Monday, October 31, 2011

Membantah Maksiat Berleluasa - Apakah Hanya Taliban

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur desakan dalam PAS untuk menghalang konsert rock Elton John di Pahang pada bulan depan atas alasan penyanyi gay itu menggalakkan maksiat. Dr Asri berkata, halangan itu tidak perlu dan cukup sekadar meminta kerajaan tidak membenarkan orang Islam menyertainya. Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Dr Asri menasihatkan parti Islam itu "jangan tiru Taliban", sebalinya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.
 
Entah ke mana hala tuju dakwah yang nak dibawa oleh bekas mufti yang dikagumi ramai ini. Dalam sesetengah kes kelihatan terlalu ketat dalam mempertahankan kebenaran. Dalam sesetengah kes kelihatan seoalah-olah lebih banyak mempertahankan maksiat daripada mempertahankan dakwah dan perjuangan. 
 
Atas dasar apa beliau menyalahkan PAS yang berusaha menghalang aktiviti maksiat dari dilaksanakan. Mungkin pendekatan beliau berbeza dan dirasakan lebih baik dan diterima oleh orang ramai. Namun dia tidak ada hak menghina dan memperlekehkan pendekatan pihak yang lain dalam menyatakan kebenaran.
 
Memang orang bukan Islam dibenarkan menjalankan aktiviti yang tidak dianggap haram bagi mereka. Namun ini tidak menafikan hak kerajaan daripada bertegas terhadap kemasukan unsur-unsur yang boleh membawa kepada keburukan yang telah ditolak oleh manusia sejagat.
 
Isu ini bukan sangat berkaitan konsert, maksiat dan hiburan tetapi unsur homoseksual yang menjadi barah dalam kehidupan yang sihat. Negara ini tidak mengiktiraf golongan gay yang beramal dengan aktiviti seks luar tabi'i. Ianya juga menjadi penyebab kepada penyebaran penyakit yang mengancam manusia seluruhnya.
 
Apakah wajarnya pejuang agama dan kebenaran dalam masa yang sama memperjuangkan kebebasan melampaui batas. Apakah wajar dibiarkan orang-orang bukan Islam berbuat apa sahaja di negara Islam sehingga melibatkan unsur-unsur yang tidak wajar dibenarkan mempengarahi rakyat.
 
Apakah wajarnya menyamakan bangkangan tersebut dengan pemikiran Taliban yang sentiasa disalahertikan mengikut kaca mata musuh Islam. Apakah belia boleh menerima jika dikatakan kepadanya ; Jangan ikut macam golongan "Islam Liberal" yang memboleh apa sahaja tanpa batas. 

Saturday, October 29, 2011

{قُلْ مُوتُواْ بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ} [سورة آل عمران: 119]

Katakanlah Wahai Muhammad: Pergi matilah kamu dengan kemarahan kamu itu,, sesungguhNya Allah Maha mengetahui apa yang terpendam dihati

Arab.net Dubai melapurkan pada 11/2/2006 kegagalan sepasukan doktor di Hospital Jerman menyelamat nyawa seorang bekas paderi Roland Veselberg yang menyimbah minyak keseluruh badannya dan membakar dirinya kerana terlalu marah dengan pengaruh Islam yang tersebar secara meluas di Eropah dan sikap bertangguh gereja menangani fenomena ini.

Kita sebenarnya tidak hairan sangat kiranya ada orang Kristian yang begitu bencikan Islam hingga sampai keperingkat bunuh diri kerana tak sanggup membaca berita bagaimana hari demi hari orang barat memeluk Islam sama ada orang itu penganut Kristian atau Yahudi. Sehinggakan semakin momokan dan penghinaan dilakukan oleh pihak tertentu di barat sana terhadap Nabi Muhammad dan agama Islam, seperti yang dilakukan di Denmark semakin ramai orang barat secara amnya ingin mengetahui siapa Nabi Muhammad dan agama yang dibawa baginda yang mendorong mereka menemui hakikat kebenaran Islam. Namun yang menghairankan kita ialah wujudnya segelintir manusia yang namanya ala Islam mendiami negara umat Islam sejak lahir tapi menjadi penentang Islam dan masih tidak peka dengan fenomena yang berlaku dalam dunia barat ini. Di Mesir era 80an seorang bergelar pujangga Tawfiq Hakim yang pernah memenangi Hadiah Nobel tapi dihujung usianya telah menghasilkan karya berdialog dengan Tuhan yang mengundang polemik panjang ketika itu sehingga ulamak tersohor Mesir Syeikh Mutawalli Sya'arawi mengeluar komennya dengan berkata: "Umurnya tua bangka tapi imannya tahap kanak2".

Dunia Islam juga pernah digemparkan dengan kemunculan Salman Rushdi, Tasleema Nasreen, Kasim Ahmad, Naser Abu Zayd, Rashad Khalifah, dll yang secara langsung atau tidak menzahirkan kebencian mereka terhadap Islam dengan mempertikaikan kesucian Islam...

Kini bila Mursyidul Am PAS dan Sultan Brunai Darussalam menegaskan perlunya Hukum Hudud dilaksanakan muncul semula suara2 juhalak mempertikaikan undang2 Allah yang Maha Adil dengan tidak sedikitpun rasa malu dengan diri yang berusia ganyut tapi iman lebih rendah dari anak di PASTI.

Kepada orang sebegini Allah berfirman, silakan kamu mati dengan keberangan, kemarahan dan kebencian kamu.... Dan andainya segelintir yang membenci Islam ini ditakdirkan dinyahkan dari bumi Allah...Islam tiada mengalami kerugian apa2 pun kerana saban hari ada saja manusia memeluk Islam setelah mengkaji dan meyakini kebenaran Islam...Rugikah kita dengan ketiadaan mereka ini?

Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur

Thursday, October 27, 2011

Khutbah Jumaat - 01 Zulhijjah 1432 / 28 Oktober 2011

MENUNTUT HAJI MABRUR ITU JIHAD

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ اَكْمَلَ لِهَذِهِ اْلأُمَّةِ شَرَائِعَ اْلإِسْلاَمِ وَفَرَّضَ عَلَ الْمُسْتَطِيْعِ مِنْهُمْ حَجَّ بَيْتِهِ الْحَرَامِ وَرَتَّبَ عَلَيْهِ جَزِيْلَ الْفَضْلِ وَاْلاِنْعَامِ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ وَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ خَرَجَ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ نَقِياًّ مِنَ الذُّنُوْبِ وَاْلآثاَمِ وَذَلِكَ هُوَ الْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ وَالْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ اِلاَّ الْفَوْزُ بِالْجَنَّةِ دَارِالسَّلاَمِ  اَحْمَدُهُ وَاَشْكُرُهُ وَاَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ السَّلاَمُ  وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَفْضَلُ مَنْ صَلَّي وَزَكَّى وَحَجَّ وَصَامَ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ الْبَرَرَةِ الْكِرَامِ  وَعَلَى التَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِاِحْسَانٍ مَا تَعَاقَبَتِ اللَّياَلِيَ وَالأَياَّمِ وَسَلِّمَ تَسْلِيْماً. اَماَّ بَعْدُ  فَيا أَيُّهَا النَّاسُ اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah sekelian,

Di hari Jumaat yang penuh dengan kemuliaan serta keberkatan ini, marilah sama-sama kita memujuk hati kita untuk bertakwa kepada Allah swt, iaitu dengan berusaha bersungguh-sungguh mematuhi kesemua ajaran agama Allah, melaksanakan semua yang disuruh dan meninggalkan kesemua yang dilarang semoga kita tergolong dari hambanya yang dijanjikan beroleh rahmat serta pengampunanNya dan dibalas dengan SyurgaNya, di Akhirat sana, Amin.

Muslimin yang dirahmati Allah.

Musim Haji menjelma lagi. Ianya mengembalikan kenangan kita kepada sejarah hampir 5,000 tahun yang lampau iaitu kisah Nabi Allah Ibrahim a.s, bapa segala Nabi. Beliau telah menghabiskan segenap umurnya untuk mengabdikan diri dan berkorban kepada Allah. Beliau telah berpindah dari satu negeri ke satu negeri dari Mesopotamia sampai ke Palestin lalu terus ke Mesir dan akhirnya menetap di tanah suci Makkatul Mukarromah. Baginda telah menempa sejarah yang sangat luhur yang terus bersemadi di hati umat manusia selama bumi ini disinari oleh bulan dan mentari.

Nabi Allah Ibrahim telah diperintahkan untuk meninggalkan Isterinya Siti Hajar bersama Puteranya Ismail yang masih kecil di bumi yang tandus, kontang dan sunyi.Dengan rahmat Allah, terpancarlah, Air zamzam untuk dijadikan minuman mereka. Kemudian Nabi Ibrahim kembali kepada keluarganya dan telah diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih puteranya Ismail. Dengan penuh ketaatan Nabi Ibrahim telah melaksanakan segala perintah lalu Allah menggantikan Nabi Allah Ismail dengan seekor kibas yang besar. Berdasarkan peristiwa inilah, lahirnyaibadat penyembelihan KORBAN, yang mana hukumnya adalah Sunnat Muakkad kepada umat Nabi Muhammad saw. Kemudiannya Allah telah mengangkat Ismail menjadi Nabi lalu Allah memerintahkan Nabi Ibrahim, membina Kaabah dibinanya bersama puteranya Nabi Ismail a.s.

Sidang Jumaat yang berbahagia. 

Begitulahlah amal-amal Ibadah dan kebajikan-kebajikan umat terdahulu yang terus segar di kalbu setiap Umat Islam terutamanya sewaktu tatkala menunaikan Ibadah Fardhu Haji. Segala yang diperintahkan oleh Allah dipatuhi dan dilaksanakan dengan rasa tawaduk, ikhlas dan rendah diri kepada Allah. Segala amalan-amalan haji itu samada yang rukun, fardhu dan sunat hendaklah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Kesemuanya dilaksanakan dengan penuh pengharapan semoga mendapat rahmat, keampunan dan keredhaan daripada Allah swt dan yang penting ibadah hajinya diterima Allah dengan mendapat Haji Mabrur yang mana Allah menjanjikannya dengan balasan Syurga.

Hadirin yang dirahmati Allah. 

Dalam hal ini Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa dengan mengerjakan ibadah haji, seorang mukmin akan merasai kerinduan yang sangat mendalam kepada Allah. Mereka dengan rela hati telah meninggalkan segala yang mereka sayang termasuk kampung halaman, keluarga, sanak-saudara, harta-benda dan sahabat-handai dengan mengharungi lautan yang dalam dan luas terbentang semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah. Menurut sejarah, ibadah haji adalah satu-satunya ibadah yang telah sekian lama diamalkan oleh umat manusia sebagai amalan yang menghubungkan jiwa seorang hamba dengan Tuhannya. Kemudian ianya disyariatkan kepada junjungan kita Rasulullah saw dan umatnya lalu seruan dan panggilan ini disambut dan dijawab oleh umat Islam dengan laungan Talbiah,

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ،لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، اِنَّ الْحَمْدَ، وَالنِّعْمَةَ،
لَكَ وَالْمُلْكُ, لاَ شَرِيْكَ لَكَ

"Wahai Tuhan kami, Wahai Tuhan kami, kami datang semata-matadengan ikrar penuh taat-setia menjunjung perintahMu. Wahai Tuhan yang tiada sekutu bagiMu, kami datang menyahut seruanMu, sesungguhnya segala puji serta segala limpahan rahmat adalah milikMu, yang datang dariMu dan hanya untuk Mu, Ya Allah, Engkaulah Tuhanku tiada sekutu bagiMu"


Saudaraku yang dikasihi Allah,

Setiap bakal haji mengharapkan agar dikurniakan oleh Allah Haji yang Mabrur iaitu haji yang menghapuskan segala dosa-dosanya, menambahkan iman dan takwanya, menjadikannya istiqamah dengan amal-amal soleh, menghalangnya dari mengulangi kerja-kerja mungkar dan maksiat. Lidah dan hatinya akan menjadibanyak berzikir, tidak lagi bercakap perkara-perkara lagho yang tidak berfaedah. Orang yang mendapat Haji yang Mabrur akan menjadikan masjid dan surau sebagai tempat yang dicintainya, majlis ilmu menjadi hiburan baginya, Al-Quran akan menjadi teman setianya. Begitulah tingginya nilai Haji yang Mabrur yang dijanjikan oleh Allah swt kepada setiap orang mukmin yang menjadi harapan setiap mereka yang dikurniakan taufik hidayah dari Allah swt. Sabda Rasulullah saw:

اَلْعُمْرَةُ اِلىَ الْعُمْرَةِ كَفَارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ اِلاَّ الْجَنَّةَ- البخاري والمسلم

Ibadah umrah ke satu umrah, menghapuskan dosa-dosa yang berlaku di antara keduanya dan Haji Mabrur itu tidak ada balasan baginya kecuali syurga.

Ummul mukminin, Saidatina Aisyah r.a, pernah bertanya kepada Rasulullah saw, apakah ibadah yang paling utama? baginda menjawab: “sebaik-baik jihad itu, ibadah haji yang mabrur”. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Yu’la, dari Abu Hurairah r.a, Baginda Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang meninggalkan rumahnya untuk menunaikan Haji lalu meninggal dalam perjalanan nya, Allah menulis pahalanya sehingga ke Hari Qiamat dan sesiapa yang berangkat untuk mengerjakan umrah lalu ia meninggal dalam perjalanannya maka pahala umrahnya tetap sampai pada hari Qiamat dan sesiapa yang keluar untuk perang fisabilillah lalu ia meninggal dalam perjalanannya maka pahala jihadnya ditulis pada Hari Qiamat”.

Mafhum hadis-hadis di atas, memberi penilaian yang sama mengenai pahala ibadah haji dan umrah, dengan pahala berjihad Fisabilillah.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah hari ini, saya ingin menyeru dan mengingatkan dua perkara: 

Pertama :

Bagi mereka yang belum berkesempatan menunaikan haji agar berniat, berazam serta berusahalah dari sekarang untuk menyimpan dan mengumpulkan sebanyak mungkin wang bagi keperluan atau perbelanjaan untuk menunaikan ibadah haji ke Baitullah. 

Kedua :

Bagi mereka yang telah berkemampuan serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, diingatkan agar tidak mencipta alasan atau bertangguh untuk menunaikan ibadah tersebut.Ada kedengaran suara-suara sumbang yang mengatakan: “belum sampai seru” apabila ditanya kepada mereka yang berkemampuan. Dalam hal ini, Saidina Ali Karamallahu wajhah meriwayatkan, Baginda Rasulullah saw bersabda:

عَنْ عَلِيْ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَلَكَ زَادًا  وَرَاحِلَةً تُبَلِّغُهُ اِلَىْ بَيْتِ اللهِ الْحَرَامِ وَلَمْ يَحُجَّ فَلاَعَلَيْهِ اَنْ يَمُوْتَ  يَهُوْدِياًّ  اَوْ نَصْرَاِنيًّا  وَذَلِكَ اِنَّ اللهَ  يَقُوْلُ  فِيْ كِتاَبِهِ  وَلِلَّهُ  عَلَى  النَّاسِ  حِجُّ  الْبَيْتِ  مَنِ اسْتَطَاعَ  اِلَيْهِ  سَبِيْلاً

“Barangsiapa yang telah mempunyai bekalan untuk perjalanan menyampaikannya ke Baitullahilharam untuk menunaikan haji tetapi ia menangguh-nangguh dan melambat-lambatkan dari menunaikan ibadah hajinya, tiba-tiba ia mati sebelum menunaikan hajinya maka matinya sama dengan mati nya kafir Yahudi dan kafir Nasrani. Untuk menegaskan lagi pentingnya Ibadah haji ini, Rasulullah saw, membacakan firman Allah swt, yang bermaksud: menunaikan ibadah Haji itu adalah wajib dan difardhukan oleh Allah swt kepada setiap orang mukmin yang mampu dan cukup syarat-syaratnya.(Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Firman Allah :


ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌۭ مَّعْلُومَـٰتٌۭ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍۢ يَعْلَمْهُ ٱللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ﴿١٩٧﴾

“Masa untuk mengerjakan Ibadah Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu (iaitu bermula 1 Syawal, berakhir apabila terbit Fajar hari ke 10, Zulhijjah). Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya, dengan niat mengerjakan ibadah haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya, sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri dari keaiban dengan meminta sedekah, dan bertakwalah kepadaKu, wahai orang-orang yang berakal yang dapat memikir dan memahaminya.” (Al-Baqarah ayat 197)

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ



Teks asal khutbah ini juga boleh dimuat turun dari laman www.4shared.com

Friday, October 21, 2011

Himpunan Sejuta Umat (Himpun)

PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program yang memaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik. Sehubungan dengan itu PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.

PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.

Dengan tidak melibatkan diri dalam himpunan tersebut tidak sama sekali menunjukkan bahawa PAS tidak prihatin dengan persoalan aqidah Umat Islam. Selama ini PAS lah pihak yang paling lantang dan paling istiqamah dalam memperjuangkan isu seperti ini. PAS tidak pernah menyalahkan mana-mana NGO yang tidak bersama dengan PAS dalam menyuarakan isu ini kerana menghormati pendirian mereka untuk terus bebas dari kelihatan memihak kepada mana-mana parti politik. Maka mana-mana pihak juga seharusnya menghormati pendirian PAS yang tidak mahu memasukkan unsur-unsur politik dalam tindakan seperti ini. Walaupun dari segi dasarnya PAS tidak melibatkan diri, tetapi PAS tidak menghalang mana-mana ahli yang ingin menyertainya sebagai mewakili diri mereka sendiri, bukan mewakili parti.

Penglibatan UMNO dalam himpunan ini juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk membuktikan keperihatinan mereka. Sebagai mewakili parti pemerintah, mereka tidak perlu bersama rakyat jelata untuk menyatakan pendirian seperti ini tetapi mereka sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk merungkai segala permasalahan yang berkaitan.

Thursday, October 20, 2011

Khutbah Jumaat - 23 Zul Qaedah 1432H / 21 Oktober 2011M

“PERTAHAN AQIDAH UMMAH”


الْحَمْدُلِلَّهِ  الْقَائِلِ،


لَّقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ ۘ وَمَا مِنْ إِلَـٰهٍ إِلَّا إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۚ وَإِن لَّمْ يَنتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٧٣﴾

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Surah al-Mā’idah (5) : 73

أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat sekelian,

Kalau status kita di dunia ini sering dibeza-bezakan dengan pangkat, darjat, kaya dan miskin namun insaflah kita sekelian bahawa apabila kain kafan membaluti diri kita masing-masing, semuanya akan dinilai semula dengan penilaian sejauh mana pencapaian iman kita, prestasi amal kita dan sejauh mana ketaqwaan kita. Maka, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita melalui cara bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dilarang Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Aqidah meng-esakan Allah adalah kurniaan terbesar Allah kepada kita sebagai umat Islam. Di samping ia merupakan kurniaan, dalam masa yang sama ia adalah amanah yang wajib digalas oleh setiap kita. Mulai saat ini, marilah kita meningkatkan tahap keprihatinan kita menyedari dan mengambil berat terhadap ancaman pemesongan akidah tauhid Umat Islam pada hari ini. Umat Islam di Negara ini telah mengharungi pelbagai episod hitam melibatkan gugatan dan ancaman terhadap aqidah seperti kes Natrah, Jamaluddin Othman, Nor Aishah Bukhari, IFC, kes pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas DUMC. Pendakyah-pendakyah agama lain bebas memberikan khidmat social kepada pesakit-pesakit di wad-wad hospital terpilih, menganjurkan kelas-kelas tuisyen untuk anak-anak muslim yang diselitkan dakyah-dakyah kristian, menyebarkan risalah secara terbuka di tempat-tempat awam dan rumah-rumah persendirian. Penghakisan martabat agama Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak terjadi atau tidak dirancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar Negara. Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan-satu nyanyian, satu perkhemahan-satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam garam-setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah – satu ceramah. Oleh kerana sasaran utama mereka adalah orang-orang melayu muslim, maka mereka menggunakan beberapa pendekatan yang hampir dengan kehidupan seharian orang-orang melayu muslim termasuklah penyalahgunaan beberapa perkataan yang mempunyai makna dan pengertian khusus tertentu dalam Islam tetapi digunakan untuk mencapai tujuan-tujuan jahat mereka. Contohnya penggunaan kalimah “Allah”. Hadirin yang dirahmati Allah, Di dalam Islam, “Allah” hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa. Merujuk perkataan “Allah” kepada salah satu daripada tiga unsur tuhan seperti kepercayaan kristian adalah menyalahi aqidah Islam, apatah lagi mendakwa Nabi Isa a.s itu adalah anak “Allah”. Al Quran menegaskan :

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ﴿٤﴾

Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

Hari ini nama suci ALLAH, dilaporkan telah digunapakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam-tanpa mengendahkan potensi untuk mengelirukan aqidah anak-anak Islam- tanpa memperdulikan betapa terhirisnya perasaan ummah. Nama suci ALLAH yang termaktub di dalam al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. ALLAH adalah kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam, kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain. Kalimah suci ALLAH bukan sekadar ‘nama am’ yang bermaksud ‘tuhan’ walau apa bentuknya. Kesucian kalimah ALLAH amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut bila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bungkusan, tidak boleh dibawa ke tandas. Allah adalah nama khas, Tuhan Yang Maha Suci – Tuhan Yang Maha Agung.  

Hadirin yang dirahmati Allah,

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang buat kali 178 telah memutuskan dan keputusan ini telah difatwakan serta diwartakan oleh Kerajaan Negeri Perak pada bulan Jun 2010, bahawa penggunaan kalimah ALLAH hanya dikhususkan untuk umat Islam, mana-mana penganut selain penganut Islam adalah dilarang daripada menggunakan kalimah ALLAH untuk sebarang tujuan dan maksud. Amatlah bahaya jika prinsip asas agama ini diredhakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik. Sesungguhnya insiden yang berlaku, merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh ALLAH swt terhadap umat Islam, menguji kepimpinan Islam di bumi ini; ujian ILAHI terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya, di kalangan ummah, ulama, barisan pemimpin, organisasi politik hatta Raja-raja. Ia adalah ujian terhadap ketegasan umat Islam untuk mempertahankan kalimah tauhid, KE-ESAAN ILAHI, ALLAH yang “SATU” lagi berkuasa di atas segalanya. Pada masa yang sama kita melihat gejala kurangnya kesatuan suara dan kejelasan sikap terhadap pelbagai ancaman terhadap akidah umat ini termasuklah dari kalangan sebahagian umat Islam disebabkan pelbagai faktor termasuk sentimen politik dan puak. Ini mewujudkan suasana yang memungkinkan terhakisnya benteng pertahanan akidah umat Islam samada dalam bentuk institusi – institusi agama, usaha dakwah dan pendidikan serta peruntukan undang-undang.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Marilah setiap daripada kita menjadi muslim yang sentiasa sensitive kepada setiap perkara yang berlaku kepada agama Islam dan umat Islam di mana-mana sahaja ia berlaku samada di luar Negara lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di dalam Negara kita. Marilah kita sentiasa menyiapkan diri, sentiasa siap siaga menjadi tentera-tentera Allah, pembela-pembela agama yang akan responsif terhadap apa juga yang menyentuh soal agama Islam dan Umat Islam.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.



Wednesday, October 19, 2011

Orang Media Diseru Jangan Halang 'Sempadan Allah'

KUALA TERENGGANU,17hb Okt 2011 - (Buletinonline) PAS memberikan peringatan kepada semua pihak, melaksanakan undang-undang Islam termasuk undang-undang Hudud dan Qisas, adalah suatu tanggungjawab agama yang mesti dilaksanakan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kewajipan tersebut merangkumi semua orang yang beragama Islam, termasuk orang media yang beragama Islam.

Beliau menegaskan, hudud adalah hukuman ciptaan Allah SWT untuk manusia sebagai sempadan dari Tuhan, bukan ciptaan manusia itu sendiri. "Wajib bagi orang Islam termasuk awak (wartawan) sendiri, bukan kepada saya sahaja tetapi termasuk media sendiri.

“Media orang Islam kena berjuang ke arah ini. Jangan media orang Islam ini menakutkan orang bukan Islam. Itu silap dan salah kita dengan ugama (Islam) kita .

“Hudud itu maknanya sempadan yang dibuat oleh Tuhan. ‘Sempadan’ yang Tuhan buat dan kita (manusia) tidak boleh langkah sempadan itu,” tegasnya pada satu sidang media selepas Majlis Perasmian Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU100K) di Pantai Pandak Chendering, dekat sini, pada Sabtu 15 Oktober.

Menurutnya, penentangan terhadap hudud sama seperti berkempen kepada orang ramai agar tidak pergi menunaikan ibadah haji.

Katanya, sudah tentu tindakan tersebut salah disisi agama Islam kerana itu semua adalah hukum dan peraturan Allah SWT.

“Macam awak (wartawan) kempen orang jangan pergi haji, apa akan jadi, boleh ke? Hudud ini hukum Tuhan, hukum al-Quran yang tidak boleh dibuat oleh manusia.

“Hudud ini, hukum quran walau pun ada dalam hadis Nabi. PAS tidak boleh buat, Ulama’-ulama’ mazhab tidak boleh buat,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan dalam hudud terdapat enam perkara yang tidak ada khilaf di kalangan ulama’.

Menurutnya, enam perkara tersebut iaitu mencuri, merompak, berzina, tuduhan zina, minum arak dan murtad.

Namun begitu, katanya persepsi umum terhadap hudud kebanyakkan memahami sebagai hukuman potong tangan sahaja.

“Banyak orang faham hudud potong tangan sahaja. Hudud ini ialah enam perkara yang tidak ada khilaf iaitu mencuri, merompak, berzina, tuduhan zina, minum arak dan murtad. Semua sekali telah ada dalam hudud,” ujarnya.

Saturday, October 15, 2011

Perasmian Liqaul Fikri PAS Kawasan Kuala Kangsar







Kuala Kangsar, 14 Oktober - PAS Kawasan Kuala Kangsar hari ini dengan rasminya telah memulakan Liqaul Fikri peringkat kawasan bertempat di Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Kangsar bersebelahan Istana Iskandariah, sebagaimana yang disarankan oleh Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan Badan Perhubungan PAS Negeri juga sepertimana yang disarankan dari peringkat Pusat.

Mereka telah meminta agar Ketua Dewan Ulamak PAS Perak iaitu AF Ustaz Shuid Din untuk merasmikan dan juga memberikan pengisian tentang peri pentingnya diadakan Liqaul Fikri di peringkat kawasan-kawasan di negeri Perak bagi menyatukan wehdatul-fikr di kalangan ahli-ahli, AJK-AJK Kawasan dan Cawangan-cawangan.

Majlis bermula seawal 6.45 petang itu dimulakan dengan sesi pendaftaran ahli-ahli PAS Kawasan Kuala Kangsar, kemudian solat Maghrib berjama'ah dan makan malam. Sejurus selepas solat Isyak berjamaah, sesi perasmian dan pengisian disampaikan oleh AF Ustaz Shuid Din. Setiap cawangan dikenakan yuran sebanyak RM20 dan bagi setiap ahli individu dikenakan yuran sebanyak RM3. Majlis Liqaul Fikri ini berakhir pada jam 11.00 malam.







Wednesday, October 12, 2011

Ulamak Wilayah Bersiap Hadapi PRU13

Kuala Lumpur,12hb Okt 2011. Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menegaskan bahawa pihak dewan bersedia untuk menggempur Umno-BN dalam PRU13 yang akan datang.

Beliau menegaskan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan semalam ketika mengulas tentang persiapan terkini pihak Dewan Ulamak Wilayah menjelang pilihanraya yang dibakal diumum pada bila-bila masa sahaja lagi.

“InsyaAllah kita akan berusaha secara bersungguh-sungguh untuk memastikan kita memperolehi kemenangan dengan menumbangkan kezaliman di negara ini dengan pertolongan daripada Allah s.w.t”kata beliau.

“Matlamat perjuangan kita ialah untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t, jadi kami percaya pejuang-pejuang PAS khususnya para alim ulamak pasti akan mencurahkan keringat mereka semata-mata untuk memastikan keadilan akan memperolehi kemenangan menewaskan kebatilan dan kezaliman” tambah beliau lagi.

“Jentera telah digerakkan dan insyaAllah kita akan push jentera kita ke tahap yang paling maksimum untuk membantu kemenangan PAS, setiap wakil urusan Ulamak PAS kawasan telah menyatakan komitmen dan iltizam mereka untuk merealisasikan impian ini” ujar beliau lagi.

Beliau juga turut menjelaskan bahawa InsyaAllah pihak DUPWP juga turut akan memulakan program MAQTAR dalam tempoh yang terdekat dengan menampilkan para ulamak yang berwibawa untuk mencurahkan ilmu kepada para pendengar setianya.

Bajet Orang Nazak

Kuala Lumpur, 11hb Okt. 2011. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Dato’ Harun Taib menyifatkan belanjawan Bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia selaku Presiden Umno adalah belanjawan orang yang sedang nazak.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas belanjawan yang dibentang baru-baru ini yang kononnya ingin membela nasib rakyat tetapi apa yang realiti sebenarnya menggambarkan situasi sebenar keadaan Umno yang sedang berada dalam suasana ‘ ICU’.

“ Belanjawan Najib ialah belanjawan orang sedang nazak, kalau hidup hiduplah dan kalau mati maka matilah” ujar pendek beliau ketika dihubungi pada hari semalam.

Jelas beliau lagi yang juga merangkap sebagai adun Manir, bahawa situasi Umno sekarang seperti orang yang sudah hampir mati yang sanggup berbelanja tanpa batasan semata-mata untuk memastikan nyawa dapat dipanjangkan lagi serta sanggup menggunakan pelbagai jenis rawatan walaupun rawatan itu tidak berkesan.

Sunday, October 9, 2011

Syariat Islam : Ulamak Seru Bincang Dengan Dada Terbuka

Kuala Terengganu, 9hb Okt 2011 – (Buletinlonline) Dewan Ulamak PAS menyeru mana-mana pihak yang 'kabur' tentang perlaksanaan syariah Islam, Hudud dan Qisas, supaya lebih terbuka dan bermuzakarah dengan mereka yang berpengetahuan.

Ketua Penerangannya, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh (gambar) mengharapkan golongan profesional khususnya orang-orang Melayu dan Islam supaya berbincang dengan dada yang terbuka dan fikiran yang lapang.

Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa perlaksanaan Hudud dan Qisas hukuman yang keras dan kejam serta menzalimi kaum wanita.

Katanya golongan tersebut sebenarnya telah meletakkkan tanggapan yang 'serong' terhadap syariat Islam.

"Kalau mereka melihat dengan cara yang baik, mereka tidak akan mengatakan wanita diketepikan bahkan mereka mesti menyebut wanita diberi penghormatan yang tinggi oleh Islam,"tegasnya ketika mengulas kenyataan sebuah NGO Sisters In Islam yang dilaporkan tidak bersetuju terhadap perlaksanaan hudud dan Qisas yang dikemukakan oleh Kerajaan Kelantan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri Terengganu menyatakan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Lujnah Penerangan pada Khamis, 6 Oktober, di sini.

Beliau menjelaskan Hudud dan Qisas tidak menolak wanita untuk menjadi saksi, namun meletakkan lelaki terlebih dahulu kerana beban penyaksian tersebut.

Sebaliknya, menurut beliau, sekiranya tidak ada saksi lelaki, dua orang wanita boleh menggantikan seorang saksi lelaki.








Wednesday, October 5, 2011

Isu Hudud: Ulamak Yakin Pakatan Rakyat Terus Kukuh

Kuala Lumpur, 4hb Oktober 2011. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib meluahkan rasa yakinnya bahawa Pakatan Rakyat akan terus kukuh untuk menuju ke Putrajaya pada pilihanraya ke13 yang akan datang.

Demikianlah penegasan beliau sebagai mengulas kejayaan Pakatan Rakyat mencari kata sepakat dalam menangani isu Hudud yang telah menghangatkan pentas politik Malaysia baru-baru ini.

“Kita Dewan Ulamak sangat optimis bahawa Pakatan akan terus kukuh dan InsyaAllah DAP akan terus setia bergandingan dengan PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat”tegas beliau.

“Saya percaya DAP hanya mempersoalkan hudud dari sudut teknikal sahaja iaitu berkenaan pertembungan dengan perlembagaan Persekutuan tapi saya yakin DAP tidak berhadapan dengan sebarang masalah berkaitan prinsip yang telah dikemukakan oleh PAS” tambah beliau lagi.

“Pendirian PAS sangat jelas berkenaan dengan keperluan perlaksanaan Undang-undang Syariah khususnya Hudud seperti yang telah kita tegaskan” ujar beliau lagi yang juga merupakan adun PAS Manir Terengganu.



Sunday, October 2, 2011

Perutusan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Sempena Sambutan 60 Tahun PAS Bertapak di Bumi Malaysia

“PAS Terus Teguh Mempertahankan Islam Di bawah Kepimpinan Ulamak”

Oleh:

Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib

1hb. Oktober 2011

Bersempena dengan Sambutan 60 tahun PAS, saya mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pendokong dan penyokong sejak dahulu hingga sekarang yang terus bersama-sama dengan PAS memperjuangkan Islam agar tertegak di atas tanah air yang tercinta ini.

PAS adalah mata rantai perjuangan para Nabi dan Rasul bagi mengajak manusia agar kembali kepada Allah dan hukum hakamnya. Prinsip PAS ini tidak pernah berubah walaupun strategi politik berbeza-beza untuk mencapai matlamat tersebut. Ijtihad dalam politik tidak pernah menidakkan perkara yang thawabit dan tetap dalam PAS. Strategi dan cabang agama terbuka kepada perubahan dan penyesuaian berdasarkan ijtihad. Keanjalan inilah yang memungkinkan PAS terus relevan sehingga kini, mampu menyerap dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa. Tahalluf Siasi dengan Parti yang mempunyai ideologi yang berbeza sebagai contoh, adalah strategi terbaik masa kini untuk mencapai kemenangan. Ia tidak mengorbankan prinsip dan thawabit PAS sebagai gerakan Islam untuk melaksanakan Islam secara syumul termasuk hukum hudud.

Ulamak telah memainkan peranannya yang sangat besar dalam menempuh badai perjuangan ini. Ulamak telah menjadi nadi kepada PAS dengan kedudukannya yang tinggi dalam organisasi. Majlis Syura Ulamak menjadi pemandu kepada parti agar tidak menyeleweng daripada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi rujukan tertinggi dalam PAS.

Usia 60 tahun PAS seharusnya mematangkannya berhadapan dengan lawannya iaitu UMNO. Pelbagai rintangan dan mehnah telah dihadapi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Walaupun ada di kalangan pendokongnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mehnah namun PAS masih mampu bertahan kerana keyakinan kepada janji kemenangan oleh Allah s.w.t.

Pilihanraya yang hampir tiba seharusnya dihadapi dengan penuh strategi dan bijaksana. Tenaga para Ulamak dalam berhadapan dengan ujian besar ini adalah sangat dituntut. Ulamak tidak harus hanya menjadi penonton di luar gelanggang tetapi harus masuk berpencak silat bersama demi untuk melaksanakan tuntutan ilmu yang dipelajari. Inilah masanya untuk para Ulamak beramal dengan ilmunya agar menjadi pohon yang menghasilkan buah yang ranum dan sedap dimakan.

Buat akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan selamat ulang tahun ke 60 PAS kepada seluruh pendokong dan penyokongnya. Agar anda terus thabat dan anjal di dalam menghadapi hari-hari muka yang semakin mencabar daripada pihak musuh yang semakin hilang panduan. semoga dengan itu kita terus mara kehadapan dengan penuh keyakinan tentang janji Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan, dan penuh kesabaran dalam perjuangan dan dalam rintangan.

"Ulamak Haraki Teraju Kemenangan"

" Allah Akbar ! "