Friday, September 18, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 30 MUHARRAM 1442 / 18 SEPTEMBER 2020


PUJIAN ALLAH KEPADA UMAT ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَامِ وَفَضَّلَنَا عَلَى كَثِيْرٍ مِنَ الْأُمَمِ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Seterusnya marilah kita mendengar dan memahami firman Allah Ta'ala:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ ... ﴿١١٠﴾ [سورة آل عمران : ١١٠]


(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Begitulah pujian Allah kepada umat Islam, umat Muhammad s.a.w yang ditugaskan menyampaikan ajaran Islam kepada manusia seluruhnya d zaman tidak ada lagi nabi dan rasul 'alaihimus solatuwas salam. Ia merupakan tugas yang sangat besar dan berat, sekiranya mereka menyempurnakan tugas itu dengan baik, maka layaklah mereka mendapat pujian daripada Allah s.w.t. Tugas yang besar ini hendaklah dilakukan secara tolong menolong di antara satu sama lain. Firman Allah Ta'ala:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ  أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٧١﴾ [سورة التوبة : ٧١]


(Maksudnya): Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Begitulah perintah Allah s.w.t kepada umat Islam lelaki dan perempuan, bersama-sama menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, sehingga disebut dahulu daripada mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat serta mentaati Allah dan Rasul yang merupakan perkara-perkara yang paling asas di dalam agama Islam. Ini menunjukkan betapa besarnya kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran itu bagi umat Islam.

Tidak cukup kita hanya Islam pada diri dan keluarga masing-masing sahaja, tetapi kita mempunyai kewajipan untuk menyampaikan kepada manusia yang lain dan menyelamatkan manusia yang lain seramai-ramainya. Alangkah besarnya pahala sekiranya kita berjaya menyelamatkan orang-orang yang kafir dan orang-orang yang jahat untuk beriman dan kembali kepada Islam. Pahalanya berpanjangan walaupun kita telah meninggal dunia. Dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ. [متفق عليه]


(Maksudnya): Demi Allah, bila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu lebih baik daripada unta-unta merah (kenderaan yang paling mahal).

Kenderaan yang paling mahal berharga berjuta ringgit tamat di atas dunia ini sahaja, tetapi kejayaan kita menyelamatkan orang dengan Islam, pahalanya berpanjangan walaupun kita sudah mati dengan faedah yang sangat besar di sisi Allah s.w.t.

Allah menetapkan umat ini menjadi sebaik-baik umat sekiranya mereka menjalankan kewajipan menyuruh manusia kepada yang baik dan mencegahnya daripada kemungkaran. Dalam masa yang sama ingatlah sekiranya kita meninggalkan kewajipan ini dengan mendiamkan diri, maka kita menjadi umat yang paling celaka di dunia dan celaka di hari akhirat. Apa lagi kalau kita membiarkan keadaan, sehingga yang baik dianggap jahat dan yang jahat dianggap baik; yang halal ditukar menjadi haram dan yang haram menjadi halal, yang menjadi sebab kemusnahan dunia ini.

Marilah kita sedar dan insaf di dalam kehidupan dunia sementara waktu ini dengan menunaikan kewajipan yang besar mengikut kadar dan kemampuan diri masing-masing untuk melayakkan diri kita mendapat kemuliaan dunia dan akhirat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾ [سورة آل عمران : ١٠٤]


(Maksudnya): Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment