Friday, June 27, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 27 JUN 2014M / 29 SYA’BAN 1435H


“DI AMBANG RAMADHAN AL-MUBARAK”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَريِكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Kini kita berada di penghujung bulan Syaaban dan beberapa hari lagi kita ummat Islam akan menyambut bulan Ramadhan yang ditunggu-tunggu bagi tahun 1435H bersamaan 2014M. Bulan Ramadhan merupakan penghulu segala bulan. Bulan yang mana turunnya kitab suci Al Quran yang menjadi petunjuk kepada ummat manusia. Bulan istimewa yang mengandungi kelebihan dan keberkatan yang melimpah ruah. Bulan yang membawa berkat, hikmah dan rahsia. Bulan yang menawarkan kebahagiaan, ganjaran pahala yang berlipat ganda, keampunan dan keredhaan Allah SWT.

Saudara Kaum Muslimin,

Sempena kita menyambut bulan yang dinantikan ini, maka marilah kita sama-sama bersiap sedia menyambut Ramadhan pada tahun ini dengan penuh kesempurnaan agar segala amal ibadat kita dalam bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah sepenuhnya. Sebagai persiapan awal kita menyambut ramadhan,maka para ulamak Islam telah menyarankan beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan kepada kita menghadapi bulan Ramadhan Al-Mubarak atau bulan puasa ini. Di antaranya ialah:

1. Mengulangkaji pelajaran-pelajaran yang berkaitan ibadat puasa, supaya kita dapat menunaikan ibadah puasa itu dengan ilmu pengetahuan yang telah diperbaharui dengan mempunyai panduan-panduan yang baik dan petunjuk-petunjuk yang sempurna seperti mengetahui rukun, syarat, sunat-sunat berpuasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa, perkara-perkara makruh, adab, hikmah dan rahsia serta faedah yang terkandung di dalam ibadah puasa itu sendiri.

2. Melahirkan kegembiraan dan kesenangan hati serta ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan Ramadhan, sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat baginda menyambut dan menunaikan ibadah puasa.

3. Memperbanyakkan berdoa semoga Allah memberi tenaga, kekuatan. kelapangan dan kesempatan mengerjakan ibadah puasa dan mudah-mudahan Allah mentaufiqkan kita supaya menunaikan ibadah puasa dengan hati yang penuh ikhlas, jauh dari segala sifat riak, ’ujub, sum’ah dan segala rupa penyakit yang boleh menghilangkan pahala berpuasa.

4. Menguatkan semangat rohani dan mental kita untuk menjalani latihan dengan sempurna agar memperolehi kesan dan faedah daripada ibadah puasa itu sendiri kerana bulan Ramadhan itu merupakan latihan jihad, bulan memerangi hawa nafsu dan menghilangkan sifat tamak haloba. Begitu juga bulan Ramadhan adalah bulan bercucuk tanam untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersih dan menyucikan diri dari berbaagai dosa serta menghiasi diri dengan akhlak mulia dan terpuji.

5. Memastikan diri kita menjaga dan memelihara segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan untuk memperolehi pahala yang banyak, semoga kita tidak merasa menyesal apabila berhadapan dengan Allah ‘Azza wa Jalla di hari kemudian nanti.

6. Menghapuskan budaya yang tidak sejajar dengan ajaran Islam dan jauhkan dari pembaziran. Terdapat sebahagian ummat Islam bila hampir tiba bulan Ramadhan maka berusaha mengumpulkan berbagai jenis makanan yang lazat khusus untuk bulan Ramadhan dan segala macam keperluan yang disediakan untuk menunaikan ibadah puasa dan mereka menamakan ini sebagai keperluan puasa.Sedangkan tabiat memberatkan diri dan berboros di bulan puasa tidak digalakkan dalam Islam. Begitu juga kita dapati sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita apabila bulan Ramadhan tiba, pelbagai pakej berbuka puasa yang mahal dan bermewah-mewah. Sedangkan rahsia di sebalik ibadah berpuasa itu adalah tidak berboros dan berpada-pada dalam makan dan minum serta menjauhkan diri dari sifat riak. Adalah lebih baik kita memperbanyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan menunaikan kewajipan zakat sepertimana yang dianjurkan dalam islam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ada beberapa perkara yang boleh melengkapkan lagi kesempurnaan ibadah puasa kita nanti ialah dengan menjaga dan mengamalkan adab-adab puasa seperti berikut:

1. Menjauhkan diri dari segala perkara yang merosakkan ibadah puasa seperti mengumpat, mencela, mencaci berdusta samada melalui pertuturan lisan atau berkomunikasi melalui internet seperti facebook, Whatsapp dan lain-lain perbuatan yang boleh membatalkan pahala ibadah puasa. Sabda Rasulullah SAW:

عَنِ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ: "مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ وَالْجَهْلَ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ"

Maksudnya : Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan زور (dusta,umpat,fitnah dan sebagainya) dan meneruskannya maka Allah tidak memerlukan orang seperti itu berpuasa.

2. Mengamalkan kesederhanaan makan dan minum ketika berbuka puasa dan bersahur. Orang yang berpuasa tidak akan mendapat faedah dari puasanya jika bersikap rakus ketika berbuka dan bersikap loba ketika bersahur. Sepertimana yang kita lihat sebahagian ummat Islam menyediakan makanan di bulan puasa sungguh jauh bezanya dari bulan-bulan yang lain. Yang demikian itu, bukanlah ibadah puasa menjadi pemotong nafsu syahwat tetapi sebaliknya menjadi penambah selera dalam memenuhi nafsu dan keinginan mereka.

3. Mengurangkan tidur, lebih-lebih lagi di waktu siang. Masih kita dapati ada kalangan ummat Islam mencari-cari jalan untuk tidur di siang hari agar tidak keletihan berpuasa. Sesungguhnya perbuatan tersebut boleh menghilangkan rahsia dan hikmah puasa yang sebenarnya. Keletihan dan kesusahan puasalah yang harus kita selami dan kita tempuhi.

4. Menahan dan menjauhkan diri dari melakukan perbuatan keji dan tidak bermanfaat yang berlawanan dengan hukum Islam.

5. Mengenangkan bencana dan balasan di hari akhirat kelak bagi mereka yang meninggalkan ibadah puasa.

6. Sentiasa mengharapkan agar Allah SWT menerima puasa dan segala amal ibadah yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan.

Saudara kaum muslimin,

Demikianlah serba sedikit penjelasan mengenai persediaan menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang akan mengunjungi kita beberapa hari lagi. Semoga ia menjadi panduan kepada kita bersama dalam menjalani ibadah puasa itu sendiri. Mudah-mudahan Allah memberikan kelapangan dan kesempatan kepada kita semua dalam menyempurnakan ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلطان نزرين مُعِزُّالدِّين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّين شاه اَلْمَغْفُور لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


Thursday, June 5, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 6 JUN 2014M / 8 SYA’BAN 1435H



“AGAMA DIMARTABAT, RAJA DIDAULAT”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا  ) سورة النساء ٥٩(.
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الِــهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketaqwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Sempena dengan hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di Pertua Agong pada 7 Jun 2014; maka tajuk khutbah pada hari ini ialah “Agama Dimartabat, Raja Didaulat”.

SIDANG JUMAAT SEKELIAN,

Berdasarkan kepada fakta sejarah dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu seawal abad ke-7 Masihi dan seterusnya berkembang maju sehingga ke hari ini, maka ianya telah merubah corak pentadbiran dan Kesultanan Melayu dengan meletakkan kuasa Sultan atau raja pada hirarki yang tertinggi dalah struktur sosio-politik. Sebagai teras kepada pentadbiran negara, Sultan ataupun Raja merupakan teras kepada perkembangan Islam di Negara ini. Yakinlah bahawa pewujudan bangsa dan Negara ini atas menjunjung ketinggian dasar agama Islam dan memartabatkan bangsa Melayu sehingga membentuk sebuah Negara yang berdaulat. Justeru, sebagai rakyat kita seharusnya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dikurniakan seorang Raja dan Pemimpin yang sentiasa adil serta kasih terhadap rakyat. Usaha untuk mewujudkan keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat sejagat adalah sebahagian sifat ketaqwaan. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ﴿٩٠﴾

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.

Pemerintah yang melaksanakan kebaikan dan berlaku adil untuk rakyat akan mendapat pahala daripada Allah SWT dan begitu juga bagi rakyat yang mentaati akan mendapat ganjaran yang sama. Sabda Rasulullah SAW:

سَيَكُوْنُ بَعْدِى أُمَرَآءُ فَأَدُّوْا إِلَيْهِمْ طَا عَتَهُمْ, فَإِنَّ الأَمِيْرَ مِثْلُ الْمَجِنِّ يَتَّقِى بِهِ, فَإِنْ أَصْلَحُوْا أَمْرَكُمْ فَلَكُمْ وَلَهُمْ, فَإِنْ أَسَاءُوْا فِيمَا أَمَرُوْكُمْ بِهِ فَهُوَعَلَيْهِمْ وَأَنْتُمْ مِنْهُ بَرَاءُ

Maksudnya: “Akan ada selepas aku pemerintah-pemerintah, maka hendaklah kamu taat kepada mereka, maka sesungguhnya pemerintah laksana perisai yang melindungi kamu, Jika mereka memerintah dengan baik, maka kamu dan mereka akan mendapat kebaikan, tetapi jika me+reka memerintah dengan cara tidak baik, maka mereka akan menanggung akibatnya, manakala kamu selamat daripada menanggung akibat perbuatan mereka.” (Riwayat at-Tabarani)

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Jelas sekali bahawa perkara 3 (2) Di dalam Perlembagaan dinyatakan bahawa yang di Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Wilayah-wilayah Persekutuan dan negeri-negeri Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Melaka. Manakala di negeri-negeri lain ketua Negara Islam ialah Sultan atau raja di negeri berkenaan. Justeru posisi dan kedudukan Yang di Pertuan Agong sebagai ketua Negara dan agama Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan menuntut kepada penyempurnaan tanggungjawab yang amat besar. Ini terkandung di dalam lafaz sumpah jawatan Yang di Pertuan Agong sebagaimana terkandung dalam Perkara 37, Jadual keempat iaitu Wallahi,Wabillahi,Watallahi untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa.

Mimbar ingin menyatakan bahawa secara tersiratnya pengekalan Institusi Raja-Raja Melayu di Negara ini adalah satu kesinambungan mengekalkan identiti sebuah Kerajaan Melayu Islam di tanah air sebagai warisan bangsa. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat berpayung mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia. Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia hidup penuh mahabbah serta bersatu padu dengan menjunjung Institusi Raja Berperlembagaan. Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar Institusi Raja-Raja serta mempertikai kesuciaan Islam sebagai Agama Persekutuan. Janganlah ada dari kalangan kita yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama dan bangsa kerana kepentingan peribadi dan ideologi masing-masing.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini kita dapati berbagai usaha terancang telah diatur bagi menggugat dan mencabar kedudukan Islam dan hak kebebasan yang dibenarkan oleh agama Islam. Ia bukan sahaja digerakkan oleh kelompok-kelompok tertentu dalam negara yang dipromosi melalui media-media baru. Malah gerakan ini juga mendapat sokongan rakan-rakan sealiran dengan mereka di peringkat antarabangsa. Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa inilah propaganda fahaman pluralisme dan liberalisme agama serta budaya Hedonisme yang semakin hari makin berkembang berlaku di negara umat Islam.
Gerakan untuk mencabar keutuhan, kesusilaan dan kemurnian ajaran Islam ini dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran budaya kebebasan melampau oleh kumpulan-kumpulan yang bertopengkan perjuangan Hak Asasi Manusia (HAM) dan perjuangan anti-diskriminasi yang bertopengkan atas nama NGO-NGO tertentu.

Persoalan besar timbul disini apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku? Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa umat Islam yang semakin jauh dari petunjuk sebenar iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabawiyyah, tidak berupaya menangkis pertembungan antara yang hak dan batil iaitu keimanan dan kekufuran. Unsur Taklidiah yang menebal dengan mengikut tanpa berpegang kepada prinsip Islam yang sebenar.

Justeru, bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan akidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar menolak budaya yang melampau ini, jangan kita terlibat dengan budaya kebebasan yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Bersatulah dengan hati yang ikhlas dan berpeganglah kepada akidah dan syariat Islam yang sebenar.

SIDANG JUMAAT SEKELIAN,

Negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan agama. Masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi budaya dan agama mereka. Kita amat bersyukur dan menjunjung kasih dalam suasana genting dan gawat, Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah berjaya mengurangkan ketegangan politik, menjaga keluhuran akidah, adat istiadat orang Islam dan menjadi simbol perpaduan rakyat di negara ini.

Oleh itu, sebagai ketua agama Islam, memperlihatkan kita bahawa amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong amatlah besar. Maka, kita selaku rakyat yang berpayung dibawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong hendaklah sentiasa memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah tertinggi Negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقَائِلِ :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَ‌ٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا  ) سورة النساء ٥٩(

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الِــهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

SIDANG JUMAAT SEKELIAN,

Mengakhiri khutbah minggu ini mimbar jumaat menyeru supaya para jemaah dan rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan berpanjangan kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah sempena sambutan hari Ulangtahun Keputeraan Yang di Pertuan Agong pada 7 Jun 2014. Marilah sama-sama kita memberi sepenuh ketaatan dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda sepanjang bersemayam di takhta pemerintahan. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Putri-Putri dan Kerabat-Kerabat DiRaja sekelian sentiasa di bawah payung rahmat Ilahi, diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan berterusan. Agama terus dimartabatkan dengan melaksanakan perintah Allah SWT Yang Maha Esa dan Institusi Raja terus didaulatkan. Justeru, kita doakan agar Negara dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa kepada malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan sesama kita, semoga seluruh rakyat sentiasa hidup aman damai berlandaskan keadilan,menikmati kemakmuran dan kesejahteraan serta keselamatan terpelihara sepanjang zaman.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلطان نزرين مُعِزُّالدِّين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّين شاه اَلْمَغْفُور لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com