Tuesday, June 27, 2023

KHUTBAH AIDIL ADHA TUAN GURU PRESIDEN PAS - 10 ZULHIJJAH 1444 / 29 JUN 2023

 KHUTBAH AIDIL ADHA 1444

Khutbah Pertama

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،


ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

“Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam!” (Surah Ali ‘Imran: 102)

Hari ini, kita menyambut Hari Raya Adha (Korban) atau Hari Raya Haji, bersempena dengan ibadat korban dan ibadat haji. Dua ibadat yang sangat besar dalam Islam dan sangat berkait dengan Nabi Ibrahim 'alaihis salam dan keluarganya yang dikasihi Allah.
 
Daripada zuriatnya, dilahirkan para anbiya’ 'alaihimus sholatu wassalam, khususnya nabi akhir zaman, Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam. Allah memilih Ibrahim 'alaihis salam kerana Baginda berjaya dalam ujian menjadi hamba Allah yang Islam, dengan makna menyerah diri sepenuh ikhlas setelah keimanannya diuji. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

۞ وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ ١٢٤ ]سورة البقرة  : ١٢٤ [


“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimat (suruhan dan larangan) lalu Ibrahim menunaikan semuanya. (Setelah itu) Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam (pemimpin contoh dan teladan) bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata, ‘Dan (aku memohon juga) daripada keturunanku (pemimpin ikutan).’ Allah berfirman, ‘(Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak berlaku bagi orang yang zalim.’” (Surah al-Baqarah: 124)

Ujian itu sangat berat dan mencabar. Perjuangan dakwah menegakkan tauhid (لا إله إلا الله) dan menolak syirik (adanya tuhan yang lain daripada Allah) dalam kaumnya dan terhadap rajanya yang bernama Namrud yang zalim, sehingga Ibrahim 'alaihis salam dihukum bakar di dalam nyalaan api yang besar. Akan tetapi, Ibrahim 'alaihis salam tidak hangus yang menunjukkan mukjizat kerasulannya, lalu Baginda dihalau oleh ayahnya dari rumah dan dihalau oleh Raja Namrud sehingga terpaksa berhijrah meninggalkan tanah airnya.

Allah memilih Nabi Ibrahim 'alaihis salam daripada zuriat keturunannya menjadi nabi akhir zaman, dengan Baginda diperintahkan supaya meletakkan putera kesayangannya, Nabi Isma‘il 'alaihis salam di bumi Makkah yang tiada air dan tumbuh-tumbuhan. Tiada seorang pun manusia yang menemaninya bersama ibunya, Hajar 'alaihas salam; beliau hanya berbekalkan doa kepada Allah. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُم بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ  ١٢٦ ]سورة البقرة  : ١٢٦ [


“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa, ‘Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Makkah) negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduknya yang beriman antara mereka dengan Allah dan Hari Akhirat.’ Allah berfirman, ‘(Permohonanmu itu diterima) dan kepada orang kafir pun Aku berikan kesenangan sementara (di dunia), kemudian Aku paksa (dengan menyeret) mereka menjalani seksaan neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah al-Baqarah: 126)

Demikianlah rahmat Allah kepada semua hamba-Nya di alam dunia, tempat manusia diuji dengan iman dan amalan masing-masing. Kepada yang beriman mahupun kafir, semuanya diberikan rezeki. Hari Akhirat jualah tempat balasannya.

Seterusnya, Ibrahim 'alaihis salam berdoa lagi:

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ١٢٩ ]سورة البقرة : ١٢٩ [


“Wahai Tuhan kami! Utuslah untuk mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri yang akan membaca kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajari mereka kitab (al- Quran) dan hikmah (kebijaksanaan), serta menyucikan (hati dan jiwa) mereka (dengan ikhlas kepada-Mu daripada syirik dan maksiat)! Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah: 129)

Maka, dilahirkan daripada zuriat Ibrahim 'alaihis salam – daripada puteranya Isma‘il 'alaihis salam –, Nabi kita Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam dengan ujian yang membuktikan Islamnya (menyerah diri kepada Allah dengan ikhlas) melalui perintah korban, ketika Isma‘il 'alaihis salam sudah membesar dan boleh berjalan bersama ayah kesayangannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ١٠٢ فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ ١٠٣ وَنَادَيْنَاهُ أَن يَا إِبْرَاهِيمُ ١٠٤ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ١٠٥ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ ١٠٦ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ ١٠٧ ]سورة الصافات  : ١٠٧-١٠٢ [


“Maka, tatkala anaknya itu (Isma‘il) sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Ibrahim berkata, ‘Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!’ Isma‘il menjawab, ‘Wahai ayahku, jalankanlah apa-apa yang diperintahkan kepadamu! Insya-Allah, ayah akan mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar.’ (102) Maka, apabila kedua-duanya berserah diri kepada Allah (menjunjung perintah), lalu Ibrahim membaringkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah melaksanakan perintah Kami). (103) Lalu Kami menyerunya, ‘Wahai Ibrahim!’ (104) ‘Sesungguhnya, kamu telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya, demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang yang berusaha mengerjakan kebaikan yang cemerlang.’ (105) Sesungguhnya, perintah ini ialah satu ujian yang nyata. (106) Dan Kami tebus anak itu dengan seekor binatang sembelihan (biri-biri) yang besar. (107)” (Surah al-Saffat: 102–107)

Mimpi rasul ialah wahyu daripada Allah. Ibrahim 'alaihis salam beriman kepada wahyu itu dan Isma‘il 'alaihis salam juga beriman bahawa ayahnya ialah Rasulullah. Inilah makna Islam yang sebenar, dibuktikan dengan menyerah diri kepada semua perintah Allah.

Ibrahim dan Isma‘il 'alaihimas salam bukan sahaja dipilih daripada zuriat keturunan mereka rasul akhir zaman yang paling besar kepada seluruh manusia, bahkan mereka diperintahkan supaya mendirikan Kaabah yang menjadi kiblat (tempat berhadap) apabila menunaikan sembahyang. Di samping itu, Kaabah juga menjadi tempat perhimpunan umat akhir zaman bagi menunaikan ibadat haji yang menjadi rukun agama Islam yang kelima. Perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala yang berfirman:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ١٢٧ رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ١٢٨ ]سورة البقرة  : ١٢٨-١٢٧ [


“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) bersama Isma‘il (seraya berdoa), ‘Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami)! Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.’ (127) ‘Wahai Tuhan Kami, jadikanlah kami berdua orang yang Islam (patuh dan berserah diri) kepada Engkau dan (jadikanlah) antara anak cucu kami umat yang tunduk dan patuh kepada Engkau, dan tunjukilah kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, serta terimalah taubat kami! Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih.’ (128)” (Surah al-Baqarah: 127–128)

Kemudian, firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ٢٧ ]سورة الحج  : ٢٧ [


“Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus (berkenderaan) yang datang dari segenap penjuru dan ceruk rantau yang jauh.” (Surah al-Hajj: 27)

Seruan Ibrahim 'alaihis salam disahut oleh manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia dalam kalangan umat Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam. Sehingga hari ini, para jemaah haji sedang berhimpun menunaikan ibadat haji dan sanggup berbelanja besar walaupun jauh perjalanan. Mereka melaungkan ucapan talbiah yang bergema, menyahut seruan Ibrahim 'alaihis salam:

لَبَّيْكَ اللهم لَبَّيْك، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْك، إِنَّ الْحَمْدَ، وَالنِّعْمَةَ، لَكَ وَالْمُلْك، لَا شَرِيْكَ لَكَ.


“Ya, wahai Tuhanku! Ya! Tiada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya, segala kepujian, ni‘mat, dan kerajaan (yang Maha Berkuasa) ialah kepunyaan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu.”

Hanya umat Islam sahaja yang bersama Ibrahim 'alaihis salam, walaupun penganut semua agama mengaku menjadi pengikut Ibrahim 'alaihis salam. Inilah kenyataan Allah Subhanahu wa Ta'ala yang berfirman:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ٦٧ إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا ۗ وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ ٦٨ ]سورة آل عمران : ٦٨-٦٧ [


“Bukanlah Ibrahim itu beragama Yahudi dan dia juga bukan pengikut agama Nasrani, sebaliknya dia tetap di atas dasar tauhid sebagai orang Islam (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah) dan dia juga bukanlah orang Musyrik (67). Sesungguhnya, orang yang paling dekat dengan Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad SAW) ini serta orang yang beriman (umat Islam). Dan Allah sahajalah Pelindung dan Penolong sekalian orang yang beriman. (68)” (Surah Ali ‘Imran: 67–68)

Pada hari raya ini juga, kita melakukan ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan (yang kita pelihara), sama ada secara wajib, nazar, ataupun sunat. Seterusnya, kita membahagikan daging itu sesama kita bagi mengeratkan persaudaraan tanpa mengambil upah sedikit pun. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ٣٧ ]سورة الحج : ٣٧ [


“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai keredaan Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapai-Nya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah (bertakbir kerana bersyukur) terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berikanlah khabar gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berbuat baik.” (Surah al-Hajj: 37)

Hanya Islam sahaja yang diterima oleh Allah dalam semua amalan akhirat dan urusan dunia yang semuanya dikira pada Hari Akhirat. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

يَوْمَئِذٍ يَصْدُرُ النَّاسُ أَشْتَاتًا لِّيُرَوْا أَعْمَالَهُمْ ٦ فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ٧ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ ٨ ]سورة الزلزلة : ٨-٦ [


“Pada hari itu (Hari Akhirat), manusia keluar bertempiaran (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) semua perbuatan mereka. (6) Maka, sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (dalam suratan amalannya). (7) Dan sesiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihatnya (dalam suratan amalannya juga). (8)” (Surah al-Zalzalah: 6–8)

Seterusnya, Allah memberikan peringatan supaya mengikuti teladan Nabi Ibrahim 'alaihis salam dan keluarganya menjadi contoh yang sebenar, iaitu kita hendaklah bersama Islam sahaja dan menolak yang lain daripadanya, sama ada bernama agama ataupun ideologi.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ ١٣٠ إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ١٣١ وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ١٣٢ ]سورة البقرة : ١٣٢-١٣٠ [


“Dan tidak ada orang yang membenci agama Ibrahim melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan Kami telah memilihnya (Ibrahim menjadi Rasul) di dunia, dan sesungguhnya, di akhirat dia benar-benar termasuk dalam kalangan orang yang soleh (yang terpilih dan tinggi martabatnya). (130) (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya, ‘Berserah dirilah (kepada-Ku wahai Ibrahim)!’ Ibrahim menjawab, ‘Aku berserah diri (tunduk dan taat secara ikhlas) kepada Tuhan seluruh alam.’ (131) Dan Ibrahim telah berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, (demikian juga) Ya‘qub (berwasiat kepada anak-anaknya), ‘Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan menganut agama Islam! (132)” (Surah al-Baqarah: 130–132)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،

اللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.


Muslimin dan Muslimat sekalian!

Marilah pada hari raya ini, kita merasakan betapa besarnya ni‘mat iman dan Islam yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada kita. Hanya kematian dalam iman dan Islam sahaja yang diredai oleh Allah sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ١٠٢

“Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam!” (Surah Ali ‘Imran: 102)

Pada hari ini juga, hendaklah kita ingat betapa besarnya ni‘mat persaudaraan Islam yang dianjurkan dalam Islam. Tanda iman seseorang ialah kasih kepada saudara yang seagama dengannya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri. Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ. ]رواه البخاري[


“Tidak beriman seseorang dalam kalangan kalian, sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari, No. 13)

Sehubungan dengan itu, hendaklah lahir dalam hati setiap orang Islam perasaan sedih terhadap bala bencana dan kesusahan yang menimpa umat Islam di serata dunia, sama ada mereka yang dilanda bencana alam, peperangan, kemiskinan, kebuluran, mahupun wabak penyakit. Demikian juga, perasaan duka terhadap umat Islam yang sedang dijajah, dizalimi, dibunuh, dan ditindas sepertimana yang berlaku di Palestin, Iraq, Syria, Uyghur, Kashmir, Myanmar, dan sebagainya.

Jika tidak mampu membantu mereka dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang- kurangnya kita hendaklah berdoa dan bermunajat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya Allah memberikan pertolongan kepada mereka dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia.

Muslimin dan Muslimat sekalian!

Pada hari yang mulia dan penuh barakah ini, marilah kita memperbanyak ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam yang telah menyampaikan Islam kepada kita setelah melalui pelbagai bentuk jihad dan pengorbanan. Tanda kasih kita kepada Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam dirakamkan melalui ucapan selawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ٥٦ ]سورة الأحزاب : ٥٦ [


“Sesungguhnya, Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberikan segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad). Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya!” (Surah al-Ahzab: 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ الْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَذُنُوبَ وَالِدِينَا، وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ، وَالْظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ. اللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُوْرِأَعْدَائِنَا وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ، اللّهُمَّ رُدَّ كَيْدَهُمْ عَلَى نُحُورِهِمْ. اللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَقِلَّ عَدَدَهُمْ وَسِلاحَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاِبكَ.

اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا الْمُجَاهِدِينَ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ فِى فِلِسْطِينِ، وَفِى غَزَّةِ، وَفِى الْعِرَاقِ، وَفِى سُورِيَا، وَفِى كَشْمِير، وَفِى مَكَانٍ. اللّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمْ، وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ، وَثَبِّتْ أَقْدَامَهُمْ، وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدَآهِمْ.

اللَّهُمَّ آتِ أَنْفُسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا. اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ. اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا وَاَئِمَّتَنَا وَوُلَاةَ اُمُورِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِى مَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ. رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ. رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.



Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, June 22, 2023

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 4 ZULHIJJAH 1444 / 23 JUN 2023

  KISAH NABI MUSA DAN FIRAUN BERULANG


ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلۡقَاهِرِ فَوۡقَ عِبَادِهِ، وَالۡأَوَّلُ لَيۡسَ قَبۡلَهُ شَيۡءٍ، وَالۡأٓخِرُ لَيۡسَ بَعۡدَهُ شَيۡءٍ، وَالظَّاهِرُ لَيۡسَ فَوۡقَهُ شَيۡءٍ، وَالۡبَاطِنُ لَيۡسَ دُونَهُ شَيۡءٍ.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar firman Allah Ta'ala yang memberi semangat kepada umat Islam sehingga hari kiamat:

وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا فِي الْأَرْضِ وَنَجْعَلَهُمْ أَئِمَّةً وَنَجْعَلَهُمُ الْوَارِثِينَ ٥ ]سورة القصص  : ٥ [


(Maksudnya): Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).

Ayat ini menceritakan raja yang paling zalim dalam sejarah manusia yang mengaku dirinya menjadi tuhan iaitu Firaun yang berkata:

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَىٰ ٢٤ ]سورة النازعات  : ٢٤ [


(Maksudnya): (Seraya) berkata: "Akulah tuhanmu, yang paling tinggi".

وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِن تَحْتِي ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ ٥١ ]سورة الزخرف  : ٥١ [


(Maksudnya): Dan Firaun berseru kepada kaumnya, (seraya) berkata: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini kepunyaanku, (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihatnya?

Firaun yang mencabar ketuhanan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan kekuasaannya dijatuhkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan cara yang menakjubkan. Allah Subhanahu wa Ta'ala melantik seorang rasul iaitu Nabi Musa 'alaihis salam yang dibesarkan di dalam mahligai Firaun sendiri dan dipelihara oleh Firaun sendiri. Tidak diduga olehnya diatur oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala , tiba-tiba Musa yang dijadikan anak angkat itu menjatuhkan kerajaannya dan membinasakan bala tenteranya.

