Friday, March 24, 2023

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 2 RAMADAN 1444 / 24 MAC 2023

 PUASA MELAHIRKAN SABAR DAN SYUKUR


ٱلْحَمْدُلِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ١٨٣ ]سورة البقرة  : ١٨٣ [


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita telah dijemput oleh Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang menjadi tetamunya dengan ketibaan bulan Ramadan yang dihidangkan dengan kelebihan-kelebihan dunia dan akhirat yang memberi pahala yang sangat besar, bukan sembahyang dan puasa kita sahaja.

Marilah kita mengambil peluang mengisi bulan yang bakal tiba ini untuk menerima jemputan Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan ibadat-ibadat. Setiap amal kebajikan digandakan pahalanya sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dan ada yang digandakankan sehinggan 700 kali ganda, melainkan puasa yang tidak terhingga pahalanya diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Itulah ganjaran yang diberi oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala bagi bersahur, berbuka, makan, minum, lapar dan dahaga diberi pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Ibadat puasa ini adalah kurnia yang sangat besar untuk mendidik dan mengasuh diri kita menjadi orang yang bersabar dan bersyukur serta bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sabar adalah sifat ketahanan diri dalam menghadapi ujian dalam kehidupan dunia apa sahaja ujian yang menimpa diri kita dan keluarga kita. Kita menganggap ujian itu daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Begitu juga bila kita senang, kita tidak leka dan lalai, bahkan sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk menjadi orang yang bersyukur kepadaNya. Sifat sabar dan syukur ada di bulan Ramadan melalui ibadat puasa yang melatih diri kita menjadi orang yang bersyukur dan bersabar bagi mendapat pahala yang sangat besar.

Sifat orang yang beriman, dalam masa yang sama untuk sampai ke kemuncaknya bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Perkataan taqwa yang kita dengar tiap-tiap minggu dalam khutbah Jumaat dan khutbah-khutbah yang lain adalah sifat yang menentukan martabat diri manusia. Allah Subhanahu wa Ta'ala menentukan kedudukan manusia bukan dengan baka dan keturunan, bukan pangkat dan harta, bukan warna dan rupa paras, tetapi ketaqwaannya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala iaitu mengikut perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ١٣ ]سورة الحجرات  : ١٣ [


(Maksudnya): Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment