Thursday, February 18, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 7 REJAB 1442 / 19 FEBRUARI 2021

 AKIBAT MENINGGALKAN AMAR MA'ARUF NAHI MUNGKAR

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَإِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِعِيْنَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 


أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan dan mengambil pengajaran daripada firman Allah Ta'ala:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ ﴿٧٨﴾ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ ﴿٧٩﴾ [سورة المائدة : ٧٨-٧٩]


(Maksudnya): Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.

Kumpulan yang diperingatkan oleh Allah s.w.t supaya kita berdoa tiap-tiap rakaat sembahyang:

غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ ﴿٧﴾ [سورة الفاتحة : ٧]


(Maksudnya): Bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Mereka yang sangat dimurkai oleh Allah s.w.t kerana mereka adalah ahli kitab yang tahu perkara yang benar dan perkara yang salah, tahu halal dan haram. Apabila berlakunya perkara yang salah atau yang haram, mereka tidak bersungguh-sungguh dalam melawan perkara yang salah dan haram itu. Mereka bertindak sambil lewa sahaja, termasuk kebanyakan ulamak-ulamak mereka. Pada hari yang pertama, mereka menegah kemungkaran yang berlaku, tetapi pada hari yang berikutnya mereka bergaul dengan mereka yang mengerjakan mungkar dan haram itu bersama-sama.

Allah s.w.t menyebut perkara ini untuk mengingatkan kita umat Islam supaya menunaikan kewajipan kita menegakkan ajaran dan menyebarkan agama kita. Di antaranya menyuruh kepada perkara yang baik dan menegah perkara yang mungkar dan haram.

Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ. [رواه مسلم]


(Maksudnya): Sesiapa yang melihat sesuatu yang mungkar, hendaklah mencegahnya dengan tangannya (dengan kekuasaan yang ada padanya). Sekiranya tidak mampu, maka dengan lidah (memberi nasihat). Dan sekiranya tidak mampu juga, hendaklah benci di dalam hati. Itulah selemah-lemah iman.

Tidak ada lagi selepas benci itu. Kalau benci pun tidak ada, bermakna imannya sangat lemah ataupun tidak ada.

Mencegah kemungkaran itu mengikut peringkat dan kemampuan masing-masing. Orang yang berkuasa memerintah, menegah dengan undang-undang melalui tindakan atau hukuman. Ibu bapa dan suami dalam keluarga, menegah dengan sungguh-sungguh melalui kuasanya sebagai suami dan ibu bapa dalam keluarga.

Terlalu banyak perkara haram yang berlaku, maksiat yang tersebar, melawan Allah s.w.t, tidak sembahyang dan beribadat, melakukan yang haram bergaul bebas, menagih dadah, arak dan sebagainya. Itu adalah mungkar yang tersebar dengan luas dalam masyarakat kerana kita lemah, bahkan sangat lemah menjalankan kewajipan mencegah kemungkaran itu.

Sabda Rasulullah s.a.w:

لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُسَلِّطَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ شِرَارَكُمْ فَيَدْعُو خِيَارُكُمْ فَلا يُسْتَجَابُ لَكُمْ. [رواه البزار]


(Maksudnya): Suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran atau Allah akan menjadikan orang-orang jahat menguasai kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah (agar siksaan itu dihentikan) maka permohonan kamu tidak diterima lagi.

Itulah akibatnya apabila tidak menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah daripada kemungkaran. Allah s.w.t menjadikan keistimewaan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w menjalani kewajipan ini.

Firman Allah Ta'ala:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ... ﴿١١٠﴾ [سورة آل عمران : ١١٠]


(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

1 comment: