Friday, August 21, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 2 MUHARRAM 1442 / 21 OGOS 2020


HIJRAH BUKAN PELARIAN YANG MENYERAH KALAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِاللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,


أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
۞ إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ ﴿٣٨﴾ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ ﴿٣٩﴾ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّا أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ ۗ ... ﴿٤٠﴾ [سورة الحج : ٤٠ - ٣٨]

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah"...

Ayat ini merupakan janji Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w dan orang-orang beriman di Makkah yang telah dibelasah dan disiksa selama tiga belas tahun. Mereka dijanjikan pertolongan oleh Allah s.w.t untuk diberi kemenangan dengan syarat mereka menunaikan syarat-syaratnya yang sebenar, keimanan yang sebenar, setelah mereka diuji beberapa tahun kerana percaya kepada Allah s.w.t; ada yang dibunuh, ada yang cacat disiksa, ada yang disusahkan kehidupannya, ada yang ditawarkan harta benda pangkat dan kemewahan, namun mereka tidak berganjak daripada Iman dan Islam yang ikhlas di dalam hati mereka.

Seterusnya mereka diiiznkan supaya melakukan hijrah; peristiwa yang diulangi peringatannya oleh umat Islam pada setiap tahun, peristiwa hijrah yang terkenal. Hijrah adalah perpindahan Nabi s.a.w mencari tempat bagi menegakkan Islam yang berdaulat dan menyampaikan Islam ke seluruh dunia. Maka diambil langkah setelah tidak ada lagi peluang di Makkah, dicari tempat yang lain yang mengizinkan Islam itu ditegakkan.

Diambil peluang melalui kabilah-kabilah Arab yang datang ke Makkah menunaikan haji, menyempurnakan ibadat Nabi Ibrahim a.s yang disanjung oleh mereka. Nabi Ibrahim disanjung oleh semua agama-agama, yahudi, kristian dan musyrikin. Nabi Ibrahim yang membuka dan merasmikan Makkah Al-Mukarramah, mendirikan kaabah sehingga Makkah menjadi kunjungan berbagai-bagai agama. Mereka berhimpun pada musim yang dikenali sebagai musim haji, memuliakan Makkah itu.

Peluang perhimpunan itu diambil oleh Rasulullah s.a.w untuk menemui pemimpin-pemimpin yang berpengaruh dalam kalangan kabilah Arab, dengan syarat mereka menerima Islam, mereka sanggup berjihad, menyerahkan tanahair mereka untuk ditegakkan Islam, menghadapi segala musuh yang datang daripada segenap pelusuk dunia. Hanya mereka yang sanggup menerima itu sahaja diterima untuk bersama dengannya. Pemimpin-pemimpin yang tidak mahu masuk Islam kerana mahukan pangkat dan kedudukan setelah Islam menang ditolak oleh Nabi s.a.w.

Pemimpin yang mengaku Islam adalah baik dan Islam adalah mulia, tetapi takut menghadapi musuh, ditangguhkan oleh Rasulullah s.a.w. Apabila pemimpin Madinah Aus dan Khazraj yang menerima Islam dan sanggup menyerahkan tanahair mereka, mengorbankan harta benda dan jiwa raga mereka bagi menegakkan Islam, maka Nabi s.a.w menerima mereka. Lalu dilakukan bai'ah (janji setia) untuk berjuang dan menegakkan Islam itu. Bila mereka menerima syarat-syarat itu mereka sanggup menyerahkan tanahair mereka, maka Nabi s.a.w memerintahkan sahabat yang mampu berhijrah ke Madinah.

Sahabat-sahabat yang berada di Makkah berhijrah ke Madinah. Hanya mereka yang beriman, yang percaya kepada janji Allah s.w.t dunia dan akhirat; janji di dunia kemenangan dan janji akhirat balasan syurga yang kekal abadi. Yang sanggup melakukan hijrah ini termasuklah mereka yang berhijrah ke Habsyah, hijrah pertama dan kedua pulang semula ke Makkah dan pergi ke Madinah kerana menunaikan kewajipan hijrah.

Hijrah itu maknanya pergi ke tempat yang lebih kuat untuk mempertahankan Islam dan meneruskan perjuangan, bukan menjadi pelarian yang menyerah kalah. Hijrah dengan bermakna langkah untuk melangsungkan perjuangan, langkah ke belakang bukan melarikan diri, tetapi langkah ke belakang untuk menguatkan kedudukan, meneruskan perjuangan menegakkan Islam, sanggup menghadapi musuh-musuh yang datang daripada segenap penjuru. Itulah makna hijrah yang menjadi titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam, seterusnya melangsungkan cahaya Islam itu berkembang ke seluruh pelusuk dunia.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٢١٨﴾ [سورة البقرة : ٢١٨]

(Maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment