kepada agama dan masyarakat. Semoga kita beroleh kejayaan di dunia, dan lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Merdeka : Membangun Masyarakat Prihatin".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Tahun ini, genaplah 63 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Marilah kita sama-sama bersyukur di atas nikmat kemerdekaan ini, dengan memperbanyakkan amal ibadah yang tulus ikhlas kepada Allah s.w.t dan memperbanyakkan taubat memohon keampunan di atas segala kealpaan dan kecuaian.

Kemerdekaan negara yang akan disambut beberapa hari lagi menuntut kita untuk sentiasa merenung dan berfikir - apakah yang akan kita laksanakan bagi mengisi dan menghayati makna sebuah kemerdekaan? Ini sebuah pertanyaan sederhana, yang wajib kita renungi bersama.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Jika makna kemerdekaan kita hanya sebatas terusirnya penjajah British dan Jepun, maka benar kita sudah pun merdeka. Namun hakikatnya, kita sentiasa dibelenggu oleh dua ancaman yang sentiasa berusaha menjajah kita;

Ancaman yang pertama adalah syaitan. Manusia yang terjajah oleh syaitan tidak dapat melepaskan dirinya daripada mengikut seruan syaitan dalam kehidupannya. Perhatikanlah kehidupan seharian kita, apakah banyak menurut seruan Tuhanm atau banyak terpengaruh menurut seruan syaitan?

Ancaman kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsunya sendiri. Manusia yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan, mereka buta biar pun celik. Mereka tuli biar pun mendengar. Mereka menjadi bodoh biar pun berilmu. Berapa banyak kemusnahan dunia akibat manusia mengikut hawa nafsu. Berapa ramai yang dizalimi kerana hidupnya bertuhankan nafsu?

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sesuai dengan tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, marilah sama-sama kita mengisi ruang kemerdekaan dengan memupuk semangat kekitaan dalam pelbagai lapisan masyarakat. Sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan semangat bersama atau keprihatinan terhadap orang lain dan persekitaran. Firman Allah di dalam Al-Quran:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿٩﴾

Maksudnya: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya". (Surah Al-Hashr ayat 9)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Semangat prihatin yang ditunjukkan pelbagai pihak di ketika menghadapi ancaman virus Covid-19 sangatlah terpuji dan wajar diteruskan sebagai amalan semua lapisan masyarakat. Semua pihak telah memainkan peranan masing-masing dengan slogan; "Kita Jaga Kita". Setiap kebaikan dihargai, begitu juga setiap kesilapan ditegur mahupun dihukum. Keprihatinan bersama ini telah menunjukkan kesan yang baik dalam usaha menghentikan penyebaran Covid-19. Keprihatinan ini wajar diteruskan termasuk bagi tujuan membendung gejala-gejala negatif lain seperti rasuah, penagihan dadah, zina dan seumpamanya.

Pandanglah di sekitar kita, di mana golongan susah yang boleh kita bantu. Golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, saudara baru, pelarian yang mencari perlindungan, orang kelainan upaya, dan ramai lagi yang perlu dibantu. Kita dan mereka memijak tanah yang sama bumi Malaysia, dan berteduh di bawah langit yang sama ciptaan Tuhan.

Marilah kita sama-sama menjadi masyarakat yang prihatin dan peduli, agar makna kemerdekaan yang sejati, dapat kita benar-benar rasai dan hayati bersama.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Isilah kemerdekaan dengan perkara-perkara yang diredai Allah s.w.t. Jauhi maksiat dan dosa yang mengundang kemurkaan Allah. Tidak ada gunanya majlis yang dibuka dengan bacaan doa, namun dipenuhi dengan aktiviti yang melanggar larangan-Nya. Takutlah kepada Allah, kerana kemurkaan-Nya bakal mengundang seribu satu bencana yang tidak terfikir di benak kita. Sedangkan reda Allah akan menurunkan rahmat dan keamanan berpanjangan. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-A'araf ayat 56:

وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٥٦﴾

Maksudnya: "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya". (Surah Al-A'araf ayat 56)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَر. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah ruma-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah.

Bersempena dengan kedatangan bulan Muharram, mimbar menggalakkan para jamaah untuk sama-sama berpuasa sunat pada 10 Muharram bersamaan hari esok. Ganjaran berpuasa pada hari 'Asyura adalah dihapuskan dosa kita setahun yang lalu. Ini berdasarkan sebuah hadits Rasulullah s.a.w:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: "Berpuasa di hari 'asyura, sesungguhnya saya berharap Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan setahun yang lalu". (Hadits riwayat Imam Muslim no. 1162)

Mimbar turut berpesan agar kita semua bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Setelah selesai solat, jangan berhimpit-himpit ketika keluar. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru dalam penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

Friday, August 21, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 2 MUHARRAM 1442 / 21 OGOS 2020

HIJRAH BUKAN PELARIAN YANG MENYERAH KALAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِاللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
۞ إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ ﴿٣٨﴾ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ ﴿٣٩﴾ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ ... ﴿٤٠﴾ [سورة الحج : ٤٠ - ٣٨]

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah"...

Ayat ini merupakan janji Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w dan orang-orang beriman di Makkah yang telah dibelasah dan disiksa selama tiga belas tahun. Mereka dijanjikan pertolongan oleh Allah s.w.t untuk diberi kemenangan dengan syarat mereka menunaikan syarat-syaratnya yang sebenar, keimanan yang sebenar, setelah mereka diuji beberapa tahun kerana percaya kepada Allah s.w.t; ada yang dibunuh, ada yang cacat disiksa, ada yang disusahkan kehidupannya, ada yang ditawarkan harta benda pangkat dan kemewahan, namun mereka tidak berganjak daripada Iman dan Islam yang ikhlas di dalam hati mereka.

Seterusnya mereka diiiznkan supaya melakukan hijrah; peristiwa yang diulangi peringatannya oleh umat Islam pada setiap tahun, peristiwa hijrah yang terkenal. Hijrah adalah perpindahan Nabi s.a.w mencari tempat bagi menegakkan Islam yang berdaulat dan menyampaikan Islam ke seluruh dunia. Maka diambil langkah setelah tidak ada lagi peluang di Makkah, dicari tempat yang lain yang mengizinkan Islam itu ditegakkan.

Diambil peluang melalui kabilah-kabilah Arab yang datang ke Makkah menunaikan haji, menyempurnakan ibadat Nabi Ibrahim a.s yang disanjung oleh mereka. Nabi Ibrahim disanjung oleh semua agama-agama, yahudi, kristian dan musyrikin. Nabi Ibrahim yang membuka dan merasmikan Makkah Al-Mukarramah, mendirikan kaabah sehingga Makkah menjadi kunjungan berbagai-bagai agama. Mereka berhimpun pada musim yang dikenali sebagai musim haji, memuliakan Makkah itu.

Peluang perhimpunan itu diambil oleh Rasulullah s.a.w untuk menemui pemimpin-pemimpin yang berpengaruh dalam kalangan kabilah Arab, dengan syarat mereka menerima Islam, mereka sanggup berjihad, menyerahkan tanahair mereka untuk ditegakkan Islam, menghadapi segala musuh yang datang daripada segenap pelusuk dunia. Hanya mereka yang sanggup menerima itu sahaja diterima untuk bersama dengannya. Pemimpin-pemimpin yang tidak mahu masuk Islam kerana mahukan pangkat dan kedudukan setelah Islam menang ditolak oleh Nabi s.a.w.

Pemimpin yang mengaku Islam adalah baik dan Islam adalah mulia, tetapi takut menghadapi musuh, ditangguhkan oleh Rasulullah s.a.w. Apabila pemimpin Madinah Aus dan Khazraj yang menerima Islam dan sanggup menyerahkan tanahair mereka, mengorbankan harta benda dan jiwa raga mereka bagi menegakkan Islam, maka Nabi s.a.w menerima mereka. Lalu dilakukan bai'ah (janji setia) untuk berjuang dan menegakkan Islam itu. Bila mereka menerima syarat-syarat itu mereka sanggup menyerahkan tanahair mereka, maka Nabi s.a.w memerintahkan sahabat yang mampu berhijrah ke Madinah.

Sahabat-sahabat yang berada di Makkah berhijrah ke Madinah. Hanya mereka yang beriman, yang percaya kepada janji Allah s.w.t dunia dan akhirat; janji di dunia kemenangan dan janji akhirat balasan syurga yang kekal abadi. Yang sanggup melakukan hijrah ini termasuklah mereka yang berhijrah ke Habsyah, hijrah pertama dan kedua pulang semula ke Makkah dan pergi ke Madinah kerana menunaikan kewajipan hijrah.

Hijrah itu maknanya pergi ke tempat yang lebih kuat untuk mempertahankan Islam dan meneruskan perjuangan, bukan menjadi pelarian yang menyerah kalah. Hijrah dengan bermakna langkah untuk melangsungkan perjuangan, langkah ke belakang bukan melarikan diri, tetapi langkah ke belakang untuk menguatkan kedudukan, meneruskan perjuangan menegakkan Islam, sanggup menghadapi musuh-musuh yang datang daripada segenap penjuru. Itulah makna hijrah yang menjadi titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam, seterusnya melangsungkan cahaya Islam itu berkembang ke seluruh pelusuk dunia.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٢١٨﴾ [سورة البقرة : ٢١٨]

(Maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

KHUTBAH JUMAAT - 2 MUHARRAM 1442 / 21 OGOS 2020

HIJRAH : PENYATUAN UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَّا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِن تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ ﴿٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, walau di mana kita berada, taatilah perintah Allah dan jauhilah larangan-Nya baik di rumah, di tempat kerja, di jalan raya, terang-terangan mahupun tersembunyi. Semoga kita beroleh kejayaan di dunia, dan lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Hijrah : Penyatuan Ummah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Tanpa kita sedari, kita sudah memasuki bulan Muharram 1442 Hijrah. Bulan Muharram merupakan bulan pertama di dalam kalendar Islam, yang mula digunakan secara rasmi pada zaman Saiyidina 'Umar bin Al-Khattab. Muharram juga merupakan bulan bersejarah yang memiliki banyak kelebihan di dalam Islam.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Muharram merupan salah satu dari 4 bulan yang dimuliakan. Umat Islam dilarang berperang pada 4 bulan ini iaitu bulan Muharram, Rejab, Zulqaedah dan Zulhijjah. Larangan berperang ini jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram merupakan bulan persaudaraan.

Ia menjadi titik mula kepada sebuah peristiwa yang agung, iaitu penghijrahan umat Islam dari kota Makkah ke Madinah. Dakwah Islam yang dahulunya ditolak, kini disambut oleh penduduk Madinah. Kaum Aus dan Khazraj yang dahulunya berpecah-belah, kini bersatu dan bermuafakat. Umat Islam yang dahulunya lemah, kini menjadi kuat. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 218:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٢١٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Memasuki tahun baru Hijrah, usia kita juga semakin bertambah. Ada yang muda ada yang tua, ada yang sihat ada yang sakit. Ada yang datang dan ada yang pergi. Begitulah sunnatullah di dalam kehidupan.

Namun yang perlu kita perhatikan adalah, seiring dengan bertambahnya kiraan tahun, adakah bertambah juga kesatuan kita sebagai umat Islam? Adakah umat Islam hari ini benar-benar bersatu, seperti bersatunya kaum Mujahirin dan Ansar suatu ketika dahulu?