Keras dan zalimnya undang-undang untuk mengekalkan kerajaannya seperti menyembelih anak lelaki dan membenarkan anak perempuan sahaja untuk melumpuhkan kaum Bani Israil yang tinggal di Mesir meneguhkan kerajaannnya. Musa dilantik oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadi rasul ditemani oleh saudaranya Harun datang ke Mesir dengan gagah berani bersama mukjizat pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadikan kejatuhan Firaun dengan perjuangan, bukan dengan percuma. Diperintah supaya mereka bersabar. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan kemenangan. Musa 'alaihis salam yakin dengan kemenangan itu. Bani Israil meminta Musa berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala:

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ ۖ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ ٨٨ قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ٨٩ ]سورة يونس  : ٨٩-٨٨ [


(Maksudnya): Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan materikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".

Syarat yang pertama adalah istiqamah (teguh di atas jalan yang betul) dan yang kedua; jangan ikut jalan orang-orang yang jahil (yang tidak tahu), yang tidak mahu berjuang, yang berputus asa dan menganggap kemenangan Islam itu adalah mustahil.

Nabi Musa 'alaihis salam menunaikan syarat itu dengan penuh kesabaran dalam tempoh beberapa tahun yang panjang. Setelah mereka menerima syarat itu dan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, Nabi Musa diperintah oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya berhijrah meninggalkan Mesir dengan cara kerahsiaan. Mereka berhijrah beramai-ramai. Keesokannya diketahui oleh Firaun, lalu memburu mereka dengan berjuta bala tentera yang lengkap dengan segala kekuatannya. Mereka tersekat di tepi laut. Melihat debu yang menjulang ke langit yang menandakan ramainya bala tentera Firaun, mereka berkata sebagaimana firman Allah Ta'ala:

فَلَمَّا تَرَاءَى الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَابُ مُوسَىٰ إِنَّا لَمُدْرَكُونَ ٦١ ]سورة الشعراء  : ٦١ [


(Maksudnya): Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan".

Nabi Musa menjawab dengan beriman dan yakin kepada janji Allah Subhanahu wa Ta'ala:

قَالَ كَلَّا ۖ إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ ٦١ ]سورة الشعراء  : ٦٢ [


(Maksudnya): Nabi Musa menjawab: "Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku".

Lalu Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan Nabi Musa supaya memukul tongkatnya ke laut. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadikan air laut terangkat seperti bukit dan gunung ganang dengan lorong-lorong yang kering. Bani Israil diselamatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala semuanya, manakala Firaun ditenggelamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan mukjizat yang menandakan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Peristiwa ini menjadi pengajaran kepada umat Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam yang menyambung perjuangan Islam untuk seluruh dunia, menghadapi keadaan pasang surut, rebah dan bangun, menang dan kalah. Kita menghadapi kehilangan kerajaan Islam dengan jatuhnya khilafah yang telah berlalu selama seratus tahun. Negeri-negeri Islam dijajah oleh musuh, dibahagikan oleh kuasa-kuasa penjajah sesama mereka. Ada negeri Islam ditakluk oleh British, dijajah oleh Perancis, dijajah oleh Belanda, dijajah oleh Komunis dan penjajah-penjajah yang lain. Bukan sahaja tanahairnya dipecah, bahkan umat Islam juga dipecah, ditekan dan ditindas. Islam mahu dihapuskannya, orang Islam ditangkap dan ditawan untuk menjadi hamba abdi serta dihantar ke seluruh pelusuk dunia. Hasil-hasil negeri Islam dirampas, dirompak dan disamun, serta dibelasah umat Islam habis-habisan. Melihat kepada cara yang dilakukan ini, habislah Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berjanji:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ٨ ]سورة الصّف  : ٨ [


(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam telah berjanji:

لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ. ]رواه إمام أحمد[


(Maksudnya): Sesungguhnya urusan agama ini akan sampai (ke seluruh pelusuk dunia) di mana sampainya siang dan malam.

Hari ini kita dapati orang Islam yang ditawan dan yang dihalau diletakkan di seluruh pelusuk dunia menyebarkan agama Islam dan diterima oleh penduduk-penduduk tempatan. Kita melihat kelemahan agama-agama yang lain daripada Islam. Gereja-gereja dan rumah-rumah ibadat dikosongkan. Kita melihat kehancuran kuasa besar Komunis di abad yang lalu dan kini kita melihat kuasa besar Liberal Kapistalisme sedang merudum.

Kita menyaksikan kisah Firaun dan Nabi Musa berulang. Anak-anak orang Islam yang ditawan, raja-raja Islam yang ditawan dididik dan diasuh di bawah mereka diajar dengan maksiat, minum arak, berzina dan sebagainya, diajar dengan fahaman-fahaman yang sesat untuk kembali ke tanahair mereka bagi merosakkan umat Islam. Kita dapati generasi baharu yang dibawa oleh penjajah ini kembali kepada Islam dan mempertahankan Islam dan menegakkan Islam.

Perubahan berlaku di seluruh dunia bermula dengan negeri tabir besi negeri Komunis yang dianggap tabir besi di mana orang-orang Islam dikurung di dalam tabir besi, tidak boleh bergerak. Apa yang berlaku kejatuhan Komunis dan orang-orang Islam negara Komunis bangkit semula, belajar agama, belajar Islam, dan Islam berkembang. Kita menyaksikan Islam berkembang di negara Eropah. Di negeri Islam pula muncul kumpulan Islam yang berjuang untuk menegakkan Islam. Kita melihat pelbagai usaha dilakukan untuk menyekat kemenangan Islam dengan apa cara sahaja, sama ada menggunakan tentera, menggunakan kekayaan dan menggunakan media untuk menipu. Segala-galanya untuk menghalang cahaya Islam untuk dipadamkan. Kita menyaksikan semua usaha itu gagal.

Percayalah akan tiba masanya Islam akan kembali dan bangkit semula. Sabda Nabi Shallahu 'alaihi wasallam:

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ. ]رواه ابن ماجه[


(Maksudnya): Islam bermula dalam keadaan dagang dan akan kembali semula (di akhir zaman) menjadi dagang, maka berjaya dan mencapai kemenangan bagi orang-orang yang dagang.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Friday, March 24, 2023

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 2 RAMADAN 1444 / 24 MAC 2023

 PUASA MELAHIRKAN SABAR DAN SYUKUR


ٱلْحَمْدُلِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣ ]سورة البقرة  : ١٨٣ [


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita telah dijemput oleh Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang menjadi tetamunya dengan ketibaan bulan Ramadan yang dihidangkan dengan kelebihan-kelebihan dunia dan akhirat yang memberi pahala yang sangat besar, bukan sembahyang dan puasa kita sahaja.

Marilah kita mengambil peluang mengisi bulan yang bakal tiba ini untuk menerima jemputan Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan ibadat-ibadat. Setiap amal kebajikan digandakan pahalanya sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dan ada yang digandakankan sehinggan 700 kali ganda, melainkan puasa yang tidak terhingga pahalanya diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Itulah ganjaran yang diberi oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala bagi bersahur, berbuka, makan, minum, lapar dan dahaga diberi pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Ibadat puasa ini adalah kurnia yang sangat besar untuk mendidik dan mengasuh diri kita menjadi orang yang bersabar dan bersyukur serta bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sabar adalah sifat ketahanan diri dalam menghadapi ujian dalam kehidupan dunia apa sahaja ujian yang menimpa diri kita dan keluarga kita. Kita menganggap ujian itu daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Begitu juga bila kita senang, kita tidak leka dan lalai, bahkan sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk menjadi orang yang bersyukur kepadaNya. Sifat sabar dan syukur ada di bulan Ramadan melalui ibadat puasa yang melatih diri kita menjadi orang yang bersyukur dan bersabar bagi mendapat pahala yang sangat besar.

Sifat orang yang beriman, dalam masa yang sama untuk sampai ke kemuncaknya bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Perkataan taqwa yang kita dengar tiap-tiap minggu dalam khutbah Jumaat dan khutbah-khutbah yang lain adalah sifat yang menentukan martabat diri manusia. Allah Subhanahu wa Ta'ala menentukan kedudukan manusia bukan dengan baka dan keturunan, bukan pangkat dan harta, bukan warna dan rupa paras, tetapi ketaqwaannya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala iaitu mengikut perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ١٣ ]سورة الحجرات  : ١٣ [


(Maksudnya): Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.