Thursday, April 15, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 3 RAMADAN 1442 / 16 APRIL 2020

KELEBIHAN IBADAT PUASA

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِي مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ لِلْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾ [سورة البقرة : ١٨٣]


Firman Allah Ta'ala: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita telah pun masuk hari yang ketiga di dalam bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan yang sangat dihormati dan diberkati oleh Allah s.w.t. Allah menjemput kita menjadi tetamu dengan dihidangkan makanan rohani dan makanan jasmani yang diberi fadilat dan pahala yang sangat besar dijanjikan oleh Allah s.w.t. Betapa besarnya pahala itu disebut di dalam beberapa hadits, antaranya:

مَنْ أَفْطَرَ يَوْمًا مِنْ رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ رُخْصَةٍ رَخَّصَهَا اللَّهُ لَهُ، لَمْ يَقْضِ عَنْهُ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ وَإِنْ صَامَهُ. [رواه أبو داود وابن ماجه والترمذي]


(Maksudnya): Siapa yang berbuka puasa satu hari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qada' puasa tersebut walaupun selama-lamanya.

Maka dia berdosa besar walaupun dia wajib mengqada'kannya dan diampun Allah yang Maha Pengampun, tetapi dia tidak boleh mendapat pahala dengan sebab meninggalkan satu hari berpuasa itu walapun dia berpuasa sepanjang hidupnya.

Itulah kelebihan ibadat puasa di bulan Ramadan Al-Mubarak yang disebut oleh Allah s.w.t dalam hadits qudsi:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ كُلُّ حَسَنَةٍ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَّا الصِّيَامَ فَهُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. [رواه احمد والبخاري وابن ماجه]


(Maksudnya): Sabda Rasulullah s.a.w, firman Allah: Tiap-tiap amal anak Adam itu terserah kepada-Nya (dengan janji sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda pahala sehingga tujuh ratus kali ganda) melainkan puasa, maka sesungguhnya ia terserah kepada-Ku (Allah), Akulah (Allah) yang akan menentukan balasannya (pada hari kiamat kelak).

Tiap-tiap amal kebajikan diberi sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda. Adapun puasa tidak diketahui berapa kali gandanya. Hanya Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui. Itulah kelebihan ibadat puasa.

Allah memilih bulan Ramadan mewajibkan kita berpuasa yang menjadi Rukun Islam untuk mendidik dan melatih diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah, menjadi orang yang bersabar dan bersyukur. Ia bukan sahaja mendapat pahala yang banyak, tetapi melatih diri kita untuk mengerjakan amal-amal yang soleh dengan penuh kesabaran menghadapi kelaparan, keletihan dan kesusahan. Dalam masa yang sama melatih untuk mengerjakan ibadat-ibadat yang lain, sehingga ibadat wajib di bulan Ramadan lebih afdal daripada bulan-bulan yang lain dan ibadat sunat pula lebih besar fadilatnya daripada bulan yang lain.

Benar-benar kita dijamu oleh Allah s.w.t dengan makanan roh dan makanan jasad. Makanan dengan ibadat wajib dan sunat, meletakkan dalam diri kita sifat-sifat yang mulia seperti sabar, syukur dan bertaqwa; ketahanan diri menghadapi kesusahan, tidak leka dan lalai bila senang. Apabila kita merasai nikmat berbuka puasa, ingat kepada nikmat Allah s.w.t.

Kita diberi peluang pada bulan Ramadan yang mulia ini diperkenankan doa ketika berpuasa.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ. [رواه الترمذي]


(Maksudnya): Daripada Abu Hurairah r.a, katanya: Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang tidak ditolak doanya, pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.

Ambil peluang dalam masa berpuasa ini untuk membanyakkan doa kebaikan dunia yang diberkati dan kebaikan akhirat yang kekal selama-lamanya, beristighfar kepada Allah s.w.t, membanyakkan ibadat-ibadat yang lain, sembahyang tarawih, sembahyang tahajjud, tadarus Al-Quran, berzikir, bertahmid dan bertasbih. Juga bersedekah, menolong mereka yang susah dan menjamu orang berbuka puasa. Semuanya adalah ibadat.

Betapa mulianya bulan Ramadan untuk mendapat kelebihannya. Banyak orang mengeluarkan zakat di bulan Ramadan, padahal zakat boleh dikeluarkan bila-bila masa sahaja apabila sampai nisabnya, tetapi dikeluarkan pada bulan Ramadan bagi mendapat kelebihannya yang mulia itu sampai pahalanya berkali ganda.

Allah mengurniakan makanan ketika berbuka dan bersahur diberi pahala dan kelebihan sehingga Rasulullah s.a.w menyegerakan berbuka (berbuka dahulu, bukan sembahyang maghrib dahulu) kerana berbuka juga adalah ibadat. Jangan tunjuk kita lebih daripada Nabi s.a.w dengan bersembahyang dahulu, kemudian baru berbuka. Sedangkan Nabi s.a.w mengajar berbuka dahulu sebelum sembahyang.

Bersahur juga diberi kelebihan dan pahala. Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ. [رواه أحمد]


(Maksudnya): Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur. 

Allah memberi rahmat dan malaikat-Nya berdoa supaya Allah memberi rahmat kepada orang yang makan sahur. Walaupun sahur itu adalah makan yang tujuannya untuk menguatkan diri kita ketika berpuasa besok harinya. Oleh kerana tujuannya ibadat, maka ia diberi pahala oleh Allah s.w.t.

Di bulan yang mulia ini Allah memberi hadiah satu malam yang sangat besar kelebihannya yang dikenali dengan Lailatul Qadr (malam Qadar):

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ [سورة القدر : ٣]


(Maksudnya): Malam Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

Barangsiapa yang ibadatnya bertepatan dengan malam Qadar, ibadatnya diberi kelebihan seribu bulan, sama ada dia tahu malam itu Lailatul Qadr atau tidak, dia tetap mendapat pahala seribu bulan. Orang yang melihat tanda-tandanya sahaja Lailatul Qadr tetapi tidak beribadat, tidak mendapat kelebihan ibadat itu. Yang penting mencari kelebihan Lailatul Qadr dengan beribadat sepanjang Ramadan, khususnya sepuluh yang akhir daipada Ramadan untuk mendapat anugerah daripada Allah s.w.t.

Terlalu banyak kelebihan Ramadan yang disebut di dalam kitab-kitab berpandukan Al-Quran dan hadits-hadits Rasulullah s.a.w.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ. ﴿١٨٥﴾ [سورة البقرة : ١٨٥]


(Maksudnya): (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment