Friday, January 24, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 28 JAMADIL AWAL 1441 / 24 JANUARI 2020


WAJIB PERTAHANKAN IMAN


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar firman Allah Ta'ala yang memberi petunjuk kepada umat Islam:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ ۖ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ ۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿٢١٧﴾ [سورة البقرة : ٢١٧]

(Maksudnya): Mereka bertanya kepadamu tentang berperang dalam bulan haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar, tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah dan kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) ke Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Dan barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amal amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

Sebab turun ayat ini bersempena dengan peristiwa apabila Rasulullah s.a.w menugaskan tujuh orang sahabat supaya keluar menjalankan tugas bagi menjejak pergerakan tentera musuh. Mereka tidak tahu di mana arah perintah supaya mereka pergi. Mereka diminta supaya membuka surat arahan bila sampai di satu tempat bernama Nakhlah. Ketua mereka, 'Abdullah bin Jahsy r.a membuka surat itu. Tiba-tiba arahan menuju ke tempat yang ditentukan untuk memintas pasukan musyrikin yang sedang musafir.

Peristiwa itu berlaku di akhir bulan Jamadil Akhir dan awal bulan bulan Rajab. Bulan Rajab adalah bulan yang diharamkan berperang yang menjadi amalan orang Arab dan diterima serta diiktiraf oleh Allah s.w.t.

Apabila pasukan tentera ini bertindak terhadap musuh pada masa yang mengelirukan, mereka tidak pasti adakah akhir Jamadil Akhir ataupun awal Rajab. Mereka berjaya membunuh seorang musuh serta membawa tawanan dan harta rampasan perang.

Peristiwa ini dijadikan senjata firnah oleh musuh-musuh Islam. Mereka menyatakan Muhammad seorang yang rakus berperang, tidak peduli kepada larangan Allah s.w.t yang mengharamkan di bulan Rajab, padahal ketika itu sudah masuk bulan Rajab. Lalu Allah menurunkan ayat tersebut bagi membela para sahabat yang berjuang pada jalan Allah s.w.t.

Ya, mereka berperang di bulan yang diharamkan itu adalah haram, tetapi menentang Islam, mencabuli tanah suci Makkah dan memfitnah orang Islam supaya murtad itu lebih haram lagi. Sesungguhnya fitnah itu merosakkan akidah orang Islam, lebih besar dosanya daripada membunuh. Orang yang dibunuh jasadnya, selagi imannya ada akan masuk ke syurga. Kematiannya mungkin syahid dan diampunkan dosa kalau tidak syahid kerana imannya masih ada. Kalau dibunuh akidahnya, walaupun jasadnya hidup beribu tahun, tetap menjadi ahli neraka selama-lamanya.

Di sini wajib kita mempertahankan iman yang paling berharga di dalam diri kita. Musuh-musuh Islam sangat rakus untuk memesongkan iman orang Islam supaya mereka menyeleweng dan meninggalkan Islam, bukan semestinya keluar daripada agama Islam, tetapi ingkar terhadap mana-mana hukum Islam sudah menjai kufur. Itu usaha yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk membunuh akidah umat Islam, bukan sahaja di zaman Rasulullah s.a.w, bahkan berlaku sepanjang masa sehingga hari ini.

Kita perlu menyedari betapa bahayanya penjajah yang pernah menjajah negara kita, bukan sahaja menjajah tanahair kita untuk mengangkut harta-harta dan segala hasil yang ada dalam tanahair ini, tetapi yang lebih bahaya menjajah pemikiran kita supaya kita jadi murtad (keluar daripada agama Islam), bukan semestinya menganut agama lain, termasuklah menolak mana-mana hukum Islam secara mengetahui, bukan secara jahil.

Di sana terdapat gerakan yang dilakukan oleh musuh-musuh penjajah itu melalui pendidikan dan pelajaran, membuka sekolah-sekolah bahasa mereka dan mengajar agama mereka supaya orang Islam meninggalkan agama Islam dengan tawaran-tawaran harta, wanita yang cantik dan pangkat yang tinggi. Hanya segelintir sahaja orang Islam yang berjaya dimurtadkan. Mereka gagal memurtadkan umat Islam kerana Allah memelihara hati-hati umat Islam mempertahankan agama mereka walaupun sejahil-jahil umat Islam. Yang murtad itu adalah paling bodoh walaupun cerdik pengajiannya.

Lalu mereka mengambil langkah melalui pendidikan kebangsaan menanamkan semangat kebangsaan masing-masing, memuja sejarah di zaman jahiliyah, mengurangkan rasa kasih kepada Al-Quran dan kasih kepada agama Allah serta menghiburkan kita jadi leka dan lali sedikit demi sedikit supaya meninggalkan amalan Islam dan ada yang dijadi murtad.

Penjajah yang dihalau dari negeri kita itu walaupun mereka sudah meninggalkan tanahair kita, mereka meninggalkan benih-benih yang sangat berbahaya yang membahayakan akidah umat Islam yang diletakkan ke dalam pemikiran umat Islam yang tidak sedar dan tidak faham tentang agama mereka.

Kita menyaksikan hari ini lahirnya kumpulan yang dinamakan kumpulan Islam Liberal untuk membinasakan Islam daripada hukum-hukum syariat dengan mudah dan senang. Kepada mereka hukum syariat itu ada perkara yang berkait dengan manusia tidak berkait dengan Tuhan, cukup dengan kita beribadat sahaja kepada Tuhan. Dalam kehidupan kita, kita boleh cari mana-mana hukum dan peraturan yang lain daripada hukum Allah s.w.t dan mengajak orang Islam sehingga bebas untuk menjadi murtad (keluar daripada agama Islam). Bukan tidak sayang pada Islam katanya, tetapi kebebasan suatu perkara yang dijunjung oleh Islam.

Islam tidak memaksa dalam agama yakni Islam tidak memaksa penganut agama lain masuk Islam, tetapi bila sudah jadi orang Islam, Islam berbeza dengan agama lain. Agama lain seperti yang difaham salah oleh mereka, bila seorang itu masuk Islam bermakna dia mengikat janji dengan Allah s.w.t melalui ucapan dua kalimah syahadah. Islam adalah agama yang menyeluruh, bukan sahaja agama ibadat, tetapi termasuk  di dalamnya cara hidup. Berbeza dengan agama lain yang terpisah dengan cara hidup dan ideologi-ideologi yang lain yang terpisah daripada agama.

Kalau negara-negara di dalam dunia bertindak keras terhadap orang yang melawan ideologi negaranya dianggap pengkhianat negara, maka murtad di dalam Islam adalah khianat kepada negara dan umat. Islam bukan sahaja akidah orang, termasuk juga akidah negara dan umat. Di sini Islam meletakkan kesalahan murtad bukan sahaja salah bagi dirinya, tetapi salah bagi negaranya dan Tuhan Rabbul 'alamin yang menguasai seluruh alam. Faham dan mengertilah dalam perkara ini supaya kita mempertahankan iman kita dengan sesungguhnya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ ﴿١٠٠﴾ [سورة آل عمران : ١٠٠]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

1 comment:

  1. AJOQQ menyediakan permainan poker,domino, bandarq, bandarpoker, aduq, sakong dan capsa :)
    ayo segera bergabung bersama kami dan menangkan uang setiap harinya :)
    AJOQQ juga menyediakan bonus rollingan sebanyak 0.3% dan bonus referal sebanyak 20% :)

    ReplyDelete