Friday, December 30, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 6 JAMADIL AKHIR 1444 / 30 DISEMBER 2022

SYUKUR ATAS NIKMAT SABAR ATAS UJIAN

ٱلْحَمْدُلِلَّهِ حَمْدًا حَامِدِينِ، وَحَمْدًا شَاكِرِينِ، وَحَمْدًا صَابِرِينَ، وَحَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِي مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ،  الرَّحْمَةُ المُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam Al-Quranul Karim:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ١٥٥ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ١٥٦ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ ١٥٧ ]سورة البقرة : ١٥٥-١٥٧ [


(Maksudnya): Dan sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, maka mereka mengucapkan: "إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ." Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan untuk menguji kehidupan kita dengan perkara yang menyusahkan setelah kita diberi nikmat yang tidak terhingga banyaknya pada diri kita.

وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ١٨ ]سورة النحل : ١٨ [


(Maksudnya): Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Namun demikian, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan menguji kamu, menguji keimanan dan kepercayaan kamu kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan sedikit sahaja, bukan banyak setelah kamu bersenang lenang, badan sihat beberapa tahun diuji dengan musibah (bencana), kesakitan, kekurangan harta benda, bencana alam yang menyusahkan, kematian, kerugian perniagaan, buah-buahan tidak menjadi, tanaman dirosakkan dan sebagainya. Itu adalah ujian yang sedikit daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Walaupun Allah Subhanahu wa Ta'ala menguji kita dengan kesusahan dan kepayahan itu, Allah Subhanahu wa Ta'ala mengurniakan kebaikan kepada seseorang yang beriman sahaja, tidak diberikan kepada yang lain.

Sabda Nabi Shollallahu 'alaihi wasallam:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ: إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ. ]رواه مسلم[


(Maksudnya): Sesungguhnya amat menghairankan kepada seorang yang beriman, perkara ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja, tidak ada pada yang lain, semua membawa kebaikan kepadanya. Sekiranya dia dalam keadaan suka, gembira dan menyenangkan, dia bersyukur yang menjadi kebaikan kepadanya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan atau kepayahan atau kesakitan, dia bersabar yang menjadi kebaikan kepadanya. 

Oleh sebab itu kita hendaklah memelihara iman kita supaya seluruh kehidupan kita menjadi baik dan mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Seorang sahabat, Sufian bin 'Abdullah Radiallahu 'anhu bertanya kepada Nabi Shollallahu 'alaihi wasallam:

يَا رَسُولَ اللَّه قُلْ لِى فِي الْإِسْلَامِ لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ، قَالَ: قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ. ]رواه مسلم[


(Maksudnya): Wahai Rasulullah, nasihatilah saya dengan suatu nasihat yang cukup lengkap yang tidak perlu lagi saya bertanya kepada orang lain. Sabda Rasulullah Shollallahu 'alaihi wasallam: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamah.

Beristiqamah dengan makna berada di jalan yang betul, yang tidak menyeleweng dan tidak terpesong serta tidak membatalkan iman. Pelihara iman itu dengan sebaik-baiknya kerana disebut di dalam hadits yang lain:

(Maksudnya): Sejahat-jahat orang yang beriman selagi ada iman di dalam hatinya akhirnya masuk syurga walaupun masuk neraka sebelum itu. Sementara sebaik-baik orang yang kafir yang imannya tidak ada akan masuk neraka selama-lamanya.

Di sini besarnya nikmat iman itu. Hendaklah dipelihara dan dijaga iman kita dengan sungguh-sungguh dan kuatkan iman kita dengan sungguh-sungguh dengan cara membanyakkan hubungan kita dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala, dengan cara menghadapi ujian kita bersabar, menghadapi kesenangan kita bersyukur. Iman kita jadi bertambah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.

وَالْعَصْرِ ١ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ٢ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ٣ ]سورة العصر : ١-٣ [


(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

Thursday, December 22, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 28 JAMADIL AWAL 1444 / 23 DISEMBER 2022

 TANGGUNGJAWAB MENEGAKKAN SEMULA ISLAM

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. 

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ،  الرَّحْمَةُ المُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamat orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang berfirman:

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ٥ ]سورة الجمعة : ٥ [


(Maksudnya): (Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Ia adalah satu perbandingan yang buruk yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala terhadap bangsa Yahudi yang disebut al-maghdubi 'alaihim (الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ - kumpulan yang dimurkai ke atas mereka). Diminta supaya kita mohon perlindungan daripaa Allah Subhanahu wa Ta'ala supaya tidak menjadi sepertinya. Kaum itu dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala yang dikurniakan nikmat kemenangan secara mukjizat, di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menyelamatkan mereka daripada kezaliman Fir'aun yang ganas apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala menenggelamkan bala tentera Fir'aun ke dalam laut dengan tongkat yang membelah laut. Melalui mukjizat Nabi Musa 'alaihis salam, dijadikan lorong-lorong yang dilalui oleh mereka dengan selamat serta menenggelamkan Fir'aun dan membinasakan semua bala tenteranya. Ia adalah pertolongan yang luar biasa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada bangsa Yahudi disaksikan oleh mereka yang berada di zaman Nabi Musa 'alaihis salam memimpin mereka. Kisah ini dibaca oleh orang-orang Yahudi dalam kitab-kitab mereka.

Tetapi apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala menyerahkan tanggungjawab kepada mereka untuk menunaikan amanah melaksanakan kitab Taurat yang diwahyukan kepada Nabi Musa 'alaihis salam supaya diamalkan kitab itu, ditegakkan sebuah negara yang berdaulat, Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan mereka berjihad masuk ke Palestin dengan ujian perjuangan jihad menghadapi musuh kaum Jabbarin yang dianggap gagah perkasa di zaman itu. Tiba-tiba mereka menolak, seolah-olah mereka tidak yakin kepada pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Mereka menghina Nabi Musa 'alaihis salam dengan berkata:

قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا ۖ فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ ٢٤ ]سورة المائدة : ٢٤ [


(Maksudnya): Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu".

Akibatnya Allah Subhanahu wa Ta'ala menyesatkan mereka di padang pasir selama 40 tahun. Nabi Musa dan Nabi Harun 'alaihimas salam diwafatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam kesedihan tidak menyaksikan kemenangan, tetapi menyaksikan janji akhirat yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, yang tinggal golongan yang tua dan lahir yang muda. Generasi yang muda ditarbiah oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di padang pasir itu dengan keikhlasan menyambung perjuangan, dan Allah Subhanahu wa Ta'ala mengurniakan kemenangan dengan pertolongan yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan mereka yang ikhlas sahaja menyertai pasukan itu.

Walaupun kisah ini mengenai Bani Israil, para ulamak mengatakan:

الْعِبْرةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.


(Maksudnya): Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.

Cerita yang ada di dalam Al-Quran adalah iktibar dan pengajaran kepada umat Islam supaya umat Islam tidak mengambil contoh buruk yang ditunjukkan oleh kaum Bani Israil. Apabila orang Yahudi yang masuk Islam di zaman Nabi Muhammad Shallallahu 'alahi wa sallam menjadi sahabat yang setia memhon izin untuk membaca kitab Taurat, kitab Allah yang wajib kita beriman kepadanya, Allah Subhanahu wa Ta'ala menegur mereka dengan menurunkan wahyu:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ٢٠٨ ]سورة البقرة : ٢٠٨ [


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Kitab Taurat telah dinasakhkan banyak hukum-hukumnya. Hanya sebahagian sahaja yang tidak dinasakhkan yang berkait akidah beriman kepada Allah dan beriman kepada Hari Akhirat serta perkara-perkara yang ghaib, termasuk hukum-hukum Qisas dan Hudud dikekalkan di dalam Al-Quranul Karim.

Apabila Saiyidina 'Umar bin Al-Khattab radiallahu 'anhu tertarik dengan kisah-kisah Bani Israil yang masuk Islam, lalu beliau meminta izin Nabi Shallallahu 'alahi wa sallam untuk mencatat kisah-kisah itu untuk menjadi bacaan orang Islam, tiba-tiba Nabi Shallallahu 'alahi wa sallam menempelak:

أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ؟ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً، لاَ تَسْأَلُوهُمْ عَن شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ، أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ كَانَ مُوسَى كان حَيًّا اليَوم مَا وَسِعَهُ إلاَّ أَنْ يَتَّبِعَني. ]رواه أحمد[


(Maksudnya): Adakah kamu keliru pendirian (tentang agamamu), wahai Ibnu Al-Khattab? Demi jiwaku ditanganNya, aku telah membawa kepadamu dengan satu lembaran putih bersih (Islam dan rujukannya Al-Quran yang bersih daripada diubahsuai). Jangan kamu bertanya kepada mereka (ahli Kitab) sesuatu pun, nanti mereka memberitahu perkara yang benar, lalu kamu mendustakannya, atau mereka memberitahu perkara yang salah, lalu kamu mempercayainya. Demi jiwaku ditanganNya, seandainya Nabi Musa masih hidup, nescaya dia tidak mempunyai pilihan selain mengikutiku.

Ini menunjukkan betapa wajibnya umat islam berpegang dengan Al-Quran yang menjadi petunjuk seluruh kehidupan mereka dan menolak segala petunjuk yang lain yang bercanggah dengannya.

Namun akhir-akhir ini kita melihat umat Islam telah ditinggalkan oleh kesan-kesan pengaruh penjajah dalam fikiran mereka. Mereka meninggalkan amalan-amalan Al-Quran. Al-Quran hanya menjadi kitab yang dibaca sahaja. Separuh hukum-hakamnya diamalkan dan banyak yang tidak diamalkan atau ditinggalkan. Mereka meninggalkan perjuangan untuk mengembalikan semula Al-Quran bagi didaulatkan setelah negara yang mendaulatkannya dihapuskan di zaman penjajahan.

Kita mempunyai satu tanggungjawab yang sangat besar untuk menegakkan semula Islam ini kerana perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ٣٣ ]سورة التوبة : ٣٣ [


(Maksudnya): Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.