Thursday, March 25, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 12 SYAABAN 1442 / 25 MAC 2021

 PENYEBARAN BERITA PALSU

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar dan memahami peringatan daripada Allah s.w.t kepada orang-orang yang beriman. Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾ [سورة الحُجُرات : ٦]


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Sebab turun ayat ini bermula dengan kedatangan Al-Harits bin Dhirar r.a, salah seorang mentua Rasulullah s.a.w yang masuk Islam dengan hati yang ikhlas dan berjanji kepada Rasulullah s.a.w apabila pulang ke kampungnya mengumpulkan harta-harta zakat yang akan diserahkan kepada wakil yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w supaya menjadi salah satu daripada sumber kewangan negara Islam pada masa itu. Rasulullah s.a.w menghantar seorang sahabat bernama Al-Walid bin 'Uqbah r.a supaya pergi ke kampung Bani Mustoliq mengambil zakat yang dijanjikan.

Oleh kerana kelambatan kedatangan utusan Rasulullah s.a.w menyebabkan Al-Harits, pemimpin Bani Mustoliq merasa bimbang sesuatu berlaku kerana mustahil seorang rasul yang diutus oleh Allah mungkir janji. Sudah tentu jika berlaku sesuatu yang tidak baik, dia dan penduduk kampung akan dimurkai oleh Allah dan Rasul-Nya.

Lalu dia mengajak rombongan pergi ke Madimah menemui Nabi s.a.w. Apabila Al-Walid bin 'Uqbah bin Abi Mu'it, utusan itu melihat Al-Harits dan rombongannya, dia tersalah sangka merasakan bahawa Al-Harits akan bertindak untuk membunuhnya. Lalu dia berlari pulang melaporkan kepada Rasulullah s.a.w bahawa Al-Harits dan Bani Mustoliq telah menipu, tidak masuk Islam, datang untuk membunuhnya. Lalu Nabi s.a.w menyediakan pasukan untuk menyerang kampung Bani Mustoliq.

Mengikut satu riwayat, pasukan yang dipimpin oleh Khalid ibnu Walid r.a menghantar pengintip dan mendapati penduduk Bani Mstoliq masih menunaikan solat dan mengerjakan amalan orang-orang Islam, mereka tidak murtad atau menyeleweng. Apabila Al-Harits tiba di Madinah menemui Nabi s.a.w, lalu ditanya kepadanya dan dia menjelaskan apa yang sebenarnya yang berlaku. Kebimbangannya Rasulullah s.a.w murka terhadapnya, lebih-lebih lagi Allah murka terhadapnya.

Setelah Rasulullah s.a.w selesai menunaikan solat Asar, malaikat Jibril menurunkan ayat yang dibaca tadi. Ayat itu mengingatkan orang-orang yang beriman supaya jangan mudah menerima berita-berita palsu dan bohong atau salah yang membawa fitnah dan keburukan kepada orang-orang Islam dan orang ramai.

Al-Quran adalah petunjuk Allah s.w.t yang bersifat mukjizat sehingga Hari Kiamat, bukan bergantung dengan sebab turunnya ayat ini. Ulamak tafsir menyatakan:

الْعِبْرةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.


(Maksudnya): Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.

Jangan dianggap ayat Al-Quran sekadar cerita sahaja. Al-Quran adalah petunjuk kepada umat Islam dan seluruh manusia sehingga Hari Kiamat.

Hari ini kita berada di zaman tersebarnya berita-berita bohong dan salah oleh orang-orang yang jahil yang tidak ada ilmu tentang Islam dan tentang umat. Mereka menggunakan akal yang salah, menyebar maklumat dengan internet melalui hujung jari tiap-tiap hari ke seluruh pelusuk dunia.

Perkara ini telah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w apabila malaikat Jibril dan Mikail membawa Rasulullah s.a.w melalui alam mimpi melawat syurga dan neraka, melihat di dalam neraka itu orang yang disiksa dengan disangkut mata, hidung dan mulutnya sehingga tembus ke belakang, kiri dan kanan tidak putus-putus. Apabila Nabi s.a.w bertanya, siapakah mereka? Malaikat memberitahu, itulah orang yang suka menyebarkan berita bohong.

حَتَّى تَبْلُغَ الآفَقَ


(Maksudnya): Sehingga tersebar ke seluruh ufuk dunia.

Inilah mukjizat Nabi s.a.w. Bagaiman berita disebar kesulurh ufuk dunia. Para sahabat yang hidup di zaman itu tidak terfikir bagaimana menyebarkan berita ke seluruh ufuk dunia. Hari ini manusia menggunakan teknologi maklumat dengan alat-alat yang canggih, menyebarkan maklumat ke seluruh pelusuk dunia. Kalau maklumat yang baik, dapat pahala. Sebaliknya maklumat yang buruk, berdosa.

Sabda Nabi s.a.w:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا. [رواه البخاري]


(Maksudnya): Sesungguhnya benar itu memberi petunjuk kepada kebajikan, dan kebajikan itu membawa ke syurga. Sesungguhnya apabila seseorang itu berkata benar, ditulis di sisi Allah dia seorang yang benar. Dan sesungguhnya bohong itu menunjukkan kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa ke neraka. Dan sesungguhnya seseorang yang suka berbohong ditulis di sisi Allah dia seorang pembohong.

Begitulah amaran dan nasihat Nabi s.a.w yang menunjukkan kasih kepada umatnya. Jangan kita terikut-ikut dengan amalan manusia yang sesat yang hanyut fikirannya, tidak pedulikan petunjuk Allah s.w.t. Tidakkah kita berdoa kepada Allah tiap-tiap rakaat sembahyang kita?

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ﴿٥﴾ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ ﴿٧﴾ [سورة الفاتحة : ٥-٧]


(Maksudnya): Akan Engkau sahaja yang kamu sembah dan akan Engkau sahaja yang kami minta pertolongan. Tunjukkanlah kami ke jalan yang betul. (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat ke atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai ke atas mereka dan bukan jalan orang-orang yang sesat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Friday, March 5, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 21 REJAB 1442 / 5 MAC 2021

JANJI KEPADA YANG BERISTIQAMAH DAN TEGUH BERSAMA ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar janji Allah yang benar dengan firman-Nya:

وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِندَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ ﴿٤٦﴾ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ ﴿٤٧﴾ [سورة إبراهيم : ٤٦ - ٤٧]


(Maksudnya): Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janji-Nya kepada Rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepada-Nya).

Walaupun kita menyaksikan zaman kejatuhan pemerintahan Islam, hilangnya kuasa yang melindungi agama dan umat Islam sehingga tanahair umat Islam dipecah-pecah dan dibahagikan sesama musuh itu, ada umat Islam yang dibunuh dengan kekerasan senjata, dirosakkan fikiran mereka, dirampas dan diroboh masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama mereka yang berlaku sejak berpuluh-puluh tahun, sehingga hari ini mereka tidak berjaya memadamkan cahaya Islam daripada Allah s.w.t.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [سورة الصف : ٨]


(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Allah telah mengulangi di dalam Al-Quran beberapa kisah rasul-rasul di zaman dahulu menghadapi pemerintahan yang besar kuasanya dan ramai bala tenteranya serta melimpah ruah kekayaannya, mempunyai kemampuan dan kekuatan yang hebat menentang rasul-rasul 'alaihimus solatu wassalam, semua kerajaan itu dibinasakan oleh Allah dengan mudah apabila tiba ajalnya.

Ibrahim a.s berdepan dengan Raja Namrud yang memerintah Kerajaan Babiliyun, kuasa tunggal du dalam dunia di zaman itu yang berlagak menjadi tuhan, menggunakan kekerasan sehingga membakar Ibrahim dengan api yang besar, tetapi Ibrahim diselamatkan oleh Allah. Walaupun melihat mukjizat yang menakjubkan, Namrud dan pengikut-pengikutnya tetap tidak beriman. Ibrahim dihalau daripada tanahair dan rumahnya, lalu berhijrah ke Palestin. Akhirnya Namrud dibinasakan oleh Allah dengan bala tentera nyamuk sahaja.

Begitulah Firaun, raja yang paling berkuasa di Mesir yang mempunyai jutaan bala tentera, mendirikan bangunan-bangunan yang hebat yang dapat dilihat sehingga hari ini. Dia menghalang kelahiran Nabi Musa a.s yang diramalkan sehingga membunih anak-anak lelaki yang dilahirkan dan membenarkan anak-anak perempuan sahaja bagi tujuan menyekat kelahiran Nabi Musa a.s. Musa yang dicari dan hendak dihapuskan tiba-tiba dibesarkan di bawah mahligai Firaun sendiri. Allah membinasakan Firaun dan bala tenteranya dengan ditenggelamkan di dalam Laut Merah.

Peristiwa bersejarah yang disebut di dalam kitab-kitab zaman dahulu bukan sahaja di dalam Al-Quranul Karim. Begitulah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w menghadapi kaum musyrikin yang berbangsa Arab sebangsa dengannya yang mengepung Islam dan pengikutnya, Mereka bergabung dengan golongan ahli kitab Yahudi menubuhkan bala tentera Ahzab dengan jumlah yang besar, tetapi dikalahkan oleh Allah dengan pertolongan-Nya. Selepas wafatnya Nabi s.a.w, Islam bersambung dan cahayanya tidak padam. Dikepung oleh golongan murtad yang besar jumlahnya, juga dikepung oleh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom, tetapi kedua-dua kuasa besar itu jatuh dan tumbang.

Islam mendapat kemenangan. Cahayanya menembusi ke benua India, menembusi tembok besar China, mengharungi lautan sampai ke Asia Tenggara, masuk ke Eropah dan hutan-hutan Afrika. Kita menghadapi zaman moden. Mereka berjaya menjatuhkan khilafah 'Utsmaniah seratus tahun yang lalu. Wilayah-wilayah Islam dipecah-pecah dan dibahagi-bahagikan dalam kalangan kuasa penjajah, ditindas umatnya, dibelasah agamanya dan dihentam habis-habisan. Cahaya Islam masih cerah sehingga sehingga hari ini sampai apa yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w:

لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ. [رواه امام احمد]


(Maksudnya): Sesungguhnya urusan agama ini akan sampai (ke seluruh pelusuk dunia) di mana adanya siang dan malam.

Cahaya Islam sampai ke seluruh pelusuk dunia pada hari ini walaupun umat Islam dihentam habis-habisan oleh musuhnya. Semua perkara yang berlaku ini hendaklah memberi keyakinan dan kepercayaan kita kepada Islam, kepada Allah dan janji-Nya; janji kepada sesiapa yang beristiqamah dan teguh bersama dengan Islam yang sebenar, selamat di dunia sementara waktu dan selamat di hari akhirat yang kekal selama-lamanya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾


(Maksudnya): Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.