Thursday, April 22, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 10 RAMADAN 1442 / 23 APRIL 2020

 RAMADAN MELATIH MENJADI ORANG BERTAQWA

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾ [سورة البقرة : ١٨٣]

Firman Allah Ta'ala: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dinyatakan tujuan yang besar di dalam kehidupan dunia tentang hikmah ibadat puasa supaya kita menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, yang bermaksud orang yang memelihara dirinya, berjaga-jaga dengan rasa taat, gerun dan takut kepada Allah, mengikut segala perintah dan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah s.w.t tidak berhajat apa-apa faedah, tetapi kita yang berhajat dalam kehidupan dunia dan akhirat. Maka Allah yang sayang kepada kita memberi rahmat yang tidak terhingga dan memberi petunjuk kepada kita supaya menjaga diri dalam kehidupan dunia ini. Tujuannya supaya selamat di dunia dan selamat sehingga hari akhirat.

Allah yang menjadikan kita Maha Mengetahui apa yang baik bagi kita dan apa yang buruk kepada diri kita. Maka diberi petunjuk dengan ajaran agama yang dinamakan Islam; ada suruhan dan ada larangan supaya kita berjaga-jaga dalam kehidupan dunia ini.

Amirul Mukminin 'Umar bin Al-Khattab r.a pernah bertanya kepada Ubai bin Ka'ab r.a, seorang sahabat yang alim, ilmunya diakui oleh Allah s.w.t dan Nabi s.a.w. 'Umar yang lebih tua daripadanya bertanya kepada Ubai: "Wahai Ubai, apakah yang dikatakan taqwa itu?" Ubai bertanya: "Pernahkah Amirul Mukminin berjalan di jalan yang banyak duri?" Umar menjawab: "Ya." Ubai bertanya: "Bagaimana caranya?" Jawab 'Umar: "Saya berjalan dengan cermat dan berhati-hati supaya kaki saya tidak terpijak duri". Kata Ubai: "Itulah dia taqwa, iaitu menjaga diri, sentiasa taat kepada Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya".

Betapa pentingnya taqwa itu, ia menjadi rukun semua khutbah supaya berpesan bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Sifat taqwa adalah menentukan martabat, pangkat dan kedudukan manusia di sisi Allah s.w.t. Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ [سورة الحجرات : ١٣]


(Maksudnya): Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Sabda Rasulullah s.a.w:

كُلُّكُمْ مِنْ آدَمَ وَآدَمُ مِنْ تُرَابٍ لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَبْيَضَ عَلَى أَسْوَدَ إِلَّا بِالتَّقْوَى. [رواه مسلم]


(Maksudnya): Tiap-tiap kamu daripada Adam, dan Adam dijadikan daripada tanah. Tidak ada kelebihan di antara orang Arab dan bukan Arab, di antara orang yang berkulit putih dengan yang berkulit hitam melainkan taqwa.

Allah s.w.t memandang hati yang bertaqwa kepada-Nya, hati yang memerintah dirinya taat kepada Allah s.w.t dengan mengikut perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita diwajibkan berpuasa. Di waktu siang hari kita meninggalkan kemahuan hawa nafsu yang dihalalkan; meninggalkan makan minum, meninggalkan bersetubuh dengan isteri yang dihalalkan pada masa yang lain. Tiba-tiba dilarang pada siang hari bulan Ramadan untuk mengajar kita dengan ikhlas, tidak menipu diri sendiri, taat kepada Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, di samping ibadat-ibadat wajib yang telah sedia ada seperti sembahyang lima waktu, menutup aurat dan lain-lain lagi. Disertakan pula dengan ibadat-ibadat sunat; digalakkan kita membaca Al-Quran, sembahyang terawih, sembahyang tahajjud, berdoa, berzikir, beristighfar dan bertasbih serta membersihkan diri kita dengan ibadat.

Ramadan benar-benar melatih diri kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah dan diberi kelebihan yang sangat besar. Sabda Nabi s.a.w:

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ. [رواه مسلم]


(Maksudnya): Sembahyang lima waktu, Jumaat sehingga Jumaat (dalam masa seminggu) dan Ramadan sehingga Ramadan (dalam masa setahun) menghapuskan dosa-dosa yang dibuat di antaranya sekiranya ditinggalkan dosa yang besar.

Ibadat yang termasuk dalam bulan Ramadan menghilangkan dosa-dosa tersebut.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾ [سورة البقرة : ١٨٥]


(Maksudnya): (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, April 15, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 3 RAMADAN 1442 / 16 APRIL 2020

KELEBIHAN IBADAT PUASA

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِي مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ لِلْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾ [سورة البقرة : ١٨٣]


Firman Allah Ta'ala: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita telah pun masuk hari yang ketiga di dalam bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan yang sangat dihormati dan diberkati oleh Allah s.w.t. Allah menjemput kita menjadi tetamu dengan dihidangkan makanan rohani dan makanan jasmani yang diberi fadilat dan pahala yang sangat besar dijanjikan oleh Allah s.w.t. Betapa besarnya pahala itu disebut di dalam beberapa hadits, antaranya:

مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ رَخَّصَهَا اللَّهُ لَهُ، لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ. [رواه أبو داود وابن ماجه والترمذي]


(Maksudnya): Siapa yang berbuka puasa satu hari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qada' puasa tersebut walaupun selama-lamanya.

Maka dia berdosa besar walaupun dia wajib mengqada'kannya dan diampun Allah yang Maha Pengampun, tetapi dia tidak boleh mendapat pahala dengan sebab meninggalkan satu hari berpuasa itu walapun dia berpuasa sepanjang hidupnya.

Itulah kelebihan ibadat puasa di bulan Ramadan Al-Mubarak yang disebut oleh Allah s.w.t dalam hadits qudsi:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ كُلُّ حَسَنَةٍ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَّا الصِّيَامَ فَهُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. [رواه احمد والبخاري وابن ماجه]


(Maksudnya): Sabda Rasulullah s.a.w, firman Allah: Tiap-tiap amal anak Adam itu terserah kepada-Nya (dengan janji sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda pahala sehingga tujuh ratus kali ganda) melainkan puasa, maka sesungguhnya ia terserah kepada-Ku (Allah), Akulah (Allah) yang akan menentukan balasannya (pada hari kiamat kelak).

Tiap-tiap amal kebajikan diberi sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda. Adapun puasa tidak diketahui berapa kali gandanya. Hanya Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui. Itulah kelebihan ibadat puasa.

Allah memilih bulan Ramadan mewajibkan kita berpuasa yang menjadi Rukun Islam untuk mendidik dan melatih diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, menjadi orang yang bersabar dan bersyukur. Ia bukan sahaja mendapat pahala yang banyak, tetapi melatih diri kita untuk mengerjakan amal-amal yang soleh dengan penuh kesabaran menghadapi kelaparan, keletihan dan kesusahan. Dalam masa yang sama melatih untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang lain, sehingga ibadat wajib di bulan Ramadan lebih afdal daripada bulan-bulan yang lain dan ibadat sunat pula lebih besar fadilatnya daripada bulan yang lain.

Benar-benar kita dijamu oleh Allah s.w.t dengan makanan roh dan makanan jasad. Makanan dengan ibadat wajib dan sunat, meletakkan dalam diri kita sifat-sifat yang mulia seperti sabar, syukur dan bertaqwa; ketahanan diri menghadapi kesusahan, tidak leka dan lalai bila senang. Apabila kita merasai nikmat berbuka puasa, ingat kepada nikmat Allah s.w.t.

Kita diberi peluang pada bulan Ramadan yang mulia ini diperkenankan doa ketika berpuasa.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ. [رواه الترمذي]


(Maksudnya): Daripada Abu Hurairah r.a, katanya: Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang tidak ditolak doanya, pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.

Ambil peluang dalam masa berpuasa ini untuk membanyakkan doa kebaikan dunia yang diberkati dan kebaikan akhirat yang kekal selama-lamanya, beristighfar kepada Allah s.w.t, membanyakkan ibadat-ibadat yang lain, sembahyang tarawih, sembahyang tahajjud, tadarus Al-Quran, berzikir, bertahmid dan bertasbih. Juga bersedekah, menolong mereka yang susah dan menjamu orang berbuka puasa. Semuanya adalah ibadat.

Betapa mulianya bulan Ramadan untuk mendapat kelebihannya. Banyak orang mengeluarkan zakat di bulan Ramadan, padahal zakat boleh dikeluarkan bila-bila masa sahaja apabila sampai nisabnya, tetapi dikeluarkan pada bulan Ramadan bagi mendapat kelebihannya yang mulia itu sampai pahalanya berkali ganda.

Allah mengurniakan makanan ketika berbuka dan bersahur diberi pahala dan kelebihan sehingga Rasulullah s.a.w menyegerakan berbuka (berbuka dahulu, bukan sembahyang maghrib dahulu) kerana berbuka juga adalah ibadat. Jangan tunjuk kita lebih daripada Nabi s.a.w dengan bersembahyang dahulu, kemudian baru berbuka. Sedangkan Nabi s.a.w mengajar berbuka dahulu sebelum sembahyang.

Bersahur juga diberi kelebihan dan pahala. Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ. [رواه أحمد]


(Maksudnya): Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur. 

Allah memberi rahmat dan malaikat-Nya berdoa supaya Allah memberi rahmat kepada orang yang makan sahur. Walaupun sahur itu adalah makan yang tujuannya untuk menguatkan diri kita ketika berpuasa besok harinya. Oleh kerana tujuannya ibadat, maka ia diberi pahala oleh Allah s.w.t.

Di bulan yang mulia ini Allah memberi hadiah satu malam yang sangat besar kelebihannya yang dikenali dengan Lailatul Qadr (malam Qadar):

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ [سورة القدر : ٣]


(Maksudnya): Malam Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

Barangsiapa yang ibadatnya bertepatan dengan malam Qadar, ibadatnya diberi kelebihan seribu bulan, sama ada dia tahu malam itu Lailatul Qadr atau tidak, dia tetap mendapat pahala seribu bulan. Orang yang melihat tanda-tandanya sahaja Lailatul Qadr tetapi tidak beribadat, tidak mendapat kelebihan ibadat itu. Yang penting mencari kelebihan Lailatul Qadr dengan beribadat sepanjang Ramadan, khususnya sepuluh yang akhir daipada Ramadan untuk mendapat anugerah daripada Allah s.w.t.