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengimbau kembali lembaran sejarah, terkandung sebuah kisah menarik tentang Saiyidina Al-Hasan cucunda Rasulullah s.a.w. Walaupun beliau telah diangkat menjadi khalifah, Saiyidina Al-Hasan rela melepaskan jawatan yang disandangnya kepada Saiyidina Mu'awiyah bin Abi Sufian. Saiyidina Al-Hasan lebih mengutamakan jalan perdamaian, bagi mengelakkan umat Islam terus berpecah dan saling menumpahkan darah. Peristiwa ini mengingatkan kita kepada sebuah hadits Nabi s.a.w:

إِنَّ ابْنِي هَذَا سَيِّدٌ وَلَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يُصْلِحَ بِهِ بَيْنَ فِئَتَيْنِ عَظِيمَتَيْنِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: "Sesungguhnya puteraku ini (sambil menunjuk kepada Saiyidina Al-Hasan) adalah saiyid (ketua). Mudah-mudahan melaluinya Allah akan mendamaikan (pertikaian) di antara dua golongan besar dari kaum muslimin". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari no. 3629)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Asas utama dakwah Rasulullah s.a.w dan para sahabat adalah menjadikan agama Allah sebagai teras penyatuan. Kerana niat seperti inilah mereka berjaya mendapatkan banyak hal, termasuk persaudaraan, keluarga baru, sehinggalah kemakmuran dan kesejahteraan di bumi Madinah.

Nabi s.a.w tidak membangun negara berdasarkan fanatik atau taksub kelompok. Nabi s.a.w mendahulukan kesepakatan bersama, melibatkan seluruh penduduk di Madinah yang menjamin hak beragama, keamanan, keharmonian dan persaudaraan antara anggota masyarakat. Tujuan dan matlamat daripada muafakat ini masih relevan hinggalah ke zaman kita sekarang.

Inilah hijrah yang tidak hanya bermakna "berpindah tempat", melainkan berpindah juga sikap, tingkah laku dan cara berfikir - daripada buruk menjadi baik, daripada baik menjadi lebih baik, dan daripada berpecah-belah kepada saling membantu mencari reda Allah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah kita sama-sama bersatu, membina harapan dalam satu ikatan penuh muafakat. Semoga dengan semangat hijrah, kita menjadi muslim yang saling mengasihi di antara satu sama lain, dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara. Firman Allah Ta'ala:

... وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ ... ﴿٢﴾

Maksudnya: "... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan...". (Surah Al-Maidah ayat 2)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَر. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Mimbar turut berpesan agar kita semua bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Setelah selesai solat, jangan berhimpit-himpit ketika keluar. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru dalam penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

Thursday, August 13, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 24 ZULHIJJAH 1441 / 14 OGOS 2020

PENGURUSAN KEWANGAN BERHEMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي يُعِزُّ الْمُجَاهِدِينَ، وَيُحِبُّ الْعَامِلِينَ، وَيَنْصُرُ الْمُتَّقِينَ، وَيَزِيْدُ أَجْرَ الْمُخْلَصِينَ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan para hadirin sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan mentaati segala titah perintah-Nya, dan meninggalkan setiap larangan dan tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Pengurusan Kewangan Berhemah".

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Kehidupan di dunia ini adalah kehidupan yang sementara. Kehidupan yang sebenar adalah di akhirat yang kekal selama-lamanya. Setiap manusia akan menerima ujian daripada Allah s.w.t, baik dalam bentuk kesusahan ataupun kesenangan. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 156:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾  الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦﴾

Maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; iaitu orang-orang yang apabila ditimpa kesusahan mereka berkata; Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada Allah jualah kami akan kembali".

Allah s.w.t menguji kita bagi membezakan siapakah yang paling baik amalannya. Sekarang kita sedang menghadapi ujian kesusahan akibat wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Salah satu daripada kesannya yang besar adalah ketidak stabilan ekonomi, dan hal ini sangat memberi kesan kepada pendapatan individu dan isi rumah.

Saudara-saudaraku sidang Jumaat yang dikasihi,

Dalam menghadapi wabak ini, kita seharusnya sentiasa beringat untuk memohon keampunan Allah, agar diselamatkan daripada musibah yang berterusan. Jangan sekali-kali kita berputus asa daripada rahmat Allah, sehingga ke tahap menyalahkan Allah serta mempertikaikan ketentuan-Nya.

Kita dituntut untuk berikhtiar dan berusaha , agar dapat keluar daripada kemelut ini. Kita juga perlu merancang dengan sebaiknya dan mengambil tindakan yang tepat untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi , bukan hanya berpeluk tubuh sahaja tanpa melakukan apa-apa.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Kita bersyukur kerana pihak kerajaan amat prihatin membendung wabak Covid-19 ini. Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia serta agensi kaunseling dan pengurusan kredit (AKPK), telah melaksanakan moratorium atau penangguhan bayaran pinjaman sehingga bulan September 2020.

Golongan yang terjejas pendapatannya mengambil kesempatan ini untuk menyusun semula perbelanjaan dan kewangan isi rumah agar lebih stabil dan berdaya tahan. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t, hari ini kita melihat segala usaha dan tindakan kerajaan mula menampakkan hasil yang baik.

Namun sebagai individu, kita sepatutnya bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah kita sendiri. Langkah-langkah awal perlu diambil untuk kebaikan diri dan keluarga, bukan hanya bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata. Hanya kita yang lebih mengetahui sejauh mana kestabilan kewangan kita untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Sekiranya ada dalam kalangan kita yang berhadapan dengan masalah kewangan atau pinjaman, silalah berhubung dengan Bank Negara Malaysia, agensi kaunseling dan pengurusan kredit (AKPK) ataupun bank-bank komersial. Bertindaklah daripada sekarang. Jangan bertangguh sehingga tempoh moratorium tamat. Semoga dengan tindakan yang cepat, kita mendapat kesejahteraan kewangan dan keselesaan hidup di waktu mendatang.

Sebelum mengakhiri khutbah yang pertama, yakinlah bahawa di sebalik semua ini pasti ada hikmahnya. Jika kita terus bersabar dan berdisiplin, suatu hari kelak Allah s.w.t akan mengangkat wabak ini, dan memberikan kepada kita jalan keluar. Sebagaimana firman-Nya di dalam Surah At-Talaq ayat 2 dan 3:

... وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا ﴿٣﴾

Maksudnya: "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar, serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah akan mencukupkan baginya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Dia telah menentukan kadar dan masa bagi tiap-tiap sesuatu".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَمَرَنَا بِالْإِحْسَان. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Mimbar turut berpesan agar kita sama-sama bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Setelah selesai solat, para jamaah diminta untuk tidak berhimpit-himpit ketika keluar. Marilah kita sama-sama berwaspada, agar masjid-masjid dan surau-surau kita tidak menjadi kluster baru dalam penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah, Engkau peliharalah negara Malaysia daripada wabak Covid-19, Engkau jauhilah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

Thursday, August 6, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 17 ZULHIJJAH 1441 / 7 OGOS 2020

KESAN PERUBAHAN IKLIM : PEDULIKAH KITA?

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَّا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِن تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ ﴿٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Khatib ingin berpesan kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan bersungguh-sungguh mentaati segala perintah Allah, dan menjauhi setiap perbuatan dosa, baik kecil mahupun besar, terang-terangan mahupun tersembunyi. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Kesan Perubahan Iklim: Pedulikah Kita?"

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Iklim merupakan anugerah Allah yang amat bernilai kepada kehidupan. Ia merujuk kepada keadaan cuaca di sesuatu tempat atau wilayah yang berlaku pada waktu yang lama. Negara kita contohnya, memiliki iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Jika berlaku perubahan iklim, ia boleh mengubah corak cuaca, paras air laut, permukaan tanah dan sebagainya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Walaupun isu perubahan iklim adalah isu global, tidak bermakna kita boleh mendiamkan diri dan berpeluk tubuh sahaja. Masyarakat perlu sedar, Allah menciptakan alam ini bukan sia-sia. Bumi ini perlu ditadbir dan diurus dengan baik kerana ia tempat tinggal kita. Masyarakat juga perlu sedar, apabila bencana berlaku kesan daripada perubahan iklim, kita adalah kumpulan pertama yang akan menanggung akibatnya. Allah s.w.t berfirman:

الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَّا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِن تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ ﴿٣﴾

Maksudnya: "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu, dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?" (Surah Al-Mulk ayat 3)

Para jamaah yang dirahmati Allah,

Perubahan iklim boleh berlaku disebabkan banyak perkara. Antaranya akibat peningkatan gas rumah hijau yang terhasil daripada asap kenderaan, pelupusan sisa pepejal dan pelepasan gas yang tidak dirawat daripada kilang-kilang. Selain itu, amalan kitar semula yang diabaikan, pembakaran terbuka, pembalakan haram dan penebangan hutan yang tidak terkawal juga menyumbang kepada berlakunya perubahan iklim.

Jika hal ini terus dibiarkan, maka tunggulah saat berlakunya bencana alam yang terhasil akibat perubahan iklim. Antaranya seperti tanah runtuh, jerebu, ribut taufan, kemarau dan krisis bekalan air, kebakaran hutan, peningkatan paras air laut dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Semua pihak perlu memiliki kesedaran tentang tanggungjawab mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam. Justeru itu, misi negara untuk mengurangkan pelepasan karbon menerusi rancangan Malaysia ke-11, perlu disambut baik oleh semua pihak.

Masyarakat perlu mengambil berat tentang kelestarian alam sekitar, mengamalkan gaya hidup hijau, dan peka dengan perubahan iklim serta kesannya kepada umat manusia. Lebih daripada itu, pihak berkuasa perlu menggerakkan usaha menangani kesan perubahan iklim dengan tersusun dan berkesan. Amanahlah dalam mentadbir, walaupun kita terpaksa kehilangan laba dunia yang sedikit.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Manusia telah diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir bumi ini dengan sebaiknya. Hal ini selari dengan konsep khalifah yang difirmankan Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ ... ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"... 

Namun perkara yang berlaku hari ini adalah sebaliknya. Lihatlah kebakaran hutan Amazon yang dimulakan oleh petani yang mahu membersihkan kawasan pertanian. Masih ingatkah kita pada pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang tahun lalu?

Pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia, termasuk di Malaysia adalah disebabkan kerosakan dan kecuaian manusia itu sendiri. Sesungguhnya benarlah firman Allah s.w.t di dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Telah timbul banyak kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Hadirin yang dikasihi Allah,

Kejadian bencana yang menimpa negara kita dan tempat-tempat lain di dunia perlu dijadikan iktibar. Marilah kita sama-sama berganding bahu dan bersatu padu memakmurkan bumi Allah ini dengan sebaik-baiknya. Sebelum mengakhiri khutbah pertama hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang telah disampaikan.

Pertama, semua pihak perlu memastikan bumi ini dimakmurkan dengan sebaik-baiknya.

Kedua, amalan menjaga persekitaran akan mewujudkan keseimbangan ekosistem yang bermanfaat untuk seluruh hidupan.

Ketiga, sikap tidak ambil peduli terhadap kesan perubahan iklim, akan membinasakan alam sekitar dan kita semua akan menanggung akibatnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَمَرَنَا بِالْإِحْسَان. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar turut berpesan agar kita semua bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan tenang, sudah berwuduk, membawa sejadah sendiri, dan memakai penutup muka. Setelah selesai solat, para jamaah diminta untuk beredar dalam keadaan teratur dan jangan berhimpit-himpit ketika keluar. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid dan surau-surau tidak menjadi kluster baru dalam penularan wabak Covid-19.