Showing posts with label Kenyataan Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Akhbar. Show all posts

Tuesday, March 18, 2014

TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENGANJUR FESTIVAL FUTURE MUSIC ASIA

Negara sekali lagi dikejutkan dengan kematian enam remaja yang menghadiri Festival Future Music Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil beberapa hari yang lepas. Lebih mengejutkan lagi apabila laporan dari berkuasa mengatakan kematian mangsa-mangsa terbabit berpunca dari pengambilan dadah yang berlebihan. Dilaporkan juga, dua dari pengunjung yang menghadiri konsert tersebut masih dalam keadaan kritikal.

Jelas, penganjuran konsert besar-besaran seumpama ini amat melukakan hati seluruh rakyat negara ini di saat semua masih berteka-teki nasib MH 370 disamping ianya jauh menyimpang dari landasan syariat Islam. Penganjuran ini seolah memperlihatkan bahawa negara sudah tidak mempunyai penasihat agama yang berani dan mampu menegur kebiadaban pihak yang menganjurkan program ini.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Negeri Perak mengharapkan ada susulan tindakan yang tegas dan keras ke atas pihak penganjur festival tersebut serta pihak yang meluluskan permit konsert tersebut. Ini kerana, penganjuran ini melambangkan keangkuhan dan kebiadaban mereka terhadap Allah. Ujian Allah yang bertimpa-timpa ketika ini sedikitpun tidak menyentuh naluri kehambaan mereka bahkan dengan angkuhnya pesta maksiat dianjurkan sehinggakan mengakibatkan ada jiwa yang terkorban.

Ustaz Nor Azli Musa
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Perak.

Kehilangan MH370 : Semuanya Dalam Ilmu Allah.

Berikutan tragedi dan misteri kehilangan Boeing 777 atau MH370, lantas menimbulkan banyak spekulasi dan andaian, walaupun tiada satu pun yang diyakini tepat.


Membuktikan betapa jahilnya manusia terhadap alam cakerawala ini. Apabila kita menyedari kejahilan kita, maka yakinlah bahawa Allah itu Maha Mengetahui segalanya.


Susulan daripada itu, beberapa pihak tampil dalam memberikan khidmat untuk mencarinya. Ada yang menjalankan pencarian melalui cara yang betul, dan ada pula yang jauh tersesat dengan menggunakan kaedah perbomohan yang bercanggah dengan Islam.

Allah SWT dengan jelas menegaskan bahawa segala yang terjadi di alam ini kesemuanya di dalam pengetahuan Allah,

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Dan di sisi Allah itu ada kunci perbendaharaan alam ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah, dan Dialah yang mengetahui apa yang berada di daratan mahupun lautan, dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir benihpun di dalam kegelapan bumi melainkan Dia juga yang mengetahuinya, dan tidak gugur benda yang basah mahupun kering, melainkan kesemuanya telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang jelas nyata. [Surah Al-Anaam : 59]

Apabila kita menyedari bahawa kita tidak tahu di manakah letaknya sebuah kapal terbang yang besar, maka apatah lagi helaian daun atau benih yang jatuh di muka bumi.

Allah mengingatkan kita agar memohon kepada Allah, bukan dengan perbomohan atau kaedah kaedah yang khurafat berdasarkan firmanNya,

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Apabila hamba hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (beritahu kepada mereka) : Sesungguhnya Allah SWT sentiasa hampir kepada mereka, Aku memperkenan permohonan orang yang berdoa kepadaku. Maka hendaklah menyahut seruanKu (mengikut perintahKu) serta beriman kepadaKu, semoga ,mereka mendapat petunjuk. [Surah Al-Baqarah : 186]

Ustaz Nor Azli Musa
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Perak.