Wednesday, July 8, 2009

Ustaz Jais Anwar

KETIKA cawangan PAS ditubuhkan di Hilir Perak pada awal 1953, Ustaz Jaiz Anwar adalah seorang pelajar di Madrasah al-Ulum as-Syar'iyyah, Batu 20 Bagan Datoh, Perak. Guru besar madrasah tersebut, Dato' Hassan Adli Mohd Arshad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang lebih dikenali sebagai 'Pak Aji' di kalangan pelajar merupakan Setiausaha PAS Hilir Perak dewasa itu.

Maka ramailah pelajar Madrasah al-Ulum turut terlibat dalam program-program PAS di Hilir Perak ketika itu. Mereka bukan sekadar menjadi penyokong PAS, tetapi pendukung setia yang menggerakkan PAS Hilir Perak yang ketika dipimpin oleh Dato' Othman Abdullah. Bagan Datoh sememangnya melahirkan ramai pemimpin besar PAS termasuk Haji Ahmad Ali, Ustazah Zaharah Othman, Dato' Hassan Adli dan Ustaz Jaiz Anwar.

Ustaz Jaiz dilahirkan di Kampung Sungai Sumun, Bagan Datoh pada 1941 dalam sebuah keluarga yang taat beragama. Semasa kecilnya, beliau belajar di Sekolah Melayu Bagan Pasir. Semasa memasuki alam persekolahan, suasana politik Tanah Melayu agak kucar-kacir kerana baru lepas perang dan timbulnya perjuangan menentang Malayan Union.

Dari tahun 1948 beliau bersekolah di sini selama tiga tahun. Sekolah Melayu hanya setakat Darjah 3 sahaja. Lalu bapanya menghantar Ustaz Jaiz ke Madrasah al-Ulum kerana di sana, Tuan Guru Mohd Arshad Mohd Salleh menjadi mursyidnya. Bapa kepada Dato' Hassan Adli ini adalah ulama yang sangat dihormati. Belajar di Batu 20 selama empat tahun telah membentuk jiwa politik yang agak kental dalam diri beliau. Gurunya, Ustaz Hassan Adli bukan sekadar seorang guru atau ulama, tetapi tokoh politik yang terkenal juga di sana. Semenjak 1952, Ustaz Hassan Adli sudah menyertai PAS. Turut mengajar di madrasah ini ketika itu ialah Dato' Mohd Ghazali Abdullah (ayah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo'), Mufti Perak yang ketika itu adalah Timbalan Yang Dipertua Agung PAS.

Suasana politik yang mahukan kemerdekaan amat mempengaruhi para pelajar. Ustaz Hassan Adli juga merupakan Setiausaha Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat Perak (PGMR) yang menyebabkan tokoh-tokoh ulama seperti Tuan Guru Abdul Samad Noh sering keluar masuk ke madrasah itu. Pada 1955, Ustaz Jaiz mendapat peluang menyambung pengajian di Maktab Mahmud, sebuah sekolah agama terkenal di Kedah. Menjadi pelajar di Maktab Mahmud rupanya lebih mencabar daripada Madrasah al-Ulum kerana di sini pergolakan politik semasa lebih luas diperkatakan. Salah seorang gurunya, Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki ialah Naib Ketua Pemuda PAS Pusat ketika itu. Semasa di Darjah 1 di Maktab Mahmud, Ustaz Jaiz mula berkenalan dengan beberapa tokoh pelajar seperti Ustaz Johari Ahmad (bekas Pegawai Hal Ehwal Khas Jabatan Penerangan) dan Ustaz Fadzil Mohd Nor. Ustaz Fadzil ketika ini adalah Setiausaha Persatuan Pelajar Melayu Alor Setar dan Setiausaha Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK). Ustaz Jamaluddin Amini sendiri merupakan Yang Dipertua Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang ditubuhkan pada 1954. Ustaz Jaiz ketika balik ke Malaysia pada 2001 sempena sambutan 50 tahun PAS memberitahu bahawa beliau bersama-sama Ustaz Jamaluddin Amini, Ustaz Fadzil dan Johari Ahmad mengikuti usrah Ikhwanul Muslimin di Maktab Mahmud yang dipimpin oleh Sheikh Taqiyuddin Qandil, bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah yang lari ke Tanah Melayu selepas pembunuhan Hassan al-Banna. Mereka adalah kumpulan pertama pelajar Melayu yang mengikuti tarbiah Ikhwanul Muslimin di Malaysia kerana Sheikh Taqiyuddin Qandil adalah pensyarah di Maktab Mahmud dan turut mengajar di Madrasah Alawiyah, Arau. Melalui Sheikh Taqiyuddin mereka didedahkan dengan pemikiran Islam yang dicetuskan oleh Hassan al-Banna. Semenjak itu, mereka menjadi pendukung kuat PAS dan turut terlibat berkempen dalam pilihan raya 1955 di Alor Setar.

Selepas tamat kelas Sanawi pada 1958, Ustaz Jaiz yang ketika itu menjawat Ketua Penerangan KPAS merangkap Ketua Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) telah menyertai PAS. Antara orang kuat beliau dalam KPIP ialah Ustaz Hassan Shukri. Beliau kemudian dicalonkan oleh PAS untuk bertanding dalam pilihan raya umum Kedah pada 1958 di Dun Alor Setar, tetapi tewas kepada calon MCA yang mewakili Perikatan. Ustaz Jaiz kemudian masuk semula ke Maktab Mahmud untuk mengikuti pengajian peringkat tinggi (qismu ali) dan mula memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung KPAS (1958-1960). Dalam KPAS ketika itu terkenal dengan "J" (Jamaluddin, Johari, Jaiz). Pada 1959 mereka bertiga mewakili Pemuda PAS melawat Pak Natsir di Jakarta. Selepas menamatkan Darjah 9 di Maktab Mahmud pada 1960, Ustaz Jaiz melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang syariah. Menurut Ustaz Yahya Othman, ketika beliau belajar di Mesir pada 1962, Ustaz Jaiz sudah aktif memimpin pelajar di sana. Ustaz Jaiz dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Melayu Mesir (PMM) dan mengetuai Lajnah kebajikan persatuan tersebut. Selain bergerak bersama pelajar Melayu, Ustaz Jaiz turut mendapat sentuhan tarbiah daripada pemimpin Ikhwanul Muslimin di Mesir. Pada 1964, Ustaz Fadzil mengikuti jejak Ustaz Jaiz belajar di Mesir, tetapi ketika itu Ustaz Jaiz sudah di tahun akhir. Selepas mendapat ijazah BA dalam bidang syariah, Ustaz Jaiz segera balik ke Malaysia pada 1965. Oleh kerana beliau sudah terkenal di kalangan ahli-ahli PAS di Perak, beliau terus dilibatkan dalam PAS, tetapi bukan di Hilir Perak, sebaliknya di utara Perak dan Kedah.

Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, Ustaz Jaiz yang mewakafkan dirinya untuk perjuangan PAS telah dilantik sebagai Pegawai Penerangan Luar di Pejabat Agung PAS pada 1966. Ketika itu antara pegawai di Pejabat Agung PAS termasuklah Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Othman Hamzah dan Ustazah Hayati Hassan. Ketika bertugas di Pejabat Agung PAS sebagai Pegawai Penerangan Luar, beliau banyak melawat cawangan-cawangan PAS yang menyebabkan nama beliau mulai terkenal. Beliau juga turut menulis dalam Bulan Bintang, lidah rasmi PAS ketika itu untuk menjelaskan konsep negara Islam dan juga menjawab tuduhan-tuduhan ke atas PAS. Pada masa itu secara kebetulan Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ketua Pemuda PAS diserang sakit jantung. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS ke-17 dan 18 di Kangar pada 1968, Ustaz Jaiz telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, iaitu serentak dengan perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Ustaz Jaiz tidak lama memimpin Dewan Pemuda PAS kerana beliau berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaik menjadi Ketua Pemuda PAS, Ustaz Jaiz melantik Ustaz Hassan Shukri menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Jabatan Pelajaran dan Tabligh Pemuda PAS. Dewan Pemuda PAS pada 1968 telah melancarkan Gerakan Insaf untuk membentuk kesedaran politik Islam di kalangan belia. Ketika itu, Umno sedang giat menggerakkan Pemuda Tahan Lasak yang agak ganas ketika itu. Ustaz Jaiz kemudian telah melancarkan satu gerakan, iaitu Gerakan Syuhada', gerakan untuk melahir pemuda-pemuda PAS yang berani berjuang menghadapi Pemuda Tahan Lasak Umno, terutama dalam pilihan raya 1969. Ustaz Jaiz sendiri telah menjadi calon di Parlimen Besut pada 1969 yang merakamkan kisah pahit dalam perjuangan beliau. "Saya berseorangan dikepung oleh Pemuda Tahan Lasak Umno yang bersenjata dalam pilihan raya di Besut," cerita Ustaz Jaiz dalam satu temuramah dengan Ustaz Misbahul Munir di London pada 2002. Pengalaman yang serupa juga dialami oleh Ustaz Hassan Shukri yang bertanding di Sabak Bernam ketika itu. Ustaz Jaiz tewas kepada calon Perikatan dengan majoriti yang tipis selepas ugutan-ugutan Umno. Dewan Pemuda PAS selepas Peristiwa 13 Mei 1969 telah melancarkan satu lagi gerakan iaitu Gerakan Seksi Pembinaan Mental atau lebih terkenal sebagai Gerakan SPEM pada 1970. Melalui Gerakan SPEM inilah lima prinsip yang diasaskan oleh Hassan al-Banna diterapkan iaitu Allah matlamat kami, Rasul pemimpin kami, Al-Quran perlembagaan kami, jihad jalan kami, dan mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Dalam satu pertemuan dengan Ustaz Jaiz di London pada 2001, beliau memberitahu bahawa ketiga-tiga gerakan ini bertujuan untuk membina kesedaran Islam di kalangan pemuda PAS. Setelah berjaya melaksanakan perubahan dalam tarbiah Dewan Pemuda PAS, pada 26 September 1970, Ustaz Jaiz telah meletakkan jawatan beliau sebagai Ketua Pemuda PAS merangkap Pegawai Penerangan Luar PAS kerana ingin melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang undang-undang di United Kingdom. Sebelum ke sana, Ustaz Jaiz telah diambil menjadi menantu kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Muda. "Semasa belajar di UK, Ayah Mat (panggilan untuk Dato� Asri) yang banyak membantu dari segi kewangan," kenang Ustaz Jaiz terhadap jasa mentuanya itu. Semenjak berhijrah ke London pada akhir 1970 itu, Ustaz Jaiz terus menetap di sana hingga akhir hayatnya. Bagaimanapun Ustaz Jaiz memberitahu cita-citanya untuk belajar tidak tercapai apabila terpaksa berhenti di pertengahan jalan dan mula menceburi bidang berniagaan di sana.

Walaupun sudah tidak lagi memimpin PAS, Ustaz Jaiz tidak berdiam diri di London. Selain pernah mewakili PAS dalam satu persidangan antarabangsa Islam ketika PAS dalam BN, Ustaz Jaiz giat dengan gerakan dakwah kepada pelajar Melayu di sana. Pendek kata selama hampir 40 tahun beliau menjadi 'duta PAS' di London. "Antara yang mengikuti tarbiah saya di UK ialah Wan Ismail Wan Ibrahim (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, 1974-1978)," beritahu Ustaz Jaiz. Menurut Ustaz Jaiz juga selain berniaga, beliau juga berdakwah di Kelab Melayu Clapton, Oxford, Cambridge, Brighton dan lain-lain semenjak 1970-an. Beliau turut menjadi rujukan para pelajar Malaysia di sana khususnya yang menyertai gerakan Islam. Allahyarham Ustaz Fadzil, setiap kali ke London akan mengunjungi beliau. "Ustaz Fadzil ketika baru tiba dari Mesir, sayalah yang membawa borang PAS kepadanya," getus Ustaz Jaiz apabila mengenangkan keahlian Presiden PAS itu pada 1968.

Kini perjuangan Ustaz Jaiz selama 68 tahun telah berakhir apabila beliau dijemput menemui Allah pada jam 5.30 petang waktu London, 17 Mac 2009 di Hospital UCL, London. - Mohd Fadli Ghani -

No comments:

Post a Comment