Friday, September 25, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 7 SAFAR 1442 / 25 SEPTEMBER 2020

 JANGAN TERPENGARUH DENGAN ARAB YANG MELANGGAR AMARAN ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِيْنَ نَذِيْرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita merenung satu hadits Rasulullah s.a.w:

عَنْ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ أُمِّ الْحَكَمِ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا فَزِعًا يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدْ اقْتَرَبَ، فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ، وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الْإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا، فَقَالَتْ زَيْنَبُ، فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ. [متَّفقٌ عليه]

(Maksudnya): Daripada Ummul Mukminin Zainab Jahsyi radiAllahu 'anha, bahawa Nabi s.a.w masuk dalam keadaan gementar dan berkata: "Tidak ada Tuhan melainkan Allah, celakalah orang-orang Arab daripada kejahatan yang hampir tiba. Hari ini telah terbuka sebahagian tembok Yakjuj dan Makjuj seperti ini", sambil baginda mengisyaratkan bulatan pada ibu jari dengan jari telunjuknya. Zainab berkata: Aku bertanya, "Wahai Rasulullah s.a.w, adakah kami akan binasa sedangkan di sisi kami ada orang-orang yang soleh?" Jawab baginda s.a.w: "Ya, jika sekiranya banyak kejahatan".

Bencana akan menimpa umat Islam, khususnya orang Arab sendiri, bangsa Nabi s.a.w, di mana Al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka, apabila mereka meninggalkan petunjuk Al-Quran, melakukan dosa dan maksiat, serta apabila lemahnya kewajipan menunaikan amar ma'aruf nahi mungkar (menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran) diabaikan oleh orang-orang Islam.

Di dalam hadits yang lain, Rasulullah s.a.w memberi amaran:

لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ. [رواه الترمذي]

(Maksudnya): Suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran, atau jika tidak nescaya seksaan Allah boleh jadi akan menimpa kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar seksaan itu dihentikan, maka permohonan kamu tidak diterima lagi.

Kita menyaksikan, Allah memberi kemuliaan kepada bangsa Arab yang hidup di padang pasir, negeri yang kering kontang yang tidak ada hasil; kehidupannya hanya memelihara binatang. Apabila mereka menganut Islam, mengikut petunjuk yang dibawa oleh rasul akhir zaman, Muhammad s.a.w, Allah memberi kemuliaan kepada mereka sehingga berjaya menegakkan negara yang besar dan kuat, menyampaikan risalah Islam kepada bangsa-bangsa yang lain, sehingga berjaya mengalahkan kuasa besar Parsi dan Rom. Mereka dimuliakan oleh Allah s.w.t sehingga mereka diberi kelebihan membebaskan Baitul Maqdis, tanah suci yang diberkati oleh Allah daripada penaklukan orang-orang yang bukan Islam.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾ [سورة الإسراء : ١]

(Maksudnya): Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitul Maqdis), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Diberi kemuliaan kepada orang Arab untuk menghalau Rom Baizantin yang zalim dengan pertolongan Allah s.w.t, apabila paderi besar Baitul Maqdis mensyaratkan untuk menyerahkan Baitul Maqdis dengan kehadiran khalifah Islam Amirul Mukminin 'Umar ibnul Khattab r.a. Datanglah khalifah 'Umar untuk menerima penyerahan itu. Lalu menyampaikan ucapan kepada umat Islam yang ada dengan menegaskan:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.

(Maksudnya): Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripadanya nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah.

Benar apa yang telah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w apabila orang-orang Arab lemah berpegang dengan ajaran Islam dan meninggalkan mengaji atau belajar Islam, Allah melahirkan ulamak-ulamak besar dan imam-imam yang besar bukan daripada bangsa Arab, yang memelihara ilmu Islam. Allah menggantikan kaum lain mengambil alih memimpin Islam. Orang Arab tidak lagi memimpin Islam.

إِلَّا تَنفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٣٩﴾ [سورة التوبة : ٣٩]

(Maksudnya): Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Apabila tiada kaum yang berpegang dengan Islam, maka umat Islam seluruhnya dijajah oleh musuh-musuh Islam, tanahair mereka ditakluk, dipecah-pecah dan dibahagi-bahagikan dalam kalangan bangsa penjajah, walaupun mereka tidak berjaya memadamkan cahaya Islam.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [سورة الصّف : ٨]

(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan sekali-kali sehingga hari kiamat. Tetapi orang Islam berada dalam keadaan yang lemah, khususnya orang-orang Arab yang diberi kekayaan hasil minyak dan gas, emas di zaman ini, dengan kekayaan yang melimpah ruah. Dengan kekayaan sahaja mereka tidak mampu bangkit sebagai umat yang kuat, bahkan menjadi lebih punah dan rosak apabila hari ini mereka melawan amaran Allah s.w.t.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿٥١﴾ [سورة المائدة : ٥١]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai wali (teman rapat), kerana setengah mereka menjadi wali  kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka walinya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. 

Setelah tanahair umat Islam dijajah sehingga Masjidil Aqsa yang diberkati oleh Allah dikuasai oleh orang-orang Yahudi yang laknat oleh Allah, kaum yang paling dimurkai oleh Allah yang diucapkan oleh umat Islam pada tiap-tiap rakaat sembahyang:

...غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ... [سورة الفاتحة : ٧]

(Maksudnya): Bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai ke atas mereka (iaitu orang-orang Yahudi).

Tiba-tiba hari ini ada kalangan pemimpin-pemimpin negara Arab yang mengadakan hubungan secara tabi'ie (secara halal dan sah) dengan orang-orang Yahudi yang menakluk Baitul Maqdis yang mengepung Masjidil Aqsa dan sedang merancang untuk merobohkannya.

Percayalah mereka yang tidak patuh kepada amaran Allah ini akan menerima kebinasaan. Walaupun dengan alasan dan hujjah untuk mendapat perlindungan daripada orang-orang Yahudi dan Nasrani itu, seolah-olah lupa akan kekuasaan Allah s.w.t yang kekal selama-lamanya. Semua kuasa besar dunia itu akan jatuh merudum. Sesiapa yang berlindung di sebalik kuasa besar yang merudum itu, laksana berlindung di belakang tembok yang akan runtuh dan rebah, akan dihempap dan ditimpanya.

Marilah kita sedar dan insaf terhadap amaran Allah s.w.t, apa yang dilakukan oleh setengah-setengah orang Arab pada hari ini jangan sampai mempengaruhi kita walaupun mereka berbahasa Al-Quran dan sebangsa dengan Nabi s.a.w. Dengarlah firman Allah Ta'ala:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم ﴿٣٨﴾ [سورة محمد : ٣٨]

(Maksudnya): Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berjuang) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, September 24, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 7 SAFAR 1442 / 25 SEPTEMBER 2020

MARUAH DIRI DAN JAUHI ZINA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Khatib berpesan kepada diri sendiri dan sidang jamaah, marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, yakni dengan istiqamah mentaati perintah-Nya, dan sabar menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan berjaya tidak hanya di dunia, malah berjaya juga di negeri akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Maruah Diri dan Jauhi Zina".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai khalifah di muka bumi, kita adalah makhluk paling mulia ciptaan Allah s.w.t. Maruah dan kemuliaan ini harus dipelihara, agar tidak dicemari oleh perbuatan yang dilakukan oleh diri kita sendiri, mahupun oleh pihak lain. Jika umat Islam dapat menjaga maruah diri, ia adalah gambaran ketinggian martabat Islam yang menetapkan akhlak sebagai salah satu teras utama di dalam agama. Rasulullah s.a.w bersabda:

إِنَّ مِنْ خِيَارِكُمْ أَحْسَنَكُمْ أَخْلَاقًا

Maksudnya: "Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari no. 3559)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Di dalam syariat Islam, Allah s.w.t dan Rasul-Nya tidak memerintahkan sesuatu perbuatan, kecuali di dalam perintah itu terdapat kemaslahatan dan kebaikan yang besar. Begitu juga Islam tidak melarang dan mengharamkan suatu perbuatan kecuali di dalamnya ada mudarat yang perlu dojauhi. Salah satu tujuan syariat Islam ialah memelihara keturunan dan nasab. Oleh itu, Islam menghalalkan nikah dan mengharamkan zina. Firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٣٢﴾

Maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)".

Berdasarkan ayat ini, kalimah (wala taqrobu) yang bererti. "dan janganlah mendekati", tidak hanya melarang manusia melakukan zina. Malah, mendekati perkara yang membawa kepada zina juga amat dilarang. Kesan daripada perbuatan zina akan menimbulkan pelbagai kerosakan dan bencana dalam masyarakat. Antaranya, merosakkan nasab keturunan, mendatangkan penyakit berbahaya dan menimbulkan permusuhan. Ayat 32 Surah Al-Israk ini juga mengajar kita beberapa perkara:

Pertama, jangan sesekali mendekati zina kerana manusia biasanya akan tewas dengan godaan nafsu.

Kedua, jangan biarkan diri terdedah kepada suasana zina seperti berdua-duaan, mendedahkan aurat, melihat video atau gambar lucah dan sebagainya.

Ketiga, jangan menyertai atau menganjurkan majlis yang boleh mendorong ke arah perzinaan seperti parti sosial yang dihiasi acara tari-menari, minuman keras dan sebagainya.

Keempat, semua bentuk iklan yang memaparkan aurat wanita dengan aksi mengghairahkan perlu diharamkan.

Kelima, semua pihak harus memainkan peranan, membendung gejala zina dengan membudayakan amar ma'aruf nahi mungkar bagi mencegah segala bentuk maksiat dan kemungkaran dalam masyarakat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah kita sama-sama membersihkan diri daripada segala dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan selama ini. Kembalilah ke pangkal jalan, betulkan semula hala tuju hidup kita agar selari dengan petunjuk agama.

Tuan-tuan yang mulia, sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, lagi Maha Pengampun. Walau sebesar mana pun dosa yang kita lakukan, Allah s.w.t akan tetap menerima taubat hamba-hamba-Nya yang benar-benar insaf dan menyesal. Sabda Rasulullah s.a.w:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: "Setiap anak Adam itu (tidak lari daripada) melakukan dosa, dan sebaik-baik pendosa adalah orang-orang yang bertaubat". (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Firman Allah s.w.t dalam Surah Az-Zumar ayat 53:

۞ قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ ﴿٥٣﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan dosa dan kemungkaran), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَبِهِ نَسْتَعِين عَلَى أُمُورُ الدُّنْيَا وَالدِّين. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Marilah sama-sama kita mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

Friday, September 18, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 30 MUHARRAM 1442 / 18 SEPTEMBER 2020

PUJIAN ALLAH KEPADA UMAT ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَامِ وَفَضَّلَنَا عَلَى كَثِيْرٍ مِنَ الْأُمَمِ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Seterusnya marilah kita mendengar dan memahami firman Allah Ta'ala:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ ... ﴿١١٠﴾ [سورة آل عمران : ١١٠]

(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Begitulah pujian Allah kepada umat Islam, umat Muhammad s.a.w yang ditugaskan menyampaikan ajaran Islam kepada manusia seluruhnya d zaman tidak ada lagi nabi dan rasul 'alaihimus solatuwas salam. Ia merupakan tugas yang sangat besar dan berat, sekiranya mereka menyempurnakan tugas itu dengan baik, maka layaklah mereka mendapat pujian daripada Allah s.w.t. Tugas yang besar ini hendaklah dilakukan secara tolong menolong di antara satu sama lain. Firman Allah Ta'ala:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ  أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٧١﴾ [سورة التوبة : ٧١]

(Maksudnya): Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Begitulah perintah Allah s.w.t kepada umat Islam lelaki dan perempuan, bersama-sama menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, sehingga disebut dahulu daripada mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat serta mentaati Allah dan Rasul yang merupakan perkara-perkara yang paling asas di dalam agama Islam. Ini menunjukkan betapa besarnya kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran itu bagi umat Islam.

Tidak cukup kita hanya Islam pada diri dan keluarga masing-masing sahaja, tetapi kita mempunyai kewajipan untuk menyampaikan kepada manusia yang lain dan menyelamatkan manusia yang lain seramai-ramainya. Alangkah besarnya pahala sekiranya kita berjaya menyelamatkan orang-orang yang kafir dan orang-orang yang jahat untuk beriman dan kembali kepada Islam. Pahalanya berpanjangan walaupun kita telah meninggal dunia. Dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ. [متفق عليه]

(Maksudnya): Demi Allah, bila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu lebih baik daripada unta-unta merah (kenderaan yang paling mahal).

Kenderaan yang paling mahal berharga berjuta ringgit tamat di atas dunia ini sahaja, tetapi kejayaan kita menyelamatkan orang dengan Islam, pahalanya berpanjangan walaupun kita sudah mati dengan faedah yang sangat besar di sisi Allah s.w.t.

Allah menetapkan umat ini menjadi sebaik-baik umat sekiranya mereka menjalankan kewajipan menyuruh manusia kepada yang baik dan mencegahnya daripada kemungkaran. Dalam masa yang sama ingatlah sekiranya kita meninggalkan kewajipan ini dengan mendiamkan diri, maka kita menjadi umat yang paling celaka di dunia dan celaka di hari akhirat. Apa lagi kalau kita membiarkan keadaan, sehingga yang baik dianggap jahat dan yang jahat dianggap baik; yang halal ditukar menjadi haram dan yang haram menjadi halal, yang menjadi sebab kemusnahan dunia ini.

Marilah kita sedar dan insaf di dalam kehidupan dunia sementara waktu ini dengan menunaikan kewajipan yang besar mengikut kadar dan kemampuan diri masing-masing untuk melayakkan diri kita mendapat kemuliaan dunia dan akhirat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾ [سورة آل عمران : ١٠٤]

(Maksudnya): Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

KHUTBAH JUMAAT - 30 MUHARRAM 1442 / 18 SEPTEMBER 2020

PERSEFAHAMAN MEMBAWA PERPADUAN 

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَ الْإِسْلَامََ طَرِيقًا سَوِيًّا، وَوَعَدَ لِلْمُتَمَسِّكِينَ بِهِ مَقَامًا عَلِيًّا.

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Khatib ingin berpesan kepada diri sendiri dan jamaah sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan mentaati segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan menjadi insan bertaqwa, kita akan berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Persefahaman Membawa Perpaduan".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Tanggal 16 September setiap tahun, negara kita menyambut Hari Malaysia. Banyak peristiwa penting yang dilalui Malaysia, sebelum terbentuk menjadi sebuah negara yang sangat bermakna dalam kehidupan kita. Salah satunya adalah peristiwa pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Ia merupakan satu bentuk kerjasama dari segi politik dan ekonomi, melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara atau Sabah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Cinta kepada tanahair adalah fitrah seluruh manusia. Kita akan selalu merindui tempat kita lahir dan tumbuh dewasa. Malah Rasulullah s.a.w sendiri selalu merindui tanahair tempat kelahirannya. Di dalam peristiwa hijrah, Rasulullah s.a.w bersabda tentang Kota Makkah:

مَا أَطْيَبَكِ مِنْ بَلَدٍ وَأَحَبَّكِ إِلَيَّ وَلَوْلَا أَنَّ قَوْمِي أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا سَكَنْتُ غَيْرَكِ

Maksudnya: "Tidak ada kota yang lebih indah darimu, dan tidak ada kota yang lebih aku cintai darimu. Seandainya kaumku tidak mengusirku darimu, nescaya aku tidak akan menetap di kota lain selainmu". (Hadits riwayat Imam Termidzi hadits no. 3926)

Setelah menetap di kota Madinah, Rasulullah s.a.w berdoa agar Allah menumbuhkan kecintaan kepada kota Madinah yang telah menjadi tanahair kedua bagi baginda. Sabda Nabi s.a.w:

اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الْمَدِينَةَ كَحُبِّنَا مَكَّةَ أَوْ أَشَدَّ

Maksudnya: "Ya Allah, jadikanlah kami mencintai kota Madinah, sebagaimana kami mencintai kota Makkah atau lebih darinya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari hadits no. 1889)

Nabi s.a.w mengajar kita, bahawa bukti cinta lebih bermakna dari sekadar kata-kata. Ketika baginda mencintai Makkah, baginda menjadi orang yang sangat peduli terhadap penindasan dan kebejatan moral masyarakat Makkah. Ketika baginda mencintai Madinah, baginda membangunkan masyarakat yang beradab, dengan sistem hukum yang adil untuk masyarakat majmuk di Madinah.

Rasa cinta kepada tanahair, hadir dari semangat untuk menghargai seluruh manusia yang tinggal di dalam tanahair yang sama, walaupun berasal dari wilayah atau kelompok berbeza. Ia juga mendidik kita untuk hidup saling menghargai dan saling melindungi, sebagaimana yang dijamin oleh Sohifah Madinah atau Piagam Madinah di zaman Rasulullah s.a.w.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Hari Malaysia sama pentingnya dengan Hari Kebangsaan. Semangat daripada kedua-duanya perlu kita ambil iktibar, bagi memahami sejarah pembentukan negara kita. Sedikit sebanyak, kita dapat melihat bahawa sejarah merupakan suatu proses yang bersambungan. Suatu peristiwa yang kita hadapi hari ini, adalah sebahagian daripada peristiwa semalam, dan kemungkinan besar, akan menjadi tunjang kepada peristiwa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Hanya dengan menghayati sejarah Malaysia yang penuh cabaran dan liku perjuangan, kita dapat memupuk semangat perpaduan negara, tanpa mengira agama mahupun bangsa.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah kita menghayati sambutan Hari Malaysia dengan penghayatan yang sebenar-benarnya. Tidak dilupakan Hari Angkatan Tentera Malaysia, yang jatuh pada tarikh yang sama iaitu 16 September setiap tahun. Di sebalik nama Hari Malaysia, tersimpan segunung harapan agar terangkatnya martabat insan, tertegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, terjaminnya keselamatan dan tersebarnya kemakmuran di bumi Malaysia. Segala harapan ini hanya akan terlaksana dengan tertegaknya moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya.

Sebagai rakyat Malaysia, sudah tiba masanya untuk kita bergerak meninggalkan zaman sebelum ini, iaitu zaman yang lemah akibat pecah belah, zaman yang punah akibat rasuah, salah guna kuasa, pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral dalam masyarakat. Hayatilah doa Nabi Ibrahim a.s, di dalam Surah Al-Baqarah ayat 126:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُم بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ ﴿١٢٦﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan memberinya kesenangan rezeki itu buat sementara waktu di dunia, kemudian Aku menyeretnya ke azab neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَبِهِ نَسْتَعِين عَلَى أُمُورُ الدُّنْيَا وَالدِّين. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah.

Marilah sama-sama kita mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, digalakkan membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

Thursday, September 10, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 23 MUHARRAM 1442 / 11 SEPTEMBER 2020

INTEGRITI : AMANAH DALAM ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Marilah kita sama-sama tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, dengan mentaati segala perintah-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengannya, kita berjaya di dunia dan di akhirat sana. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah; "Integriti: Amanah Dalam Islam".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sifat amanah merupakan sifat mahmudah yang sangat dituntut dalam Islam. Ia merujuk kepada sikap bersungguh-sungguh memikul tugas dan tanggungjawab, tanpa sebarang unsur-unsur penyelewengan dan tipu daya. Integriti pula bermaksud kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip-prinsip moral yang dipegang oleh seseorang individu. Konsep integriti dan amanh sangat berkait rapat dengan akidah seorang muslim, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadits:

لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: "Tidak sempurna iman orang-orang yang tidak ada amanah padanya, dan tidak sempurna agama orang-orang yang tidak memenuhi janjinya". (Musnad Ahmad no. 12383)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebahagian orang menyangka bahawa amanah merupakan satu kemegahan semata-mata. Tanggapan ini amat berbahaya kerana ia akan menjerumuskan seseorang kepada krisis akhlak seperti salah guna kuasa dan pecah amanah. Hakikatnya, amanah adalah satu tanggungjawab dan bukannya kemegahan. Jika kita diberi amanah, kita wajib menunaikannya sebaik mungkin. Jika kita ingin memberi kepada seseorang, kita perlu melantik orang yang betul-betul layak. Firman Allah s.w.t di dalam Surah An-Nisa' ayat 58:

۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada  yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran  kepada kamu yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat". (Surah An-Nisa' ayat 58)

Dapat kita fahami, amanah pertama yang wajib kita penuhi adalah amanah kepada Allah dan Rasul-Nya. Kita dituntut untuk taat kepada syariat Allah s.w.t yang diajarkan oleh baginda Nabi s.a.w. Sifat amanah juga merupakan salah satu sifat yang wajib bagi Nabi. Maka dengan bersikap amanah, kita sebenarnya sedang memandu kehidupan kita bersuluhkan akhlak kenabian.

Amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia, seperti memberikan hak kepada orang yang layak dan menepati janji. Dalam melayari bahtera rumah tangga, suami isteri perlu amanah, ibu bapa dan anak-anak juga perlu amanah. Dalam mendidik anak bangsa, guru-guru perlu amanah, penuntut ilmu juga perlu amanah. Dalam menjalankan tugas, majikan perlu amanah, pekerja juga perlu amanah. Dalam berjual beli, peniaga perlu amanah, pelanggan juga perlu amanah. Dalam menjaga keselamatan negara, pasukan keselamatan dan penguatkuasa perlu amanah. Apatah lagi dalam memimpin negara atau negeri, sudah tentu pemimpinnya juga perlu bersikap amanah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mutaakhir ini, kes pecah amanah dan salah guna kuasa semakin hangat diperkatakan. Hal ini amat membimbangkan, kerana perbuatan khianat akan melahirkan kesan buruk tidak hanya kepada individu, malah keluarga, masyarakat dan negara. Firman Allah di dalam Surah Al-Anfal ayat 27:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٢٧﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (akan salahnya perbuatan itu)".

Berpandukan ayat ini, dapat kita fahami bahawa jika sesuatu amanah gagal dilaksanakan, bermakna kita telah mengkhianati amanah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang di bawah tanggungan kita. Sedar dan insaflah, bahawa kemajuan sesebuah negara ditentukan daripada pengamalan nilai amanah oleh warganegaranya. Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya: "Apabila sesuatu urusan diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat (berlakunya kerosakan)". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari, mukasurat atau hadits no. 59)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Sejauh manakah kita benar-benar mengamalkan sikap amanah dalam kehidupan? Langit manakah yang mahu memberi teduhan kepada orang-orang yang mengkhianati amanah Allah, Rasul-Nya dan kepercayaan orang lain? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Qaf ayat 16:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ ﴿١٦﴾

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia tahu apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَبِهِ نَسْتَعِين عَلَى أُمُورُ الدُّنْيَا وَالدِّين. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah ruma-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah.