Showing posts with label Suara Kepimpinan. Show all posts
Showing posts with label Suara Kepimpinan. Show all posts

Tuesday, December 17, 2013

UCAPTAMA PRESIDEN MUKTAMAR PAS KE 59 : RAHMAT UNTUK SEMUA

Mukaddimah

Yang dihormati Dato' Pengerusi Tetap, YB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Mursyidul 'Am, Sohibul Fadhilah Dato' Timbalan Mursyidul 'Am, Ashab al Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulama, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato' Setiausaha Agung, Ketua-Ketua Dewan Ulama – Pemuda - Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS, seluruh Anggota Dewan Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Pengarah Muktamar dan ahli Jawatan kuasanya, sahabat-sahabat pimpinan dari Pakatan Rakyat, pimpinan NGO, Wakil-wakil Kedutaan Asing, semua para jemputan, para perwakilan, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

Selamat datang (Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum) kepada semua rakan taulan seperjuangan dan para tetamu jauh dan dekat, serta para pemerhati yang sudi memeriahkan Muktamar PAS kali ke 59 ini.

Pertamanya marilah sama-sama kita mengucapkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita anugerah Islam yang sempurna yang kita imani, menjadi penyelamat kita untuk bertemu Tuhan Rabbul Jalil di hari yang tidak ada naungan melainkan naungan rahmat Allah SWT. Dengan Iman dan Islam inilah kita mesti beristiqamah di atas jalan perjuangan yang dirintis oleh para Nabi dan Rasul A.S. sejak zaman berzaman, berdepan dengan cabaran dan dugaan yang menguji iman kita sehinggalah kita bertemu dengan Allah SWT nanti. Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah SWT :

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ (٣١)

Maksudnya :
"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar ternyata yang Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu." [Muhammad :31]

Hadirin-hadirat sekalian,

MUKTAMAR KE 59 : RAHMAT UNTUK SEMUA

1. Kita berkumpul pada hari ini, dalam Muktamar Agung Tahunan kali yang ke 59, dengan tema "RAHMAT UNTUK SEMUA" adalah berpaksikan kepada keyakinan kita bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS menerusi wadah tarbiyah-dakwah-siyasah yang tidak berpisah, membawa mesej Islam yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul A.S. yang di khatam (tamat) dan disempurnakan dengan Nabi Muhammad S.A.W. bagi membawa RAHMAT ke seluruh alam. Firmah Allah SWT :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (١٠٧)

"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam" [al-Anbiya : 107]

2. Marilah sama-sama kita memahami, bahawa apa yang kita bawa ini bukan bersifat retorik dan bukannya suatu janji-janji indah yang ingin mengaburi pandangan manusia atau mengelirukan kefahaman. Maudu' kita adalah ISLAM yang berteraskan kepada keyakinan yang dipahat dengan tegas dalam Fasal 3 Perlembagaan PAS. Inilah Islam yang yang nyatakan oleh Rasulullah S.A.W. membawa RAHMAT adil kepada masyarakat majmuk yang bersaudara di atas kemanusiaan yang di isytiharkan oleh Allah :

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا (١٠٥)

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang yang khianat. [An Nisa' : 105]

Bukannya Islam mengikut takrifan sekularisma yang memberikan makna Islam itu sebagai agama yang tidak mempunyai kaitan antara kehidupan dunia dan akhirat.

3. Dasar Islam dan mesej inilah yang menjadi RAHMAT kepada semua manusia, termasuklah kepada semua makhluk dan alam ciptaan Allah SWT. Oleh yang demikian, kerahmatan yang ingin dibawa oleh PAS untuk semua pihak ini berlaku apabila PAS adalah sebuah gerakan islah dan tajdid, berbeza dengan kumpulan Islam lain yang menjadi saudara seperjuangan mengikut medannya yang terhad. Tugas kita ialah membetulkan fahaman salah dalam masyarakat dan negara yang dipengaruhi oleh pemikiran asing yang pernah menjajah umat Islam. PAS memperjuangkan rahmat Allah daripada ajaran Islam yang membawa keadilan sejagat.

4. Untuk membawa mesej ini, maka organisasi parti kita hendaklah menyediakan rangka kerja yang berstruktur, mempunyai objektif dan sasaran kerja yang konstruktif, pejabat yang lengkap, sistem pengurusan konflik, petunjuk prestasi dalam mencapai sasaran jamaah, dan bukannya sekadar retorik ucapan semata-mata.

5. Sebagaimana yang selalu saya pertegaskan, bahawa PAS bukanlah parti politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang bergerak dalam jalur tarbiyah – dakwah – siyasah mewarisi cita-cita perjuangan yang menjadi tugas kita sebagai khilafah di atas muka bumi ini yang meletakkan politik menjadi agenda penting yang tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam. Maka tentulah menjadi satu kesilapan sekiranya menyamakan PAS dengan parti-parti dan kumpulan Islam yang lain.

Hadirin – hadirat sekalian,

SOROTAN PRU KE-13

6. Muktamar ke-59 pada tahun 2013 ini diadakan pada penghujung bulan November 2013, di luar kebiasaan muktamar tahunan PAS yang biasanya diadakan pada bulan Jun atau Julai setiap tahun. Penangguhan ini adalah untuk memberi ruang yang seluasnya kepada persiapan dan gerakerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang baru sahaja berlalu pada bulan Mei lalu.

7. PAS bersama Pakatan Rakyat telah turun ke gelanggang PRU-13 di padang yang tidak sama rata dengan Barisan Nasional, kerana proses demokrasi pilihan raya sesebuah negara yang merdeka bukan sahaja aktiviti berkempen dan hari pembuangan undi atau pun urusan keputusan pilihan raya sahaja. Pilihan raya juga bukanlah semata-semata janji jalanraya dan rumah, tiang elektrik, tilam – bantal, basikal percuma dan sebagainya, tetapi adalah medan rakyat memilih parti yang akan menjalankan amanah memimpin negara.

8. Kita terus berdepan dengan media arus perdana yang tidak berlaku adil, betapa parahnya rasuah wang ringgit dan projek segera yang dijanjikan kepada rakyat, sedangkan projek terdahulu ada yang belum pun nampak tandanya, penggunaan jentera dan agensi kerajaan dalam aktiviti berkempen, dan berbagai lagi bentuk penyalahgunaan serta kepincangan yang merendahkan taraf pemikiran rakyat malah mengancam sistem demokrasi di negara kita.

9. Dalam keadaan kekurangan ini, alhamdulillah kita masih mampu bertahan dalam keadaan undi popular di kalangan rakyat yang bertambah sehingga kerajaan BN yang ada di hari ini adalah kerajaan minoriti sokongan pengundi, dan hanya mempunyai majoriti jumlah kerusi parlimen, disebabkan sistem first past the post yang diamalkan dalam sistem pilihan raya. Kita kekal di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Kerajaan Persekutuan BN minoriti rakyat ini pula hanya mampu memperolehi 46.53% sokongan pengundi, berbanding Pakatan Rakyat yang mencapai sokongan 49.96% melalui jumlah undi keseluruhan.

10. Kedudukan kita yang sedemikian ini, hendaknya sedikit pun tidak melemahkan semangat kita semua untuk terus berjuang. Kekalahan kita yang menyebabkan hilangnya kerajaan negeri Kedah pula, wajar diteladani, tetapi janganlah sehingga melemahkan semangat sehingga kita lupa erti sebenar perjuangan. Kita masih menjadi pilihan rakyat di DUN Sungai Limau Kedah, dalam Pilihan raya Kecil yang baharu sahaja berlalu. Kita wajib muhasabah diri sendiri secara dalaman, bukan hanya menjadikan lawan sahaja sebagai penyebab kekalahan kita. Semua itu wajar menjadi sempadan dalam lipatan sejarah dalam kita bergerak ke hadapan. Allah berfirman kepada generasi awal yang tewas dalam peristiwa Uhud :

أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (١٦٥)

(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [ali - Imran : 165]

Hadirin – hadirat sekalian,

11. Alhamdulillah, kita juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera parti, rakan – rakan dalam Pakatan Rakyat, dan rakyat yang memberikan respon positif dengan benih sulung PAS menerusi PRU-13 lalu di Melaka iaitu di kerusi DUN Bukit Baru, dan lain – lain tambahan kerusi DUN dan Parlimen yang baharu dimenangi di seluruh negara.

12. Kepada ahli PAS yang dipikulkan amanah kemenangan dalam PRU-13, seterusnya memegang tampuk kuasa pemerintahan dalam sebuah kerajaan, termasuklah yang dilantik ke jawatan penting seperti Ahli Dewan Negara, Ahli Majlis Perbandaran dan Daerah, Ketua Kampung dan Ahli Lembaga Pengarah; marilah sama-sama kita menghayatinya dengan membaca firman Allah SWT :

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ (١٦٥)

"Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" [al – An'am :165]

Semua di kalangan mereka ini perlulah sabar dengan ujian, melakukan persiapan rapi, bermaklumat, mendampingi rakyat tanpa penat lelah; insyaAllah semua amalan yang dilakukan dengan ikhlas ini akan diberikan kebaikan oleh Allah SWT.

link ke laman yang memaparkan teks penuh ucaptama tersebut :

VIDEO UCAPTAMA TUAN GURU PRESIDEN

Saturday, October 15, 2011

Perasmian Liqaul Fikri PAS Kawasan Kuala Kangsar







Kuala Kangsar, 14 Oktober - PAS Kawasan Kuala Kangsar hari ini dengan rasminya telah memulakan Liqaul Fikri peringkat kawasan bertempat di Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Kangsar bersebelahan Istana Iskandariah, sebagaimana yang disarankan oleh Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan Badan Perhubungan PAS Negeri juga sepertimana yang disarankan dari peringkat Pusat.

Mereka telah meminta agar Ketua Dewan Ulamak PAS Perak iaitu AF Ustaz Shuid Din untuk merasmikan dan juga memberikan pengisian tentang peri pentingnya diadakan Liqaul Fikri di peringkat kawasan-kawasan di negeri Perak bagi menyatukan wehdatul-fikr di kalangan ahli-ahli, AJK-AJK Kawasan dan Cawangan-cawangan.

Majlis bermula seawal 6.45 petang itu dimulakan dengan sesi pendaftaran ahli-ahli PAS Kawasan Kuala Kangsar, kemudian solat Maghrib berjama'ah dan makan malam. Sejurus selepas solat Isyak berjamaah, sesi perasmian dan pengisian disampaikan oleh AF Ustaz Shuid Din. Setiap cawangan dikenakan yuran sebanyak RM20 dan bagi setiap ahli individu dikenakan yuran sebanyak RM3. Majlis Liqaul Fikri ini berakhir pada jam 11.00 malam.







Sunday, March 21, 2010

PENGEMBARAAN ILMU DI YAMAN

HARI ini merupakan hari ketiga kami berada di San'aa Yaman, setelah tiba pagi Jumaat 19 Mac baru-baru ini. Perjalanan kami dari KLIA memakan masa 16 jam setelah pesawa Yemenia membawa kami ke Jakarta, Dubai dan seterusnya San'aa. Klia Jakarta 1 jam 45, Jakarta ke Dubai 7 jam, satu perjalanan yg agak menjemukan kerana terlalu lama terperuk ditempat duduk cuma menariknya menyaksikan kehebatan dan keajaiban terbang diatas awan yg cerah memanjang sdgkan waktu M'sia ketika itu sudah hampir waktu Isya'. Kata penumpang Indonesia disebelah, masih sore pak. Ternyata juga hasil pemerhatian ringkas lpgn terbang Klia jauh terkehadapan modennya berbanding Jakarta yang simpel dan San'aa pun begitu. Jumaat kami solat di masjid berhampiran Istana Presiden Yaman. Jumaat disini kebanjiran dengan ribuan manusia hinggakan jemaah melimpah diatas jalan raya. Isu yg disentuh adalah tentang ancaman terhadap masjid Al-Aqsa dan ancaman keatas Yaman yg dihimpit oleh pelbagai usaha utk meminda undang-undang syariah sedia ada dengan percubaan memasukkan perisytiharan Shidao yg menghalang perkahwinan awal dan menganggap itu sebagai jenayah trhdp wanita, meniduri isteri sendiri tanpa kemahuannya boleh dituduh merogol isteri sendiri dan salah disisi undang-undang. Juga disentuh tentang usaha mewujudkan kumpulan gay dan lesbian di Yaman yg sedang diusahakan supaya boleh didaftarkan persatuan mereka atas nama kebebasan hak dan seterusnya kearah menuntut keharusan berkahwin antara lelaki sama sejenis dan perempuan sama sejenis. Khutbah disampaikan oleh Syeikh Hazzaq yg kemudian menggesa jemaah berjihad dengan harta membantu umat Islam Quds yg cuba diusir oleh rejim yahudi dari Masjid Al-Aqsa yg skrg ini terdiri diatas tiang-tiang yang rapoh kerana pelbagai terowong telah digali dibawahnya. Dan yahudi merancang untuk mencipta gempa bumi buatan yang akan mewujudkan gegaran seterusnya mengakibatkan Al-Aqsa roboh dengan sendirinya dan dengan itu mudah bagi mereka membina haikal Nabi Sulaiman. Mengakhiri khutbah beliau mengajak semua jemaah berdemonstrasi menyatakan bantahan terhadp rejim yahudi keatas Al-Aqsa. Solat berjemaah dirata-rata masjid disini paling kurang 5 saf kalau satu sof 30 orang kiralah sendiri. Solat Subuh pun begitu.

Saturday, December 12, 2009

Masalah PAS dan UMNO bukan masalah berapa bilangan masjid yang dibina, bukan berapa bilangan sekolah agama yang dibina, bukan masalah institusi kewangan Islam, bukan masalah berapa buah pusat pengajian tinggi Islam yang dibina, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk membina lapangan terbang, lebuh raya dan lain-lain, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk pendidikan tinggi dan rendah yang dibelanjakan oleh UMNO atau PAS.Masalah antara UMNO dan PAS ialah dasar dan matlamat perjuangan yang jauh berbeza. PAS memperjuangkan agar Islam menjadi aqidah Negara Malaysia, samada dari sudut pentadbirannya atau kehakimannya dan lain-lain. Pendek kata, apa yang terkandung didalam dua kalimah syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH, Nabi Muhammad S.A.W pesuruh ALLAH itu hendaklah terlaksana dalam kehidupan individu, masyarakat dan Negara.
Adapun pun UMNO sering mencabar tuntutan dua kalimah syahadah itu. UMNO kelihatan melakukan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan puasa bulan ramadhan, mengerjakan haji, menjalankan aktiviti nikah kahwin mengikut Islam. Tetapi pentadbiran dan pemeritahan Negara mencabar Quran dan Sunnah. Sebab itu, dengan rasa senang hatinya, UMNO yang menjadi teras kepimpinan Negara, terang-terang menolak hukum ALLAH didalam bidang pentadbiran, kehakiman, perundangan, pendidikan dan lain-lain.Oleh kerana itu, Malaysia yang sejak merdeka, yang dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional menghadapi masalah yang tidak terhitung banyaknya. Masalah keselamatan, janayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan kecil atau besar, rompakan institusi kewangan, rompakan kaum wanita, warga emas dan kecurian disetiap detik berlaku dinegara ini.Setelah lebih 50 tahun UMNO memerintah, Islam dan kekuatan orang Melayu terhakis. UMNO menghapus “kuasa imuniti Raja-Raja” yang menjadi salah satu kekuatan institusi Islam di Malaysia. UMNO membenarkan “Riddah” atau murtad berleluasa. UMNO juga mengamalkan budaya “Hendonisme” budaya “akhlak bobrok” melalui agensi-agensi penyiarannya.Isu penyalahgunaan dadah, isu mat rempit, isu pendatang tanpa izin, isu ISA, ini semua berlaku selepas Malaysia dipimpin oleh UMNO. Puncanya ialah tidak menhayati kandungan ‘LA ILAHA ILLA ALLAH’. Oleh itu, jika pemimpin UMNO masih mengaku mempertuhankan ALLAH, menabikan Muhammad S.A.W, kenapa UMNO boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah Negara? Adakah UMNO mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain.Kalau hanya bercakap membina masjid, di United Kingdom ada masjid, di Amerika Syarikat ada masjid, di Cina ada masjid, di Singapore ada masjid, di German pun ada masjid. Namun pentadbiran Negara mereka juga tidak mengikut ajaran islam. Oleh kerana itu, status kedudukan pemimpin dinegara barat dan timur yang Sekular, sama dengan kedudukan pemimpin UMNO diMalaysia ini.Oleh kerena itu, saya rasa amat bertanggungjawab untuk menasihat kepada umat Islam di Malaysia ini, supaya jangan terjebak dengan kenyataan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika berkempen di Manek Urai baru-baru ini (rujuk salah satu akhbar harian Malaysia) tentang UMNO membela Islam dan menegakkan syiar Islam.Secara peribadi pula, sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, beliau telah mengubah cuti am pada hari Jumaat kepada hari Ahad, sekaligus menjadikan amalan cuti itu seperti amalan orang-orang Nasrani. Apakah ini satu pembelaan terhadap Islam? Saya ingin membuat contoh yang kecil tentang UMNO mencabar Al-Quran. Antaranya, Al-Quran dengan jelas dan terang mengarahkan supaya orang islam menjauhkan diri daripada arak, judi, berhala, sudi nasib atau tenung nasib, tetapi UMNO yang memimpin Malaysia mengeluarkan lesen arak, memberi lesen judi. Apakah ini satu pembelaan kepada Islam? Untuk satu contoh lain, umpamanya ALLAH memerintah supaya Negara ditadbir dengan ajaran ALLAH, namun UMNO menolaknya.Oleh kerana itu, jika sekiranya masih wujud benih-benin iman di dalam hati para pemimpin UMNO, maka saya merayu kepada mereka dan kepada orang yang seiringan dengan mereka supaya mereka bertaubat dan kembali kepada jalan ALLAH. Sekiranya mereka mempunyai masalah didalam usaha kembali kepada jalan ALLAH itu, maka Dewan Ulamak PAS Pusat menawar diri untuk memberi khidmat bakti kepada mereka.
Meneruskan Perjuangan Para Nabi Dato’ Ustaz Haji Harun bin Taib
KetuaDewan Ulamak PAS Pusat Terakhir Dikemaskini pada Khamis, 03 Disember 2009 21:03

Friday, October 23, 2009

Ulasan Berkaitan Kritikan Dr Aziz Bari

Ulasan Dr Aziz Bari berhubung kekalahan PAS di Bagan Pinang adalah sebahagian daripada komentar ahli akademik yang perlu diberi perhatian, sebagaimana kita memberi perhatian kepada pandangan lain yang berada di luar kotak politik. Oleh kerana bidang politik bukan milik ahli politik sahaja, maka semua pandangan boleh diberi; walaupun tentulah agak berbeza mereka yang berada dalam gelanggang dengan yang berada di luar gelanggang. Perbezaan tersebut merupakan lumrah penilaian. Saya menghormati pandangan beliau sebagai ahli akademik, yang melihat dari sudutnya yang tersendiri. Walaupun saya sendiri mempunyai pandangan yang berbeza kerana mungkin saya berada dalam gelanggang dan sebahagian dari kepimpinan parti.Ada beberapa perkara yang mungkin tiada dalam maklumat beliau menyebabkan pandangan yang diberi agak bersifat kritis. Beliau mencadangkan agar parti mendisiplinkan Hassan Ali atau menyingkirkan terus, kemudian beliau menyatakan bahawa ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hassan dilihat mewakili golongan yang pro umno dalam PAS seperti Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Nasaruddin Mat Isa dan penyokong mereka. Saya ingin tegaskan ini pandangan beliau dalam posisinya sebagai ahli akademik. Tentulah banyak perkara dalaman yang dibincang dan dihalusi dalaman parti tiada dalam pengetahuannya.Isu berlaku di Selangor bukan sahaja pertembungan untuk menarik sokongan, Bagi PAS isu utama bagaimana kita sebagai pemimpin yang akan bertanggungjawab terhadap rakyat dari dunia sampai akhirat. Kita memerlukan rakyat yang bermoral. Masyarakat menilai kita yang mewakili suara Islam dalam kerajaan. Apa tindakan kita untuk membina rakyat yang bermoral. Dr Hassan sebagai exco agama akan ditempelak tidak melakukan apa-apa bagi membela umat Islam, dalam isu arak. Tindakan beliau dengan dokongan Badan Perhubungan Negeri dan dibincang dalam exco kerajaan, bukan membuat peraturan baru, hanya sekadar melaksanakan enakmen yang sedia ada, yang tidak dikuatkuasakan selama ini.Dalam keghairahan kita menjaga hati pengundi bukan Islam, jangan kita lupa bahawa pengundi Islam ingin melihat pembelaan kepada dasar Islam. Kita mengambil jalan tengah dengan tidak mengganggu golongan bukan Islam untuk mendapatkan minuman keras, cuma kita meminta agar penjualannya di kawasan majoriti umat Islam dihapuskan.Mungkin Dr Aziz Bari melihat bahawa Dr Hassan Ali tidak perlu membuat kenyataan terbuka, sehingga dilihat wujudnya pertembungan antara PR. Saya ingn tegaskan bahawa isu ini telah dibincang dan beberapa kenyataan telah dikeluarkan dalam media berhubung perkara ini. Tetapi atas kedudukannya sebagai exco kerajaan yang menjaga agama dan Pesuruhjaya Negeri, saya fikir beliau juga mempunyai kekangan bila diajukan persoalan oleh pemberita, dan masyakakat juga ingin mendengar kenyataannya sebagai exco agama. Yang lebih adil ialah mendapatkan penjelasan sebenar terhadap kenyataannya, bukan hanya melalui media perdana yang tentunya lebih suka melihat pertembungan dalam PR, serta melihat juga pendirian Badan Perhubungan Negeri yang merupakan badan tertinggi parti di peringkat negeri.Saya melihat kenyataan kontroversi bukan sahaja dari kalangan PAS, bahkan kenyataan serupa berlaku di Kedah oleh pimpinan DAP berhubung isu pusat penyembelihan, kouta perumahan, dan lainnya. Kita melihat perbezaan dalam PR adalah sikap keterbukaan kita, dan ternyata dalam beberapa pertemuan pimpinan PR, hubungan antara kita sangat kukuh, mesyuarat dwi bulanan PR merupakan medan penting bagi pengukuhan ini.Walau bagaimanapun pandangan Dr Aziz Bari bahawa agak sukar untuk dilakukan kerana beliau ( Dr Hassan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro Umno. Kenyataan ini tentunya agak keterlaluan, kerana Jawatankuasa Disiplin parti tidak sesekali terikat dengan apa yang disangka oleh beliau. Kita mempunyai rujukan peraturan dan tindakan. Jawatankuasa Disiplin sehingga kini menerima saranan daripada PR agar semua kepimpinan parti terikat dengan peraturan parti masing-masing, tetapi menegaskan agar tiada kenyataan yang boleh menimbulkan keretakan dalam Pakatan.Sehingga kini Jawatankuasa Disiplin PAS tidak menerima apa-apa surat rasmi berhubung perkara tersebut. Namun perlu dinyatakan bahawa PR dalam mesyuarat lalu telah memanggil sama semua exco Selangor bagi mendengar permasalahannya, dan mesyuarat Harian Pusat juga telah mengundang Harian Selangor bagi mendengar permasalahan yang berlaku, dan telah membuat ingatan agar semua kenyataan yang boleh megeruhkan suasana dalam PR dielakkan, bahkan sebarang perkara yang mempunyai perbezaan pandangan dapat diselesaikan dalam mesyuarat exco dan parti masing-masing.Jelas ianya tiada kena mengena dengan pro Umno atau sebaliknya. Kita telah gagaskan kenyataan bahawa kita perlu perkukuhkan PR. Ini gagasan bersama yang telah kita lakukan. Tetapi ianya bukanlah bermakna kita tidak boleh berbeza pandangan dalam berhadapan pelbagai isu yang berlaku. Bahkan saya ingatkan bersama bahawa sejarah perjuangan Islam dan sunnatulLah dalam jamaah Islam, sesiapa yang khianat dalam perjuangan ia akan gugur dari jamaah, samada Allah akan mendedahkan keburukan mereka atau jamaah akan menggugurkannya.Antaranya beliau (Dr Aziz Bari ) memetik pandangan yang menyatakan Presiden tidak memberi respon terhadap apa yang berlaku di Selangor. Akibatnya pelbagai tuduhan yang menyamakan beliau dengan bekas presiden UMNO dan lainnya. Sedangkan realitinya beliau telahpun memberikan respon kepada apa yang berlaku, bahkan sebelumnya Timbalan Presiden telah membuat kenyataan akhbar tentang isu tersebut. Presiden berulang kali menyatakannya dalam pelbagai pertemuan parti, Cuma kita harus ingat bahawa media arus perdana tidak menyiarkan kenyataan beliau, sebagaimana mereka menyiarkan berita yang mengambarkan keretakan dalam PR. Namun Dr Aziz Bari ternyata tidak seronok dengan kenyataan dari Timbalan Presiden yang dilihat membela Hassan Ali. Dalam situasi yang ada apa jua kenyataan tentulah akan ada yang setuju dan sebaliknya. Yang tentunya kita tidak boleh minta agar semua kenyataan sesuai dengan kehendak kita.Namun saya melihat pandangan beliau agak tersasar dari tajuk utama kerana apakah kerana kita tewas dalam satu PRK maka perubahan kepimpinan perlu dilakukan. Bagaimana dengan kemenagan sebelum ini, apakah ia tidak dilihat kejayaan kepimpinan yang ada? Mari kita kembali kepada peringatan Allah : “Boleh jadi apa yang kamu tidak suka, ianya baik bagi kamu, dan apa yang kamu suka ianya tidak baik bagi kamu, sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahuinya”. - Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Monday, August 31, 2009

Perutusan Hari Kemerdekaan Negara Ke-52 Presiden PAS

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini. Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka. Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar. Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Itulah makna kemerdekaan yang sebenar. Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berhijrah ke Madinah mendirikan Negara Islam. Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta’ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia. Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah. Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar. Dan ‘obor’ kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi’e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub’ie yang terkenal. Kata Rubie, ”Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT”. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat”. Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT. Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita. Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai. PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT. Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.
Sekian, Wassalam
TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Wednesday, July 8, 2009

Dewan Ulamak Dan Mufti Duduk Semeja

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak para ulama khususnya para mufti di negara ini supaya dapat duduk semeja untuk membincangkan isu-isu politik Islam dan kenegaraan secara ilmiah dan objektif।
Perkara ini ditegaskan oleh ketuanya, Dato' Harun Taib kepada Harakah sebagai mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menjadi tajuk utama sebuah akhbar harian, 24 Jun lalu. Dewan Ulama sedia menjadi penganjur jika mendapat respons yang positif dari institusi mufti di negara ini. Katanya, soal tempat atau tajuk akan ditentu-kan kemudian, mengikut kesesuaian kedua-dua belah pihak. Apa yang penting, kesediaan untuk duduk semaja berbincang mengenai permasalah umat yang melibatkan soal politik dan kenegaraan. Sebuah akhbar harian menyiarkan kenyataan Mufti Perak yang dianggap kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka. Di Kota Bharu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Harussani sebagai tidak terdedah de¬ngan sejarah politik Islam sehingga menganggap PAS sebagai punca perbalahan orang Melayu di negara ini. Menteri Besar Kelantan itu bertanya, siapa punca kepada perpecahan pada masa sekarang di negara ini, parti Islam atau parti kebangsaan yang berteraskan sekular? Menurutnya, orang Islam patut menilai semula sejarah Islam, adakah Nabi Muhammad s.a.w menjadi punca perbalahan masyarakat ketika itu atau orang yang melawan ajarannya yang menjadi punca perpecahan? "Kalaulah Nabi Muhammad s.a.w menjadi punca balah, maka apa yang dikatakan Mufti Perak itu betullah. Sedangkan Baginda berbalah dengan bapa saudara dan masyarakat Arab bagi menegakkan Islam. Jadi siapa yang menjadi punca balah?" tegasnya. Tok Guru Nik Aziz turut meminta supaya Harussani menggunakan masanya yang berharga itu untuk mempengaruhi Umno supaya menukar dasar kebangsaan yang menjadi teras parti itu kepada dasar Islam yang lebih syumul. Mengulas lanjut, Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pandangan Harussani itu hams dilihat dari kaca mata Islam, jika diminta untuk bersatu padu dan membantu dalam perkara-perkara yang terang-terang bercanggah dengan Islam ia tidak boleh dijalinkan kerjasama."Contohnya dalam mengizinkan perjudian. Islam tidak akan berkompromi dalam perkara yang bercanggah dengan nas syarak. Jika masalah khilafiah tidak apa. Ini masalah-masalah dasar. Masalah dasar kita tidak boleh berkompromi," katanya semasa dihubungi. Menurutnya lagi, walaupun orang bukan Is¬lam sanggup melupai persengketaan politik kerana perpaduan tetapi mereka tidak ada prinsip-prinsip dasar sebagaimana yang ada dalam Islam. Islam katanya tidak pernah melarang dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Tuan Ibrahim menolak dakwaan PAS tidak berkawan dengan Umno sebaliknya sanggup bekerjasama dengan DAP. Ujarnya, PAS berkawan dengan semua orang termasuk orang Umno ke¬rana PAS mahu mengajak Umno kembali kepada Islam. Hal yang sama juga terjadi dengan DAP dan PAS cuba menunjukkan akhlak Islam kepada orang bukan.Islam. "Perkara ini tidak bercanggah, cuma Umno yang pusingkan fakta seolah-olah mahu tanam kebencian rakyat terhadap DAP yang kononnya anti-Melayu dan anti-Islam," katanya. Namun tegasnya lagi, di waktu yang sama apabila Umno bekerjasama dengan MCA dan Gerakan, tiada siapa berasa itu satu kesalahan. Sebaliknya, apabila PAS berbaik-baik dengan DAP ia dianggap suatu yang buruk. Dalam pendekatan PAS dengan DAP dan rakan-rakan bukan Islam, Tuan Ibrahim berkata PAS akan menjelaskan dasar-dasar Islam - kebai-kan, keadilan dalam pemerintahan dan kesaksa-maan peraturan Islam kepada mereka. Jadi dengan cara ini katanya boleh mendekatkan orang bukan Islam kepada Islam. "Sekurang-kurangya di peringkat awal kita berjaya menghapus Islamophobia di kalangan orang bukan Islam," katanya.

Tuesday, May 26, 2009

Ucaputama Konvension PAS Ke 14

KECEMERLANGAN DAKWAH TERAS KEMENANGAN
MUQADDIMAH
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dipertemukan di dalam konvensyen pada kali ini dalam suasana mahabbah dan ukhuwah meskipun berhadapan dengan kemelut politik negeri Perak yang berlarutan, namun semangat juang yang sedia ada meningkatkan kesedaran kita untuk memahami betapa pentingnya sifat istiqamah dan intima dalam perjuangan parti. Justeru itu dalam konvensyen pada kali ini saya mengajak semua ahli agar bermuhasabah dan berbincang untuk memperbaiki kelemahan, menyusun strategi, mengumpul kekuatan ke arah memajukan jemaah bagi kebaikan di dunia dan akhirat.
Pada kesempatan ini saya mengalu-alukan kehadiran tuan/puan dari seluruh negeri kawasan dan cawangan, pimpinan sayap parti serta mengalu-alukan juga wakil-wakil parti politik rakan Pakatan Rakyat, NGO serta orang perseorangan yang sudi hadir pada hari ini.
Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola konvensyen ini terutama PAS Kawasan Teluk Intan yang menjadi tuan rumah dan bertungkus lumus bagi menjayakan konvensyen pada kali ini. Semoga keterlibatan tuan/puan akan lebih memberikan makna yang besar dalam usaha kita memantapkan perjuangan.
Konvensyen PAS Perak kali ke-14 ini diadakan ketika berlaku kemelut politik negeri Perak. Dalam konvensyen pada tahun lalu, kita berada dalam suasana menyambut kemenangan politik bersama dengan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, apabila PAS diberi mandat sebagai Menteri Besar Perak walaupun hanya memenangi 6 kerusi Dun. Ketika itu kita memperkatakan peranan pimpinan yang menduduki jawatan-jawatan EXCO, Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Tempatan, Ahli-Ahli Lembaga dalam GLC, agar masing-masing membuktikan kemampuan dan berkebolehan mengangkat imej parti dan menampilkan kepimpinan dalam mendokong kerajaan Pakatan Rakyat. Bahkan di peringkat akar umbi juga, kita menggesa ahli-ahli yang terpilih menjadi ketua-ketua kampong supaya menjalankan tugas dengan penuh ikhlas memikul amanah masing-masing.
Hari ini kita berkonvensyen, ketika kerajaan pilihan rakyat telah dirampas oleh UMNO/BN dengan begitu rakus tanpa memperdulikan undang-undang dan perlembagaan. Namun disebalik peristiwa yang sangat mencabar itu, terdapat hikmah yang besar, kerana kita dapat menyaksikan bahawa sokongan dan dokongan rakan Pakatan Rakyat dari rakan non-muslim semakin mantap dan menyakinkan kerana mereka melihat Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS memberikan jaminan atau saham semua rakyat dengan adil dan saksama. Ini bukan kerana slogan kita PAS untuk semua tetapi lebih daripada itu mereka mendapati bahwa ajaran Islam menjamin keadilan dan kebajikan untuk semua. Antara mereka sudah mula merujuk kepada nas-nas Al-Quran dan cuba memahaminya.
Namun dalam perkembangan positif di kalangan masyarakat non-muslim, kita seolah-olah tertanya-tanya mengapa orang Melayu masih belum membuat perubahan dalam pendirian politik mereka yang terus menyokong UMNO/BN. Mengapa mereka tidak mendokong perjuangan PAS.
Konvensyen pada kali ini akan memfokuskan kepada persoalan dakwah sesuai dengan tema KECEMERLANGAN DAKWAH TERAS KEMENANGAN, kerana kita melihat bahawa prospek dakwah banyak memberikan input serta buah yang berguna terhadap masa depan parti serta persepsi masyarakat terhadap PAS bahawa PAS bukan sahaja parti politik tetapi juga bekerja keras untuk dakwah, tarbiyah, pendidikan dan sebagainya.
Justeru Konvensyen ini diharapkan akan membahas serta menggariskan hala tuju, bagaimana kemenangan boleh dicapai apabila kita mampu meletakkan MISI DAKWAH sebagai agenda penting parti hingga mencapai kecemerlangan. Kita mestilah mempunyai keyakinan bahawa Kecemerlangan Dakwah itulah yang menjadi Teras kemenangan perjuangan bagi mendaulatkan Islam.
Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak telah menyatakan 5 prinsip utama dalam mengemudi Kerajaan. Walaupun kerajaan Pakatan Rakyat telah dirampas oleh UMNO-BN, gerakerja kita untuk merealisasikan kerajaan yang ADIL, TELUS, BERKEBAJIKAN, BERINTEGRITI dan BERAMANAH terus menjadi Visi dan Misi kita dalam perjuangan seterusnya. Kita yakin Perak merupakan model utama bagi Kerajaan Pakatan Rakyat yang mantap dan berkesan. Bagi kita PAS Perak khususnya di kalangan aktivis PAS Perak pelbagai peringkat, ia merupakan pengalaman dakwah yang amat penting untuk menjaga kemenangan pada masa akan datang. DAKWAH SATU PERJUANGAN
Dakwah adalah satu tanggungjawab dan amanah dari Allah SWT. Ia di antara sifat-sifat wajib bagi Rasul. Gerakerja dakwah perlu dilaksanakan
dengan kesungguhan tanpa jemu, rasa bimbang atau takut celaan dari pencela. Pelarian dari tanggungjawab ini akan mengundang murka Allah SWT dan mengakibatkan turunnya bala Allah SWT. Dalam hal ini Nabi SAW memberi amaran keras kepada mereka yang tidak melaksanakannya samada secara kelompok atau individu, seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Apabila kamu melihat Umatku takut untuk berkata kepada orang zalim: Wahai orang zalim, maka telah diucapkan selamat tinggal untuk mereka”
Yang dimaksudkan dengan dakwah ialah panggilan ke jalan Allah. Allah SWT berfirman;
قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللّهِ وَمَا أَنَاْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Katakanlah ‘Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku, mengajak (kamu) dengan hujjah yang nyata akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”(surah Yusuf 108 )
Dan yang dimaksudkan dengan ajakan ke jalan Allah ialah ke jalan agama Islam, agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللّهِ الإِسْلاَمُ
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam…” (surah Ali Imran 19).
Islam merupakan objek dakwah dan Rasul sendiri merupakan unsur pertama dakwah. Rasullullah SAW telah menyampaikan Islam semenjak beliau diangkat menjadi rasul sampai akhir hayat baginda, baginda diutus untuk berdakwah.
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِداً وَمُبَشِّراً وَنَذِيراً وَدَاعِياً إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجاً مُّنِيراً
“Hai Nabi! Kami mengutuskan engkau sebagai saksi atas umat dan untuk memberi khabar suka dan khabar takut. Dan untuk menyeru manusia kepada agama Allah dengan izin Nya, serta menjadi pelita yang menerangi. (surah al-Ahzab: 45-46).
Nabi sebagai juru dakwah (daei) yang pertama, yang memanggil umat manusia ke jalan agama Islam dan dengan demikian rasul sebagai unsur dakwah yang ke dua. Umat Islam diajak atau diseru ke jalan Allah, baik orang Arab dan bukan Arab. Misi dakwah yang bersifat universal dan baginda diutus kepada umat manusia seluruhnya.
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيراً وَنَذِيراً وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (surah Saba’: 28)
Manusia yang diajak dan diseru ke dalam Islam merupakan unsur dakwah ke tiga. Rasulullah SAW menyampaikan dakwahnya menurut metoda dan melalui media yang diwahyukan, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan Sunnah. Maka metoda dan media serta segala yang berkaitan dengan metoda dan media merupakan unsur dakwah yang ke empat. Dalam urusan tersebut dapat kita nyatakan bahawa dakwah mempunyai unsur, objek dakwah, juru dakwah (daei), penerima dakwah (mad’u), metoda (uslub) dan media (wasilah).
PAS : SEBUAH GERAKAN ISLAM
Gerakan Islam mestilah sebuah gerakan Islah yang menjurus kepada perjuang kepada interaksi sosial dan kesedaran seorang untuk membina kebaikan serta menonjolkan nilai Al-Quran dalam dirinya. Gerakan Islam bertanggungjawab untuk mengerah dan mengarahkan kader-kader atau aktivis berkemampuan untuk melibatkan diri dalam perjuangan. Gerakan Islam mesti muncul gerakan yang memberi fokus kepada masa depan umat memandu masyarakat ke arah Al-Quran. Gerakan Islam berperanan untuk menyelamatkan sesuatu bangsa dan negara. Allah telah menyebut dalam Al-Quran bahawa antara sebab kehancuran sesebuah negara apabila golongan mewah melakukan kerosakan secara berleluasa dan berada diluar batasan yang normal. Firman Alllah:
وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيراً
“Dan jika kami hendak binasakan sesebuah negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu supaya mentaati Allah tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri tersebut, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya ketentuan kami, kemudian Kami hancurkan negeri ini sehancur-hancurnya” (surah al-Isra: 16)
Sesebuah negara itu akan hancur sekiranya rakyat di negara itu tidak menahan kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh golongan al-mutrafin. Hanya golongan Islah yang dapat menyelamatkan negara tersebut dari menerima ketentuan Ilahi.
Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa tugas gerakan Islam adalah penyelamat bangsa dan negara yang berada di dalam kemurkaan Ilahi akibat perbuatan Al-Mutrafin. Sekiranya Gerakan Islam tidak memainkan peranan sebagai juru Islah sudah pasti kita akan menerima ketentuan Ilahi.
Masa depan kerangka besar perjuangan PAS menuntut kita meneliti kesungguhan dan keberkesanan program dakwah dan tarbiyah untuk menuju kemenangan bergaya cemerlang di samping menilai kembali wasail dakwah dan tarbiyah yang perlu dijayakan. Imam syahid Syed Qutub RH pernah menjelaskan tentang perlunya tanzim yang kemas dan mantap agar kemenangan dapat dicapai dengan gemilang.
Agenda-agenda dakwah dan tarbiyah selepas ini perlu dimantapkan dan diperhebat sesuai dengan perubahan masa dan suasana. Justeru matlamat mega ini perlu dipopular dan ditafaqquhkan dengan penampilan skema dan modul terkini dan terangsang agar semua generasi masa kini memupuk semangat mesra dakwah. Sudah tentu acuan rabbani dan matlamat parti yang digariskan dalam perlembagaan parti itu dilaksanakan iaitu usaha-usaha mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan dan orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam. Kita sudah berjaya apabila kefahaman, budaya hidup serta syariat Islam telah berjaya difahami oleh kebanyakan masyarakat termasuk bukan Islam. Mereka berusaha untuk mendekati serta memahaminya dengan penuh tekun dan perihatin melalui pemerhatian pada watak pimpinan, ahli-ahli serta perbandingan mereka dengan corak hidup ahli-ahli yang tidak menyokong perjuangan Islam, penyusunan gerak kerja dakwah yang tersusun, istiqamah dan mentaati pemimpin menjadi bahan bukti keyakinan mereka. Walau bagaimana ia masih perlu diperkasakan lagi bagi mencapai kegemilangan.
PEMBINAAN BUDAYA DAKWAH
Seluruh ahli dan kepimpinan dituntut agar memiliki sifat mesra dakwah. Dakwah dan tarbiyah sering beriringan mempadu antara satu dengan yang lain.Kita perlu memikirkan formula dan wasail dakwah yang terbaik untuk menempa kecemerlangan kini mahu pun kemudian agar beriringan dengan kesucian dan kemurnian hati dan akal, mantap serta padu akidahnya. Kita perlu melahirkan generasi du’at (pendakwah) yang berusaha menarik manusia kepada kebaikan. Di saat UMNO/BN yang hilang integrity dan karam dengan slogan Islam hadhari PAS bangun dengan wajah-wajah baru dalam dakwah, menanggung rasa cintakan umat, menggalas beban dan sengsara, menyentak hati-hati yang ragu dengan pendekatan yang tak pernah terfikir kejayaannya. Tahaluf siasi yang dilaksanakan oleh pendekatan PAS membuka banyak pihak terutama ahli serta rakyat sendiri bagaimana keindahan dakwah boleh dinikmati oleh semua golongan asal saja kalimah diaplikasi dan dilaksanakan oleh orang yang keluar dari Madrasah Tarbiyah Rabbaniyah. Setiap ahli mesti merasai diri sebagai DAEI.
Sekurang-kurangnya ada bebarapa faktor yang melambatkan proses membudayakan dakwah:
1. Dakwah bukan tugas semua orang dan ia hanya untuk orang tertentu dan yang memegang jawatan tertentu.
2. Keporak-perandaan senario politik dan rendahnya mentaliti pemikiran masyarakat dalam mewajarkan mafhum dakwah.
3. Terbatasnya thiqah serta curangnya mental dan fizikal dalam mewarnai dakwah terutama dakwah bilhal.
4. Terperangkapnya sebahagian ulama dan pendakwah dengan rasa keegoan diri sehingga berada dalam gelanggang dakwah jumud, tertutup dan fardiyah sehingga membataskan ruang kerjasama dan bersepadu dalam arena dakwah kulliyyah.
5. Kejumudan ahli-ahli dalam menangani gerakerja dakwah secara terancang malah ada yang terlepas pandang dengan hanya mengalihkan kepada isu politik semata-mata tanpa dihiraukan peluang dan ruang dakwah yang lebih terbuka.
MATLAMAT DAKWAH
Ahli hendaklah sentiasa prihatin dan sentiasa mempunyai fikrah dakwah (fikrah da’wiyah) dan berusaha bagi mencapai matlamat parti. Longgar dan lompang dalam mencapai hasrat parti akan mengikis keyakinan masyarakat terhadap jenama parti yang memang sudah terkenal sebagai parti dakwah. Keterlibatan beberapa individu dalam dakwah liar tidak harus dipandang ringan kerana ia akan menjejaskan imej parti. Kesepaduan antara matlamat dan wasilah perlu dipertemukan agar kedua-duanya dapat dihasilkan dengan tepat dan berjenama. Dalam hal ini dapat dipastikan bahawa di antara matlamat dakwah ialah:
1. Meningkatkan kualiti daei serta pengurusan dakwah sesuai dengan keperluan zaman
2. Memberi kafahaman Islam sebenar dalam semua aspek terutama dalam pembentukan minda rakyat
3. Mengeratkan ukhuwah di kalangan masyarakat dan kaum di negara ini
4. Memberi khidmat kebajikan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam dalam menangani gejala sosial dan juga isu-isu nasional
5. Memartabatkan Islam sebagai addin dan mampu menyelesaikan segala keperluan untuk semua yang berkaitan akidah, syariat dan akhlak
AKTIVIS GERAKAN DAN PENDAKWAH
Pendakwah yang berjaya mempunyai pemikiran yang boleh melihat dan membaca realiti sekelilingnya. Melihat kepada realiti perkembangan politik semasa khususnya di negeri Perak, petugas-petugas PAS mesti melihat semua pergerakan, aktiviti dan program mestilah mengarah kepada gerakan dakwah. Sheikh Jum’ah Amin Abdul Aziz telah menggariskan intipati penting sebagai gerakan dakwah dalam bukunya Fiqh Dakwah:
1. Rabbaniyyah-bersumberkan dari wahyu Allah Ta’ala.
2. Wasatiyyah-pendekatan Kesederhanan dan seimbang.
3. Ijabiyyah-Positif dalam memandang alam, manusia dan kehidupan.
4. Waqi’iyah-Memahami reality semasa.
5. Akhlaqiyyah-menjaga adab, etika dan tatasusila sebagaimana akhlak Rasullullah SAW.
6. Syumuliyyah-Pendekatan yang menyeluruh.
7. Alamiyyah-Pendekatan global.
8. Syuriyyah-syura sebagai sistem terpenting dalam membuat keputusan.
9. Jihadiyyah-Melaksanakan tugas Dakwah dengan seluruh potensi dimanfaatkan secara maksima.
10. Salafiyyah-Memastikan keaslian dan kemurnian Islam terpelihara dari penyimpangan.
Semua petugas dan aktivis PAS Perak, mestilah melihat secara menyeluruh bahawa pendekatan dakwah mestilah sentiasa diteruskan dan dipupuk walau apapun yang berlaku terhadap kegawatan politik yang berlaku. Dakwah perlu diangkat menjadi satu kerjaya yang profesional. Langkah awal yang perlu di ambil perhatian ialah dengan mengemukakan satu layanan perkhidmatan yang setaraf kepada tenaga muda yang terbaik untuk berkecimpung di arena dakwah secara bebas dan terjamin. Kalau kita bersikap ala-kadar terhadap segala pergerakan dan program kita maka kita tidak mampu untuk berkembang jauh dari masalah yang dihadapi.
DAKWAH YANG BERKESAN
Gerakan dakwah yang berkesan memerlukan komitmen daripada pimpinan-pimpinan dalam pelbagai peringkat. Tanggungjawab ini mestilah dipikul oleh semua pimpinan bagi memastikan terdapat kemajuan dan ketinggian untuk menjadi contoh terbaik kepada manusia keseluruhannya dalam menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Allah berfirman:
“Kamu telah dijadikan sebaik-baik umat kepada seluruh manusia untuk menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah”
Setiap pendokong PAS, mestilah menjadi pemimpin dalam beragama dan menganjurkan nilai-nilai yang terpuji. Tugas kita mestilah mengajak manusia untuk melakukan kebaikan sehingga kebaikan-kebaikan dapat dibina. Untuk melaksanakannya kita petugas PAS, mestilah menunjukkan contoh yang terbaik dalam menegakkan keadilan, memelihara hak-hak asasi manusia dan sebagainya.
Telah di riwayatkan ketika Saad Ibn Abi Waqas menakluk Hems, sebuah Bandar di utara Syria, beliau telah mengutip jizyah daripada penduduk bukan beragama Islam. Apabila beliau diarahkan untuk bertugas di bandar lain, beliau telah memulangkan semula cukai yang dikutipnya dengan berkata:
“Kami telah memungut duit ini untuk melindungi anda, tetapi sekarang kami akan berpindah dan tidak dapat lagi melindungi anda semua, oleh itu kami memulangkan semula duit anda”. Lalu berkata penduduk beragama Kristian tersebut:
“Tidak pernah ada orang melayan kami sebaik ini sama ada orang Rom atau Parsi”. Kerana kagum dengan kemuliaan dan keadilan Islam, ramai mereka memeluk agama Islam. Itulah kesan keadilan dan kemuliaan Islam yang mampu menawan masyarakat bukan Islam dan akhirnya kebenaran dan kemuliaan Islam diakui oleh masyarakat.
Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz adalah satu contoh yang terbaik sebagai contoh seorang negarawan yang adil. Semasa pemerintahannya kemiskinan dapat dihapuskan sehingga tidak ada orang miskin yang menerima zakat. Natijahnya ramai orang bukan Islam telah menganut Islam sehingga ada gabenornya mengadu kerana hasil jizyah berkurangan. Lalu Khalifah Umar mengutuskan kepada mereka surat yang mengatakan bahawa Allah telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW kepada manusia sebagai petunjuk dan bukannya sebagai pemungut cukai.
Hakikatnya peranan umat Islam dalam dakwah adalah paling berkesan dalam menyebarkan syiar Islam. Allah telah mengingatkan kita bahawa sekiranya umat Islam seluruhnya meninggalkan atau berpaling daripada melakukan tugas dakwah ini, Allah akan mengantikannya dengan umat yang lain yang akan melaksanakannya dengan lebih baik. Bagi mencapai dakwah yang berkesan, umat Islam mesti membina niat untuk melakukan tugas yang terbaik dan berkhidmat menyeru yang baik dan mencegah kemungkaran. Sebagaimana yang ditekankan, bahawa setiap muslim lelaki atau wanita adalah bertanggungjawab untuk berdakwah mengikut kadar kemampuannya. Menjalankan dakwah adalah penting untuk menjaga keimanan seseorang dan mengelakkan diri daripada kekufuran.
REALITI POLITIK PERAK: PAS PERAK MISI DAHWAH DALAM SIASAH
Semua pendokong PAS Perak, malah secara umumnya PAS seluruh Malaysia serta penyokong-penyokong dari pelbagai peringkat telah melihat bagaimana kita telah berjaya menguruskan kemenangan kita. Hampir sebelas bulan kita bersama-sama Pakatan Rakyat telah memimpin Kerajaan Negeri Perak. Walaupun kita dirampas secara tidak demokratik oleh UMNO/BN, tetapi disebalik peristiwa tersebut terdapat hikmah yang besar yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Perak telah menjadi negeri yang pertama sebagai model Kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS. Model kerajaan Pakatan Rakyat yang memberikan penekanan kepada keadilan dan kebajikan kepada rakyat keseluruhannya yang terdiri dari berbagai kaum.
Selama 11 bulan kita diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Pakatan Rakyat, namun kesan dakwah yang kita laksanakan amat besar ertinya kepada perjuangan dan perkembangan Islam di Negara kita. Politik dan dakwah tidak boleh dipisahkan. Gerakan politik yang kita laksanakan selama ini merupakan salah satu misi dakwah kita. Di Perak kita telah berjaya melaksanakan tanggungjawab politik secara berkesan dan bertanggungjawab. Misi dakwah yang kita lakukan di dalam parti politik telah berjaya menyatukan rakyat di negeri Perak. Masyarakat bukan Islam yang selama ini dipesongkan pemahaman dan pemikiranya tentang Islam, telah berjaya kita yakinkan tentang kebenaran, keadilan dan kemuliaan Islam. Masyarakat bukan Islam tidak lagi takut untuk bersahabat dengan PAS yang membawa Visi dan Misi Islam. Malah mereka tidak segan silu untuk membela kebenaran dan keadilan Islam malah ia memberi motivasi kepada petugas-petugas dan aktivis kita untuk terus berjuang menegakkan Islam dalam gerakan kita. Ini salah satu keberkesanan kita dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi melaksanakan tugas dakwah.
Kecenderungan rakyat bukan muslim kini sudah mula mencari keindahan syariat Islam dan dinamika perubahan. Apabila PAS mengutarakan slogan PAS Untuk Semua (PAS For All) ternyata ia merupakan satu slogan yang matang dan bersifat terbuka. Mereka melihat sepenuhnya akan kebenaran Islam menerusi kacamata politik. Mereka lebih yakin melihat menerusi teropong politik daripada minda lain. Kezaliman serta keangkuhan UMNO/BN di samping hilangnya integriti adalah punca perbandingan dibuat. Secara tidak disedari orang-orang bukan Islam sudah berjaya duduk semeja malah mendengar dan membaca ayat-ayat Allah. Inilah satu peluang memperkenalkan produk dakwah sepertimana yang diamalkan Nabi Muhammad SAW dalam siri dakwah baginda bergaul dengan bukan Islam, menziarahi musuh-musuh politik, kanak-kanak, orang tua, bersukan, bermujadalah dan sebagainya.
Dalam kontek minda politik hari ini sudah semestinya pendekatan politik dakwah akan memberikan kesan positif, berkualiti serta cepat, jauh mengatasi pendekatan yang tidak berjenama politik. Mengapa ini tidak dijelmakan secara yang lebih konprehensif dan sistematik agar persepsi politik kotor yang dipelopori oleh musuh-musuh kita sebelum ini dapat dipadamkan dengan satu struktur dan mekanisme baru dalam membina polisi dakwah yang luhur dan suci. Buta dakwah dan siasah secara bersepadu perlu ditangani jika tidak ia akan menghasilkan daei yang terpisah dari politik.
AGENDA MEMPERKASA URUSAN DAKWAH
1. Membangun Tenaga Sumber
a) Pemimpin pelbagai peringkat, negeri, dewan, kawasan dan cawangan PAS.
b) Pemimpin NGO’s Islam pelbagai peringkat
c) Golongan profesional seperti guru, doktor, peguam dan lain-lain
d) Belia-belia aktivis Gerakan
e) Tokoh pimpinan masyarakat seperti Ketua Kampung, Pengerusi dan
AJK dalam pelbagai persatuan dalam masyarakat.
f) Pimpinan masjid dan surau.
2. Latihan Pendakwah Secara Sistematik a) Sumber tenaga – diberi latihan sebagai Pendakwah.
b) Perkukuhkan program tarbiyyah
c) Memperkasakan peranan Ulama/Ulama Muda
d) Mengurus pimpinan muda dengan pelbagai latihan.
e) Membentuk kumpulan ulama yang berkemahiran dalam bermuzkarah / berbahas
f) Menggiatkan lagi program Usrah diperingkat kawasan dan cawangan (satu cawangan satu usrah)
3. Program Ibadah
a) Penubuhan halaqah, zikir dan munajat di semua peringkat dewan-dewan dan kawasan serta cawangan
b) Penubuhan kumpulan-kumpulan sukarelawan mengajar mengaji Al-Quran dan ibadat solat terutama di peringkat pemuda dan muslimat
4. Kelab Penyokong PAS
a) Perkasakan pelaksanaannya
b) Kemaskinikan organisasi
c) Latihan Peningkatan Kefahamanan
5. Program Kebajikan Menyeluruh
a) Membela masyarakat miskin dan terpinggir
b) Membela anak yatim dan ibu tunggal
c) Mengurus bantuan pendidikan
d) Mentarbiyyah kelompok yang terpinggir
e) Memberikan khidmat pengurusan jenazah
6. Program Pendidikan
a) Tafaquh fiddin untuk masyarakat
b) Kelas bimbingan/tuisyen
c) Motivasi
7. Program Rekreasi dan Hiburan
a) Penubuhan kumpulan-kumpulan nasyid dan drama
b) Penubuhan Kelab Sukan dan Rekreasi di kalangan muda mudi
8. Program Masyarakat bukan Islam
a) Dialog Pemimpin Masyarakat pelbagai peringkat
b) Program bersama dengan masyarakat bukan Islam
Usaha-usaha yang lebih praktikal perlu dilaksanakan bagi menyuburkan misi dakwah kita. Setiap aktiviti dan program yang ingin kita lakukan mestilah mempunyai matlamat yang jelas iaitu untuk mencapai misi dakwah. MUHASABAH GERAKAN ISLAM : PAS
Setiap tahun kita mengadakan Konvensyen dan Muktamar, bagi melihat sejauh manakah keberkesanan gerakan dakwah kita. Amanah dakwah yang kita pikul ini perlu kita laksanakan dengan penuh iltizam. Sebagai pimpinan peringkat negeri mahupun peringkat dewan atau kawasan dan cawangan tidak harus mengenal erti kecewa, penat atau ingin bersara dalam perjuangan menegakkan risalah murni ini. Perjuangan ini adalah perjuangan sepanjang hayat dan bersifat jangka panjang. Perjuangan ini menuntut semua aktivis gerakan berjuang dengan penuh kesabaran kerana hasilnya perjuangan dakwah tidak boleh dinikmati dengan segera. Ada kalanya kita perolehi nikmat perjuangan semasa kita hidup dan ada kalanya nikmat perjuangan akan dirasai oleh generasi akan datang. Tugas kita hanyalah berdakwah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan hasilnya kita serahkan kepada Allah SWT.
PENUTUP
Kita berdoa agar kita akan terus mengukuhkan semangat yang tinggi dan dapat menghadapi cabaran dengan ikhlas, tabah dan tawakkal. Semoga aktivis kita dapat meneruskan budaya gerakan dakwah dengan penuh tanggungjawab dan penghayatan yang tinggi, maka insyaAllah ikatan hati dan ruh akan bertambah kuat dan ukhuwah di kalangan kita semakin mantap. InsyaAllah kita akan terus membina saf dan terus mengukuhkan Gerakan Islam PAS sebagai satu gerakan dakwah yang utama bagi menegakkan syariat dan syiar Islam. Kita telah menyakini dan menyedari bahawa kita berdakwah melalui politik dan yakin kita akan mendapat kemenangan.
Sekian, wabillahit taufiq wal hidayah.
Allahu Akhbar Allahu Akhbar Allahu akhbar

Monday, May 25, 2009

Ulama PAS perlukan perubahan

Harakahdaily Mon May 25, 09 1:23:38 pm MYT
DUNGUN, 25 Mei (Hrkh) - Gagasan "Kepimpinan Ulama" yang dimulakan sejak tahun 1982 berjaya meletakkan PAS ke tahap sekarang namun di waktu yang sama perubahan ke arah kepimpinan yang lebih baik dan mantap adalah perlu. Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Dato' Husin Awang berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Terengganu ke-44, di Dewan Darul Bayan Pinang Merah, Paka, Dungun, baru-baru ini.
"Kita (Dewan Ulama) juga mengharapkan perubahan dalam kepimpinan ini ke arah yang lebih agresif, maju dan mantap," tegasnya.
Katanya, ulama dan profesional bukan lagi menjadi isu dalam kepimpinan PAS kerana golongan ulama? yang profesional boleh memimpin masyarakat serta mentadbir urus negeri dengan baik.
Kata Dato' Husin lagi, kepimpinan ulama wajar memimpin parti dan masyarakat bagi mengekang bencana akidah dan politik yang semakin membarah.
"Ulama harus memimpin masyarakat kerana golongan ini menjadi pengawal kepada agama, menegakkan yang hak dan mencegah kemungkaran," ujarnya.
Tambahnya, iklim politik negara semakin berubah dari tahun ke tahun dan memerlukan pendekatan serta interaksi yang menyakinkan rakyat.
Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS negeri itu telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohammad Daud Iraqi.

Tuesday, May 19, 2009

Amanat 13 Mei Mursyidul Am

BISMILLAHIR RAHMAANIR RAHIIM
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra diantara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: Ayat 13). Dengan perkembangan-perkembangan laporan semasa di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahupun dalam negeri, yang sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan, berbanding dengan berita, khabar dan harapan yang lega untuk kita semua, saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidak tentuan dan serba salah.
Mereka bukan tidak ada sebuah kerajaan atau tidak ada pemimpin tetapi apalah daya mereka apabila mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi. Apa yang ada di carta semak “harapan sebuah kebahagiaan” yang dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara mereka; hampir semuanya kabur dan sedang berada dalam suasana yang cukup berkecamuk.Walaupun di sana terdapat banyak masjid yang indah-indah, teks khutbah, janji, piagam, lagu patriotik dan ikrar yang dilaung dan digantung di mana-mana tetapi ia sekadar deklarasi-deklarasi kosong yang tiada roh. Ini kerana ia kehilangan kejujuran.
Ia ketiadaan berkat kerana ia tidak diseru atas hasrat ikhlas untuk benar-benar memelihara adab dan agama, demokrasi dan keamanan serta perpaduan dan kesejahteraan. Dalam banyak kes dan contoh, apa yang rakyat lihat cumalah drama dan silap mata untuk songlap kepentingan awam menjadi milik kroni bagi pihak proksi dan rakan kongsi untuk tujuan-tujuan persendirian.Diatas nama mahukan politik yang stabil demi memperkukuhkan ekonomi negara, pengukuhan kerajaan telah dilakukan melalui projek-projek pembangunan. Dari situlah bermulanya ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka yang memegang amanah, telah mengkhianati amanah.
Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan. Selaras dengan ini, jika tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara kita maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momentum baru.Hari ini, 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu. Untuk mencintai diri demi untuk selamat di Yaumul Qiamah seperti yang sering orang Islam ulangi di setiap kali solat kita pertama-tamanya perlu sihat dan selamat terlebih dahulu.
Dari itu, kita perlu pula sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa tenang, tenteram dan gembira. Untuk bahagia, tenang dan gembira, tentu kita wajib hidup dalam sebuah disiplin hidup beragama. Kembalilah kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah S.W.T; itu premis kebahagiaan yang pertama. Kedua, kita perlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat.
Oleh kerana kita telah memilih sistem demokrasi berparlimen sebagai aliran pemerintahan dan premis hidup bernegara, maka kita perlu diberikan hak-hak sivil, kebebasan bersuara, berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan “rule of law and natural justice” serta segala amalan hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.
Ini bertindak sebagai asas dan pra syarat utama bagi seluruh rakyat Malaysia. Rakyat perlu diberi atau dikembalikan semula hak-hak tersebut jika ia telah dirampas dari tangan mereka selama ini. Ketiga, setiap rakyat dari pelbagai bangsa, agama, etnik dan keturunan perlu mendapat perlindungan keselamatan dari segala gangguan jenayah ragut, rogol, rampas, bunuh, bom dan bakar yang semakin menjadi-jadi.
Selagi rakyat tidak merasa selamat dan terasa dilindungi ketika menjalani dan melaksanakan kehidupan beragama dan aktiviti mencari rezeki seharian; terasa dipelihara keselamatan mereka dari segi nyawa, maruah, air muka, tubuh badan dan harta benda dari difitnah dan dimusnah; maka selama itulah kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh terasa selamat.
Ini soal hak yang sangat asas. Ia menjadi hak asasi milik setiap rakyat yang wajib dipelihara, sentiasa diberi dan selamanya dihormati. Mari kita jadikan tanggal 13 Mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama, mempereratkan persaudaraan dan muhibah serta menolak mana-mana pihak yang merosakkan perpaduan kaum dengan mencetuskan isu-isu perkauman yang bukan-bukan untuk mengaut mileage politik bagi melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan.
Kepada semua orang Islam tanpa mengira bangsa, izinkan saya berseru supaya hayatilah mesej dan roh lafaz salam “assala mu’alaikum warahmatullah” dengan sepenuhnya. Di sana ada makna persaudaraan yang sangat dalam. Bagi seluruh rakyat Malaysia pada amnya, mari kita kukuhkan ukhuwwah dalam semangat Pakatan Rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala bentuk amalan kezaliman, rasuah dan ketidak adilan.
Terima kasih dan Wassalam.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Menteri Besar Kelantan
Merangkap Mursyidul Am PAS
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Majlis Syura Ulama PAS menyerahkan kebijaksanaan pewakilan dalam muktamar nanti untuk membuat pilihan memilih pucuk pimpinan yang bersesuaian dengan keputusan Muktamar pada Oktober 1982. Muktamar 1982 itu telah memutuskan dengan jelas dan nyata bahawa PAS melaksanakan dasar kepimpinan ulama dalam menerajui PAS.
Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat pada 10 Mei lalu yang dihadiri seluruh ahli syura memperincikan keluhan dan rasa tidak puas hati sama ada melalui akhbar atau 'blog'. Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata, keputusan muktamar itu telah digunapakai tanpa sebarang masalah dan dihayati dengan teguh dan patuh.
Maka ketika itu Presiden PAS ialah seorang ulama, iaitu Almarhum Yusuf Rawa dan timbalannya pula adalah Almarhum Dato' Fadhil Noor. Jelasnya, apabila Fadhil Noor ditabalkan menjadi Presiden pula maka Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi menjadi timbalannya.
"Manakala selepas Hadi naik menjadi peneraju utama maka Ustaz Hassan Shukri pula menjadi timbalannya dan kemudian bertukar kepada Ustaz Nasaruddin Mat Isa hingga sekarang.
"Itulah mantapnya kepimpinan ulama yang diterima pakai hingga sekarang," tegas Haron Din ketika dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.
Beliau juga yakin seluruh ahli PAS memahami prinsip itu dan tidak ada kegusaran kerana mereka akur kepada muktamar. Jelasnya, selagi muktamar tidak ubah keputusannya maka selama itulah PAS akan terus diterajui kepimpinan ulama. Bagaimanapun, beliau kesal dengan propaganda oleh media arus perdana yang memainkan isu dalaman PAS dan melaga-lagakan antara ulama dengan profesional.
Katanya, laporan media kerajaan seolah-olah menggambarkan ada pergolakan dalaman PAS dengan merebut jawatan yang dilihat sebagai suatu kurang sihat. "Mungkin mereka (media) terpengaruh dengan politik Umno yang telah begitu parah dalam persaingan merebut jawatan. "Maka akhbar yang dipunyai Umno ini seolah-olah sengaja untuk menggambarkan kemelut politik yang ada dalam PAS, sehingga sebahagian pimpinan PAS yang terheret ke dalam kencah itu lalu membuat komen seperti ada pertarungan dalaman merebut jawatan," jelas beliau. Tambah Haron, modal asas media arus perdana ini adalah pertembungan antara ulama dengan profesional.
Mengulas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memantau pemilihan PAS, Haron berkata badan itu perlu bukti yang kukuh jika benar ada unsur-unsur rasuah. Apa yang membimbangkan kata beliau, 'penyakit' rasuah dalam Umno cuba hendak dipalitkan ke dalam PAS.
"Keadaan ini seolah-olah hendak menggambarkan bukan sahaja Umno berpolitik wang malah PAS pun sedemikian," katanya. Justeru, tegas beliau selagi tidak ada bukti nyata yang dapat diketengahkan perkara ini PAS menganggap unsur itu tidak wujud.

25 tahun menilai kepimpinan ulama

Semenjak dasarnya menjadi tunjang parti 25 tahun lalu, pelbagai pahit-maung dilalui di samping mengecapi kejayaan silih berganti. Ketua Pengarang Harakah AHMAD LUTFI OTHMAN, Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN dan Jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH menemui Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Dr Haron Din di kediamannya 27 April lalu bagi menyorot kembali sejarah awal era kepimpinan ulama yang telah membawa PAS ke persada politik negara dan dihormati di mata dunia, serta cabaran yang mendepaninya. HARAKAH: Era kepimpinan ulama dalam PAS sudah menjangkau 25, satu usia yang boleh dikira matang. Boleh Dato' jelaskan secara umum pengertian kepimpinan ulama itu?
DR HARON DIN: Sejak PAs ditubuhkan tahun 1951, ia sebuah parti Islam yang tujuan utamanya untuk melaksanakan tuntutan Allah bagi mengislamkan masyarakat dan negara. Motto besar ketika itu, PAS ingin menegakkan sebuah negara Islam.Sesuai dengan nama, dasar dan matlamat, maka PAS dari awal dipimpin oleh ulama, bermula Almarhum Haji Ahmad Fuad daripada Bukit Mertajam. Pemangkin perjuangan ketika itu terdiri daripada ulama-ulama tanahair yang sejak dari awal dan sudah ada dalam Dewan Ulama PAS, termasuk Haji Ahmad Pahim dan Haji Ahmad Badawi.
Masyarakat pada awalnya sudah memahami bahawa PAS dipimpin oleh ulama-ulama yang berwibawa sehinggalah berlaku sedikit perubahan apabila PAS terpaksa dipimpin oleh Almarhum Dr Abbas Alias daripada kalangan profesional dan kemudiannya Almarhum Dato' Asri Muda. Seolah-olah memperlihatkan PAS tidak semestinya dipimpin oleh ulama tetapi juga boleh di kalangan profesional.
Sehinggalah Muktamar Tahunan 1983 membuat satu ketetapan, PAS mestilah menggariskan dengan jelas, ia mesti berdasarkan kepimpinan ulama.Peruntukan baru Majlis Syura Ulama dimasukkan dalam perlembagaan, dengan kriteria khusus keanggotaan syura ulama. Difahami secara umum dan secara spontan bahawa kepimpinan tertinggi PAS disandang oleh orang-orang yang diterima dalam PAS sebagai ulama.
Sepanjang 25 tahun ini, apakah pencapaian dalam era kepimpinan ulama?
Kepimpinan ulama PAS sudah menjangkau suku abad, satu tempoh yang tidak pendek dan tidak terlalu panjang untuk dinilai semula pencapaiannnya. Saya melihat sejak daripada era kepimpinan ulama, pencapaian besar perjuangan yang diletakkan atas landasan Islam bagi menuju matlamat, keagungan Islam dan memartabatkannya menjadi perjuangan yang memikat hati majoriti umat Islam di negara iniAntara hasilnya, bermula pada 1990, PAS menang di Kelantan, dan sampai kini terus memerintah.
Kemudiannya kita menang di Terengganu untuk satu penggal dan menjadi pembangkang yang kuat di Parlimen. Tiba-tiba dalam 2008, apabila 'swing' besar berlaku, kita dapat sokongan daripada bukan Islam. Kecenderungan ini mula nampak beberapa ketika sebelum pilihan raya lagi apabila kita berjaya menubuhkan Kelab Penyokong PAS kepada bukan Islam.
Keanggotaannya bertambah dengan pesat sekali. Ini bukan retorik sokongan tetapi ia berkaya diterjemahakan oleh bukan Islam dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil selepas itu.Dominasi majoriti dua pertiga BN berjaya dinafikan. Dengan izin Allah jua, hitungan politik yang dulunya kita rasa mustahil, misalnya untuk Pakatan menguasai negeri-negeri seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang, kini jadi realiti.
Tiba pilihan raya kecil Permatang Pauh, Pakatan bukan menang sahaja tetapi majoritinya lebih tinggi daripada undi Umno-BN.Di Kuala Terengganu, senario terbalik. Permatang Pauh memang kawasan kubu KeADILan tetapi Kuala Terengganu kawasan Umno-BN. Usahanya untuk tebus balik juga cukup besar. Belanjanya besar dan harapan dia menang juga besar.Tetapi apa yang berlaku, rakyat terus tolak BN, dan beri kemenangan besar kepada calon PAS.
Kemudian urutan selepas itu, pencapaian semakin berlanjutan apabila Pakatan menang, juga dengan majoriti lebih besar di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Dengan pencapaian Pakatan Rakyat itu, siang-siang lagi di Dun Penanti, Umno sudah membuat pengisytiharaan bahawa Umno kemungkinan tidak menyertai pilihan raya kecil kali ini.Mana mungkin dalam politik dunia, sebuah parti memerintah yang ada semua kekuatan, jenteranya, wang, kemudahan kerajaan dan media siang-siang lagi mengaku kalah.
Pilihan raya pertama yang dihadapi saf kepimpinan ulama ialah pada 1986, Namun, pencapaiannya cukup menguji era kepimpinan ulama apabila ia menjadi antara pilihan raya terburuk kepada PAS, apabila sekadar menang satu kerusi Parlimen manakala Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat juga kalah di Bachok dan kita tidak berupaya menawan Kelantan. Apakah itu menandakan era kepimpinan politik tidak diterima rakyat?
Sepanjang sejarah politik negara, PAS masuk bertanding dan menang kali pertama satu kerusi di Kerian, Perak pada 1955 iaitu melalui Tuan Haji Ahmad Tuan Husin dan sampailah kepada era kepimpinan ulama. Pengaruh PAS tidak berubah dalam keadaan namanya parti Islam dan kepimpinan ulama di peringkat awal bukan menjadi satu faktor utama untuk mengubah tanggapan terhadap PAS.
Berbanding dengan pengaruh isu-isu pembangunan, pembasmian kemiskinan dan konflik kaum yang tercetus pada Mei 1969 yang membawa sehingga 1986.Kita lihat kempen-kempen melampau memburuk-burukkan PAS yang menonjol dalam seluruh media massa untuk mengajak masyarakat menolak PAS. Kita sedia menerima kekalahan jika ia berdasarkan kelemahan kita.
Soalnya, sejauh mana proses pilihan raya itu bebas dan adil bagi maksud ketelusan dan kejujuran dalam mengendalikan pilihan. Umpamanya, kenapa Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) masih membuat keputusan dan dasar yang mengundang tafsiran negatif umum? Apa perlunya undi pos dalam suasana yang mereka juga boleh mengundi macam orang lain?
Kenapa tidak boleh hantar wakil parti untuk memantau dan melihat proses undi pos yang berjalan di pusat-pusat pengundian seperti di Bukit Aman, Mindef?
Sekiranya atas faktor keselamatan dan orang awam tidak boleh masuk, maka orang kampung saya pun boleh jawab, tidakkah di kawasan-kawasan sebegitu, orang awam juga boleh jual ikan, akhbar, dan barang-barang runcit. kawasan keselamatan?
Lagi satu, kenapa undi tidak dibilang pada hari mengundi, yang boleh disaksikan wakil yang bertanding dan dicatat jumlahnya sahaja? Kenapa perlu undi itu disimpan sehingga tiga hari?
Soalan-soalan yang timbul, termasuk pengundi hantu hanya membayangkan proses pilihan raya itu sebenarnya tidak bebas dan adil.Selain itu, perubahan sebuah kepimpinan tidak boleh dilihat dan diterima orang seperti "mee segera". Ia perlu masa untuk difahami dan perlu masa untuk melihat perubahan yang berlaku dalam sesuatu kepimpinan.
PAS ambil masa sehinggalah tahun 1990 apabila Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan PAS menang di Kelantan.Itu kita lihat ada keberkesanan dalam era kepimpinan ulama. Oleh kerana itulah, diletakkan Tuan Guru sebagai Menteri Besar Kelantan. Selepas itu rakyat Kelantan terus menerus memberi sokongan kepada PAS dan Angkatan, kemudiannya Pakatan Rakyat, walaupun pernah pada 2004, PAS hanya menang majoriti satu kerusi sahaja.Semua ini dapatlah kita kaitkan sebagai suatu mesej penerimaan masyarakat kepada kepimpinan ulama dalam PAS. Ada pihak berpandangan era kepimpinan ulama bukannya disebabkan kesedaran dalaman PAS tetapi berpunca daripada usaha untuk menggantikan kepimpinan Dato' Asri Muda, dan pengaruh luar revolusi Islam Iran berbanding usaha ingin memartabatkan kepimpinan ulama itu sendiri.
Ketika itu memang kebangkitan Islam berlaku dengan jelas di seluruh dunia, dimulai dengan Ayatullah Khomeni menggantikan Shah Iran, seterusnya berlaku kejayaan Islam di beberapa negara Timur Tengah. Ombak kesedaran Islam itu semakin besar dan sampai juga ke Malaysia. Bagaimanapun, ia tentunya tidak berlaku secara tiba-tiba. Ada semacam 'paid up capital' atau modal berbayar yang mencetuskan era kepimpinan ulama.Pada tahun 1975, saya terlibat secara langsung dengan PAS, ketika itu masih lagi pensyarah di salah sebuah Universiti tempatan.
Saya dicalonkan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan mendapat undian terbanyak.Selepas itu, saya dan Yang Dipertua PAS, Dato' Asri Muda berkempen dan berceramah di seluruh negara. Kami ke mana-mana bersama. Haji Subky Abdul Latif pernah menulis dalam sebuah bukunya bahawa antara memimpin yang wajar memimpin PAS selepas Dato' Asri ialah, dua orang iaitu, saya dan Dr Sanusi Daeng Mariok.
Maknanya telah tergambar kepada ahli PAS ketika itu bahawa perlunya ada perubahan dalam PAS dan ia mestilah berteraskan kepada kepimpinan ulama.Itu tanda kesedaran bahawa mereka yang mendalami agama, yang mahir dan arif dalam agama atau dengan bahasa mudahnya ulama, merupakan golongan yang selayaknya memimpin PAS.
Akhirnya selepas itu Almarhum Haji Yusof Rawa yang juga seoarang ulama mdipilih memimpin PAS.Suka saya tegaskan bahawa perubahan yang berlaku itu bukanlah kerana terikut-ikut tetapi sebagai landasan bahawa PAS memperjuangkan Islam sebagai satu cara hidup yang wajar dipimpin oleh ulama.
Berbanding Iran atau negara-negara Timur Tengah yang menyaksikan kemenangan Islam, komposisi penduduk Malaysia jauh lebih mencabar dan kompleks.
Dalam suasana seperti itu, bagaimanakah PAS berjaya menonjolkan kepimpinan ulama dan perjuangan Islamnya sehingga mutakhir ini golongan bukan Islam turut menyokong dan tertubuhnya Kelab Penyokong PAS?
Iklim politik Malaysia tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan komposisi di Iran yang majoritinya Syiah, atau di Algeria, Mesir dan Kuwait. Mereka lebih mudah untuk menampilkan kepimpinan ulama dan menterjemahkan Islam berbanding kita. Mereka berbangsa Arab dan faham bahasa al-Quran dengan mudah.
Dilema yang bermain di kepala saya sejak menjadi ahli PAS ketika di bangku pengajian lagi, adalah bagaimana PAS boleh merancang gerak kerja dengan berkesan sedangkan umat Islam hanya ada sekitar 50 peratus sahaja, malah itu pun berpecah-pecah.Sebenarnya perjuangan Islam ini harus dilihat daripada sejarah. Islam itu bermula daripada seorang iaitu Rasulullah s.a.w. Baginda berjuang seorang diri kemudian diikuti oleh golongan mustadafin.
Di tengah-tengah 'kemustahilan' itu, Allah bantu Nabi dan pejuang-pejuang agamanya walaupun ketika itu pihak musyrikin mahu membunuh Nabi dan pengikutnya. Ketika itu di Makkah hanya ada berbelas-belas orang Islam sahaja yang berbaih dengan Nabi. Dengan kuasa Allah, ketika Nabi sampai di Madinah, beratus-ratus orang menyambutnya dan dalam masa singkat, Madinah diperintah oleh Islam. Itu bukti sejarah.
Justeru, kita tetap yakin perjuangkan Islam dan Allah sudah berjanji, jika kita ikhlas, Allah akan membantu kita.Dalam pilihan raya Mac 2008, saya hampir tidak percaya bahawa kita akan menguasai lima negeri dan dapat menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, malah hingga kini keahlian Kelab Penyokong PAS hampir mencecah 100,000 daripada orang bukan Islam, suatu perkara yang tak pernah dibayangkan dulu.
Ketika saya berkampung berkempen di Bukit Gantang, saya melihat satu fenomena yang belum pernah saya lihat sebelum ini. Orang Cina dan India pegang bendera dan sepanduk PAS, malah anak-anak mereka melilit kepala dengan lilitan slogan PAS sambil berarak semasa hari penamaan calon. Saya tersentuh dan terkejut, apabila ada seorang Cina peluk saya sambil beri sebotol air minuman. Ia tak pernah berlaku sebelum ini.
Begitu juga dengan cerita kawan-kawan saya yang kebetulan ahli Umno. Mereka menyamar dan pergi ke kawasan hulu kampung Cina di Bukit Gantang. Sampai di hujung jalan mati, mereka lihat rumah-rumah orang Cina dipenuhi dengan bendera dan kain rentang PAS.Tiba-tiba keluar seorang Cina, bertanya kepada mereka: "You orang mana?"
Untuk 'menyelamatkan diri' dan tidak mahu dikenali sebagai penyokong Umno, mereka pun menjawab: "Kami orang Bulan." Apa lagi sambil menunjukkan isyarat tangan tanda bagus, orang Cina memanggil lebih ramai lagi kawan-kawan dan jiran tetangga untuk meraikan ahli Umno yang menyamar sebagai penyokong PAS tadi.
Kata kawan saya itu, kalau beginilah keadaanya, memang sah hancurlah Umno selepas ini! (Ketawa)Ya, orang yang menjauhi Islam dahulu akhirnya kini baik kepada Islam. Yang penting kita perlu ikhlas berjuang kerana Islam dan bukan kerana dunia.Ayat al-Quran ada menyebut, yang maksudnya, "Sekiranya kamu berjuang untuk tegak nama Allah, Allah janji tolong kamu dan menangkan kamu."
Ini jawapan Allah kepada golongan yang menyokong Islam dan ini hakikat yang bukan atas daya kita tetapi pertolongan Allah semata-mata.Bayangkan, dalam keadaan kita tidak punya media bersifat .
Harakah adalah untuk ahli PAS sahaja dan bukan Islam tidak boleh beli Harakah sebab mereka bukan ahli PAS, itu syarat dan sekatan kerajaan. Jadi bagaimana mesej Islam dan boleh sampai seruan kepada mereka ini jika ianya bukan datangnya daripada Allah SWT?
Walaupun PAS mempunyai saf dan teras kepimpinan ulama namun parti ini tidak pernah mengenepikan golongan profesional dan kedua-duanya dilihat cukup intim dalam usaha untuk melaksanakan perjuangan Islam yang sebenarnya. Boleh Dato' ulas gabung jalin kepimpinan ulama dan profesional ini dalam PAS?
PAS bukanlah parti yang dikongkong oleh ulama malah disokong oleh gabung-jalin yang rapat dengan tenaga profesional. Ulama boleh bergandingan dengan sesiapa sahaja serta sentiasa bantu-membantu di antara satu sama lain.Kepimpinan ulama hanyalah satu arah tuju yang kita nampak sebagai pengemudi parti.
Ulama laksana juruterbang yang mambawa kapal terbang atau nahkoda bagi sebuah kapal. Namun ia bukan kerja dia seorang tetapi beserta kakitangannya yang lain. Hal ehwal penumpang, kebajikan, keselamatan diuruskan oleh yang bukan 'pilot'. Kesinambungan itu yang membuatkan sesuatu perjalanan menjadi lancar.
Analogi itu ada di dalam PAS. Begitu juga seperti sejarah peperangan. Ada yang hebat berjuang dan ke depan. Nabi Muhammad mengetuai peperangan tetapi tidak pernah sekali pun membunuh. Begitu juga ada yang diperintahkan Nabi tetapi Nabi sendiri tidak pernah lakukan seperti azan dan qamat, sesuai dengan dirinya yang sentiasa jadi imam.
Ada ketika Nabi pernah perintah pasukan tentera Islam berkhemah tetapi ditegur oleh pakar perang bahawa kawasan itu tidak sesuai kerana jauh daripada air, dekat dengan laluan angin dan mengadap pancaran matahari. Nabi bersetuju dan pindah tempat lain. Itu menandakan, dalam perang masing-masing ada kepakarannya. Ada yang hebat menombak, memanah dan ada yang hebat berdakwah.Begitu juga dalam PAS, masing-masing ada kelebihannya dan saling tampung-menampung.
Oleh itu kelangsungan kepimpinan ulama mestilah diteruskan. Gandingan dengan tenaga profesional harus terus dimantapkan. PAS dengan parti lawan kita juga berbeza. Parti mereka pentingkan keduniaan, catur politiknya juga dunia dan modal besar serta janji mereka juga adalah dunia seperti pembangunan dan penambahan dari segi material.
Untuk berdepan dan menyaingi mereka, kita perlukan bukan sahaja ulama, tetapi juga tenaga dan buah fikiran golongan profesional untuk memantapkan parti dan bergerak memastikan kejayaan perjuangan Islam ini.Beza yang jelas dan nyata secara khusus ialah, kita PAS berjuang untuk ukhrawi (akhirat) dan juga duniawi (dunia).
Dan untuk itu gabungan ini mestilah sentiasa mantap.Mesti bergandingan dan tampung-menampung jika ada kebocoran dan bukannya mencari kelemahan dan mahu menjatuhkan pihak lain. Jangan parti kita jadi serupa Umno sehingga berlaku politik wang.Kesemua dalam Unno juga akui betapa politik wang menghancurkan mereka, apatah lagi kita. Jangan digunakan wang untuk memancing undi hatta beri jamuan untuk mesyuarat-mesyuarat kawasan.
Termasuk membelanjakan dan berikan wang untuk perasmian berkaitan pemilihan. Yang ini tidak pernah berlaku dalam PAS dan jangan benarkan ia menular dalam parti. Ada juga pernah timbul gagasan "mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama". Boleh Dato' beri pendapat tentang hal ini.
Pernah kita tonjolkan istilah ini dengan hasrat untuk berbuat demikian. Ianya sedap didengar namun pada hakikatnya tidak semudah itu. Berapa masa yang diambil untuk jadi seorang ulama? Hatta yang mengaji pondok, lulus sarjana atau PhD, belum tentu lagi ulama. Begitu juga profesional seperti doktor, peguam, jurutera atau arkitek. Berapa lama masa yang diambil?Samakah profesional menjadi ulama atau sebaliknya? Tak mungkin sama.
Cuma yang kita mahu ialah kedua-duanya ada pengetahuan asas. Banyak membaca, mendalami ilmu dan menghafal al-Quran sehingga boleh berkata-kata seperti ulama walaupun mereka bukan ulama. Ternyata gagasan ini ada hasilnya apabila telah ada ketua-ketua kawasan, Naib-naib Presiden datang daripada golongan profesional malah AJK PAS Pusat separuh daripadanya bukan ulama.
Mereka ini boleh sebut dan petik ayat al-Quran dan Hadis. Ada golongan profesional membaca ayat-ayat al-Quran dalam ucapan, perbahasan, ceramah dan debat mereka malah ada yang boleh mengungkap kaedah fekah dengan betul dan tersusun.Begitu juga dengan "memprofesionalkan ulama".
Walaupun tidaklah menjadi seperti golongan profesional, tetapi ada ulama yang diminta menjadi penasihat-penasihat bank, ahli penasihat syariah Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Muamalat, RHB. Dan ada ulama yang menduduki jawatan dalam badan-badan profesional.
Ternyata, ilmu perbankan atau hal ehwal profesional perlu ada pada seseorang ulama sebelum mereka diberi kepercayaan menjadi penasihat dan ini telah terbukti bahawa ulama juga boleh menjadi profesional tetapi ia tetap tidak sama dengan profesional yang sebenarnya dan begitu juga sebaliknya.Yang pasti, gabung-jalin ini mesti diteruskan dan gagasan ini perlu dimantapkan demi kelangsungan perjuangan PAS itu sendiri.
Sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' dilihat mempunyai keupayaan untuk melihat, jika ada, kegagalan dalam memahami gagasan kepimpinan ulama dan gabung-jalin kedua-dua golongan agar segala salah faham dapat dihindari.
Apabila berhadapan dengan soal pemilihan, pelbagai persoalan berbangkit terutama jika membincangkan isu kepimpinan ulama. Kita perlu sedar bahawa dasar kepimpinan ulama dibuat bukan untuk kepentingan sesiapa tetapi merupakan keperluan dalam perjuangan Islam. Wujud juga tafsiran yang sengaja atau mungkin tidak faham dengan perjuangan PAS apabila kepimpinan ulama mahu ditukar kepada kepimpinan Islam.Istilah itu tidak berlawanan jika kepimpinan Islam berteraskan ulama namun jika pemimpin yang memimpin adalah Islam sahaja, maka tafsirannya terlalu luas.
Seolah-olah, sesiapa sahaja boleh memimpin PAS asalkan dia itu Islam. Itu konteks yang luas dan boleh mengundang pelbagai hujah dan fitnah. Tetapi jika yang memimpin PAS itu adalah ulama, maka ada 'limitation' dan hadnya supaya ada ciri-ciri serta kriteria tertentu untuk menjadi pemimpin tertinggi parti Islam ini.Islam itu adalah agama yang mudah, maka diperluaskan tetapi jika ia luas sangat, maka sempitkan.
Jika kita letak landasan kepimpinan ulama maka ianya "tidaklah luas atau tidaklah sempit sangat".Pemimpin dalam Islam adalah imam, ia umpama analogi dalam solat di mana ada makmun di belakangnya. Dan ada doa yang menjelaskan ciri kepimpinan itu tadi iaitu: "Ya Allah, jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa."
Justeru, dalam hal bertakwa juga mempunyai peringkat-peringkat tertentu dan yang dipilih ialah yang tinggi takwanya. Lazimnya ulama mempunyai ciri-ciri ini.Nabi Muhammad adalah pemimpin dan juga imam. Ada ketika baginda khusyuk solat sampai mengerjakan Maghrib empat rakaat tetapi kemudiannya ditegur makmun. Rasullulah s.a.w. akur dan menunaikan sujud sahwi. Begitu juga dengan hal peperangan, baginda sentiasa menerima pandangan daripada sahabat yang arif berperang. Itu bukan kesilapan tetapi petunjuk ringkas daripada Rasullulah bahawa pemimpin boleh ditegur, dibantu dan diberi pandangan.
Begitu juga dalam PAS. Kelemahan kepimpinan ulama bukan untuk diperbesarkan tetapi mesti diperbetulkan. Kita kena ingat, semua orang mempunyai kelemahan dan sewajarnya ditampung bersama. Adakah dengan menukar kepimpinan maka kelemahan dan kesilapan tidak akan wujud sama sekali?
Tunjukkan di mana kesilapan kepimpinan ulama, dan apakah selepas mereka ditegur, segala teguran itu tidak diikut? Media, blog dan internet sepatutnya berlaku adil kepada kepimpinan ulama jika berlaku kelemahan ataupun salah faham. Boleh buat pertemuan, berjumpa sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Saya lihat ada keterbukaan kepada kepimpinan ulama kita, mereka tidak mempunyai sebarang halangan untuk kita bersua dan mendapatkan penjelasan. Mereka sedia bertemu dan berbincang demi untuk kukuhkan parti sekali gus memantapkan perjuangan Islam yang menjadi dasar dan teras PAS selama ini.