Friday, June 27, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 27 JUN 2014M / 29 SYA’BAN 1435H


“DI AMBANG RAMADHAN AL-MUBARAK”

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَريِكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Kini kita berada di penghujung bulan Syaaban dan beberapa hari lagi kita ummat Islam akan menyambut bulan Ramadhan yang ditunggu-tunggu bagi tahun 1435H bersamaan 2014M. Bulan Ramadhan merupakan penghulu segala bulan. Bulan yang mana turunnya kitab suci Al Quran yang menjadi petunjuk kepada ummat manusia. Bulan istimewa yang mengandungi kelebihan dan keberkatan yang melimpah ruah. Bulan yang membawa berkat, hikmah dan rahsia. Bulan yang menawarkan kebahagiaan, ganjaran pahala yang berlipat ganda, keampunan dan keredhaan Allah SWT.

Saudara Kaum Muslimin,

Sempena kita menyambut bulan yang dinantikan ini, maka marilah kita sama-sama bersiap sedia menyambut Ramadhan pada tahun ini dengan penuh kesempurnaan agar segala amal ibadat kita dalam bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah sepenuhnya. Sebagai persiapan awal kita menyambut ramadhan,maka para ulamak Islam telah menyarankan beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan kepada kita menghadapi bulan Ramadhan Al-Mubarak atau bulan puasa ini. Di antaranya ialah:

1. Mengulangkaji pelajaran-pelajaran yang berkaitan ibadat puasa, supaya kita dapat menunaikan ibadah puasa itu dengan ilmu pengetahuan yang telah diperbaharui dengan mempunyai panduan-panduan yang baik dan petunjuk-petunjuk yang sempurna seperti mengetahui rukun, syarat, sunat-sunat berpuasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa, perkara-perkara makruh, adab, hikmah dan rahsia serta faedah yang terkandung di dalam ibadah puasa itu sendiri.

2. Melahirkan kegembiraan dan kesenangan hati serta ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan Ramadhan, sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat baginda menyambut dan menunaikan ibadah puasa.

3. Memperbanyakkan berdoa semoga Allah memberi tenaga, kekuatan. kelapangan dan kesempatan mengerjakan ibadah puasa dan mudah-mudahan Allah mentaufiqkan kita supaya menunaikan ibadah puasa dengan hati yang penuh ikhlas, jauh dari segala sifat riak, ’ujub, sum’ah dan segala rupa penyakit yang boleh menghilangkan pahala berpuasa.

4. Menguatkan semangat rohani dan mental kita untuk menjalani latihan dengan sempurna agar memperolehi kesan dan faedah daripada ibadah puasa itu sendiri kerana bulan Ramadhan itu merupakan latihan jihad, bulan memerangi hawa nafsu dan menghilangkan sifat tamak haloba. Begitu juga bulan Ramadhan adalah bulan bercucuk tanam untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersih dan menyucikan diri dari berbaagai dosa serta menghiasi diri dengan akhlak mulia dan terpuji.

5. Memastikan diri kita menjaga dan memelihara segala amalan yang dilakukan sepanjang Ramadhan untuk memperolehi pahala yang banyak, semoga kita tidak merasa menyesal apabila berhadapan dengan Allah ‘Azza wa Jalla di hari kemudian nanti.

6. Menghapuskan budaya yang tidak sejajar dengan ajaran Islam dan jauhkan dari pembaziran. Terdapat sebahagian ummat Islam bila hampir tiba bulan Ramadhan maka berusaha mengumpulkan berbagai jenis makanan yang lazat khusus untuk bulan Ramadhan dan segala macam keperluan yang disediakan untuk menunaikan ibadah puasa dan mereka menamakan ini sebagai keperluan puasa.Sedangkan tabiat memberatkan diri dan berboros di bulan puasa tidak digalakkan dalam Islam. Begitu juga kita dapati sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita apabila bulan Ramadhan tiba, pelbagai pakej berbuka puasa yang mahal dan bermewah-mewah. Sedangkan rahsia di sebalik ibadah berpuasa itu adalah tidak berboros dan berpada-pada dalam makan dan minum serta menjauhkan diri dari sifat riak. Adalah lebih baik kita memperbanyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan menunaikan kewajipan zakat sepertimana yang dianjurkan dalam islam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ada beberapa perkara yang boleh melengkapkan lagi kesempurnaan ibadah puasa kita nanti ialah dengan menjaga dan mengamalkan adab-adab puasa seperti berikut:

1. Menjauhkan diri dari segala perkara yang merosakkan ibadah puasa seperti mengumpat, mencela, mencaci berdusta samada melalui pertuturan lisan atau berkomunikasi melalui internet seperti facebook, Whatsapp dan lain-lain perbuatan yang boleh membatalkan pahala ibadah puasa. Sabda Rasulullah SAW:

عَنِ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ: "مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ وَالْجَهْلَ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ"

Maksudnya : Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan زور (dusta,umpat,fitnah dan sebagainya) dan meneruskannya maka Allah tidak memerlukan orang seperti itu berpuasa.

2. Mengamalkan kesederhanaan makan dan minum ketika berbuka puasa dan bersahur. Orang yang berpuasa tidak akan mendapat faedah dari puasanya jika bersikap rakus ketika berbuka dan bersikap loba ketika bersahur. Sepertimana yang kita lihat sebahagian ummat Islam menyediakan makanan di bulan puasa sungguh jauh bezanya dari bulan-bulan yang lain. Yang demikian itu, bukanlah ibadah puasa menjadi pemotong nafsu syahwat tetapi sebaliknya menjadi penambah selera dalam memenuhi nafsu dan keinginan mereka.

3. Mengurangkan tidur, lebih-lebih lagi di waktu siang. Masih kita dapati ada kalangan ummat Islam mencari-cari jalan untuk tidur di siang hari agar tidak keletihan berpuasa. Sesungguhnya perbuatan tersebut boleh menghilangkan rahsia dan hikmah puasa yang sebenarnya. Keletihan dan kesusahan puasalah yang harus kita selami dan kita tempuhi.

4. Menahan dan menjauhkan diri dari melakukan perbuatan keji dan tidak bermanfaat yang berlawanan dengan hukum Islam.

5. Mengenangkan bencana dan balasan di hari akhirat kelak bagi mereka yang meninggalkan ibadah puasa.

6. Sentiasa mengharapkan agar Allah SWT menerima puasa dan segala amal ibadah yang kita lakukan di sepanjang bulan Ramadhan.

Saudara kaum muslimin,

Demikianlah serba sedikit penjelasan mengenai persediaan menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang akan mengunjungi kita beberapa hari lagi. Semoga ia menjadi panduan kepada kita bersama dalam menjalani ibadah puasa itu sendiri. Mudah-mudahan Allah memberikan kelapangan dan kesempatan kepada kita semua dalam menyempurnakan ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلطان نزرين مُعِزُّالدِّين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّين شاه اَلْمَغْفُور لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment