Thursday, March 27, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 28 MAC 2014M / 26 JAMADIL AWAL 1435H




“KITA HANYA MAKHLUK”

Khutbah Pertama

الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿ سورة لقمان: ٣٤﴾

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dikasihi kerana Allah SWT,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat serta menjadi insan yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang diberi oleh Allah SWT kepada kita.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Kehidupan di dunia ini merupakan sesuatu yang bersifat sementara. Semua yang hidup pasti akan merasai kematian. Demikianlah juga manusia akan melalui fasa kematian dan bertemu dengan sang Penciptanya Yang Maha Kuasa. Apabila ajal seseorang telah tiba, tidak akan dapat diawalkan atau dilewatkan walaupun sesaat. Meskipun makhluk itu cuba sedaya upaya untuk lari daripadanya, ajal itu pasti akan menjemputnya walau di mana dia berada. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 78:

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ ۗ

Maksudnya: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.

Tiada sesiapa yang dapat menghalang malakul maut dari menjalankan tugasnya yang telah diamanahkan. Ketahuilah bahawa saat menghadapi kematian adalah sesuatu yang amat menggerunkan. Rasa derita dan sakit lantaran sentapan dan tarikan nyawa dari seluruh urat tubuh menjadikannya cukup untuk memutuskan segala rasa kelazatan dunia dan kerakusan hawa nafsu. Sebagaimana dimaklumi, kematian merupakan jambatan ke negeri akhirat. Ia menandakan berakhirnya kehidupan seseorang di dunia, beralih ke alam barzakh sebelum menuju ke alam akhirat. Kehidupan dunia yang sementara ini ibarat sebuah ladang bagi kehidupan akhirat. Sekiranya ladang itu diairi dan disuburkan dengan amalan soleh, maka bergembiralah pemilik tersebut dengan balasan nikmat berupa syurga di akhirat nanti. Malangnya jika ia dipenuhkan dengan amalan buruk dan ingkar perintah Allah SWT, maka pemiliknya akan merasa kecewa, takut dan amat menyesal di sana kerana kealpaannya di dunia.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Sudah menjadi lumrah sifat kita sebagai manusia amat mudah lupa dan tidak mengingati kematian. Apabila suatu musibah atau kematian menimpa seseorang, kita katakan yang mati itu orang lain. Apabila mayat ditanam di hadapan mata kita, kita nyatakan yang mati itu si pulan bukannya aku. Akibat dari sifat lalai dan leka dengan keasyikan dan kesenangan hidup, kita terlupa dan alpa bahawa kehidupan dunia ini hanyalah sementara. Ini telah diingatkan oleh Allah SWT dalam surah al-Munafiqun ayat 9:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ  وَمَنْ يَفْعَلْ ذَالِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ﴿٩﴾

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Sebagai umat Islam kita hendaklah membuat persiapan awal sebelum datangnya ajal yang tidak diduga. Antaranya:

Pertama: Sentiasa mengingatkan diri kepada kematian kerana ia dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan dalam diri untuk terus berusaha menjadi hamba yang taat.

Kedua: Mengawal dan mencegah diri dari mengikut dorongan hawa nafsu yang sentiasa mendorong ke arah maksiat dan dosa.

Ketiga: Mempertingkatkan amal ibadah kepada Allah SWT dengan niat yang tulus ikhlas kerana-Nya.

Keempat: Sentiasa berusaha mendidik diri dan keluarga dengan bekalan takwa.

Kelima: Melazimi taubat dan istighfar di atas apa jua kesalahan yang dilakukan kerana kita tidak tahu bilakah ajal akan tiba.

Keenam: Mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita saban hari.

Amatilah dengan mata hati ingatan Allah SWT dalam surah luqman ayat 34:

إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿٣٤﴾

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ  وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ



Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ ﴿١٨٥﴾

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat sekelian,

Negara kita digemparkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac 2014 yang lalu menuju ke Beijing. Dalam sidang akhbar pada 24 Mac 2014 yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan tersebut berakhir di selatan lautan Hindi. Meskipun bangkai pesawat mahupun mayat-mayat penumpang masih belum ditemui dan masih ada lagi kebarangkalian lain yang mungkin ditemui, namun sebagai umat Islam kita diajar untuk mengambil iktibar, mengingatkan diri bahawa kematian itu pasti menjemput kita walau di mana kita berada, simpati kepada keluarga mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ . فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.  


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

Wednesday, March 26, 2014

(gambar hiasan)

ARAHAN SOLAT HAJAT & MUNAJAT SOLIDARITI 529 MANGSA KEZALIMAN REJIM AS-SISI

Kepada:
1- Dewan Ulamak PAS Negeri/Wilayah
2- Urusan Ulamak PAS Kawasan
3- Semua Ahli PAS

Arahan supaya diadakan Solat Hajat & Munajat seperti maklumat berikut:

Tarikh: 27 Mac 2014
Hari: Khamis
Masa: Selepas Solat Isyak
Tempat: seluruh Masjid, Surau & Markaz Tarbiyah PAS

Sahabat seperjuangan,

YAB Dato' Us. Hj. Ahmad Yakob
Pemangku Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat

Friday, March 21, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 21 MAC 2014 M / 19 JAMADIL AWAL 1435 H




JAUHI PERBUATAN SYIRIK DAN KHURAFAT

Khutbah Pertama

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ 
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …
أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Walaupun ujian demi ujian yang melanda, moga kita terus istiqamah berada atas landasan Aqidah dan Syariah Allah yang benar.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Negara diuji dengan berbagai ujian, termasuk kemarau panjang yang menggusarkan seluruh rakyat dan kehilangan pesawat MH370 yang masih dalam usaha pencarian. Umat Islam meletakkan pergantungan kepada Allah, dengan berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah yang Maha Berkuasa. Munajat dan Solat Hajat tidak henti-henti dilaksanakan di mana-mana sahaja.

Namun, dicelah kesungguhan tersebut, kita dikejutkan dengan perbuatan perbomohan yang jelas bercanggah dengan Syara’ dan amat memalukan negara di mata dunia. Rata-rata umat Islam malah yang bukan Islam, tidak bersetuju malahan merasa jelek dan malu atas perbuatan tersebut.

Walaubagaimanapun masih terdapat segelintir umat Islam yang masih percaya dan bergantung harap dengan kaedah perbomohan ini. Mungkinkah secara tidak langsung Allah sedang menunjukkan kepada dunia bahawa Nusantara (Malaysia khasnya) masih begitu banyak amalan khurafat ini?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perbomohan ini kebiasaannya dikaitkan dengan aktiviti rawatan akibat sakit. Islam telah mengasaskan kaedah perubatan yang dibahagikan kepada tiga cara; iaitu pertama melalui ubat-ubatan fizikal, kedua melalui ubat-ubatan metafizikal dan yang ketiga melalui gabungan kedua-dua unsur fizikal dan metafizikal. Ubat-ubatan fizikal ialah seperti perubatan moden yang menggunakan ubat, pembedahan, peralatan maupun penawar seperti madu, air zamzam, manakala ubat-ubatan metafizikal pula ialah bacaan-bacaan ayat suci Al-Qur’an, doa, zikir dan ru’yah atau jampi yang dibenarkan Syara’.
Allah swt berfirman dalam Surah Al Israa’ ayat 82 :

وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًا ﴿٨٢﴾ 

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Ibnu Abbas meriwayatkan daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

الشِّفَاءُ في ثلاثَةٍ: شَرْبَةِ عَسَلٍ، وشَرْطَةِ مِحْجَمٍ، وكَيَّةِ نارٍ، وأنْهَى أُمّتِي عَنِ الكَيِّ

Kesembuhan itu boleh dicapai melalui 3 kaedah; meminum madu, berbekam dan bakaran api. Dan aku larang umatku menggunakan bakaran api (kerana belum diketahui teknologinya ketika itu). Hadis Sohih riwayat Imam Al-Bukhari

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sejajar dengan perkembangan Islam yang semakin meningkat, umat Islam semakin menjauhi bomoh dan mula mencari perawat yang mematuhi kehendak Syara’. Namun, kekeliruan sering terjadi akibat penampilan dan penggunaan ayat-ayat al-Quran oleh bomoh-bomoh bagi menunjukkan mereka juga menggunakan kaedah Islam. Bomoh juga sudah mula selesa dipanggil ustaz walaupun hakikatnya masih menggunakan kaedah yang berlawanan dengan syara’.

Sesungguhnya amalan perbomohan yang bercanggah dengan syariat Islam boleh membawa kepada syirik atau menyekutukan Allah Subhanahu Wata’ala. Ia adalah satu dosa yang amat besar yang tidak diampuni, sebagaimana firman Allah swt dalam Surah An Nisaa’ ayat 116:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَ‌ٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا ﴿١١٦﴾  

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu apa jua dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan syirik itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-hukumnya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa jua, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”

Sidang Jumaat sekalian,

Bagi mengelakkan kekeliruan tersebut, Jabatan Agama Islam Perak telahpun mengeluarkan garis panduan yang lengkap menjelaskan ciri-ciri rawatan, perawat dan kaedah rawatan yang dibenarkan syara’. Antara yang boleh dijadikan panduan ringkas adalah ;

1. Perawat

a. Perawat mestilah beragama Islam dan sempurna akal.
b. Perawat hendaklah mempunyai akhlak yang mulia sesuai dengan ajaran Islam seperti amanah, bersih dan warak.
c. Perawat hendaklah menyebut segala pergantungan hanya kepada Allah bukan selainNya.
d. Perawat menjaga batasan sentuhan dan pergaulan sesuai dengan kehendak syariat.
e. Perawat tidak boleh melakukan sesuatu yang bercanggah dengan syara’ walau apa sahaja alasan.

2. Bahan rawatan.

a. Bahan rawatan hendaklah halal dan suci dari unsur najis dan unsur syirik kepada Allah.
b. Semua bahan boleh digunakan sehingga ada dalil yang mengharamkannya.
c. Apa jua bahan yang dijadikan perantara bagi tujuan pemujaan dan sihir tidak dibenarkan.
d. Percampuran di antara bahan yang halal dengan bahan haram adalah tidak dibenarkan seperti ayat al Quran yang ditulis secara mengelirukan dan dijadikan tangkal azimat.
e. Bahan yang didakwa diambil dari alam ghaib tidak dibenarkan.
f. Penggunaan binatang hidup mahupun yang telah mati bagi tujuan pemujaan dan sihir tidak dibenarkan.

3. Tempat rawatan

a. Tempat rawatan hendaklah bebas daripada unsur-unsur syirik, maksiat dan menimbulkan fitnah .
b. Hendaklah memisahkan ketika merawat lelaki dan wanita yang bukan mahram

4. Kaedah rawatan

a. Kaedah rawatan yang sabit dan selaras dengan al-Quran dan Hadis-hadis yang sahih adalah boleh diguna pakai.
b. Ruqyah hendaklah menggunakan ayat-ayat al Quran, Hadis Nabi, doa atau Zikir.
c. Ruqyah dengan jampi juga dibenarkan setakat yang tidak berlawanan dengan syara’.
d. Diharuskan membacakan ruqyah pada air untuk diminum, sapu, renjis dan mandi.
e. Tidak dibenarkan menggunakan atau meminta pertolongan daripada syaitan dan jin dengan melakukan perbuatan menurun dan menyemah.
f. Tidak dibenarkan melakukan bedah batin.
g. Tidak dibenarkan melakukan sebarang kaedah yang meragukan dan menghina kesucian Islam serta menghina agama-agama lain.
h. Tidak dibenarkan menggunakan al-Quran secara tidak wajar dan menyalahgunakan ayat al-Quran dalam perawatan.
i. Tidak dibenarkan menggunakan kaedah tilik dan ramalan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perbomohan adalah cara yang mudah untuk menyesatkan manusia dan mudah mempengaruhi golongan yang sangat fanatik sehingga tidak perlu lagi kepada perubatan moden, walhal perbuatan mengenepikan semua ubat-ubatan fizikal adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Apa yang mendukacitakan, masih terdapat di kalangan kita khususnya masyarakat Islam, apabila menghadapi sesuatu masalah atau sesuatu penyakit ganjil akan pergi berjumpa bomoh yang kononnya boleh merawat penyakit berkenaan dengan cara jampi-jampian. Amalan perbomohan dianggap dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan seperti merawat penyakit, mendapatkan barang hilang, inginkan pangkat dan kedudukan, digeruni dan nampak hebat, nampak cantik, ilmu menunduk isteri atau suami, ilmu pendinding, ilmu kebal, ilmu pembenci, ilmu pengasih untuk mencari jodoh, mendapatkan nombor bertuah dan bermacam-macam lagi. Kesemua ini merupakan perbuatan yang dilarang yang boleh menyebabkan syirik yang tidak diampuni oleh Allah swt. Sabda Rasulullah saw :

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ سَاحِرًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم

Barangsiapa mendatangi tukang tilik atau ahli sihir dan mempercayai kata-katanya maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW. (Riwayat al Bazzar)

Perbuatan-perbuatan syirik itu termasuklah mempercayai adanya kuasa tertentu di dalam tangkal, wafak, azimat, keris, parang, batu, cincin, kayu dan sebagainya yang digunakan atau dipakai untuk menolak bala bencana atau untuk menyembuhkan sebarang penyakit. Sabda Rasulullah SAW dalam menolak penggunaan tangkal ini dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh ‛Uqbah bin ‘Amr:

مَنْ تَعَلَّقَ تَمِيْمَةً فَلاَ أَتِمَّ اللهُ لَهُ وَمَنْ تَعَلَّقَ وَدْعَةً فَلاَ وَدَّعَ اللهُ لَهُ

Sesiapa yang menggantung tangkal. Allah tidak akan menyempurnakannya dan sesiapa yang menggantung wad‛ah, tidak ada perlindungan baginya.(riwayat Imam Ahmad).

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ  وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ.



Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ  الْقاَئِلِ :

هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَىٰ مَن تَنَزَّلُ الشَّيَاطِينُ ﴿٢٢١﴾ تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ ﴿٢٢٢﴾ يُلْقُونَ السَّمْعَ وَأَكْثَرُهُمْ كَاذِبُونَ ﴿٢٢٣﴾

“Mahukah Aku khabarkan kepada kamu kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu, sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”- Surah Asy-Syuaara’ ayat 221-223.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ


Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,

Terdapat juga dakwaan bahawa tubuh bomoh itu boleh dimasuki oleh malaikat, roh orang yang mati dan orang bunian ketika menjalankan perubatan. Apa yang berlaku sebenarnya, jin dan syaitanlah yang masuk ke dalam tubuhnya. Jin dan syaitan inilah yang menyampaikan maklumat kepada bomoh tersebut untuk menyatakan perkara-perkara ghaib, sama ada perkara yang akan berlaku atau perkara yang telah berlaku. Semua ini adalah dusta semata-mata yang bertujuan untuk mengadu domba dan memecahbelahkan masyarakat .

Perkara yang paling utama di dalam kehidupan beragama adalah menjaga aqidah. Oleh itu umat Islam wajib sentiasa menghindari diri dari terpedaya dan terjerumus ke dalam penyelewengan aqidah melalui perkhidmatan perbomohan. Di antara usaha yang berkesan yang dianjurkan di dalam Islam ketika sakit ialah mendapatkan rawatan daripada doktor atau perawat yang bertepatan dengan ajaran Islam, di samping memperbanyakkan doa dan zikir serta beristighfar kepada Allah swt.

Oleh itu, sama-samalah kita berdoa semoga kita sentiasa terpelihara dari apa jua anasir-anasir yang boleh menyelewengkan aqidah kita dan semoga kita sentiasa mendapat rahmat dan hidayat daripada Allah swt. Amin ya Rabbal’alamin.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

Tuesday, March 18, 2014

TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENGANJUR FESTIVAL FUTURE MUSIC ASIA

Negara sekali lagi dikejutkan dengan kematian enam remaja yang menghadiri Festival Future Music Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil beberapa hari yang lepas. Lebih mengejutkan lagi apabila laporan dari berkuasa mengatakan kematian mangsa-mangsa terbabit berpunca dari pengambilan dadah yang berlebihan. Dilaporkan juga, dua dari pengunjung yang menghadiri konsert tersebut masih dalam keadaan kritikal.

Jelas, penganjuran konsert besar-besaran seumpama ini amat melukakan hati seluruh rakyat negara ini di saat semua masih berteka-teki nasib MH 370 disamping ianya jauh menyimpang dari landasan syariat Islam. Penganjuran ini seolah memperlihatkan bahawa negara sudah tidak mempunyai penasihat agama yang berani dan mampu menegur kebiadaban pihak yang menganjurkan program ini.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Negeri Perak mengharapkan ada susulan tindakan yang tegas dan keras ke atas pihak penganjur festival tersebut serta pihak yang meluluskan permit konsert tersebut. Ini kerana, penganjuran ini melambangkan keangkuhan dan kebiadaban mereka terhadap Allah. Ujian Allah yang bertimpa-timpa ketika ini sedikitpun tidak menyentuh naluri kehambaan mereka bahkan dengan angkuhnya pesta maksiat dianjurkan sehinggakan mengakibatkan ada jiwa yang terkorban.

Ustaz Nor Azli Musa
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Perak.

Kehilangan MH370 : Semuanya Dalam Ilmu Allah.

Berikutan tragedi dan misteri kehilangan Boeing 777 atau MH370, lantas menimbulkan banyak spekulasi dan andaian, walaupun tiada satu pun yang diyakini tepat.


Membuktikan betapa jahilnya manusia terhadap alam cakerawala ini. Apabila kita menyedari kejahilan kita, maka yakinlah bahawa Allah itu Maha Mengetahui segalanya.


Susulan daripada itu, beberapa pihak tampil dalam memberikan khidmat untuk mencarinya. Ada yang menjalankan pencarian melalui cara yang betul, dan ada pula yang jauh tersesat dengan menggunakan kaedah perbomohan yang bercanggah dengan Islam.

Allah SWT dengan jelas menegaskan bahawa segala yang terjadi di alam ini kesemuanya di dalam pengetahuan Allah,

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Dan di sisi Allah itu ada kunci perbendaharaan alam ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah, dan Dialah yang mengetahui apa yang berada di daratan mahupun lautan, dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir benihpun di dalam kegelapan bumi melainkan Dia juga yang mengetahuinya, dan tidak gugur benda yang basah mahupun kering, melainkan kesemuanya telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang jelas nyata. [Surah Al-Anaam : 59]

Apabila kita menyedari bahawa kita tidak tahu di manakah letaknya sebuah kapal terbang yang besar, maka apatah lagi helaian daun atau benih yang jatuh di muka bumi.

Allah mengingatkan kita agar memohon kepada Allah, bukan dengan perbomohan atau kaedah kaedah yang khurafat berdasarkan firmanNya,

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Apabila hamba hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (beritahu kepada mereka) : Sesungguhnya Allah SWT sentiasa hampir kepada mereka, Aku memperkenan permohonan orang yang berdoa kepadaku. Maka hendaklah menyahut seruanKu (mengikut perintahKu) serta beriman kepadaKu, semoga ,mereka mendapat petunjuk. [Surah Al-Baqarah : 186]

Ustaz Nor Azli Musa
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Perak.

Thursday, March 13, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 14 MAC 2014M / 12 JAMADIL AWAL 1435H




“TIADA PEMBERI, TIADA PENGEMIS”

Khutbah Pertama
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ،

الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنْفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (البقرة: ٢٦٢)
Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ  وَاَصْحَابِهِ  وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ،
أَمَّا بَعْدُ فَيَا عِبَادَ اللَّهِ !   اِتَّقُواْ  اللَّهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ  وَلاَتَمُوْتُنَّ  إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُّسْلِمُوْن

Sidang Jamaah yang di rahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhannya serta berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkan setiap tegahannya. Mudah-mudahan setiap mujahadah kita di dunia yang sementara ini akan dinilai di sisi Allah SWT sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak seterusnya menyelamatkan kita daripada azab api neraka Allah SWT.

Sidang Jamaah yang di rahmati Allah,

Islam amat menggalakkan umatnya mencari harta dengan cara yang halal dan diredhoi Allah SWT . Oleh itu, mencari harta dengan titik peluh sendiri adalah lebih mulia daripada perbuatan meminta-minta dan mengharap belas simpati orang lain. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Imam al Bukhari rahmatullah daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

عَنْ الزُّبَيْرِ بْنِ الْعَوَّامِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ أَحْبُلاً فَيَأْخُذَ حُزْمَةً مِنْ حَطَبٍ فَيَبِيعَ فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهِ وَجْهَهُ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أُعْطِيَ أَمْ مُنِعَ

Daripada Saidina Zubair bin Al-awwam RA daripada Nabi SAW bersabda: Seseorang di antara kalian yang mengambil tali-tali lalu mengikat kayu api dan menjualnya maka Allah memelihara maruahnya adalah lebih baik daripada dia mendatangi seseorang dan meminta-minta kepadanya, sama ada orang itu memberi atau pun menolaknya.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Tahukah kita, menurut Akta Undang-undang Papa 1977, mengemis ialah apa-apa kelakuan yang dikira akan mendorong pemberian sedekah, berpura-pura menyanyi, bermain, berlakon, menawarkan sesuatu untuk jualan atau sebaliknya. Justeru itu pengemis boleh ditakrifkan sebagai memperoleh wang secara tidak sah !

Dewasa ini, isu pengemis telah menjadi isu nasional yang mesti dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib dengan kerjasama seluruh masyarakat. Di bawah peruntukan 43 Enakmen Jenayah Syariah Perak adalah menjadi suatu kesalahan kepada sesiapa yang membuat pungutan derma khairat tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Perak. Maka Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak dengan kerjasama pelbagai agensi lain seperti Dewan Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Tempatan seluruh Perak, Polis Diraja Malaysia ( PDRM ) dan Jabatan Agama Islam Perak ( JAIPk ) telah mengambil inisiatif bagi menjalankan kempen menyedarkan masyarakat tentang kegiatan pengemis yang kian berleluasa di kalangan kanak-kanak. Kempen ini bertujuan memberi maklumat yang tepat kepada masyarakat agar tidak memberi sumbangan sewenang-wenangnya kepada pengemis tanpa melalui saluran yang dibenarkan undang-undang.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Jika dilihat dibawah undang-undang yang sedia ada seperti Seksyen 14 Kesalahan Pemerdagangan Kanak-kanak dan Seksyen 32, kanak-kanak tidak boleh digunakan untuk mengemis. Akta Kanak-kanak 2001 ( Akta 611 ), juga kesemuanya menjurus menjaga generasi baru agar tidak menjurus ke kancah yang tidak bermoral .

Namun begitu, terdapat pihak-pihak tertentu yang menggunakan kanak-kanak kononnya sebagai suatu latihan ko-kurikulum sekolah. Jika diselidiki siapakah mereka, ternyata ada di antaranya didalangi sindiket penipuan, menggunakan kanak-kanak bagi menagih simpati dengan menyalahgunakan nama sekolah anak-anak yatim atau sekolah tahfiz Quran. Sedar atau tidak, kegiatan pengemis ini berlaku di sekeliling kita seperti di masjid-masjid, Pusat Komersial dan perniagaan, pasar malam, kedai makan, stesen minyak, bank sehingga ke tempat letak kereta. Pelbagai ragam dapat dilihat, ada yang membawa anak kecil, menjual tisu, menjaja ayat-ayat suci al-Quran sambil menunjukkan surat tawaran dan bil hospital. Tidak kurang juga yang menggunakan surat kebenaran memohon derma membina masjid, kehilangan dompet, disamun dan lain-lain lagi. Jika difikirkan, sesiapa sahaja yang berhadapan dengan situasai tersebut pasti akan tersentuh naluri kemanusiaan dan terus menghulurkan sumbangan. Tidak dinafikan juga, terdapat antara mereka yang betul-betul memerlukan bantuan dan terdesak untuk dibantu, tetapi ada pihak tertentu yang bertindak menipu di atas kemurahan hati masyarakat kita.

Sidang Jamaah yang di rahmati Allah,

Islam tidak pernah memandang hina golongan miskin dan susah yang terpaksa mengemis serta meminta-minta kepada orang ramai, tetapi biarlah ia mengikut saluran yang betul dan tidak menyalahi undang-undang. Pelbagai pihak telah menawarkan bantuan-bantuan tertentu melalui peruntukan zakat yang dikendalikan oleh Baitul Mal di bawah Majlis Agama Islam Perak. Justeru, bagi memastikan golongan yang layak memperolehi bantuan seumpama ini dibantu, masyarakat perlu sedar dan faham agar mengelakkan diri bagi memberi derma atau sedekah kepada mereka yang mengemis. Peranan dan tanggungjawab ini mesti dipikul bersama agar sebarang bentuk bantuan terutama wang zakat dapat disalurkan kepada mereka seterusnya membasmi kegiatan ini. Tidak salah rasanya, kita membawa golongan yang mengemis jalanan ini atau lebih tepat yang memerlukan bantuan kepada pihak-pihak yang betul agar mereka yang mengemis ini tidak diperalatkan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan hasil kegiatan tidak bermoral ini.

Pada kesempatan ini juga, mimbar ingin menarik perhatian jamaah sekalian terhadap isu mengemis ini kerana telah terbukti wujudnya golongan tertentu yang sanggup menggunakan topeng agama seperti derma amal tahfiz, bina pondok tahfiz, atau derma pusat kegiatan anak-anak yatim untuk menghalalkan kegiatan mereka ini. Jelas di sini, mangsanya terdiri dari kalangan kanak-kanak dan pelajar-pelajar sekolah yang tidak mengerti akan tipu muslihat mereka itu. Amat malang sekali, terdapat pihak tertentu telah menggunakan golongan orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak bawah umur untuk mengemis bagi pihak mereka. Lihatlah! betapa dangkalnya fikiran mereka yang telah memperalatkan golongan yang tidak berupaya ini. Justeru, sebagai anggota masyarakat seharusnya kita sedar bahawa dengan memberi sedikit wang kepada kegiatan pengemis ini pun telah mendorong kepada kegiatan tidak bermoral yang akhirnya akan mencemarkan imej agama Islam di mata orang-orang bukan Islam di dalam negara kita sendiri.

Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,

Islam sebagai agama yang syumul amat menekankan konsep berzakat dan menganjurkan umatnya bersedekah kepada golongan yang memerlukan. Walaupun begitu, tidak sepatutnya medan ini dijadikan alasan untuk umat Islam khususnya tidak berusaha mencari rezeki sendiri dan hanya meminta-minta walhal fizikal dan kesihatan mereka dalam keadaan yang sempurna. Masihkan kita ingat sirah hebat zaman Khalifah Omar bin Abdul Aziz yang mentarbiah rakyatnya sehingga menjadi sifar kemiskinan dan tiada seorang pun yang layak menerima wang Baitul Mal. Lebih menarik, fakta ini di sokong dengan sikap umat Islam ketika itu yang tidak suka meminta-minta malah wang kutipan zakat negara Islam ketika itu di hantar ke negara lain pula. Kehebatan umat Islam ketika itu wajar dijadikan tauladan kepada kita bersama kerana setiap pekerjaan yang bersumberkan rezeki yang halal pasti ada berkatnya, tambahan pula disucikan dengan pelaksanaan zakat.

Hadirin Hadirat sekelian,

Melalui mimbar ini juga, Khatib ingin mengariskan beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi mengurangkan seterusnya membasmi budaya mengemis ini :

Pertama : Melaporkan maklumat kegiatan mengemis

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita perlu perihatin terhadap isu ini dengan melaporkan maklumat kegiatan mengemis kepada pihak berwajib agar tindakan susulan dapat dilaksanakan. Maklumat juga amat penting untuk pihak-pihak tersebut agar dapat membantu golongan ini.

Kedua : Mengelakkan memberi derma kepada pengemis

Sikap bermurah hati dengan memberi derma ikhlas dan sebagainya perlu kena pada tempat dan masanya. Gunakanlah kebaikan yang ada itu dengan menyalurkan sumbangan tersebut kepada pihak yang betul agar bantuan dapat disalurkan terus kepada golongan susah ini, badan-badan kebajikan, NGO, masjid-masjid, surau dan pihak-pihak terbabit.

Ketiga : Kempen dan Penguatkuasaan yang berterusan

Kegiatan mengemis ini begitu sukar dihentikan kerana walaupun tangkapan dibuat terhadap golongan ini dan diserahkan kepada pihak berwajib atau kepada waris masing-masing. Kegiatan ini akan tetap wujud kecuali dengan kerjasama semua pihak terutama pihak Dewan Majlis Bandaran atau Majlis Perbandaran Tempatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan PDRM sendiri agar memantau tempat-tempat yang menjadi lokasi panas aktiviti pengemis ini. Selain itu, pengedaran risalah kepada masyarakat perlu dilipatgandakan bagi menyedarkan masyarakat untuk membasmikan kegiatan ini.

Keempat : Hebahan media semasa dan media elektronik

Pihak-pihak yang terlibat dengan media turut berperanan menyumbangkan idea dan cadangan serta hebahan kepada orang ramai agar perkara ini difahami semua. Setidak-tidaknya langkah ini dapat membuktikan bahawa semua pihak bekerjasama bagi memastikan negeri ini bebas daripada pengemis .

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُوا اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ  وَالأَمْوَات، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ.



Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ  الْقاَئِلِ :

قَوْلٌ مَعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِنْ صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَلِيمٌ (٢٦٣) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْأَذَى كَالَّذِي يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا لَا يَقْدِرُونَ عَلَى شَيْءٍ مِمَّا كَسَبُوا وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ (٢٦٤) 

Perkataan yang baik dan memaafkan adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan menyakiti, seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin. Mereka tidak akan mendapat sesuatupun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ


Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran terhadap intisari khutbah yang disampaikan seperti berikut :

Pertama : Islam menganjurkan umatnya agar berusaha mencari rezeki yang halal dan bukannya meminta-minta simpati kepada orang lain.

Kedua : Gunakanlah saluran yang betul bagi menyalurkan derma dan sumbangan seperti melalui badan kebajikan, masjid-masjid dan Baitul Mal.

Ketiga : Kempen “Tiada Pemberi Tiada Pengemis” wajar didokong bersama seluruh masyarakat demi melihat pencapaian kemajuan Negara dapat dicapai .

Firman Allah SWT didalam surah az-Zariyat ayat 19 :

وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ (الذاريات:١٩)

Dan pada harta-harta mereka, hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta-minta)

Muslimin dan para jemaah sekalian, 

Khatib menyeru kepada sidang jemaah sekalian, marilah sama-sama kita melaksanakan solat sunat hajat selepas solat Jumaat pada hari ini, untuk kita sama-sama berdoa serta memohon kepada Allah swt supaya menyelamatkan penumpang pesawat MH370 yang telah hilang sudah hampir 7 hari tidak ketemui. Kita memohon supaya Allah melindungi serta selamatkan mereka.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com