Friday, March 5, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 21 REJAB 1442 / 5 MAC 2021

JANJI KEPADA YANG BERISTIQAMAH DAN TEGUH BERSAMA ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar janji Allah yang benar dengan firman-Nya:

وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِندَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ ﴿٤٦﴾ فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ ﴿٤٧﴾ [سورة إبراهيم : ٤٦ - ٤٧]


(Maksudnya): Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janji-Nya kepada Rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepada-Nya).

Walaupun kita menyaksikan zaman kejatuhan pemerintahan Islam, hilangnya kuasa yang melindungi agama dan umat Islam sehingga tanahair umat Islam dipecah-pecah dan dibahagikan sesama musuh itu, ada umat Islam yang dibunuh dengan kekerasan senjata, dirosakkan fikiran mereka, dirampas dan diroboh masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama mereka yang berlaku sejak berpuluh-puluh tahun, sehingga hari ini mereka tidak berjaya memadamkan cahaya Islam daripada Allah s.w.t.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [سورة الصف : ٨]


(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Allah telah mengulangi di dalam Al-Quran beberapa kisah rasul-rasul di zaman dahulu menghadapi pemerintahan yang besar kuasanya dan ramai bala tenteranya serta melimpah ruah kekayaannya, mempunyai kemampuan dan kekuatan yang hebat menentang rasul-rasul 'alaihimus solatu wassalam, semua kerajaan itu dibinasakan oleh Allah dengan mudah apabila tiba ajalnya.

Ibrahim a.s berdepan dengan Raja Namrud yang memerintah Kerajaan Babiliyun, kuasa tunggal du dalam dunia di zaman itu yang berlagak menjadi tuhan, menggunakan kekerasan sehingga membakar Ibrahim dengan api yang besar, tetapi Ibrahim diselamatkan oleh Allah. Walaupun melihat mukjizat yang menakjubkan, Namrud dan pengikut-pengikutnya tetap tidak beriman. Ibrahim dihalau daripada tanahair dan rumahnya, lalu berhijrah ke Palestin. Akhirnya Namrud dibinasakan oleh Allah dengan bala tentera nyamuk sahaja.

Begitulah Firaun, raja yang paling berkuasa di Mesir yang mempunyai jutaan bala tentera, mendirikan bangunan-bangunan yang hebat yang dapat dilihat sehingga hari ini. Dia menghalang kelahiran Nabi Musa a.s yang diramalkan sehingga membunih anak-anak lelaki yang dilahirkan dan membenarkan anak-anak perempuan sahaja bagi tujuan menyekat kelahiran Nabi Musa a.s. Musa yang dicari dan hendak dihapuskan tiba-tiba dibesarkan di bawah mahligai Firaun sendiri. Allah membinasakan Firaun dan bala tenteranya dengan ditenggelamkan di dalam Laut Merah.

Peristiwa bersejarah yang disebut di dalam kitab-kitab zaman dahulu bukan sahaja di dalam Al-Quranul Karim. Begitulah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w menghadapi kaum musyrikin yang berbangsa Arab sebangsa dengannya yang mengepung Islam dan pengikutnya, Mereka bergabung dengan golongan ahli kitab Yahudi menubuhkan bala tentera Ahzab dengan jumlah yang besar, tetapi dikalahkan oleh Allah dengan pertolongan-Nya. Selepas wafatnya Nabi s.a.w, Islam bersambung dan cahayanya tidak padam. Dikepung oleh golongan murtad yang besar jumlahnya, juga dikepung oleh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom, tetapi kedua-dua kuasa besar itu jatuh dan tumbang.

Islam mendapat kemenangan. Cahayanya menembusi ke benua India, menembusi tembok besar China, mengharungi lautan sampai ke Asia Tenggara, masuk ke Eropah dan hutan-hutan Afrika. Kita menghadapi zaman moden. Mereka berjaya menjatuhkan khilafah 'Utsmaniah seratus tahun yang lalu. Wilayah-wilayah Islam dipecah-pecah dan dibahagi-bahagikan dalam kalangan kuasa penjajah, ditindas umatnya, dibelasah agamanya dan dihentam habis-habisan. Cahaya Islam masih cerah sehingga sehingga hari ini sampai apa yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w:

لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ. [رواه امام احمد]


(Maksudnya): Sesungguhnya urusan agama ini akan sampai (ke seluruh pelusuk dunia) di mana adanya siang dan malam.

Cahaya Islam sampai ke seluruh pelusuk dunia pada hari ini walaupun umat Islam dihentam habis-habisan oleh musuhnya. Semua perkara yang berlaku ini hendaklah memberi keyakinan dan kepercayaan kita kepada Islam, kepada Allah dan janji-Nya; janji kepada sesiapa yang beristiqamah dan teguh bersama dengan Islam yang sebenar, selamat di dunia sementara waktu dan selamat di hari akhirat yang kekal selama-lamanya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾


(Maksudnya): Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment