Friday, January 31, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 2 JAMADIL AKHIR 1441 / 31 JANUARI 2020


VIRUS KORONA : LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

Khutbah Pertama

إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا، وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ
أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، أَرْسَلَهُ بِالْحَقِّ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، مَنْ يُطِعِ اللهُ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَإِنَّهُ لَا يَضُرُّ إِلَّا نَفْسَهُ، وَلَا يَضُرُّ اللهَ شَيْئًا.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.
أَمَّا بَعْدُ؛ فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ. 
قَالَ اللهُ تَعَالَى:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا ﴿٧٠﴾ يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا ﴿٧١﴾ (Surah Al-Ahzab ayat 70-71)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan sidang jamaah sekalian, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Taqwa adalah penentu arah kehidupan manusia, yang akan menentukan nasib kita sama ada bahagia atau sengsara, selamat atau celaka, syurga atau neraka. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diminta untuk menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat yang banyak, dan pahala Jumaat kita tidak sia-sia.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan penyebaran virus korona yang masih belum ditemui penawarnya. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, virus yang menyerang sistem pernafasan manusia ini telah pun memasuki negara kita. Berikutan kejadian ini, mimbar akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Virus Korona: Langkah-Langkah Pencegahan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagai siang dan malam, begitulah warna kehidupan manusia. Tidak ada manusia yang dapat terhindar daripada segala yang dibenci. Ada ketikanya kita senang, gembira tapi ada ketikanya pula kita susah dan bersedih. Ada ketikanya kita sihat tapi ada ketikanya kita juga ditimpa sakit. Allah s.w.t pasti menguji manusia dengan dua hal yang menyenangkan dan menyedihkan, seperti dalam firman-Nya:

... وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ ﴿٣٥﴾

Maksudnya: "... Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan". (Surah Al-Anbiya' ayat 35)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Siapa pun akan mengakui, meskipun kita tidak menyedari, bahawa sihat adalah nikmat yang agung. Bahkan ia adalah nikmat paling penting bagi kemaslahatan hidup di dunia, sebagaimana Islam adalah nikmat yang paling agung bagi dunia dan akhirat. Sebagai bukti, manusia akan mengeluarkan harta seberapa banyak pun demi kesembuhannya, dan tidak ada yang berani menjual kesihatannya meski dengan harga imbalan yang tinggi.

Namun sayang, agungnya nikmat kesihatan tidak disedari oleh kebanyakan orang. Kerana kesedaran akan tingginya nilai nikmat sihat lebih terasa ketika nikmat itu hilang dari genggaman. Seperti orang yang buta matanya, dia amat sedar betapa nikmat mata adalah kurnia yang sangat besar. Namun kesedaran ini jarang hadir dalam fikiran manusia ketika nikmat itu masih dimilikinya. Sikap ini digambarkan oleh Nabi s.a.w dalam sabda baginda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya: "Dua nikmat yang dilupakan oleh kebanyakan manusia, iaitu sihat dan waktu lapang". (Hadits riwayat Al-Bukhari nombor 6412)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pepatah Arab ada mengatakan, الْوِقَايَةُ خَيْرُ مِنْ الْعِلَاجْ . Mafhumnya, mencegah itu lebih baik dari mengubati. Maka di kesempatan ini, mimbar ingin berkongsi langkah-langkah melindungi diri dan keluarga daripada virus korona:

1. Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi. Selalu mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (Hand Sanitizer).

2. Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask).

3. Elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan.

4. Elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul dengan mana-mana individu yang bergejala.

5. Elakkan dari memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.

6. Segera dapatkan rawatan perubatan jika jatuh sakit.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Jika kita tidak menjadi mangsa wabak ini, panjatkanlah rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana kita masih sihat. Tanda mensyukuri nikmat sihat adalah dengan mengakui bahawa kesihatan yang kita rasai sekarang adalah semata-mata kurniaan Allah, dan tidak menganggapnya sebagai suatu pemberian yang remeh. Ulamak Salaf pernah berkata, الشُّكْرُ تًرْكِ الْمَعَاصِى , maksudnya: Tanda syukur adalah dengan meninggalkan maksiat. Maka barangsiapa yang bermaksiat dengan badannya yang sihat, maka dia telah mengkufuri nikmat pemberian Allah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Doa adalah penawar terbaik untuk menghadapi wabak ini, kerana Allah jualah yang Maha Berkuasa menyembuhkan. Antara doa yang baik untuk kita amalkan ketika ini adalah:

1. اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ وَالْأَعْمَالِ وَالْأَهْوَاءِ وَالْأَدْوَاء

Maksudnya: "Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang mungkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat". (Hadits riwayat At-Tirmidzi nombor 3591)

Doa Nabi s.a.w ini sangat ringkas dan padat. Keempat-empat perkara ini merupakan virus berbahaya yang perlu kita hindari.

2. أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: "Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna, daripada segala keburukan yang Allah s.w.t cipta". (Hadits riwayat Muslim nombor 2709)

Jangan lupa zikir sunat pagi dan petang yang boleh menjadi benteng melindungi diri kita. Antara zikir yang paling utama untuk kita amalkan ialah:

3. بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: "Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (Hadits riwayat Abu Daud nombor 3899)

Mengakhiri khutbah pertama hari ini, mimbar berpesan agar kita sama-sama lazimkan diri membaca zikir dan doa-doa tadi di waktu pagi dan petang. Mudah-mudahan Allah akan melindungi kita dari bala yang mendatang dan memberikan kita keselamatan di dunia dan di akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Mimbar juga menyeru, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan iabadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat fardu 5 waktu ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walau sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي الأُوْيغُوْر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

اللَّهُمَّ يَا قَاضِيَ الْحَاجَات، وَعَالِمَ الْخَفِيَات، وَيَا مُجِبَ الدَّعَوَات، نَسْأَلُكَ بِأَسْمَاءِكَ الْحُسْنَى، وَصِفَاتِكَ الْأُولَى، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ بِمَا شَهِدْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الله، أَنْتَ وَاحِدُ الأَحَدْ، الْفَرْدُ الصَّمَدْ، لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُلَدْ، وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ، اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا، وَسَلِّمْ دِينَنَا، وَسَلِّمْ أَوْلَادَنَا، وَسَلِّمْ إِخْوَانَنَا، وَسَلِّمْ مِنْ مُسْلِمِينْ، وَسَلِّمْ شَعْبَ مَالِيزِيَا يَا الله مِنْ كُلِّ بَلَاءٍ، وَوَبَاءٍ، وَضِيقٍ، وَهَمٍّ، وَفِتْنَةٍ، وَغَمٍّ يَا أَكْرَمَ الأَكْرَمِين، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا يَا الله عَنِ الْوَبَاءِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا يَا الله عَنِ الْوَبَاءِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا يَا الله عَنِ الْوَبَاءِ.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُبِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ وَالأَعْمَالِ وَالأَهْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ، يَا أَكْرَمَ الأَكْرَمِين، وَيَا أَرْحَمَ الرَّحِمِين، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ سَلَامَةً فِي الدِّين، وَعَافِيَةً فِي الْجَسَد، وَزِيَادَةً فِي الْعِلْم، وَبَرَكَةً فِي الرِّزْق، وَتَوْبَةً قَبْلَ الْمَوْت، وَرَحْمَةً عِنْدَ الْمَوْت، وَمَغْفِرَةً بَعْدَ الْمَوْت. اللَّهُمَّ اشْفِي مَرْضَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا، وَعَافِي مُبْتَلَانَا، اللَّهُمَّ اشْفِي مَرْضَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا، وَعَافِي مُبْتَلَانَا، اللَّهُمَّ اشْفِي مَرْضَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا، وَعَافِي مُبْتَلَانَا.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

Friday, January 24, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 28 JAMADIL AWAL 1441 / 24 JANUARI 2020


WAJIB PERTAHANKAN IMAN


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar firman Allah Ta'ala yang memberi petunjuk kepada umat Islam:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ ۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿٢١٧﴾ [سورة البقرة : ٢١٧]

(Maksudnya): Mereka bertanya kepadamu tentang berperang dalam bulan haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar, tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) ke Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Dan barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amal amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

Sebab turun ayat ini bersempena dengan peristiwa apabila Rasulullah s.a.w menugaskan tujuh orang sahabat supaya keluar menjalankan tugas bagi menjejak pergerakan tentera musuh. Mereka tidak tahu di mana arah perintah supaya mereka pergi. Mereka diminta supaya membuka surat arahan bila sampai di satu tempat bernama Nakhlah. Ketua mereka, 'Abdullah bin Jahsy r.a membuka surat itu. Tiba-tiba arahan menuju ke tempat yang ditentukan untuk memintas pasukan musyrikin yang sedang musafir.

Peristiwa itu berlaku di akhir bulan Jamadil Akhir dan awal bulan bulan Rajab. Bulan Rajab adalah bulan yang diharamkan berperang yang menjadi amalan orang Arab dan diterima serta diiktiraf oleh Allah s.w.t.

Apabila pasukan tentera ini bertindak terhadap musuh pada masa yang mengelirukan, mereka tidak pasti adakah akhir Jamadil Akhir ataupun awal Rajab. Mereka berjaya membunuh seorang musuh serta membawa tawanan dan harta rampasan perang.

Peristiwa ini dijadikan senjata firnah oleh musuh-musuh Islam. Mereka menyatakan Muhammad seorang yang rakus berperang, tidak peduli kepada larangan Allah s.w.t yang mengharamkan di bulan Rajab, padahal ketika itu sudah masuk bulan Rajab. Lalu Allah menurunkan ayat tersebut bagi membela para sahabat yang berjuang pada jalan Allah s.w.t.

Ya, mereka berperang di bulan yang diharamkan itu adalah haram, tetapi menentang Islam, mencabuli tanah suci Makkah dan memfitnah orang Islam supaya murtad itu lebih haram lagi. Sesungguhnya fitnah itu merosakkan akidah orang Islam, lebih besar dosanya daripada membunuh. Orang yang dibunuh jasadnya, selagi imannya ada akan masuk ke syurga. Kematiannya mungkin syahid dan diampunkan dosa kalau tidak syahid kerana imannya masih ada. Kalau dibunuh akidahnya, walaupun jasadnya hidup beribu tahun, tetap menjadi ahli neraka selama-lamanya.

Di sini wajib kita mempertahankan iman yang paling berharga di dalam diri kita. Musuh-musuh Islam sangat rakus untuk memesongkan iman orang Islam supaya mereka menyeleweng dan meninggalkan Islam, bukan semestinya keluar daripada agama Islam, tetapi ingkar terhadap mana-mana hukum Islam sudah menjai kufur. Itu usaha yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk membunuh akidah umat Islam, bukan sahaja di zaman Rasulullah s.a.w, bahkan berlaku sepanjang masa sehingga hari ini.

Kita perlu menyedari betapa bahayanya penjajah yang pernah menjajah negara kita, bukan sahaja menjajah tanahair kita untuk mengangkut harta-harta dan segala hasil yang ada dalam tanahair ini, tetapi yang lebih bahaya menjajah pemikiran kita supaya kita jadi murtad (keluar daripada agama Islam), bukan semestinya menganut agama lain, termasuklah menolak mana-mana hukum Islam secara mengetahui, bukan secara jahil.

Di sana terdapat gerakan yang dilakukan oleh musuh-musuh penjajah itu melalui pendidikan dan pelajaran, membuka sekolah-sekolah bahasa mereka dan mengajar agama mereka supaya orang Islam meninggalkan agama Islam dengan tawaran-tawaran harta, wanita yang cantik dan pangkat yang tinggi. Hanya segelintir sahaja orang Islam yang berjaya dimurtadkan. Mereka gagal memurtadkan umat Islam kerana Allah memelihara hati-hati umat Islam mempertahankan agama mereka walaupun sejahil-jahil umat Islam. Yang murtad itu adalah paling bodoh walaupun cerdik pengajiannya.

Lalu mereka mengambil langkah melalui pendidikan kebangsaan menanamkan semangat kebangsaan masing-masing, memuja sejarah di zaman jahiliyah, mengurangkan rasa kasih kepada Al-Quran dan kasih kepada agama Allah serta menghiburkan kita jadi leka dan lali sedikit demi sedikit supaya meninggalkan amalan Islam dan ada yang dijadi murtad.

Penjajah yang dihalau dari negeri kita itu walaupun mereka sudah meninggalkan tanahair kita, mereka meninggalkan benih-benih yang sangat berbahaya yang membahayakan akidah umat Islam yang diletakkan ke dalam pemikiran umat Islam yang tidak sedar dan tidak faham tentang agama mereka.

Kita menyaksikan hari ini lahirnya kumpulan yang dinamakan kumpulan Islam Liberal untuk membinasakan Islam daripada hukum-hukum syariat dengan mudah dan senang. Kepada mereka hukum syariat itu ada perkara yang berkait dengan manusia tidak berkait dengan Tuhan, cukup dengan kita beribadat sahaja kepada Tuhan. Dalam kehidupan kita, kita boleh cari mana-mana hukum dan peraturan yang lain daripada hukum Allah s.w.t dan mengajak orang Islam sehingga bebas untuk menjadi murtad (keluar daripada agama Islam). Bukan tidak sayang pada Islam katanya, tetapi kebebasan suatu perkara yang dijunjung oleh Islam.

Islam tidak memaksa dalam agama yakni Islam tidak memaksa penganut agama lain masuk Islam, tetapi bila sudah jadi orang Islam, Islam berbeza dengan agama lain. Agama lain seperti yang difaham salah oleh mereka, bila seorang itu masuk Islam bermakna dia mengikat janji dengan Allah s.w.t melalui ucapan dua kalimah syahadah. Islam adalah agama yang menyeluruh, bukan sahaja agama ibadat, tetapi termasuk  di dalamnya cara hidup. Berbeza dengan agama lain yang terpisah dengan cara hidup dan ideologi-ideologi yang lain yang terpisah daripada agama.

Kalau negara-negara di dalam dunia bertindak keras terhadap orang yang melawan ideologi negaranya dianggap pengkhianat negara, maka murtad di dalam Islam adalah khianat kepada negara dan umat. Islam bukan sahaja akidah orang, termasuk juga akidah negara dan umat. Di sini Islam meletakkan kesalahan murtad bukan sahaja salah bagi dirinya, tetapi salah bagi negaranya dan Tuhan Rabbul 'alamin yang menguasai seluruh alam. Faham dan mengertilah dalam perkara ini supaya kita mempertahankan iman kita dengan sesungguhnya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ ﴿١٠٠﴾ [سورة آل عمران : ١٠٠]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Friday, January 17, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 21 JAMADIL AWAL 1441 / 17 JANUARI 2020


SIMPULAN TALI YANG TEGUH


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِے. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami petunjuk Allah s.w.t yang berfirman:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦﴾ [سورة البقرة : ٢٥٦] 

(Maksudnya): Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Sebab turun ayat ini berkait dengan para sahabat dalam kalangan Ansar radiAllahu 'anhum yang telah beriman dan yakin kepada ajaran Islam, mereka risau terhadap anak-anak mereka yang belum Islam. Lalu mereka meminta izin daripada Rasulullah s.a.w untuk memaksa anak-anak mereka masuk Islam. Maka Allah menurunkan ayat yang dibaca tadi, menyatakan bahawa iman itu mestilah dengan hati yang ikhlas kerana Allah s.w.t, bukan berpura-pura dan menunjuk-nunjuk, tidak boleh dengan sikap dan sifat yang bohong, mengaku dengan lidahnya Islam tetapi hatinya tidak percaya kepada Islam. Hanya mereka yang layak mendapat petunjuk kerana menggunakan akalnya dengan betul sahaja melihat kebenaran agama Islam mendapat hidayah daripada Allah s.w.t.

Allah menegaskan konsep tidak ada paksaan dalam menganut agama Islam, kerana memaksa orang masuk Islam itu melahirkan ramainya orang-orang munafik yang berpura-pura dengan Islam. Kita mahu orang Islam yang benar ikhlas kerana Allah s.w.t. Buktikan kebaikan Islam itu, menunjukkan kebenarannya, hukumnya yang adil, ajarannya membawa kebaikan kepada manusia dan menolak segala keburukan. Manusia yang menggunakan akalnya yang betul berfikir dengan mengkaji pasti mendapat hidayah daripada Allah s.w.t. Allah menjanjikan:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾ [سورة العنکبوت : ٦٩]

(Maksudnya): Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Orang-orang yang benar-benar mahu mencari kebenaran dengan hati yang ikhlas pasti mendapat hidayah daripada Allah s.w.t. Orang yang tidak ikhlas walaupun cerdik pandai seperti Iblis dan golongan ahli kitab tidak mendapat hidayah daripada Allah. Iblis yang pernah melihat syurga dan neraka, bercakap dengan Allah s.w.t, tetapi sifat sombong yang ada di dalam dirinya melawan Allah s.w.t tidak mendapat hidayah daripada Allah.

Berapa banyak ulamak ahli kitab daripada kalangan paderi-paderi dan pendita-pendita yang membaca berita kelahiran Nabi Muhammad s.a.w di dalam kitab-kitab suci mereka. Begitu juga sami-sami berbagai-bagai agama menyaksikan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w di dalam kitab-kitab suci mereka, kerana mereka mengejar dunia serta tidak yakin kepada hari akhirat dan tidak yakin kepada Allah s.w.t, mereka tidak layak menjadi orang Islam dan tidak mendapat hidayah daripada Allah s.w.t.

Di sana orang yang dilihat begitu bodoh, disebut di dalam hadits, Allah Ta'ala kagum orang yang ditawan di medan perang sebelum menjadi Islam, mereka melawan Islam dengan sekeras-kerasnya. Mereka ditawan, dirantai, digari dan diikat menjadi tawanan Islam kerana melawan Islam disebabkan kejahilan dan kebebalannya, tetapi apabila mereka melihat baiknya Islam, sucinya Islam dan mulianya Islam, mereka yang melawan Islam ini berubah menjadi orang-orang Islam yang paling taat dan setia serta yang berjihad dan berjuang menegakkan agama Allah mengorbankan harta dan jiwa raga mereka menegakkan Islam.

Itulah petunjuk daripada Allah s.w.t kerana ajaran Islam itu nyata dalil-dalil dan hujjah-hujjahnya. Sekiranya dikaji oleh manusia dengan hati yang ikhlas, apa lagi melihat hukum syariatnya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya menyebabkan berduyun-duyun mereka masuk Islam dengan jumlah yang ramai dan yang paling ramai daripada kalangan mereka adalah bukan Arab yang dianggap buta Al-Quran (tidak mengetahui makna dan maksudnya), tetapi menyaksikan kehebatan hukum Islam dilaksanakan di hadapan mereka serta menyaksikan sifat dan akhlak mulia yang ditunjukkan Islam diamalkan di hadapan mereka menyebabkan orang seperti itu boleh masuk Islam, mendapat hidayah daripada Allah s.w.t.

Islam itu mestilah diikat kepercayaannya sebagaimana diikat tali yang kuat disimpul dengan menolak segala yang lain daripada Allah dan menolak tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, menolak ajaran yang lain daripada Allah, menolak hukum yang lain daripada Allah dan menolak petunjuk yang lain daripada Allah. Hanya percaya kepada Allah sahaja, Tuhan yang Maha Esa, yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan, adil hukum-Nya, bijak segala ajaran-Nya, menerima Allah sahaja dengan ucapan La ilaha illAllah (tidak ada ilah tidak ada yang dipuja yang disembah yang dikagum yang lain daripada Allah, melainkan Allah sahaja).

Itulah simpulan tali yang teguh bila seseorang itu mengucap dengan hati yang yakin, percaya kepada makna dan maksud, percaya kepada tujuannya, bukan lidah sahaja yang menyebut kuat-kuat tetapi hatinya longgar, percaya dengan ilmu yang sebenar menjadi satu keyakinan yang kuat, tidak berganjak melainkan dengan Islam dan mati bersama dengan Islam.

Disebut di dalam hadits, seorang pendita yahudi, 'Abdullah bin Salam r.a, setelah beliau masuk ke dalam agama Islam, apabila menyaksikan wajah Nabi s.a.w dan berhujjah, memberitahu beliau bermimpi memanjat satu tiang. Ada orang yang mengarahkannya memanjat tiang itu. Di hujung tiang ada simpulan tali yang kuat. Beliau diarah supaya panjat dan pegang simpulan tali itu kuat-kuat dan jangan lepas sekali-kali. Beliau memanjat dengan bersungguh dan memegang simpulan tali yang kuat itu. Nabi s.a.w menta'birkan mimpinya, engkau menjadi orang Islam dan engkau masuk syurga kerana mati dengan simpulan tali yang teguh itu dan tidak berganjak dengan ajaran Islam.

Itulah dia Islam, bukan dengan mengucap main-main, bukan berzikir main-main, bukan menyanyikan zikir tanpa masuk ke dalam hati dan kepercayaannya. Di sana ramai manusia yang masuk ke syurga dengan La ilaha illAllah dengan keyakinannya mengakhiri ucapan kepercayaan hanya kepada Allah dan menolak yang lain daripada Allah.

Di sinilah diminta supaya diazan dan diiqamah pada telinga bayi-bayi yang baharu dilahirkan. Yang penting dalam azan dan iqamah itu adalah Asyhadu an la ilaha illAllah, diperdengarkan kepada anak yang tidak tahu apa-apa kerana berkatnya kalimah itu dan diminta mentalkinkan mereka yang dalam keadaan nazak:

لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ. [رواه مسلم]

(Maksudnya): Ucapkan kepada orang yang menghadapi kematian itu kalimah La ilaha illAllah.

Tujuannya bagi mendapat kelebihan:

مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ. [رواه ابو داود]

(Maksudnya): Sesiapa yang mengakhiri kalamnya dengan La ilaha illAllah akan dimasukkan ke syurga.


أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾ [سورة العصر : ٣ - ١] 

(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

KHUTBAH JUMAAT - 21 JAMADIL AWAL 1441 / 17 JANUARI 2020


KELEBIHAN MENGHAFAZ AL-QURAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ، الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا، وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ
أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. 
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ. 
قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ، وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ ﴿٤٠﴾

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?" (Surah Al-Qamar ayat 40)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru dan berpesan kepada sidang jamaah sekalian, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diminta untuk menumpukan sepenuh perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan, mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia. Bersempena dengan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Perak, mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Kelebihan Menghafaz Al-Quran".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sejarah hafazan Al-Quran bermula pada bulan Ramadan ketika Rasulullah s.a.w beribadah di gua Hira'. Baginda menerima wahyu Al-Quran daripada Allah s.w.t melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. Firman Allah s.w.t dalam Surah At_Takwir ayat 19 hingga 21:

إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ ﴿١٩﴾ ذِي قُوَّةٍ عِندَ ذِي الْعَرْشِ مَكِينٍ ﴿٢٠﴾ مُّطَاعٍ ثَمَّ أَمِينٍ ﴿٢١﴾

Maksudnya: "Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) utusan yang mulia, yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai". (Surah At-Takwir ayat 19-21)

Semasa penurunan ayat Al-Quran, Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh menghafaz dan mengulang-ulang bersama Jibril a.s. Ini kerana, baginda khuatir tidak dapat menghafaz Al-Quran dengan sempurna. Lalu Allah s.w.t menegur baginda supaya mendengar bacaan Jibril dengan baik sebelum mula menghafaz. Allah sudah menjamin akan menetapkan Al-Quran dalam dada Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam Surah Taha ayat 114:

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ ۗ وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ ۖ وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا ﴿١١٤﴾

Maksudnya: "Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku". (Surah Taha ayat 114)

Rasulullah s.a.w berusaha agar berjaya menghafaz Al-Quran seperti ia diturunkan. Baginda membaca dan mentadabbur Al-Quran dalam solat pada setiap malam. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Muzammil ayat 1 hingga 4:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ﴿١﴾ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٢﴾ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ﴿٣﴾ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤﴾

Maksudnya: "Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan tartil". (Surah Al-Muzammil ayat 1-4)

Walaupun Al-Quran terpahat kukuh di hati baginda dan para sahabat, Rasulullah s.a.w tetap menyuruh para sahabat menulis Al-Quran. Mereka menulis di atas pelepah-pelepah tamar, kulit binatang, kayu dan sebagainya. Baginda juga mempunyai sahabat yang menjadi penulis wahyu seperti Khulafaur Rasyidin, Saiyidina Mu'awiyah bin Abu Sufian, Saiyidina Zaid bin Tsabit dan lain-lain, radiAllahu 'anhum ajma'in.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Begitulah serba sedikit sejarah, bagaimana Al-Quran dihafaz oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Hayatilah kesungguhan mereka memelihara Al-Quran dengan cara mengumpulnya, membaca dan menghafaznya, serta mengamalkam isi kandungannya. Mungkin terlintas di fikiran kita, siapakah sebenarnya yang layak menghafaz Al-Quran? Sebagai orang Islam, tidak dapat tidak kita mesti menghafaz sekurang-kurangnya Surah Al-Fatihah yang merupakan rukun qauli yang wajib dibaca di dalam solat. Namun, adakah ia memadai? Adakah hafazan Al-Quran hanya untuk mereka yang belajar di pusat tahfiz sahaja? Sudah tentu tidak. Siapa sahaja dalam kalangan orang beriman layak untuk menghafaz Al-Quran. Allah s.w.t telah berfirman dalam Al-Quran:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ ﴿١٧﴾

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?" (Surah Al-Qamar ayat 17)

Rasulullah s.a.w juga banyak memberikan galakan untuk kita menghafaz Al-Quran. Antaranya hadits daripada Saiyidina 'Uqbah bin 'Amir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ضَوْءُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِي بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِي عَمِلَ بِهَذَا

Maksudnya: "Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa-apa yang terkandung di dalamnya, maka pada hari kiamat kedua-dua ibu-bapanya akan dipakaikan mahkota, cahaya mahkota itu lebih terang daripada cahaya matahari jika matahari itu berada dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Bayangkanlah bagaimana pula keadaan orang yang dirinya sendiri beramal dengan Al-Quran". (Hadits riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan tadi, diharap ianya dapat meningkatkan keinginan kita untuk menghafaz Al-Quran. Luangkanlah masa walaupun sedikit, sekurang-kurangnya membaca beberapa petikan ayat Al-Quran dalam sehari.

Masa lapang yang Allah kurniakan, gunakanlah untuk menghafaz surah-surah yang menjadi kelaziman seperti surah-surah dalam juzu' 30, Surah Al-Mulk, Surah Yaasin, Surah Al-Insan, Surah Al-Waaqi'ah dan sebagainya. Galakkanlah anak-anak kita membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya selalu dengan harapan mereka mudah untuk menghafaznya kelak.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dr. Yusuf Al-Qardawi ada berkata:

"Seluruh kaum muslimin sudah tahu sejak zaman para sahabat lagi, bahawa keberkatan Al-Quran bukanlah berpunca daripada membawa, menggantung dan menghias rumah dengannya. Keberkatan Al-Quran juga bukan pada memohon penawar dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan oleh syeikh atau orang yang baik, menulisnya pada pinggan, kemudian memadam dan meminum airnya. Sesungguhnya keberkatan Al-Quran yang sebenar adalah apabila kita mengikuti Al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya".

Ini yang sewajarnya kita semua muhasabah. Hari ini, sebahagian daripada kita lebih gemar mendengar dan menghafaz lagu nyanyian artis daripada alunan Al-Quran. Masuk sahaja kereta, terus memasang radio dan mendengar lagu-lagu. Dari bangun tidur hinggalah ke saat mahu tidur semula, telinga masih lagi mendengarkan lagu-lagu. Begitu jauh sekali kita daripada Al-Quran.

Berapa ramai pula yang mengalunkan bacaan Al-Quran, namun akhlaknya jauh dari setiap patah ayat yang dibaca. Berapa ramai yang berhujjah dan berslogan dengan Al-Quran pada aspek yang menguntungkan hidupnya, namun melupakan maksud ayat Al-Quran yang memandu sikap hidupnya. Tulisan Al-Quran hanya terpapar pada mashaf, sedangkan isi kandungannya langsung tidak terlihat pada percakapan dan tingkah laku.

Sedarlah wahai kaum muslimin! Hanya Al-Quran yang dapat menghidupkan hati yang mati. Jangan biar hati kita berselaput dengan tumpukan hitam dosa, sehingga menjadi penghalang Al-Quran berfungsi di hati. Hati kita sendiri perlu terlebih dahulu mencintai Al-Quran, tanpa sebarang tapi, tanpa sebarang nanti.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, dan bersempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Perak, mimbar berharap agar pembudayaan Al-Quran dalam kehidupan, tradisi keilmuan dan semarak cintakan Nabi s.a.w, sentiasa subur dan berkembang dalam kalangan umat Islam, khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan ini. Hayatilah firman Allah Ta'ala:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ ﴿٣٢﴾

Maksudnya: "Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)". (Surah Fatir ayat 32)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia.

Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walau sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي الأُوْيغُوْر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, rahmatilah kami dengan keberkatan Al-Quran, jadikanlah Al-Quran itu sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan sumber rahmat untuk kami. Ya Allah, ingatkanlah kamu tentang apa yang kami dilupakan daripada Al-Quran dan ajarkanlah kami tentang apa yang kami jahil tentang isi kandungan Al-Quran. Kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu malam dan siang, dan jadikanlah Al-Quran itu hujjah untuk kebaikan kami, wahai Tuhan sekalian alam.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

Friday, January 10, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 14 JAMADIL AWAL 1441 / 10 JANUARI 2020


KEMBALI SEMULA KEPADA ISLAM


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِي مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 


أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan daripada Allah s.w.t:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾ [سورة الأنفال : ٤٦]

(Maksudnya): Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah yang akan menyebabkan kamu menjadi gentar serta hilang kekuatanmu, dan bersabarlah; sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar.

Ayat ini ditujukan pada awalnya kepada orang-orang yang beriman di zaman Rasulullah s.a.w ketika memulakan dakwah Islam di semenanjung tanah Arab. Mereka dikepung oleh musuh-musuh Islam yang datang daripada segenap penjuru.

Allah s.w.t memerintahkan mereka supaya mereka bersatu dengan Islam yang terkandung di dalamnya perintah Allah dan Rasul-Nya s.a.w yang memberi kekuatan kepada mereka kehebatan dan kemuliaan. Allah menjanjikan kemenangan di dunia dan kemenangan di akhirat. Janji itu dibuktikan oleh Allah s.w.t apabila semua usaha yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam itu gagal walaupun mereka berpakat daripada semua agama ahli kitab dan agama musyrikin menentang Islam daripada segenap penjuru, timur barat utara dan selatan.

Bukan sahaja musuh-musuh itu tidak berjaya menghapuskan Islam, bahkan mengalahkan Islam. Mereka musnah dan kalah satu demi satu. Islam berkembang di seluruh pelusuk dunia, berlakunya kemenangan itu apabila orang-orang Islam benar-benar mentaati Allah dan Rasul-Nya. Apabila orang-orang Islam di zaman mutaakhir lemah pegangan agamanya, banyak meninggalkan ajaran Islam, mereka berkelahi sesama sendiri sehingga ada yang sanggup menjadi alat kepada musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan umatnya sendiri sehingga seluruh tanahair umat Islam dijajah oleh musuh. Berlakunya amaran Allah s.w.t sehingga hari ini orang Islam gagal untuk mencapai kemenangan, hilangnya kekuatan mereka setelah seratus tahun hilangnya kekuasaan pemerintahan Islam.

Walaupun Allah s.w.t tidak mengizinkan Islam dihapuskan oleh musuh-musuhnya, tetapi ingatlah bahawa kemuliaan umat Islam itu terletak kepada sejauh mana mereka berpegang dengan ajaran Islam, mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka tidak mendapat kemuliaan dan kemenangan selagi mereka tidak kembali kepada Islam, petunjuk yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan perintah Allah s.w.t.

Kita menyaksikan hari ini di hadapan mata kita apa yang telah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w:

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ. [رواه أبو داود]

(Maksudnya): Umat-umat lain akan mengelilingi kamu laksana orang-orang mengelilingi hidangan yang lazat. Maka bertanya sahabat, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih yang dihanyut oleh air banjir. Allah menghilangkan kehebatan kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit Al-Wahnu. Lalu para sahabat bertanya, apakah Al-Wahnu itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah, terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.

Itulah yang akan dialami oleh umat Islam, mereka dimakan dan diratah oleh musuh-musuhnya seperti orang memakan makanan yang lazat dengan rakus dan bernafsu. Mereka kasihkan dunia sehingga lupakan hari akhirat dan takut kepada mati dengan menyerah diri kepada musuh. Berbeza dengan umat Islam di zaman awal. Mereka menakluk dan memerintah dunia serta menguasai harta benda dunia, mentadbir urusan dunia menjadi jambatan untuk akhirat. Harta yang melimpah ruah dicapai oleh umat Islam sehingga di zaman kemuncaknya tidak ada orang lagi yang mahu menerima zakat. Mereka mendapat pertolongan dengan harta benda dunia yang diberi oleh Allah s.w.t. Mereka membina kemajuan dunia yang disaksikan oleh seluruh pelusuk dunia.

Mereka jadikan dunia laksana bayang-bayang, makin dikejar makin lari. Kalau berhenti, berhentilah bayang itu. Dunia hanyalah bayang-bayang dan angan-angan kosong sementara waktu, yang kekal adalah hari akhirat. Allah memberi kepada mereka berjaya menakluk dunia dengan harta benda yang melimpah ruah. Mereka jadikan harta itu untuk menegakkan Islam dan menunaikan kebajikan untuk hari akhirat. Mereka merantau ke seluruh pelusuk dunia untuk menyebarkan agama Islam. Ada yang mati berdagang di negeri orang dan meninggalkan keluarga kerana menyebarkan Islam. Ada yang mati di medan peperangan kerana mempertahankan Islam. Mereka kasihkan mati kerana menegakkan Islam kerana menyedari bahawa mati kerana Islam itu adalah kebahagiaan dunia dan akhirat yang kekal abadi.

Kita menghadapi umat Islam yang meninggalkan ajaran Islam. Nafsunya besar, mendapat kekayaan laksana semut yang mati di dalam gula, membunuh diri sendiri dengan kekayaan itu berkelahi dan berperang dengan kekayaan itu. Mereka mengejar dunia sehingga lupakan hari akhirat. Mereka takut kepada mati kerana banyaknya dosa yang dilakukan. Mereka tidak mengambil peluang bertaubat kepada Allah s.w.t.

Oleh itu kita menyaksikan orang Islam dibunuh di sana sini, bukan sahaja mereka dihina, tanahair mereka dijajah dan musuh-musuh Islam meratah umat Islam di mana-mana sahaja seperti di Palestin, di Kashmir, di Xin Jiang, di Myanmar, di Afrika Tengah dan banyak lagi wilayah-wilayah orang Islam dibunuh oleh musuh-musuh Islam dan banyak orang Islam tidak mengambil tahu nasib saudara mereka yang disiksa dan dibunuh oleh musuh. Masing-masing leka dengan kehidupan dunia.

Nabi s.a.w memberi amaran di dalam sabdanya:

مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ. [رواه الطبراني]

(Maksudnya): Sesiapa yang tidak mengambil tahu perkara yang menimpa orang Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka.

Allah masih sayang kepada kita dan memberi masa kepada kita untuk bertaubat, peluang untuk kembali semula kepada Islam dengar sedar dan insaf. Barangsiapa yang kembali semula kepada Islam selamatlah dia dan barangsiapa yang lalai tidak ingat kepada Islam celakalah dia.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٢٠٠﴾ [سورة آل عمران : ٢٠٠]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, (di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.