Showing posts with label PAS Pusat. Show all posts
Showing posts with label PAS Pusat. Show all posts

Sunday, November 20, 2011

ISA : Najib Mungkir Janji

Kuala Lumpur. 19hb Nov 2011.Najib didesak memberi penjelasan berkenaan penahanan yang baru dilakukan oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini. Penahanan tersebut disifatkan sebagai bercanggahan dengan pengumuman Najib pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu berkenaan dengan ISA.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas laporan berita pada 14 November lalu yang menyebut bahawa seramai 13 orang ditahan , 7 daripadanya ialah warganegara Malaysia.

"Kita harap PM tidak berbohong kepada rakyat Malaysia mengenai pemansuhan ISA" kata beliau lagi.

"Kita mahu semua mereka yang bersalah dibicarakan di mahkamah, buat apa kita mansuh ISA tapi roh ISA masih ada, kita mahu roh dan jasad ISA dihapuskan, kita mahukan seseorang tidak dianggap bersalah kecuali diadili di mahkamah" tegas beliau lagi.

"Dalam Islam, seseorang itu tidak dianggap bersalah kecuali diadili dimahkamah, kalau benar Malaysia memperjuangkan Islam mengapa prinsip semudah ini tidak realisasikan?" soal beliau lagi.


Rasulullah s.a.w.bersabda :


وَعَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرُوٍ بٍْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ 
(متفق عَليه)


Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda:

"Ada empat perkara, barangsiapa yang empat perkara itu semuanya ada di dalam dirinya, maka orang itu adalah seorang munafik yang murni - yakni munafik yang sebenar-benarnya - dan barangsiapa yang di dalam dirinya ada satu perkara dari empat perkara tersebut, maka orang itu memiliki pula satu macam perkara dari kemunafikan sehingga ia meninggalkannya, iaitu: Jikalau dipercaya berkhianat, jikalau bercakap berdusta, jikalau berjanji bermungkir - yakni tidak menepati - dan jikalau bertengkar maka ia berbuat kecurangan - yakni tidak melalui jalan yang benar." (Muttafaq 'alaih) 





Tuesday, November 15, 2011

Kuala Lumpur, 14hb Nov 2011. Isu sosial yang melibatkan rakyat negara ini terutamanya golongan remaja negara ini adalah merupakan satu perkara yang mendukacitakan ramai pihak . Ianya adalah bukti kegagalan sistem pendidikan negara untuk mendidik rakyat negara ini khususnya generasi remaja yang bakal menjadi pelapis harapan agama dan negara pada masa yang akan datang.

Demikian ujar Setiausaha Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan ketika mengulas berita salah sebuah media arus perdana pada hari ini yang melaporkan bahawa seramai 39 pelajar yang berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah antara 180 individu yang ditahan kerana cuba menyertai satu kumpulan kongsi gelap

Ujar beliau lagi, apabila sejumlah besar iaitu 39 orang yang bakal mengambil peperiksaan SPM secara terang meminggirkan kepentingan peperiksaan dan sijil yang penting diperingkat menengah tersebut. Ini menunjukkan kegilaan remaja kepada kegiatan tidak sihat, bahkan sanggup memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada kegiatan tidak bermoral.

“Sikap ‘tsabat’ dan ‘istiqamah’ mereka ini jika disalurkan kepada kegiatan berfaedah sememangnya amat bermakna.Justeru sesuatu perlu dilakukan,Telah sampai masanya penilaian semula program pendidikan kearah yang berpaksikan agama dan moral” tegas beliau lagi.

“Kerajaan hendaklah sedar tentang kepentingan menggunakan sepenuhnya instrumen perundangan Islam untuk menghadapi anasir seperti ini. Perundangan Islam telah berjaya mendisiplinkan dunia padang pasir yang caca merba menjadi pusat terbitnya ketamadunan moden” terang beliau lagi.

“ Kita hendaklah meneliti semula pengaruh paparan kehebatan dan kegiatan kongsi gelap yang kini giat menjadi tajuk dan tema utama drama dan filem. Para ulamak hendaklah menjadi tempat rujukan untuk menyelesaikan perkara ini, kerajaan hendaklah menggabungkan tenaga semua pihak terutamanya pihak berkuasa dengan kerjasama masyarakat tempatan untuk membongkar kegiatan seumpama ini” ujar beliau lagi yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Ulamak Pelapis PAS Pusat.





Wednesday, October 19, 2011

Orang Media Diseru Jangan Halang 'Sempadan Allah'

KUALA TERENGGANU,17hb Okt 2011 - (Buletinonline) PAS memberikan peringatan kepada semua pihak, melaksanakan undang-undang Islam termasuk undang-undang Hudud dan Qisas, adalah suatu tanggungjawab agama yang mesti dilaksanakan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kewajipan tersebut merangkumi semua orang yang beragama Islam, termasuk orang media yang beragama Islam.

Beliau menegaskan, hudud adalah hukuman ciptaan Allah SWT untuk manusia sebagai sempadan dari Tuhan, bukan ciptaan manusia itu sendiri. "Wajib bagi orang Islam termasuk awak (wartawan) sendiri, bukan kepada saya sahaja tetapi termasuk media sendiri.

“Media orang Islam kena berjuang ke arah ini. Jangan media orang Islam ini menakutkan orang bukan Islam. Itu silap dan salah kita dengan ugama (Islam) kita .

“Hudud itu maknanya sempadan yang dibuat oleh Tuhan. ‘Sempadan’ yang Tuhan buat dan kita (manusia) tidak boleh langkah sempadan itu,” tegasnya pada satu sidang media selepas Majlis Perasmian Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (PGU100K) di Pantai Pandak Chendering, dekat sini, pada Sabtu 15 Oktober.

Menurutnya, penentangan terhadap hudud sama seperti berkempen kepada orang ramai agar tidak pergi menunaikan ibadah haji.

Katanya, sudah tentu tindakan tersebut salah disisi agama Islam kerana itu semua adalah hukum dan peraturan Allah SWT.

“Macam awak (wartawan) kempen orang jangan pergi haji, apa akan jadi, boleh ke? Hudud ini hukum Tuhan, hukum al-Quran yang tidak boleh dibuat oleh manusia.

“Hudud ini, hukum quran walau pun ada dalam hadis Nabi. PAS tidak boleh buat, Ulama’-ulama’ mazhab tidak boleh buat,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan dalam hudud terdapat enam perkara yang tidak ada khilaf di kalangan ulama’.

Menurutnya, enam perkara tersebut iaitu mencuri, merompak, berzina, tuduhan zina, minum arak dan murtad.

Namun begitu, katanya persepsi umum terhadap hudud kebanyakkan memahami sebagai hukuman potong tangan sahaja.

“Banyak orang faham hudud potong tangan sahaja. Hudud ini ialah enam perkara yang tidak ada khilaf iaitu mencuri, merompak, berzina, tuduhan zina, minum arak dan murtad. Semua sekali telah ada dalam hudud,” ujarnya.

Wednesday, October 12, 2011

Ulamak Wilayah Bersiap Hadapi PRU13

Kuala Lumpur,12hb Okt 2011. Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menegaskan bahawa pihak dewan bersedia untuk menggempur Umno-BN dalam PRU13 yang akan datang.

Beliau menegaskan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan semalam ketika mengulas tentang persiapan terkini pihak Dewan Ulamak Wilayah menjelang pilihanraya yang dibakal diumum pada bila-bila masa sahaja lagi.

“InsyaAllah kita akan berusaha secara bersungguh-sungguh untuk memastikan kita memperolehi kemenangan dengan menumbangkan kezaliman di negara ini dengan pertolongan daripada Allah s.w.t”kata beliau.

“Matlamat perjuangan kita ialah untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t, jadi kami percaya pejuang-pejuang PAS khususnya para alim ulamak pasti akan mencurahkan keringat mereka semata-mata untuk memastikan keadilan akan memperolehi kemenangan menewaskan kebatilan dan kezaliman” tambah beliau lagi.

“Jentera telah digerakkan dan insyaAllah kita akan push jentera kita ke tahap yang paling maksimum untuk membantu kemenangan PAS, setiap wakil urusan Ulamak PAS kawasan telah menyatakan komitmen dan iltizam mereka untuk merealisasikan impian ini” ujar beliau lagi.

Beliau juga turut menjelaskan bahawa InsyaAllah pihak DUPWP juga turut akan memulakan program MAQTAR dalam tempoh yang terdekat dengan menampilkan para ulamak yang berwibawa untuk mencurahkan ilmu kepada para pendengar setianya.

Bajet Orang Nazak

Kuala Lumpur, 11hb Okt. 2011. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Dato’ Harun Taib menyifatkan belanjawan Bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia selaku Presiden Umno adalah belanjawan orang yang sedang nazak.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas belanjawan yang dibentang baru-baru ini yang kononnya ingin membela nasib rakyat tetapi apa yang realiti sebenarnya menggambarkan situasi sebenar keadaan Umno yang sedang berada dalam suasana ‘ ICU’.

“ Belanjawan Najib ialah belanjawan orang sedang nazak, kalau hidup hiduplah dan kalau mati maka matilah” ujar pendek beliau ketika dihubungi pada hari semalam.

Jelas beliau lagi yang juga merangkap sebagai adun Manir, bahawa situasi Umno sekarang seperti orang yang sudah hampir mati yang sanggup berbelanja tanpa batasan semata-mata untuk memastikan nyawa dapat dipanjangkan lagi serta sanggup menggunakan pelbagai jenis rawatan walaupun rawatan itu tidak berkesan.

Sunday, October 9, 2011

Syariat Islam : Ulamak Seru Bincang Dengan Dada Terbuka

Kuala Terengganu, 9hb Okt 2011 – (Buletinlonline) Dewan Ulamak PAS menyeru mana-mana pihak yang 'kabur' tentang perlaksanaan syariah Islam, Hudud dan Qisas, supaya lebih terbuka dan bermuzakarah dengan mereka yang berpengetahuan.

Ketua Penerangannya, Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh (gambar) mengharapkan golongan profesional khususnya orang-orang Melayu dan Islam supaya berbincang dengan dada yang terbuka dan fikiran yang lapang.

Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa perlaksanaan Hudud dan Qisas hukuman yang keras dan kejam serta menzalimi kaum wanita.

Katanya golongan tersebut sebenarnya telah meletakkkan tanggapan yang 'serong' terhadap syariat Islam.

"Kalau mereka melihat dengan cara yang baik, mereka tidak akan mengatakan wanita diketepikan bahkan mereka mesti menyebut wanita diberi penghormatan yang tinggi oleh Islam,"tegasnya ketika mengulas kenyataan sebuah NGO Sisters In Islam yang dilaporkan tidak bersetuju terhadap perlaksanaan hudud dan Qisas yang dikemukakan oleh Kerajaan Kelantan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS negeri Terengganu menyatakan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Lujnah Penerangan pada Khamis, 6 Oktober, di sini.

Beliau menjelaskan Hudud dan Qisas tidak menolak wanita untuk menjadi saksi, namun meletakkan lelaki terlebih dahulu kerana beban penyaksian tersebut.

Sebaliknya, menurut beliau, sekiranya tidak ada saksi lelaki, dua orang wanita boleh menggantikan seorang saksi lelaki.








Wednesday, October 5, 2011

Isu Hudud: Ulamak Yakin Pakatan Rakyat Terus Kukuh

Kuala Lumpur, 4hb Oktober 2011. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib meluahkan rasa yakinnya bahawa Pakatan Rakyat akan terus kukuh untuk menuju ke Putrajaya pada pilihanraya ke13 yang akan datang.

Demikianlah penegasan beliau sebagai mengulas kejayaan Pakatan Rakyat mencari kata sepakat dalam menangani isu Hudud yang telah menghangatkan pentas politik Malaysia baru-baru ini.

“Kita Dewan Ulamak sangat optimis bahawa Pakatan akan terus kukuh dan InsyaAllah DAP akan terus setia bergandingan dengan PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat”tegas beliau.

“Saya percaya DAP hanya mempersoalkan hudud dari sudut teknikal sahaja iaitu berkenaan pertembungan dengan perlembagaan Persekutuan tapi saya yakin DAP tidak berhadapan dengan sebarang masalah berkaitan prinsip yang telah dikemukakan oleh PAS” tambah beliau lagi.

“Pendirian PAS sangat jelas berkenaan dengan keperluan perlaksanaan Undang-undang Syariah khususnya Hudud seperti yang telah kita tegaskan” ujar beliau lagi yang juga merupakan adun PAS Manir Terengganu.



Sunday, October 2, 2011

Perutusan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Sempena Sambutan 60 Tahun PAS Bertapak di Bumi Malaysia

“PAS Terus Teguh Mempertahankan Islam Di bawah Kepimpinan Ulamak”

Oleh:

Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib

1hb. Oktober 2011

Bersempena dengan Sambutan 60 tahun PAS, saya mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pendokong dan penyokong sejak dahulu hingga sekarang yang terus bersama-sama dengan PAS memperjuangkan Islam agar tertegak di atas tanah air yang tercinta ini.

PAS adalah mata rantai perjuangan para Nabi dan Rasul bagi mengajak manusia agar kembali kepada Allah dan hukum hakamnya. Prinsip PAS ini tidak pernah berubah walaupun strategi politik berbeza-beza untuk mencapai matlamat tersebut. Ijtihad dalam politik tidak pernah menidakkan perkara yang thawabit dan tetap dalam PAS. Strategi dan cabang agama terbuka kepada perubahan dan penyesuaian berdasarkan ijtihad. Keanjalan inilah yang memungkinkan PAS terus relevan sehingga kini, mampu menyerap dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa. Tahalluf Siasi dengan Parti yang mempunyai ideologi yang berbeza sebagai contoh, adalah strategi terbaik masa kini untuk mencapai kemenangan. Ia tidak mengorbankan prinsip dan thawabit PAS sebagai gerakan Islam untuk melaksanakan Islam secara syumul termasuk hukum hudud.

Ulamak telah memainkan peranannya yang sangat besar dalam menempuh badai perjuangan ini. Ulamak telah menjadi nadi kepada PAS dengan kedudukannya yang tinggi dalam organisasi. Majlis Syura Ulamak menjadi pemandu kepada parti agar tidak menyeleweng daripada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi rujukan tertinggi dalam PAS.

Usia 60 tahun PAS seharusnya mematangkannya berhadapan dengan lawannya iaitu UMNO. Pelbagai rintangan dan mehnah telah dihadapi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Walaupun ada di kalangan pendokongnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mehnah namun PAS masih mampu bertahan kerana keyakinan kepada janji kemenangan oleh Allah s.w.t.

Pilihanraya yang hampir tiba seharusnya dihadapi dengan penuh strategi dan bijaksana. Tenaga para Ulamak dalam berhadapan dengan ujian besar ini adalah sangat dituntut. Ulamak tidak harus hanya menjadi penonton di luar gelanggang tetapi harus masuk berpencak silat bersama demi untuk melaksanakan tuntutan ilmu yang dipelajari. Inilah masanya untuk para Ulamak beramal dengan ilmunya agar menjadi pohon yang menghasilkan buah yang ranum dan sedap dimakan.

Buat akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan selamat ulang tahun ke 60 PAS kepada seluruh pendokong dan penyokongnya. Agar anda terus thabat dan anjal di dalam menghadapi hari-hari muka yang semakin mencabar daripada pihak musuh yang semakin hilang panduan. semoga dengan itu kita terus mara kehadapan dengan penuh keyakinan tentang janji Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan, dan penuh kesabaran dalam perjuangan dan dalam rintangan.

"Ulamak Haraki Teraju Kemenangan"

" Allah Akbar ! "

Saturday, September 24, 2011

RETREAT DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

kelihatan Ustaz Ismi Darul Mubarak selaku urusetia penganjuran dan tempat penginapan. Beliau juga merupakan AJK Dewan Ulamak PAS Pusat. juga kelihatan di situ Ustaz Ibrahim Zakaria, Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Perak selaku Urusetia Pendaftaran peserta.
 para peserta menjamu selera sebelum dan selepas slot yang berlangsung
salah salah satu slot retreat yang diljalankan


24 - 25 September 2011, Marina Cove, Lumut - Dewan Ulamak PAS Pusat telah menganjurkan satu program RETREAT yang melibatkan Dewan Ulamak PAS Negeri-Negeri. Ianya disertai oleh Ketua, Setiausaha, Ketua Penerangan dan Ketua Lajnah Pilihanraya dari AJK Dewan Ulamak setiap Negeri-Negeri.

AJK Dewan Ulamak PAS Perak disertai oleh Ustaz Shuid Din selaku Ketua, Ustaz Salleh Mat Said selaku Setiausaha, Ustaz Nor Azli Musa selaku Ketua Penerangan dan yang terakhir Ustaz Fakhruddin selaku Ketua Lajnah Pilihanraya.

Program Retreat yang berlangsung selama dua hari satu malam ini bermula jam 2.00 petang 24 haribulan dan berakhir pada jam 1.00 petang 25 haribulan.



Tuesday, January 5, 2010

Perkataan “Allah” Boleh Digunakan Oleh Agama Samawi – Presiden PAS Tuesday, 05 January 2010 01:10 Editor E-mail Print PDF -Keputusan dibuat berdasarkan ayat 64 surah ali-Imran KUALA LUMPUR - PAS mengambil pendirian dan menegaskan bahawa perkataan “Allah” boleh digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.Bagaimanapun PAS menegaskan, penggunaan kalimah “Allah” secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan, agar ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Pendirian PAS tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Lajnah Politik yang diadakan di sini semalam ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katolik, Herald pada Khamis lalu. Perbincangan yang dihadiri oleh 25 ahli itu dipengerusikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, disertai oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharruddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan dua orang Naib Presiden, Salahuddin Ayub serta Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Mesyuarat tersebut telah bermula pada jam 9 malam berakhir pada 11.45 malam “PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat. “Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al Imran ayat 64,” kata Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad. Ustaz Abdul Hadi menambah, PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yabg boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat. Oleh itu katanya, PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam. Berikut adalah kenyataan penuh Presiden PAS; PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan. Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi. Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat. Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud. ‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’. Pas dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat. PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam. La

Sunday, April 12, 2009

SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik. Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satupersidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955. Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948. Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno. Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah. Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ darimatlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin, ”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2. Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini. Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971. PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan. Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain. Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana. Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam. Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.
------------------------------------------------------------------------------------ 1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan OrganisasiDalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party ofMalaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.