Thursday, September 10, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 23 MUHARRAM 1442 / 11 SEPTEMBER 2020


INTEGRITI : AMANAH DALAM ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Marilah kita sama-sama tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, dengan mentaati segala perintah-Nya, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengannya, kita berjaya di dunia dan di akhirat sana. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah; "Integriti: Amanah Dalam Islam".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sifat amanah merupakan sifat mahmudah yang sangat dituntut dalam Islam. Ia merujuk kepada sikap bersungguh-sungguh memikul tugas dan tanggungjawab, tanpa sebarang unsur-unsur penyelewengan dan tipu daya. Integriti pula bermaksud kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip-prinsip moral yang dipegang oleh seseorang individu. Konsep integriti dan amanh sangat berkait rapat dengan akidah seorang muslim, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadits:

لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ وَلَا دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: "Tidak sempurna iman orang-orang yang tidak ada amanah padanya, dan tidak sempurna agama orang-orang yang tidak memenuhi janjinya". (Musnad Ahmad no. 12383)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebahagian orang menyangka bahawa amanah merupakan satu kemegahan semata-mata. Tanggapan ini amat berbahaya kerana ia akan menjerumuskan seseorang kepada krisis akhlak seperti salah guna kuasa dan pecah amanah. Hakikatnya, amanah adalah satu tanggungjawab dan bukannya kemegahan. Jika kita diberi amanah, kita wajib menunaikannya sebaik mungkin. Jika kita ingin memberi kepada seseorang, kita perlu melantik orang yang betul-betul layak. Firman Allah s.w.t di dalam Surah An-Nisa' ayat 58:

۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada  yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran  kepada kamu yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat". (Surah An-Nisa' ayat 58)

Dapat kita fahami, amanah pertama yang wajib kita penuhi adalah amanah kepada Allah dan Rasul-Nya. Kita dituntut untuk taat kepada syariat Allah s.w.t yang diajarkan oleh baginda Nabi s.a.w. Sifat amanah juga merupakan salah satu sifat yang wajib bagi Nabi. Maka dengan bersikap amanah, kita sebenarnya sedang memandu kehidupan kita bersuluhkan akhlak kenabian.

Amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia, seperti memberikan hak kepada orang yang layak dan menepati janji. Dalam melayari bahtera rumah tangga, suami isteri perlu amanah, ibu bapa dan anak-anak juga perlu amanah. Dalam mendidik anak bangsa, guru-guru perlu amanah, penuntut ilmu juga perlu amanah. Dalam menjalankan tugas, majikan perlu amanah, pekerja juga perlu amanah. Dalam berjual beli, peniaga perlu amanah, pelanggan juga perlu amanah. Dalam menjaga keselamatan negara, pasukan keselamatan dan penguatkuasa perlu amanah. Apatah lagi dalam memimpin negara atau negeri, sudah tentu pemimpinnya juga perlu bersikap amanah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mutaakhir ini, kes pecah amanah dan salah guna kuasa semakin hangat diperkatakan. Hal ini amat membimbangkan, kerana perbuatan khianat akan melahirkan kesan buruk tidak hanya kepada individu, malah keluarga, masyarakat dan negara. Firman Allah di dalam Surah Al-Anfal ayat 27:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٢٧﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (akan salahnya perbuatan itu)".

Berpandukan ayat ini, dapat kita fahami bahawa jika sesuatu amanah gagal dilaksanakan, bermakna kita telah mengkhianati amanah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang di bawah tanggungan kita. Sedar dan insaflah, bahawa kemajuan sesebuah negara ditentukan daripada pengamalan nilai amanah oleh warganegaranya. Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya: "Apabila sesuatu urusan diberikan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat (berlakunya kerosakan)". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari, mukasurat atau hadits no. 59)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Sejauh manakah kita benar-benar mengamalkan sikap amanah dalam kehidupan? Langit manakah yang mahu memberi teduhan kepada orang-orang yang mengkhianati amanah Allah, Rasul-Nya dan kepercayaan orang lain? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Qaf ayat 16:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ ﴿١٦﴾

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia tahu apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَبِهِ نَسْتَعِين عَلَى أُمُورُ الدُّنْيَا وَالدِّين. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah ruma-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah.

Marilah sama-sama kita mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, digalakkan membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.


اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.


No comments:

Post a Comment