Friday, February 12, 2021

KUTHBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 30 JAMADIL AKHIR 1442 / 12 FEBRUARI 2021

 KETUHANAN ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Seterusnya marilah kita mengambil pengajaran dan iktibar daripada hadits Rasulullah s.a.w yang menceritakan, apabila seorang sahabat bernama 'Adi bin Hatim At-To'ie r.a datang menghadap Rasulullah s.a.w sebelum beliau masuk Islam. Oleh kerana beliau seorang paderi yang sangat kuat berpegang dengan agama nasrani (kristian), beliau memakai salib yang diperbuat daripada emas. Apabila Rasulullah s.a.w melihatnya, lalu disuruh menanggalkan salib itu sambil menyebut firman Allah Ta'ala:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَّا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ ﴿٣١﴾ [سورة التوبة : ٣١]


(Maksudnya): Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

Apabila 'Adi menjawab: "Kami tidaklah menyembah paderi-paderi itu, kami juga menyembah Allah".

Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: "Tidakkah paderi-paderi kamu meminda hukum Allah s.w.t sehingga menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, lalu kamu beramal dengan hukum-hukum yang diselewengkan oleh paderi-paderi kamu. Itulah makna kamu melantik tuhan-tuhan yang lain daripada Allah".

Fahamlah kita bahawa setiap orang Islam yang menunaikan sembahyang lima waktu akan menyebut pada tiap-tiap rakaat sembahyang, الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ [Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Mentadbir dan Mengurus alam]. Allah dengan makna Dia sahaja Tuhan yang disembah. tidak ada lagi tuhan yang lain daripada-Nya yang layak disembah melainkan Allah sahaja. Diikrar dengan لا إله إلا الله  [Tidak ada tuhan yang layak disembah melainkan Allah sahaja]. Robb dengan makna Tuhan yang Mencipta dan Mentadbir alam. Bahkan Allah juga mengadakan undang-undang dan peraturan bagi alam, sama ada alam nyata atau alam ghaib, alam langit atau alam bumi, semuanya ada peraturan dan undang-undang masing-masing yang ditetapkan oleh Allah s.w.t dan semua makhluk itu patuh kepada peraturan Allah s.w.t.

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ ﴿٨٣﴾ [سورة آل عمران : ٨٣]


(Maksudnya): Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya lah mereka dikembalikan.

Manusia adalah sebahagian daripada makhluk yang menjadi hamba kepada Allah s.w.t. Mereka ditugaskan di atas muka bumi dengan sifat-sifat yang ada pada diri mereka, dengan kemampuan akal fikiran, ada jasad, ada roh, ada akal, ada nyawa yang menggerakkan jasad mereka ke sana ke mari, dan boleh menggunakan makhluk-makhluk yang lain. Maka Allah menugaskan mereka yang berada di atas muka bumi ini dengan peraturan-peraturan yang lain daripada malaikat, lain daripada binatang, lain daripada makhluk yang lain; ada perkara yang dinaskan oleh Allah yang tidak ada pilihan yang lain melainkan itu sahaja. Dalam perkara ibadat, perkara halal dan haram, perkara hukum tabi'i mereka, ada perkara yang diizin oleh Allah s.w.t mengikut akal dan pengalaman mereka.

Apa yang menjadi masalah, mereka mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah s.w.t. Mereka meminda hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Allah bertanya:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ ۚ ... ﴿٢١﴾ [سورة الشورى : ٢١]


(Maksudnya): Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?

Setiap orang Islam yang percaya kepada Allah s.w.t dengan nama-nama yang paling baik, sifat-sifat yang paling terpuji, yang Maha Bijaksana dan Maha Adil mesti percaya dan menerima keputusan Allah s.w.t yang Maha Adil dan penuh dengan rahmat dengan penuh keimanan dan kepercayaan. Apabila mereka memandai-mandai mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah atau meminda hukum Allah, mereka telah merungkai akidah dan kepercayaan mereka kepada Allah s.w.t yang sangat besar dosanya serta sangat buruk akibatnya di dunia dan di akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ﴿٥٠﴾ [سورة المائدة : ٥٠]


(Maksudnya): Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment