Thursday, March 21, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 22 MAC 2013 / 10 JAMADIL AWWAL 1434H




KELEBIHAN MEMULIAKAN JIRAN


Khutbah Pertama


اَلْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئاَتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِىَ لَهُ.
أَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، مَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَقَدْ غَوَى.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ !! اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُم وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan taqwa. Saya menyeru kepada diri saya dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Firman Allah Taala di dalam surah an-Nisa’ ayat 36 :-

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا ﴿٣٦﴾


Maksudnya: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”.

Imam Hasan al-Basri ialah seorang ulama tabien terkemuka di kota Basrah, Iraq. Beliau dikenali sebagai ulama yang berjiwa besar dan mengamalkan apa yang beliau ajarkan. Beliau juga dekat dengan rakyat dan turut dicintai oleh rakyat.

Imam Hasan al-Basri mempunyai seorang jiran berbangsa Nasrani. Jirannya ini mempunyai tandas yang berada di loteng iaitu di atas rumah Hasan al-Basri. Atap rumah mereka bersambung menjadi satu. Apabila ada orang membuang air, air kencing dari tandas rumah jirannya itu mengalir dan menitis di dalam bilik Imam Hasan al-Basri. Namun, beliau tetap bersabar dan tidak menganggap itu sebagai satu masalah. Hasan al-Basri meminta isterinya meletakkan satu bekas khas untuk menadah titisan air kencing itu supaya tidak mengalir di merata-rata.

Selama 20 tahun hal itu berlaku dan Imam Hasan al-Basri tidak memberitahu hal itu kepada jirannya. Dia ingin mengamalkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan jirannya.

Suatu hari, Imam Hasan al-Basri jatuh sakit. Jirannya yang berbangsa Nasrani itu datang ke rumahnya untuk berziarah. Dia berasa hairan apabila terlihat ada air menitis dari atas di dalam bilik Hasan al-Basri. Lantas dia menghampiri titisan air itu. Dia amati titisan air yang terkumpul di dalam bekas. Ternyata air itu ialah air kencing. Jirannya itu mendapati bahawa air kencing itu mengalir terus dari tandas rumahnya yang dibuat di atas loteng rumah Imam Hasan al-Basri. Dia menjadi hairan, kenapa Imam Hasan al-Basri tidak pernah menceritakan kepadanya. “Imam, sejak bila engkau bersabar atas titisan air kencing kami ini?” tanya si jiran. Imam Hasan al-Basri diam tidak menjawab. Beliau tidak mahu membuat jirannya berasa tidak selesa.

Namun jirannya mengajukan soalan selanjutnya, “Imam, katakan dengan jujur sejak bila engkau bersabar atas titisan air kencing kami? Jika engkau tidak mahu memberitahu kami, kami akan berasa sangat tidak selesa,” desak jirannya. “ Sejak 20 tahun yang lalu,” Imam Hasan al-Basri menjawab dengan suara yang agak serak. Kenapa engkau tidak memberitahu kami? Lalu Imam Hasan al-Basri mengatakan: “Nabi mengajar untuk memuliakan jiran, Baginda bersabda : Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan jirannya”. Ketika itu juga, si jiran berbangsa Nasrani terus mengucapkan dua kalimah syahadah. Dia dan seluruh ahli keluarganya memeluk Islam.

Sidang Jumaah yang dikasihi sekalian,

Kisah yang dipaparkan di atas, adalah natijah daripada memiliki akhlak mulia iaitu memuliakan jiran walaupun berlainan agama. Selama 20 tahun, imam Hasan al-Basri bersabar menghadapi musibah rumahnya mengalami ketirisan air kencing jirannya yang berbangsa Nasrani. Dengan berkat bersabar untuk memuliakan jirannya yang berlainan agama selama 20 tahun, setelah jirannya itu menyedari hakikat sebenar ketinggian didikan akhlak yang diasuh oleh Rasulullah dengan memuliakan jirannya, akhirnya jiran Imam Hasan al-Basri mengucap dua kalimah syahadah memeluk agama Islam. Bukan dia seorang sahaja yang memeluk Islam tetapi seluruh ahli keluarga beliau turut memeluk Islam.

Tahukah kita, bahawa jiran adalah orang yang tinggal berdekatan rumah kita sama ada di kanan, di kiri, di depan, atau di belakang, di tingkat atas atau di tingkat bawah hingga 40 buah rumah dari setiap penjuru sama ada muslim ataupun bukan Muslim. Islam menyuruh kita memuliakan dan menghormati jiran tetangga. Jiran adalah orang terdekat yang boleh kita minta bantuan dan memberi bantuan serta pertolongan jika menghadapi kesusahan. Jiran sangat penting kepada kita kerana :-

Pertama: Jiran adalah orang yang paling pantas secara sukarela siang atau malam memberi bantuan ketika kita menghadapi sakit-pening, kecemasan, dan mala petaka;

Kedua: Menambahkan rangkaian dan cawangan sahabat kerana jiran mungkin terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan pekerjaan seperti doktor, guru, ahli perniagaan dan sebagainya yang mungkin dalam masa tertentu boleh membantu kita apabila memerlukannya;

Ketiga : Menjamin keselamatan dan keharmonian dalam usaha menangani isu-isu seperti ancaman jenayah, kecurian dan gejala sosial; dan

Keempat: Menjaga kebajikan penduduk setempat seperti menguruskan kematian, kenduri kendara, menjaga warga tua, orang miskin, orang kurang upaya, membantu anak yatim, meningkatkan perpaduan dan sebagainya.

Sidang Jumaat sekalian,

Berikut adalah perkara-perkara yang boleh dilakukan bagi menyemarak hubungan berjiran iaitu :-

1. Ziarah menziarahi
2. Bergotong royong
3. Menjaga keselamatan rumah jiran
4. Jauhi perasaan hasad dengki
5. Pelihara rahsia jiran walaupun berlainan agama

Dalam usaha memupuk semangat mesra kejiranan, tidak dapat dinafikan bahawa kita akan berhadapan dengan banyak halangan dan rintangan. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi sekiranya kita mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, bersedia mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah.

Sidang Jumaat sekalian,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita renungi Sabda Rasulullah SAW yang berbunyi :-

مَا زَالَ جِبْرِيْلُ يُوْصِيْنِى بِالجَار حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثَهُ


Mafhumnya : “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu kerabatku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.   


Khutbah Kedua


اَلْحَمْدُ للهِ القَائِل :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan tolong menolonglah kamu pada perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong pada perkara dosa dan permusuhan, dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah itu sangaat pedih seksaan-Nya.” (Surah al-Maidah ayat 2)

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jiran adalah orang yang rapat dan sentiasa berada di samping kita di waktu susah dan senang. Sebagai tanda keimanan kita pada Allah dan hari akhirat, hak-hak jiran sama ada muslim dan bukan muslim hendaklah kita patuhi. Hidup berjiran sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam akan memberi ketenangan dan keselamatan kepada kita. Jiran Muslim dan jiran bukan Muslim mempunyai hak-hak yang perlu diberikan kepada mereka.

Sebagai tanda keimanan kita kepada Allah dan Rasul, marilah sama-sama kita penuhi hak-hak jiran kita sama ada Muslim mahupun bukan Muslim.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ.
اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

Thursday, March 14, 2013

Khutbah Jumaat - 19 Safar 1434 H / 15 Mac 2013 M



BERSATU MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN UMMAH

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (آل عمران :١٠٢) وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (آل عمران :١٠٣)
أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ 
وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !  اِتَّقُواْ اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah !

Allah berfirman dalam ayat yang dibacakan tadi : Wahai orang-orang yang beriman!, Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan jangan kamu semua mati kecuali kamu semua benar-benar sebagai seorang Islam. Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan Tali Allah dan jangan sekali-kali berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu tatkala kamu semua bermususuh-musuhan, maka Allah telah menjinakkan hati-hati kamu. Maka jadilah kamu semua dengan nikmatNya saling bersaudara.Dan kamu sebelumnya berada di tebing jurang api neraka lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Begitulah Allah menjelaskan kekuasaanNya. Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Bulan Mac adalah bulan dimana jatuhnya sistem pemerintahan khalifah dengan tumbangnya Kerajaan Turki Uthmaniyah di bawah pimpinan Sultan Abdul Hamid II, yang tidak menjual walau seinci pun bumi Palestin meskipun telah ditawarkan berbilion dolar oleh pertubuhan Yahudi sedunia.

Hasil sokongan dari British dan Zionis, Mustafa Kamal Atarturk telah mengumumkan penghapusan Khilafah dan pemisahan Agama Islam daripada negara. Mustafa Kamal Atarturk telah memerintah Sultan Abdul Hamid II meninggalkan Turki memaksa Khalifah memasuki kereta dan seterusnya membawanya ke Switzerland. Atartuk kemudiannya telah mengumpulkan semua waris Khalifah dan mengusir mereka keluar daripada Turki. Maka bermulalah zaman kegelapan Islam bukan sahaja di Turki malah di seluruh dunia.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Dengan jatuhnya khilafah, Umat Islam menjadi ibarat anak ayam kehilangan ibu, lantas satu demi satu wilayah umat Islam jatuh ke tangan musuh termasuklah bumi Palestin yang diidam-idamkan oleh Zionis dan pihak barat. Umat Islam walaupun tidak sepenuhnya mengikut acuan cara hidup barat, namun tetap terpalit dengan dengan nilai-nilai barat yang diasaskan oleh Mustafa Kamal Atarturk di Turki. Bayangkan betapa hancurnya Islam dengan kehancuran khalifah sehinggakan dilaksanakan undang-undang yang begitu menghina Islam di negara bekas pusat pemerintahan Islam tersebut. Antaranya :

1. Dibolehkan perempuan memakai tudung dengan syarat mesti memakai pakai skirt.
2. Dibenar dan digalakkan wanita dan lelaki menari di khalayak ramai.
3. Menggalakkan minum arak secara terbuka.
4. Mengarahkan Al-Quran dicetak dalam bahasa Turki.
5. Menukar azan ke dalam bahasa Turki.
6. Menukar Masjid-masjid menjadi muzium dan gereja.
7. Menutup masjid serta melarang dari bersembahyang berjemaah.
8. Menghapus penggunaan kalendar Islam dan menukarkan huruf Arab kepada huruf Latin.
9. Pengikisan keyakinan rakyat terhadap Islam melalui ungkapan-ungkapan seperti “negara tidak akan maju kalau rakyatnya tidak cenderung kepada pakaian moden”, dan juga “agama harus dipisahkan dengan urusan harian dan perlu dihapuskan untuk mencapai kemajuan”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Negara-negara Islam yang sudah dipecah-pecahkan seperti hari ini jauh lebih mudah untuk dihancurkan berbanding empayar Islam yang bernaung di bawah sistem Khalifah. Kebanyakkan negara Islam tidak ditewaskan atau ditawan oleh negara barat disebabkan kekuatan musuh. Kebanyakkannya ditewaskan oleh negara barat atas faktor perpecahan umat Islam disamping pengkhianatan sebahagian dari rakyatnya. Inilah faktor yang sering menjadi kesilapan besar Umat Islam yang selalu diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam bagi menghancurkan ummat Islam.

Sidang Jumaat sekelian,

Umat Islam hari ini sudah tidak mampu lagi untuk menerima perpecahan dan perbalahan sesama kita. Kejatuhan Kerajaan Islam Melaka ke tangan penjajah juga antara lain disebabkan pengkhianatan penduduk tempatan sendiri. Kekuatan penjajah mengaut hasil bumi kita juga dibantu oleh ketamakan penduduk pribumi. Tumpasnya wira dan pejuang kemerdekaan juga adalah akibat campur tangan talibarut-talibarut penjajah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Perpaduan amat penting bagi mengangkat martabat Umat Islam pada hari ini. Akibat perpecahan sesama kita, orang-orang bukan Islam semakin banyak mendapat manfaat sedangkan hak kita semakin banyak yang dikorbankan. Kita terlalu berkira dengan sesama kita, dalam masa yang sama kita sentiasa mengambil berat dengan hak mereka. Akhirnya sebahagian dari kita menjadi mangsa dan menderita di tanah air sendiri sedangkan mereka menjadi tuan yang mampu berbuat apa sahaja.

Allah mengingatkan kita agar jangan berpecah belah setelah di datangkan kepada kita bukti-bukti kebenaran ajaran Allah. Allah menjelaskan maksud berpegang dengan tali Allah yang akan membolehkan kita mati sebagai seorang Islam yang sejati dan menjamin kejayaan hidup kita di dunia dan di akhirat. Di antara perkara yang disebutkan oleh Allah agar kita bersatu dan tidak berpecah belah adalah :

i. Menyeru kepada kebaikan.
ii. Menyuruh melakukan perkara Makruf.
iii. Mencegah segala kemungkaran.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104 – 105 :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (آل عمران :١٠٤) وَلاَ تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (آل عمران :١٠٥)


Yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat, (Ali-Imran: 104-105)

Sidang Jumaat Sekelian,

Kita tidak punya pilihan lain selain bersatu padu melaksanakan ketiga-tiga perintah Allah ini lalu mengecap kejayaan ataupun berpchah belah dan bertelagah seterusnya menerima azab yang amat pedih dari Allah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ للهِ القَائِلِ :
فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَاعْتَصَمُوا بِهِ فَسَيُدْخِلُهُمْ فِي رَحْمَةٍ مِنْهُ وَفَضْلٍ وَيَهْدِيهِمْ إِلَيْهِ صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا (النساء:١٧٥

Adapun orang-orang yang beriman dengan Allah dan berpegang teguh dengan ajaranNya maka akan dimasukkan mereka dalam rahmat dan limpahan kurniaNya. Dan Dia akan memberikan hidayah kepada mereka menuju Jalan yang lurus.

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Seruan agar umat Islam bersatu dan tidak berpecah belah bukanlah suatu seruan boleh dipandang ringan. Namun kita masih berpecah belah dalam menentukan kaedah bagi mencapai perpaduan ini. Apa yang paling penting adalah perpaduan yang kita cari mestilah perpaduan yang diredhai oleh Allah. Setiap seorang dari kita mestilah bersatu padu dalam memenangkan agama Allah ini. Bagi setiap rakyat jelata mestilah bersatu dan menyokong setiap kebaikan yang dilakukan oleh pihak pemerintah. Pihak pemerintah juga mestilah bersatu untuk menunaikan amanah dan memberikan hak kepada yang berhak. Perkiraan yang perlu diambil berat bukanlah siapa dan dari kumpulan mana tetapi hendaklah dikira dari sudut hak dan tanggungjawab masing-masing mengikut Syarak.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم . اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ  .اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.



Khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman web www.4shared.com

Thursday, March 7, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 8 MAC 2013 / 25 RABI’UL AKHIR 1434H



PERPADUAN UMMAH

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئاَتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِىَ لَهُ.
أَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، مَنْ يُطِعِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ رَشَدَ، وَمَنْ يَعْصِهِمَا فَقَدْ غَوَى.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ !! اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُم وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.


Tuan-tuan Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada tuan-tuan yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Dan janganlah kita semua mati selain dalam keadaan bertaqwa kepada Allah Taala. Marilah sama-sama kita pada hari ini berusaha untuk meningkatkan iman dan amal kita, semoga kehidupan kita diredhai Allah dan beroleh syafaat Rasulullah SAW di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang mendukung kemajuan manusiawi dan tamadunnya yang luhur. Perpaduan di kalangan umat Islam menjadi agenda terpenting dalam pembentukan masyarakat menerusi pengukuhan jaringan sosial yang berteraskan kepada persaudaraan. Dalam Islam tiada masyarakat tanpa persaudaraan sebagaimana tiada ketakwaan tanpa keimanan. Persaudaraan dalam Islam adalah teras bagi pembentukan negara dan perkembangan masyarakat yang maju lagi bertamadun. Sabda Rasulullah SAW:

الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Maksudnya: “ Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain. ” (Riwayat Muslim)

Perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh ummah agar membentuk satu identiti dan menanamkan perasaan cinta dan banggakan negara. Perpaduan umat Islam iaitu berasaskan kepada kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠


Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”.

Sidang Jemaah muslimin yang dirahmati Allah,

Perpaduan sesama umat Islam tidak akan tercapai, kecuali dengan mengamalkan sikap tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran, dimantapkan dengan akhlak mulia seperti sayang-menyayangi, yang muda menghormati yang tua, yang tua memuliakan yang muda. Umat Islam seharusnya menjadikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai contoh tauladan yang terbaik. Kejayaan Baginda SAW dalam menyatukan bangsa Arab yang bersifat asabiyah melalui ajaran Islam yang mantap telah melahirkan bangsa yang hebat dan kuat dalam sejarah tamadun dunia.

Sejarah membuktikan bahawa pendekatan Rasulullah SAW melalui tindakannya, seperti pembinaan masjid sebagai institusi sosial dalam menjana institusi ummah. Masjid bukan setakat berfungsi sebagai tempat menunaikan solat semata-mata, malah berperanan sebagai lokasi strategik untuk Baginda menyusun dan membentuk masyarakatnya, membangunkan aqidah umat Islam, melaksanakan urusan syariah dan menjalinkan hubungan sesama rakyat.

Baginda juga mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang begitu lama bersengketa telah berjaya didamaikan. Rasulullah SAW memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah.

Sidang Jemaah muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Peristiwa Perang Ahzab yang berlaku pada 7 Syawal tahun ke 5 Hijrah telah memberi pengajaran yang besar kepada kita. Peristiwa ini menyaksikan penyatuan golongan yang menentang Islam dalam memerangi Rasulullah SAW. Pengajaran besar perang Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa perjuangan Islam pasti akan menghadapi pakatan musuh untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun. Jika dahulu Madinah diserang daripada segenap arah, maka kita hari ini juga diserang dari pelbagai arah, samada daripada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Pada hari yang mulia ini, saya ingin mengingatkan bahawa musuh-musuh Islam sentiasa berusaha menghancurkan umat Islam dari segenap sudut. Mereka sedar bahawa kekuatan Islam selama ini banyak bergantung kepada perpaduan yang dibina. Jika umat Islam hilang identiti, hilang maruah, berada dalam kedegilan atau kejahilan terhadap ajaran Islam yang sebenar, kekotoran jiwa dalam memuja hawa nafsu dan mengutamakan kemaslahatan peribadi, maka akhirnya umat Islam akan menerima nasib yang malang lagi hina di negara sendiri.

Ingatlah, bahawa perkara di atas, mampu memusnahkan daya tahan umat Islam dalam kehidupan beragama, mampu memusnahkan daya fikir yang selari dengan tradisi ilmu. Gerakan ini sebenarnya ialah gerakan jahiliah keberhalaan yang datang semula dalam wajah barunya, jahiliah jelmaan yang membawa mesej yang sama iaitu menjauhkan manusia dengan tuhan yang Maha Esa dan menghancurkan perpaduan umat Islam. Lihat sajalah apa yang berlaku di luar sana seperti di negara Syria, Libya, Iraq dan lain-lain lagi, apabila rakyat berpecah belah, pemimpin dipengaruhi pemikiran dan tindakannya oleh musuh musuh Islam untuk mendapat apa yang diingini, maka negara berada dalam huru-hara dan kehancuran.

Justeru, marilah sama-sama kita sebagai umat Islam, bersatu padu dan bersepakat dalam semua perkara, serta janganlah kita melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Semangat melampaui baast sebenarnya merupakan pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sesio-politik negara.

Janganlah kerana kita menganut sesuatu ideologi atau fahaman, kita sanggup membakar jambatan perpaduan yang telah lama terbina. Usahlah hanya kerana kepentingan jangka pendek untuk berkuasa, kita sanggup mengadai kuasa yang ada. Ingatlah bahawa umat Islam yang menjiwai makna perpaduan adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Mereka yang mengerti mahalnya harga perpaduan tidak akan membuat tuntutan yang bukan-bukan atau mencetuskan riak-riak permusuhan. Sebaliknya, mereka yang cintakan perpaduan dan keamanan akan meletakkan kepentingan ummah melebihi kepentingan kelompok dan kepartian. Kita sebagai umat Islam tidak mempunyai sebab dan alasan mengapa umat Islam gagal bangkit membawa perubahan, gagal bangkit memain peranan bagi memartabatkan Islam sebagai addin dan bangkit untuk membebaskan ummah dari ancaman kemusnahan.

Muslimin dan muslimat yang di Rahmati Allah,

Perpaduan adalah roh kekuatan Islam kerana ia mewujudkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, kedamaian dalam hubungan kekeluargaan dan masyarakat serta saling bantu membantu di antara satu sama lain. Ia juga merupakan nikmat yang dapat mengeratkan lagi hubungan sesama manusia dan dapat menghimpunkan perasaan serta semangat sehati sejiwa untuk kita sama-sama berganding bahu bagi memakmurkan ummah. Sabda Rasulullah SAW:

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمْ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ


Maksudnya: “ Orang-orang yang penyayang akan disayangi Allah Yang Maha Penyayang. Sayangilah siapa yang ada di atas muka bumi, niscaya kalian akan disayangi oleh siapa yang ada di langit.” (Riwayat at-Tirmizi)

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.   


Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ للهِ القَائِل :
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾


Maksudnya: “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.”

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya, Rasulullah SAW merupakan contoh ikutan terbaik yang wajib kita ikuti. Dalam semua keadaan Rasulullah sentiasa menunjukkan akhlak yang terbaik. Perkara-perkara yang membawa kepada perpaduan ummah hendaklah diutamakan antaranya mengganggap saudara-saudara seagama adalah sebahagian daripada kita. Sikap bantu-membantu meringankan kesusahan saudara-saudara seagama adalah sangat dituntut.

Kita sekarang sedang menghadapi musibah pencerobohan tanah air kita oleh pihak penceroboh asing di Lahat Datu Sabah. Sebilangan anggota keselamatan kita telah terkorban mempertahankan kedaulatan tanah air. Mereka yang terkorban telah meninggalkan isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Walhal mereka mempunyai tanggungjawab terhadap ahli keluarga mereka. Menjadi tanggungjawab kita untuk membantu meringankan beban ahli keluarga yang ditinggalkan oleh pejuang-pejuang tanah air.

Marilah sama-sama kita menghulurkan bantuan kewangan dengan menginfakkan sebahagian rezeki kita dengan mengisi tabung-tabung yang disediakan oleh pihak masjid bagi meringankan beban ahli keluarga pejuang tanah air kita.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم .
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ.
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.


Teks asal kutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com