Terlalu banyak kelebihan Ramadan yang disebut di dalam kitab-kitab berpandukan Al-Quran dan hadits-hadits Rasulullah s.a.w.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ. ﴿١٨٥﴾ [سورة البقرة : ١٨٥]


(Maksudnya): (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, April 1, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 19 SYAABAN 1442 / 2 APRIL 2021

 ISLAM TETAP DIPELIHARA ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا حَامِدِينِ، وَحَمْدًا شَاكِرِينِ، وَحَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِي مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ، إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar dan memahami firman Allah Ta'ala:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ ﴿١٤٣﴾ [سورة البقرة : ١٤٣]


(Maksudnya): Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu...

Demikianlah pujian Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w, umat akhir zaman yang paling banyak menghadapi ujian dan cabaran daripada umat yang terdahulu dalam keadaan tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w kerana Allah menutup kerasulan, kenabian dan wahyu dengan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w untuk menamatkan ajal dunia dengan janji berlakunya kiamat, manusia dihidupkan semula, dihisab dan dihukum oleh Allah s.w.t dengan hukuman yang adil.

Bagi umat penutup ini, Allah s.w.t memberi keistimewaan kepada mereka dengan mukjizat ilmu kitab suci Al-Quranul Karim yang dipelihara oleh Allah s.w.t yang tidak mampu diselewengkan oleh sesiapa pun; berbeza dengan kitab-kitab sebelumnya, dipelihara kitab ini dengan janji Allah s.w.t:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾ [سورة الحجر : ٩]


(Maksudnya): Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Allah s.w.t memelihara Al-Quranul Karim, bukan sahaja dalam tulisannya, bahkan dipelihara ilmu dan hafazannya dalam dada para ulamak yang tetap dipelihara oleh Allah s.w.t selagi dunia belum kiamat.

Maka ilmu Islam dipelihara oleh Allah s.w.t, sama ada dalam keadaan umat Islam kuat, ada negara yang memerintah dan berdaulat ataupun negara Islam dan kerajaan Islam yang dijatuhkan oleh musuh-musuhnya. Islam tetap dipelihara oleh Allah s.w.t, sebagaimana seluruh makhluk tidak mampu menghapuskan cahaya matahari, bulan dan bintang serta cakerawala di langit, maka lebih hebat lagi mereka tidak mampu memadamkan cahaya Islam ini. Islam tetap dipelihara oleh Allah s.w.t walaupun keadaan umat Islam dijajah, dimamah, diratah, dicengkam dan ditindas oleh musuhnya. Allah s.w.t tetap mengadakan dalam kalangan umat ini orang yang mempertahankan Islam, menunjukkan ajaran Islam menjadi contoh kepada umat-umat yang lain. Mereka berada di tengah-tengah manusia yang menganut berbagai-bagai agama, ideologi dan kefahaman.

Hari ini kita menyaksikan keruntuhan kefahaman ideologi rekaan manusia timur dan barat, menyaksikan keruntuhan agama-agama yang lain, yang ditinggalkan oleh orang-orang muda penganut agama itu yang ramai tidak ada pegangan agamanya. Namun Islam tetap dipelihara oleh Allah s.w.t. Ia dijaga oleh Allah s.w.t. Tetap ada orang yang memelihara Islam di seluruh pelusuk dunia.

Allah s.w.t menjanjikan umat Islam menjadi saksi dan contoh kepada seluruh manusia. Sementara pada hari kiamat nanti menjadi saksi bahawa nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus solatuwas salam telah menyampaikan ajaran Allah s.w.t kepada umat masing-masing walaupun tidak ada di zaman itu yang telah berlaku beribu tahun bahkan mungkin berjuta tahun, tetapi disebut di dalam Al-Quranul Karim dan dibuktikan semua yang disebut di dalamnya adalah benar. Sekiranya Allah s.w.t menunjukkan tentang kejadian bulan, bintang dan cakerawala serta peredaran bumi yang dikaji oleh ahli sains (saintis) dan pakar-pakar dalam ilmu kejadian alam ini mendapati apa yang disebut di dalam Al-Quran adalah benar. Maka cerita-cerita di zaman dahulu yang diceritakan di dalam Al-Quran juga adalah benar.

Begitulah hukum halal dan haram; yang halal mendatangkan manfaat dan yang haram mendatangkan mudarat. Terbukti di antara sebab merebaknya penyakit-penyakit dalam kehidupan manusia adalah berpunca daripada perkara-perkara yang diharamkan. Benarnya Al-Quranul Karim menambahkan keyakinan kita kepada Islam. Hanya mereka yang berpegang dengan Islam sahaja selamat di dunia dan selamat di akhirat. Sementara orang yang hanyut meninggalkan Islam, binasa di dunia dan binasa di akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ ... ﴿١١٠﴾ [سورة آل عمران : ١١٠]


(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.