KUALA LUMPUR, 29 Julai: Akhbar Utusan Malaysia hari ini diserbu oleh pelbagai pihak khasnya para penyokong Pakatan Rakyat yang selama ini memboikot akhbar milik Umno itu. Turut diserbu adalah laman web utusan, namun apa yang mereka cari tidak ditemui kerana ia hanya disiarkan dalam akhbar utusan versi cetak sahaja. (Utusan Online telah memasukkan juga permohonan maaf itu pada sebelah petangnya.) Yang dicari adalah permohonan maaf Utusan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disiarkan di muka depan akhbar itu.Ia disiarkan di penjuru kanan atas muka depan akhbar itu dengan tajuk "Permohonan Maaf". Permohonan maaf itu dibuat ekoran laporan Utusan sebelum ini yang mendakwa Nik Aziz berkata, "Nasihat saya wajib didengar" menjelang muktamar PAS yang lalu. Ekoran itu Nik Aziz memfailkan samannya terhadap akhbar itu. PERMOHONAN MAAF Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009. YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu. Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu. Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah. Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut.
No comments:
Post a Comment