Showing posts with label Kenali PAS. Show all posts
Showing posts with label Kenali PAS. Show all posts

Friday, September 27, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 27 MUHARAM 1441 / 27 SEPTEMBER 2019


SELAMATKAN DUNIA DARIPADA GOLONGAN YANG MEMBAWA KEMUNGKARAN

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ، وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Seterusnya marilah kita mendengar soalan Allah s.w.t yang disebut di dalam Al-Quranul Karim:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُ ۚ... ﴿٢١﴾ [سورة الشورى : ٢١]

(Maksudnya): Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?

Ia adalah soalan yang menggerunkan orang-orang yang beriman daripada Allah yang Mencipta sekalian alam yang bersifat dengan segala sifat kepujian yang Maha Suci daripada sifat kekurangan. Ia bukan sahaja Mencipta dan Menjadikan alam ini, tetapi Ia juga Menetapkan bagi alam ini peraturan dan undang-undang kepada semua jenis makhluk-Nya, termasuk makhluk manusia walaupun diberi kepada mereka akal fikiran, pengalaman dan ilmu pengetahuan. Mereka tetap makhluk yang mempunyai kelemahan-kelemahan yang tersendiri.

Allah s.w.t yang Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya serta Maha Adil lagi Bijaksana tidak membiarkan makhluk begitu sahaja dengan menurunkan kitab-kitab yang menjadi petunjuk dan dilantik rasul-rasul yang dipilih sendiri oleh Allah s.w.t yang berakhir dengan Nabi akhir zaman, Muhammad s.a.w.

Tetapi malangnya terdapat dalam kalangan manusia yang diletakkan di atas muka bumi ini merosakkan dunia dengan tindakan mereka sendiri dengan mengadakan peraturan dan undang-undang yang tidak diizin oleh Allah s.w.t. Terdapat daripada kalangan orang-orang musyrikin yang memuja tuhan yang lain daripada Allah. Pengikut-pengikut mereka patuh kepada pemimpin-pemimpin yang sesat ini. Mereka mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah s.w.t, termasuk merosakkan diri manusia sendiri dengan menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Semua yang haram mendatangkan mudarat dan semua yang halal memberi manfaat kepada diri manusia bagi jasad, akal dan rohnya. Bila mereka meminda peraturan-peraturan ini bermakna mereka merosakkan diri mereka sendiri dan merosakkan alam sekeliling.

Termasuk yang menyeleweng itu daripada kalangan ahli kitab, kaum yahudi dan nasrani yang mempunyai kitab Taurat dan Injil serta mempunyai nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus solatu wassalam. Terdapat dalam kalangan ulamak-ulamak ahli kitab yang tunduk kepada pemimpin-pemimpin mereka yang zalim dan menyeleweng yang mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah s.w.t demi untuk mengikut hawa nafsu pemimpin-pemimpin itu.

Maka lahirlah ajaran yang manusia pada zahirnya atas nama kebebasan liberalisme, atas nama keadilan dan atas nama hak asasi manusia. Mereka meminda sempadan-sempadan Allah s.w.t menyebabkan manusia bersifat binatang, bukan bersifat manusia. Hilangnya jati diri manusia di dunia barat pada hari ini, hilangnya hubungan kekeluargaan dan hilangnya hubungan kasih sayang di antara satu sama lain. Ia menjadikan manusia itu lupa kepada ibu bapa, lupa kepada anak dan lupa kepada keluarga semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Mereka mencipta ajaran sama ada menolak agama secara mutlak ataupun sekadar menumpang sahaja.

Fahaman ini dimasukkan ke dalam masyarakat Islam dan terdapat orang Islam yang terpengaruh dengannya. Mereka meletakkan nama baharu pada Islam seperti Islam Liberal, Islam Kebebasan, menggunakan istilah-istilah adil dan hak, istilah Rahmatan Lil 'Alamin (rahmat kepada alam) tanpa menentukan apakah rahmat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t sehingga mengizinkan kemungkaran dan kemaksiatan atas nama rahmat, meringankan hukuman jenayah atas nama rahmat, rahmat kepada penjenayah bukan rahmat kepada manusia-manusia yang lemah. Mereka menjadikan peraturan manusia bercampur aduk dan berkecamuk dalam soal kehidupan yang berkait dengan diri manusia, dengan harta benda manusia dan dengan harga diri manusia yang berakhir dengan hilangnya nilai diri manusia yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.

Kita saksikan kemusnahan akhlak manusia yang berlaku pada hari ini berpunca daripada ajaran-ajaran yang menyeleweng. Kita menyaksikan suasana alam sekitar yang merosakkan dunia hari ini dengan cuacanya merosakkan keamanan dunia berpunca daripada golongan-golongan ini.

Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam menolak golongan yang membawa kemungkaran yang baharu ini demi menyelamatkan dunia.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. 
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾ [سورة آل عمران : ١٠٤]

(Maksudnya): Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Wednesday, September 28, 2011

Retreat Berjaya, PRU 13 Fokus Utama

Marina Cove Lumut. 27hb Sep 2011. Dewan Ulamak PAS Pusat telah berjaya menyempurnakan program Retreat Peringkat Pusat di Perak baru-baru ini. Ianya disertai oleh wakil dari seluruh negara yang berkampung di Perak untuk membincangkan persiapan terkini Dewan Ulamak PAS Pusat menjelang pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang. Ianya juga bertujuan untuk memperkasakan lagi dewan yang telah dipilih pada muktamar yang lalu.

Pengarah program Retreat Dewan Ulamak PAS Pusat , Ustaz Ismi Taib (gambar) menyifatkan program ini berjaya mencapai matlamatnya sepertimana yang telah dihasratkan oleh pihak pimpinan dewan.

“Alhamdulillah, para perwakilan dari seluruh negara telah memberikan respon yang sangat positif terhadap program retreat pada kali ini, kehadiran juga amat menggalakkan” kata beliau.

“Kita telah bejaya menggariskan banyak perancangan pada peringkat pusat dan negeri menjelang pilihanraya ke 13 yang akan datang, InsyaAllah kita cuba melangkah dengan lebih yakin ke Putrajaya dengan pertolongan daripada Allah s.w.t selain usaha yang dilakukan sebagai tuntutan sunnatullah” jelas beliau lagi.

“Selain daripada perancangan di atas kertas dan usaha, dalam retreat pada kali ini, para peserta telah disajikan dengan perkara yang paling penting iaitu suntikan pengisian dan tawjihat rohani daripada para ulamak terutamanya dari Yb. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib iaitu Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sendiri, dan InsyaAllah ianya akan menjadi bekalan yang paling berguna untuk dibawa pulang ke negeri masing-masing” ujar beliau lagi yang juga merangkap Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.- Dewan Ulamak PAS Pusat




Sunday, April 12, 2009

Hak dan Kewajipan Ahli

Hak-hak ahli ialah :
Setiap ahli PAS berhak memilih dan dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti dan boleh dicadang untuk mewakili parti.
Setiap ahli PAS berhak mengundi dan diundi dalam parti mengikut ketentuan-ketentuan yang terdapat di dalam Perlembagaan PAS serta Aturan dan Peraturannya.
Setiap ahli PAS berhak menghadiri perhimpunan-perhimpunan dan rapat-rapat parti.
Setiap ahli PAS berhak memberikan pendapat dan pandangan kepada parti.
Setiap ahli PAS berhak mendapat apa-apa gelaran yang ditetapkan oleh parti mengikut yang diputuskan oleh Muktamar Tahunan parti apabila dan pada bila-bila masa ada usul yang demikian.
Kewajipan-kewajipan ahli :
Menunaikan yuran dan lain-lain menurut keputusan parti dari masa ke semasa.
Melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus.
Menghadiri mana-mana kursus-kursus, tamrin-tamrin atau perhimpunan-perhimpunan parti sebagaimana yang ditetapkan dan diarahkan.
Memperdalamkan ilmu pengetahuan khususnya tentang ajaran dan hukum-hukum Islam.
Memperkuatkan kedudukan dan menjaga kehormatan parti samada di dalam atau di luar negeri.
Pada ‘amnya melaksanakan kehendak-kehendak Perlembagaan parti.
Setiap ahli PAS berhak memohon berpindah Kawasan PAS dan berkewajipan untuk mengemukakan satu permohonan bertulis untuk berpindah Kawasan dengan keterangan-keterangan yang perlu kepada Setiausaha Agung yang hendaklah mengemukakan permohonan itu kepada Jawatankuasa Harian PAS Pusat dengan seberapa segera yang boleh bagi menimbangkan permohonan yang berkenaan itu.
Setiap ahli PAS yang berdaftar terus ke Pejabat Agung juga berhak memohon menjadi ahli sesebuah kawasan PAS dengan memohon mengikut kaedah yang sama yang disebutkan dalam ceraian (3)(a) Fasal ini.
Setiap ahli PAS yang berpindah Kawasan itu tidak berhak memilih dan dipilih untuk memegang mana-mana jawatan dalam Kawasan barunya melainkan setelah mendapat akuan kelulusan berpindah Kawasan dari Setiausaha Agung.

Cara Memohon

Seseorang yang hendak menjadi ahli PAS mestilah menghantar permohonan kepada Setiausaha Cawangan di mana ia berkehendak masuk menjadi ahli, kecuali jika ada sesuatu sebab yang munasabah maka bolehlah dilakukan seperti berikut:
  • Di mana-mana tempat yang tidak ada cawangan hendaklah dihantar terus kepada Setiausaha Kawasan ataupun;
  • Di mana-mana tempat yang tidak ada Cawangan dan/atau Kawasan hendaklah ia menghantar terus permohonan kepada Setiausaha Agung PAS bagi menjadi ahli PAS yang berdaftar terus.
  • Dengan tidak mengindakan apapun yang terkandung dalam butiran-butiran di atas dalam Fasal ini, maka Setiausaha Agung dalam keadaan dan sebab-sebab yang tertentu bolehlah menerima sebarang permohonan menjadi ahli yang berdaftar terus ke Pejabat Agung.

Sebarang permohonan menjadi ahli PAS hendaklah menggunakan borang yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

Tiap-tiap sekeping borang itu hendaklah ditandatangani atau dengan apa-apa keterangan oleh pemohon itu, dan juga oleh seorang ahli yang menjadi pencadang dan seorang ahli yang menjadi penyokongnya. Kedua-dua orang yang menjadi pencadang dan penyokong itu hendaklah tahu benar-benar akan orang yang memohon itu.

Syarat-Syarat Menjadi Ahli PAS

Syarat-syarat untuk menjadi seorang ahli PAS itu ialah:
  1. Warganegara Malaysia
  2. Beragama Islam
  3. ‘Aqil baligh menurut Hukum Syara’
  4. Mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan Parti dari masa ke semasa
  5. Seorang pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak boleh menjadi ahli tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Naib Censolar university berkenaan.