Thursday, February 4, 2021

KHUTBAH JUMAAT - 23 JAMADIL AKHIR 1442 / 5 FEBRUARI 2021

 RASUAH MUSUH NEGARA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١٨٨﴾ (Surah Al-Baqarah ayat 188)


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: Rasuah Musuh Negara”.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Rasuah merupakan perbuatan jenayah yang telah menular dalam kehidupan masyarakat. Berdasarkan laporan media, rasuah sudah menular dalam kalangan pelbagai golongan, terutama melibatkan pihak yang mempunyai kuasa seperti perkhidmatan awam, swasta, ahli politik dan orang awam. Rasuah meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu mahupun menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan pihak-pihak tertentu. Mereka yang terbabit dengan rasuah pula terdiri daripada pelbagai golongan, sama ada muda ataupun tua, lelaki mahupun wanita. Rasuah boleh berlaku di mana-mana saja sama ada di tempat sunyi mahupun di tempat yang terang kerana pendinding sebenar perlakuan rasuah adalah taqwa dan iman.

Allah SWT telah menegaskan di dalam surah al-Bagarah ayat 188 tadi yang bermaksud :

"Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu menyogok para hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain dengan jalan dosa padahal kamu mengetahui ".

Ayat ini menegaskan kepada kita agar tidak memakan harta orang lain dengan jalan yang salah seperti menipu, pecah amanah dan mungkir janji termasuk menerima rasuah. Lebih-lebih lagi perbuatan menyogok pihak berkuasa bagi tujuan mengambil hak orang lain secara batil. Hal ini akan mengakibatkan kezaliman kepada pihak yang sepatutnya berhak ke atas harta tersebut.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Rasuah adalah penyakit dalam masyarakat. Sehingga kini, usaha membasmi rasuah masih belum menampakkan hasil sepenuhnya, walaupun pelbagai usaha dan kempen dilakukan dari semasa ke semasa.

Sesungguhnya rasuah boleh menghancurkan negara, tidak kira sama ada ia berlaku dalam kalangan pihak atasan sebagai pentadbir mahupun golongan bawahan. Setiap yang melakukan rasuah sama ada pemberi, penerima atau yang bersubahat dianggap sebagai perompak harta rakyat. Berdasarkan pemerhatian, semakin besar pangkat seseorang, semakin besarlah peluang untuk terlibat dengan jenayah rasuah dan semakin pintar pula mereka melepaskan diri daripada disabitkan dengan jenayah rasuah.

Jika bilangan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka akan terancamlah kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara. Sejarah telah membuktikan bahawa rasuah ini telah wujud semenjak ribuan tahun yang lampau. Bahkan, ada tamadun yang runtuh akibat rasuah ini. 

Al-Quran juga menukilkan kisah cubaan melakukan rasuah yang dilakukan oleh Puteri Balqis kepada Nabi Sulaiman a.s. Bagaimanapun Nabi Sulaiman a.s. menolaknya dengan tegas. Peristiwa ini dipaparkan oleh Allah di dalam Surah An-Naml ayat 35 -37:

وَإِنِّي مُرْسِلَةٌ إِلَيْهِم بِهَدِيَّةٍ فَنَاظِرَةٌ بِمَ يَرْجِعُ الْمُرْسَلُونَ ﴿٣٥﴾ فَلَمَّا جَاءَ سُلَيْمَانَ قَالَ أَتُمِدُّونَنِ بِمَالٍ فَمَا آتَانِيَ اللَّهُ خَيْرٌ مِّمَّا آتَاكُم بَلْ أَنتُم بِهَدِيَّتِكُمْ تَفْرَحُونَ ﴿٣٦﴾ ارْجِعْ إِلَيْهِمْ فَلَنَأْتِيَنَّهُم بِجُنُودٍ لَّا قِبَلَ لَهُم بِهَا وَلَنُخْرِجَنَّهُم مِّنْهَا أَذِلَّةً وَهُمْ صَاغِرُونَ ﴿٣٧﴾


Ertinya: "Dan aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita.

Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikan-Nya kepada kamu; bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).

Kembalilah kepada mereka maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri (Saba') dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan".

Para jamaah yang dirahmati Allah,

Islam menganggap perbuatan menerima dan memberi rasuah sebagai perbuatan yang jijik. Sesiapa yang melakukannya dikira fasiq dan berdosa besar, malah mereka akan dilaknat oelh Allah dan Rasul-Nya serta menerima azab di akhirat kelak. Saiyidina Abdullah bin ‘Amr r.a. meriwayatkan hadis:

الرَّاشِيْ وَالْمُرْتَشِيْ فِي النَّارِ. 

Maksudnya: "Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka". (Riwayat At-Tobroni 2026)

Sesungguhnya Islam tetap mengharamkan rasuah dalam apa jua bentuk dan nama. Berhati-hatilah dalam menerima hadiah yang tidak akan diberikan kepada kita jika kita tidak memiliki sebarang jawatan dan kedudukan, sebagaimana yang dikisahkan dalam kitab Tarikh al-Khulafa’ bahawa Saiyidina ‘Umar Abdul Aziz r.a. pernah diberi hadiah sewaktu beliau menjadi khalifah tetapi ditolaknya. Dikatakan kepadanya: "Rasulullah juga menerima hadiah", maka beliau menjawab: "Apa yang diterima oleh Rasulullah itu memang menerima hadiah, tetapi ini buat saya adalah suapan (rasuah)". Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ.


Maksudnya: "Sesiapa yang kami berikan pekerjaan, kemudian kami berikan gaji, maka apa yang diambil selebihnya daripada itu bererti penipuan". (Riwayat Abu Daud 2943)

Marilah kita mengambil pengajaran dari sikap berhati-hati yang ditunjukkan oleh Khalifah ‘Umar Abdul Aziz, kerana kebanyakan manusia hari ini tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan apa yang diperoleh menguntungkan mereka. Kebanyakan manusia ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat utama dalam kehidupan. Rentetan itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat masing-masing.

Pada zaman ini, masyarakat tidak lagi mengamalkan sifat malu dalam kehidupan seharian mereka, sikap tidak malu inilah punca berlakunya rasuah, pecah amanah, berdusta dan sebagainya. Mereka tidak malu kepada Allah dan tidak malu kepada masyarakat untuk membuat dosa dan maksiat.

Sebagai mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, khatib ingin mengajak kita semua menjadi manusia yang baik dengan menolak amalan rasuah agar kita dapat memastikan:

1 - Jaminan kesinambungan nasab dan keturunan kita kekal dalam keadaan suci tanpa dinodai dengan unsur yang haram yang hanya dapat dibersihkan dengan api neraka Allah SWT.

2 - Peningkatan kepercayaan sesama kita di antara pemimpin dan rakyat, pentadbir dan masyarakat.

3 - Bahawa segala ibadat yang kita laksanakan seperti solat, puasa, berzakat dan haji benar-benar diterima oleh Allah sehingga berjaya mencegah kita daripada terlibat dengan jenayah dan dosa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap teguh berpegang kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah.

Mimbar berpesan agar kita sama-sama mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka. Marilah kita sama-sama berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.


No comments:

Post a Comment