Showing posts with label Ulamak Dalam PAS. Show all posts
Showing posts with label Ulamak Dalam PAS. Show all posts

Tuesday, December 17, 2013

UCAPTAMA PRESIDEN MUKTAMAR PAS KE 59 : RAHMAT UNTUK SEMUA

Mukaddimah

Yang dihormati Dato' Pengerusi Tetap, YB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Mursyidul 'Am, Sohibul Fadhilah Dato' Timbalan Mursyidul 'Am, Ashab al Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulama, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato' Setiausaha Agung, Ketua-Ketua Dewan Ulama – Pemuda - Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS, seluruh Anggota Dewan Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Pengarah Muktamar dan ahli Jawatan kuasanya, sahabat-sahabat pimpinan dari Pakatan Rakyat, pimpinan NGO, Wakil-wakil Kedutaan Asing, semua para jemputan, para perwakilan, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

Selamat datang (Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum) kepada semua rakan taulan seperjuangan dan para tetamu jauh dan dekat, serta para pemerhati yang sudi memeriahkan Muktamar PAS kali ke 59 ini.

Pertamanya marilah sama-sama kita mengucapkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita anugerah Islam yang sempurna yang kita imani, menjadi penyelamat kita untuk bertemu Tuhan Rabbul Jalil di hari yang tidak ada naungan melainkan naungan rahmat Allah SWT. Dengan Iman dan Islam inilah kita mesti beristiqamah di atas jalan perjuangan yang dirintis oleh para Nabi dan Rasul A.S. sejak zaman berzaman, berdepan dengan cabaran dan dugaan yang menguji iman kita sehinggalah kita bertemu dengan Allah SWT nanti. Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah SWT :

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ (٣١)

Maksudnya :
"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar ternyata yang Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu." [Muhammad :31]

Hadirin-hadirat sekalian,

MUKTAMAR KE 59 : RAHMAT UNTUK SEMUA

1. Kita berkumpul pada hari ini, dalam Muktamar Agung Tahunan kali yang ke 59, dengan tema "RAHMAT UNTUK SEMUA" adalah berpaksikan kepada keyakinan kita bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS menerusi wadah tarbiyah-dakwah-siyasah yang tidak berpisah, membawa mesej Islam yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul A.S. yang di khatam (tamat) dan disempurnakan dengan Nabi Muhammad S.A.W. bagi membawa RAHMAT ke seluruh alam. Firmah Allah SWT :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (١٠٧)

"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam" [al-Anbiya : 107]

2. Marilah sama-sama kita memahami, bahawa apa yang kita bawa ini bukan bersifat retorik dan bukannya suatu janji-janji indah yang ingin mengaburi pandangan manusia atau mengelirukan kefahaman. Maudu' kita adalah ISLAM yang berteraskan kepada keyakinan yang dipahat dengan tegas dalam Fasal 3 Perlembagaan PAS. Inilah Islam yang yang nyatakan oleh Rasulullah S.A.W. membawa RAHMAT adil kepada masyarakat majmuk yang bersaudara di atas kemanusiaan yang di isytiharkan oleh Allah :

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا (١٠٥)

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang yang khianat. [An Nisa' : 105]

Bukannya Islam mengikut takrifan sekularisma yang memberikan makna Islam itu sebagai agama yang tidak mempunyai kaitan antara kehidupan dunia dan akhirat.

3. Dasar Islam dan mesej inilah yang menjadi RAHMAT kepada semua manusia, termasuklah kepada semua makhluk dan alam ciptaan Allah SWT. Oleh yang demikian, kerahmatan yang ingin dibawa oleh PAS untuk semua pihak ini berlaku apabila PAS adalah sebuah gerakan islah dan tajdid, berbeza dengan kumpulan Islam lain yang menjadi saudara seperjuangan mengikut medannya yang terhad. Tugas kita ialah membetulkan fahaman salah dalam masyarakat dan negara yang dipengaruhi oleh pemikiran asing yang pernah menjajah umat Islam. PAS memperjuangkan rahmat Allah daripada ajaran Islam yang membawa keadilan sejagat.

4. Untuk membawa mesej ini, maka organisasi parti kita hendaklah menyediakan rangka kerja yang berstruktur, mempunyai objektif dan sasaran kerja yang konstruktif, pejabat yang lengkap, sistem pengurusan konflik, petunjuk prestasi dalam mencapai sasaran jamaah, dan bukannya sekadar retorik ucapan semata-mata.

5. Sebagaimana yang selalu saya pertegaskan, bahawa PAS bukanlah parti politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang bergerak dalam jalur tarbiyah – dakwah – siyasah mewarisi cita-cita perjuangan yang menjadi tugas kita sebagai khilafah di atas muka bumi ini yang meletakkan politik menjadi agenda penting yang tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam. Maka tentulah menjadi satu kesilapan sekiranya menyamakan PAS dengan parti-parti dan kumpulan Islam yang lain.

Hadirin – hadirat sekalian,

SOROTAN PRU KE-13

6. Muktamar ke-59 pada tahun 2013 ini diadakan pada penghujung bulan November 2013, di luar kebiasaan muktamar tahunan PAS yang biasanya diadakan pada bulan Jun atau Julai setiap tahun. Penangguhan ini adalah untuk memberi ruang yang seluasnya kepada persiapan dan gerakerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang baru sahaja berlalu pada bulan Mei lalu.

7. PAS bersama Pakatan Rakyat telah turun ke gelanggang PRU-13 di padang yang tidak sama rata dengan Barisan Nasional, kerana proses demokrasi pilihan raya sesebuah negara yang merdeka bukan sahaja aktiviti berkempen dan hari pembuangan undi atau pun urusan keputusan pilihan raya sahaja. Pilihan raya juga bukanlah semata-semata janji jalanraya dan rumah, tiang elektrik, tilam – bantal, basikal percuma dan sebagainya, tetapi adalah medan rakyat memilih parti yang akan menjalankan amanah memimpin negara.

8. Kita terus berdepan dengan media arus perdana yang tidak berlaku adil, betapa parahnya rasuah wang ringgit dan projek segera yang dijanjikan kepada rakyat, sedangkan projek terdahulu ada yang belum pun nampak tandanya, penggunaan jentera dan agensi kerajaan dalam aktiviti berkempen, dan berbagai lagi bentuk penyalahgunaan serta kepincangan yang merendahkan taraf pemikiran rakyat malah mengancam sistem demokrasi di negara kita.

9. Dalam keadaan kekurangan ini, alhamdulillah kita masih mampu bertahan dalam keadaan undi popular di kalangan rakyat yang bertambah sehingga kerajaan BN yang ada di hari ini adalah kerajaan minoriti sokongan pengundi, dan hanya mempunyai majoriti jumlah kerusi parlimen, disebabkan sistem first past the post yang diamalkan dalam sistem pilihan raya. Kita kekal di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Kerajaan Persekutuan BN minoriti rakyat ini pula hanya mampu memperolehi 46.53% sokongan pengundi, berbanding Pakatan Rakyat yang mencapai sokongan 49.96% melalui jumlah undi keseluruhan.

10. Kedudukan kita yang sedemikian ini, hendaknya sedikit pun tidak melemahkan semangat kita semua untuk terus berjuang. Kekalahan kita yang menyebabkan hilangnya kerajaan negeri Kedah pula, wajar diteladani, tetapi janganlah sehingga melemahkan semangat sehingga kita lupa erti sebenar perjuangan. Kita masih menjadi pilihan rakyat di DUN Sungai Limau Kedah, dalam Pilihan raya Kecil yang baharu sahaja berlalu. Kita wajib muhasabah diri sendiri secara dalaman, bukan hanya menjadikan lawan sahaja sebagai penyebab kekalahan kita. Semua itu wajar menjadi sempadan dalam lipatan sejarah dalam kita bergerak ke hadapan. Allah berfirman kepada generasi awal yang tewas dalam peristiwa Uhud :

أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (١٦٥)

(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [ali - Imran : 165]

Hadirin – hadirat sekalian,

11. Alhamdulillah, kita juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera parti, rakan – rakan dalam Pakatan Rakyat, dan rakyat yang memberikan respon positif dengan benih sulung PAS menerusi PRU-13 lalu di Melaka iaitu di kerusi DUN Bukit Baru, dan lain – lain tambahan kerusi DUN dan Parlimen yang baharu dimenangi di seluruh negara.

12. Kepada ahli PAS yang dipikulkan amanah kemenangan dalam PRU-13, seterusnya memegang tampuk kuasa pemerintahan dalam sebuah kerajaan, termasuklah yang dilantik ke jawatan penting seperti Ahli Dewan Negara, Ahli Majlis Perbandaran dan Daerah, Ketua Kampung dan Ahli Lembaga Pengarah; marilah sama-sama kita menghayatinya dengan membaca firman Allah SWT :

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ (١٦٥)

"Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" [al – An'am :165]

Semua di kalangan mereka ini perlulah sabar dengan ujian, melakukan persiapan rapi, bermaklumat, mendampingi rakyat tanpa penat lelah; insyaAllah semua amalan yang dilakukan dengan ikhlas ini akan diberikan kebaikan oleh Allah SWT.

link ke laman yang memaparkan teks penuh ucaptama tersebut :

VIDEO UCAPTAMA TUAN GURU PRESIDEN

Wednesday, July 8, 2009

Sheikh Zubir Ahmad al-Filfulani

TOKOH pendidikan Islam yang terkenal di negara ini, Sheikh Zubir Ahmad al-Filfulani, masyhur kerana pernah menjadi Mudir Madrasah Darul Ulum, Makkah dan kemudian memimpin Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan. Beliau ialah salah seorang ulama yang menjadi pengasas PAS ketika majlis penubuhan PAS di Butterworth pada 24 November 1951 dan pernah bertanding dalam pilihan raya atas tiket PAS pada 1959 di Perak. Namun begitu, di kalangan pengkaji, nama Sheikh Zubir lebih dikenali sebagai tokoh pendidikan berbanding sebagai seorang ulama PAS. Gelaran al-Filfulani yang dilaqabkan pada namanya itu bermaksud beliau berasal dari Pulau Pinang. Sheikh Zubir bin Ahmad Ismail bin Ibrahim bin Muhammad Nor telah dilahirkan di Pulau Pinang pada 1905. Ketika berusia tujuh tahun, beliau mula mendapat pendidikan agama secara formal di Madrasah Islamiah, Pulau Pinang dan akhirnya menjadi pelajar di Madrasah al-Mashoor al-Islamiah, Pulau Pinang pada 1920. Di madrasah ini, beliau menerima sentuhan ilmu daripada ulama-ulama terkenal seperti Sheikh Abdur Rahman Firdaus al-Makki, Sheikh Muhammad Radhi al-Makki, Saiyid Ahmad Dahlan al-Makki, Sheikh Abdullah al-Ghadamsi al-Maghribi, Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Falaki dan Sheikh Husein Rafi'. Selepas empat tahun di madrasah ini, beliau berhijrah ke Makkah pada 1924 kerana menyambung pengajian di sana dan tinggal bersama Sheikh Qadhi Ahmad al-Qari. Di Makkah, Sheikh Zubir belajar di Madrasah Hashimiah Syarif Hussin bin Ali selama setahun di bawah bimbingan Sheikh Umar Ba Juneid, Sheikh Jamal al-Maliki, Sheikh Habibullah asy-Syanqithi, Sheikh Muhammad Zaidan asy-Syanqithi dan Sheikh Umar Hamdan al-Mahrasi. Setahun kemudian, beliau memasuki pula Madrasah Shaulatiah al-Hindiah yang terkenal itu sehingga 1930 dan mendapat Syahadah Nihayah. Antara guru-guru beliau di madrasah ini ialah Sheikh Salim Rahmatullah, Sheikh Mahmud Arif al-Bukhari, Sheikh Abdul Latif al-Qari, Sheikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Sheikh Mukhtar Makhdum dan Sheikh Abdullah al-Bukhari. Dalam masa yang sama, beliau turut menadah kitab di Masjidil Haram di bawah tunjuk ajar Sheikh Sa'id bin Hasan Yamani, Saiyid Abdullah Shalih az-Zawawi, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Saiyid Shalih Syatha, Sheikh Muhammad al-Arabi at-Tubbani dan ramai lagi. Selepas tamat belajar di Madrasah Shaulatiah, Sheikh Zubir mula mengajar di rumahnya dan juga di Masjidil Haram sehingga 1933. Ketika itu, seorang agen perisik British yang menjadi Pegawai Haji, Abdul Majid Zainuddin telah melancarkan propaganda perkauman kepada pelajar Melayu, khususnya di Madrasah Shaulatiyah. Madrasah Shaulatiyah adalah pusat pengajian ulamak-ulamak India yang kebanyakannya anti-British dan Abdul Majid Zainuddin bertugas memantau perkembangan nasionalisme orang Melayu di madrasah ini. Akhirnya, dengan propaganda Abdul Majid Zainuddin, beratus pelajar Melayu meninggalkan madrasah ini kerana tidak mahu belajar dengan guru India. Atas dorongan Abdul Majid Zainuddin, Sheikh Zubir bersama Sayyid Muhsin Ali al-Masawi, seorang ulamak berasal dari Indonesia telah mengasaskan Madrasah Darul Ulum di Syuib Ali, Makkah pada 1933. Pada mulanya Sheikh Zubir menjadi Naib Mudir madrasah ini, tetapi ekoran kematian Sayyid Muhsin pada 1935, Sheikh Zubir menjadi mudir selama lima tahun. Selain menjadi mudir di sini, beliau turut menaburkan ilmu di Masjidil Haram dan mempunyai murid yang ramai. Pada 1937, Sheikh Zubir turun ke Tanah Melayu bersama Kiyai Abdul Rashid Sidek dari Palembang untuk mengutip derma bagi membangunkan Madrasah Darul Ulum dan juga Madrasah Zarbayah Ain, Masjid Tinggi, Bagan Serai. Sheikh Zubir juga terlibat secara langsung dalam majlis penubuhan Madrasah al-Ulum asy-Syar�iyah, Batu 20, Bagan Datoh pada 1937 iaitu institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh bapa bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Datuk Hassan Adli. Pada 1940, Sheikh Zubir telah kembali ke Tanah Melayu dan mengajar sementara di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang, kemudian berhijrah ke Perak. Madrasah pertama yang beliau mengajar di Perak ialah Madrasah al-Ulum asy-Syar�iyah, Batu 20, iaitu madrasah yang beliau sendiri asaskan bersama Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh. Sepanjang zaman Jepun, Sheikh Zubir menjadi Wakil Mudir madrasah ini dan mula berpindah ke Masjid Tinggi pada 1946 iaitu mengajar di Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah yang ketika itu dikendalikan oleh Ustaz Abdul Rahman Mohd Arshad (abang Ustaz Hassan Adli). Shiekh Zubir dikatakan pernah menjadi mudir di madrasah ini selepas Perang Dunia Kedua. Antara murid beliau yang terkenal di madrasah ini ialah Ustaz Datuk Hassan Adli Mohd Arshad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Pada 1948, Sheikh Zubir telah diminta oleh Sultan Perak untuk menjadi mudir di Madrasah Idrisah setelah Sheikh Abdullah Fahim meletakkan jawatan. Sheikh Zubir merupakan antara mudir madrasah ini yang paling lama dan paling terkenal kerana beliau memimpin madrasah ini sehingga 1975 iaitu selama hampir 28 tahun. Ketika zaman beliaulah, Madrasah Idrisiah memprkenalkan Kelas Tujuh, Kelas Lapan dan akhirnya Kelas Thanawi Rabiie. Di samping aktif dalam dunia pendidikan, Sheikh Zubir adalah ulamak progresif yang sentiasa mahukan kerajaan Islam ditegakkan. Ini tergambar dalam kata-kata aluan buku �Suluh Kemajuan (1952)� tulisan Sheikh Abdul Karim Othman as-Sarawaki. Beliau menyebutkan, �Maka orang-orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran-ajaran Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang dihormati. Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menggerakkan dan menyedarkan umat-umat Islam seluruh alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kala.� Itulah harapan dan kesedaran beliau terhadap kepentingan menubuhkan negara Islam. Kerana kesedaran ini, Sheikh Zubir ketika berada di Masjid Tinggi telah menjadi tenaga penting dalam gerakan Hizbul Muslimin semenjak 1947 sehingga parti itu dilumpuhkan oleh British pada Ogos 1948. Sebagai Mudir Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah, Sheikh Zubir bergiat cergas dalam LEPIR iaitu badan pendidikan Hizbul Muslimin. Pada akhir 1947, LEPIR telah menubuhkan Pusat Pentadbiran Sekolah-sekolah Rakyat dan Sheikh Zubir diberikan kepercayaan sebagai pengelola pusat ini. Walau bagaimanapun, kerana keuzuran, pada awal 1948 beliau melepaskan jawatan ini, tetapi guru-guru dan pelajar di Masjid Tinggi dan Selinsing seperti Ustaz Abdul Wahab Nor (bekas Pesuruhjaya PAS Perak), Abdul Raof Nor, Mohamad Abbas, Mohd Nor Mokhtar, Abdullah Hakim dan lain-lain terus digalakkan bergiat cergas dalam Hizbul Muslimin sehingga beberapa di kalangan mereka ditahan oleh British pada 1948. Setelah Hizbul Muslimin terkubur, Sheikh Zubir menumpukan perhatian kepada tugas barunya di Madrasah Idrisiah, tetapi tetap berjuang untuk menegakkan negara Islam. Sebagai bukti komitmen beliau, pada 24 November 1951, Sheikh Zubir telah menghadiri Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya yang akhirnya berjaya menubuhkan PAS. Ketika ini, Raja-raja Melayu mempunyai hubungan yang agak tegang dengan para ulama kerana desakan untuk menyatukan pentadbiran agama. Sheikh Zubir selaku mudir sebuah madrasah yang dikawal oleh Sultan Perak menghadiri persidangan ini sebagai wakil bebas. Dalam pilihan raya umum pertama pada 1959, Sheikh Zubir telah dicalonkan oleh PAS untuk bertanding di Parlimen Bagan Datoh tetapi beliau tewas. Selepas pilihan raya ini, beliau tidak lagi menjadi calon kerana kedudukannya sebagai mudir di madrasah tersebut. Walau tidak menjadi calon, Sheikh Zubir terus memberikan komitmen kepada PAS dengan menjadi penasihat dan tempat rujukan dalam pelbagai isu agama. Setelah bersara sebagai mudir Madrasah Idrisiah pada 1975 dalam usia 70 tahun, Sheikh Zubir hanya memberikan tumpuan kepada kegiatan dakwah di masjid dan tidak lagi cergas dalam politik. Pada 1984, dalam usia 79 tahun, Sheikh Zubir bin Ahmad al-Filfulani, seorang ulama yang banyak berjasa kepada tanah air telah kembali ke rahmatullah. - Mohd Fadli Ghani -

Ustaz Jais Anwar

KETIKA cawangan PAS ditubuhkan di Hilir Perak pada awal 1953, Ustaz Jaiz Anwar adalah seorang pelajar di Madrasah al-Ulum as-Syar'iyyah, Batu 20 Bagan Datoh, Perak. Guru besar madrasah tersebut, Dato' Hassan Adli Mohd Arshad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang lebih dikenali sebagai 'Pak Aji' di kalangan pelajar merupakan Setiausaha PAS Hilir Perak dewasa itu.

Maka ramailah pelajar Madrasah al-Ulum turut terlibat dalam program-program PAS di Hilir Perak ketika itu. Mereka bukan sekadar menjadi penyokong PAS, tetapi pendukung setia yang menggerakkan PAS Hilir Perak yang ketika dipimpin oleh Dato' Othman Abdullah. Bagan Datoh sememangnya melahirkan ramai pemimpin besar PAS termasuk Haji Ahmad Ali, Ustazah Zaharah Othman, Dato' Hassan Adli dan Ustaz Jaiz Anwar.

Ustaz Jaiz dilahirkan di Kampung Sungai Sumun, Bagan Datoh pada 1941 dalam sebuah keluarga yang taat beragama. Semasa kecilnya, beliau belajar di Sekolah Melayu Bagan Pasir. Semasa memasuki alam persekolahan, suasana politik Tanah Melayu agak kucar-kacir kerana baru lepas perang dan timbulnya perjuangan menentang Malayan Union.

Dari tahun 1948 beliau bersekolah di sini selama tiga tahun. Sekolah Melayu hanya setakat Darjah 3 sahaja. Lalu bapanya menghantar Ustaz Jaiz ke Madrasah al-Ulum kerana di sana, Tuan Guru Mohd Arshad Mohd Salleh menjadi mursyidnya. Bapa kepada Dato' Hassan Adli ini adalah ulama yang sangat dihormati. Belajar di Batu 20 selama empat tahun telah membentuk jiwa politik yang agak kental dalam diri beliau. Gurunya, Ustaz Hassan Adli bukan sekadar seorang guru atau ulama, tetapi tokoh politik yang terkenal juga di sana. Semenjak 1952, Ustaz Hassan Adli sudah menyertai PAS. Turut mengajar di madrasah ini ketika itu ialah Dato' Mohd Ghazali Abdullah (ayah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo'), Mufti Perak yang ketika itu adalah Timbalan Yang Dipertua Agung PAS.

Suasana politik yang mahukan kemerdekaan amat mempengaruhi para pelajar. Ustaz Hassan Adli juga merupakan Setiausaha Persatuan Guru-guru Madrasah Agama Rakyat Perak (PGMR) yang menyebabkan tokoh-tokoh ulama seperti Tuan Guru Abdul Samad Noh sering keluar masuk ke madrasah itu. Pada 1955, Ustaz Jaiz mendapat peluang menyambung pengajian di Maktab Mahmud, sebuah sekolah agama terkenal di Kedah. Menjadi pelajar di Maktab Mahmud rupanya lebih mencabar daripada Madrasah al-Ulum kerana di sini pergolakan politik semasa lebih luas diperkatakan. Salah seorang gurunya, Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki ialah Naib Ketua Pemuda PAS Pusat ketika itu. Semasa di Darjah 1 di Maktab Mahmud, Ustaz Jaiz mula berkenalan dengan beberapa tokoh pelajar seperti Ustaz Johari Ahmad (bekas Pegawai Hal Ehwal Khas Jabatan Penerangan) dan Ustaz Fadzil Mohd Nor. Ustaz Fadzil ketika ini adalah Setiausaha Persatuan Pelajar Melayu Alor Setar dan Setiausaha Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK). Ustaz Jamaluddin Amini sendiri merupakan Yang Dipertua Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang ditubuhkan pada 1954. Ustaz Jaiz ketika balik ke Malaysia pada 2001 sempena sambutan 50 tahun PAS memberitahu bahawa beliau bersama-sama Ustaz Jamaluddin Amini, Ustaz Fadzil dan Johari Ahmad mengikuti usrah Ikhwanul Muslimin di Maktab Mahmud yang dipimpin oleh Sheikh Taqiyuddin Qandil, bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah yang lari ke Tanah Melayu selepas pembunuhan Hassan al-Banna. Mereka adalah kumpulan pertama pelajar Melayu yang mengikuti tarbiah Ikhwanul Muslimin di Malaysia kerana Sheikh Taqiyuddin Qandil adalah pensyarah di Maktab Mahmud dan turut mengajar di Madrasah Alawiyah, Arau. Melalui Sheikh Taqiyuddin mereka didedahkan dengan pemikiran Islam yang dicetuskan oleh Hassan al-Banna. Semenjak itu, mereka menjadi pendukung kuat PAS dan turut terlibat berkempen dalam pilihan raya 1955 di Alor Setar.

Selepas tamat kelas Sanawi pada 1958, Ustaz Jaiz yang ketika itu menjawat Ketua Penerangan KPAS merangkap Ketua Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) telah menyertai PAS. Antara orang kuat beliau dalam KPIP ialah Ustaz Hassan Shukri. Beliau kemudian dicalonkan oleh PAS untuk bertanding dalam pilihan raya umum Kedah pada 1958 di Dun Alor Setar, tetapi tewas kepada calon MCA yang mewakili Perikatan. Ustaz Jaiz kemudian masuk semula ke Maktab Mahmud untuk mengikuti pengajian peringkat tinggi (qismu ali) dan mula memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung KPAS (1958-1960). Dalam KPAS ketika itu terkenal dengan "J" (Jamaluddin, Johari, Jaiz). Pada 1959 mereka bertiga mewakili Pemuda PAS melawat Pak Natsir di Jakarta. Selepas menamatkan Darjah 9 di Maktab Mahmud pada 1960, Ustaz Jaiz melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang syariah. Menurut Ustaz Yahya Othman, ketika beliau belajar di Mesir pada 1962, Ustaz Jaiz sudah aktif memimpin pelajar di sana. Ustaz Jaiz dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Melayu Mesir (PMM) dan mengetuai Lajnah kebajikan persatuan tersebut. Selain bergerak bersama pelajar Melayu, Ustaz Jaiz turut mendapat sentuhan tarbiah daripada pemimpin Ikhwanul Muslimin di Mesir. Pada 1964, Ustaz Fadzil mengikuti jejak Ustaz Jaiz belajar di Mesir, tetapi ketika itu Ustaz Jaiz sudah di tahun akhir. Selepas mendapat ijazah BA dalam bidang syariah, Ustaz Jaiz segera balik ke Malaysia pada 1965. Oleh kerana beliau sudah terkenal di kalangan ahli-ahli PAS di Perak, beliau terus dilibatkan dalam PAS, tetapi bukan di Hilir Perak, sebaliknya di utara Perak dan Kedah.

Sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, Ustaz Jaiz yang mewakafkan dirinya untuk perjuangan PAS telah dilantik sebagai Pegawai Penerangan Luar di Pejabat Agung PAS pada 1966. Ketika itu antara pegawai di Pejabat Agung PAS termasuklah Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Othman Hamzah dan Ustazah Hayati Hassan. Ketika bertugas di Pejabat Agung PAS sebagai Pegawai Penerangan Luar, beliau banyak melawat cawangan-cawangan PAS yang menyebabkan nama beliau mulai terkenal. Beliau juga turut menulis dalam Bulan Bintang, lidah rasmi PAS ketika itu untuk menjelaskan konsep negara Islam dan juga menjawab tuduhan-tuduhan ke atas PAS. Pada masa itu secara kebetulan Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ketua Pemuda PAS diserang sakit jantung. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS ke-17 dan 18 di Kangar pada 1968, Ustaz Jaiz telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, iaitu serentak dengan perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Ustaz Jaiz tidak lama memimpin Dewan Pemuda PAS kerana beliau berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaik menjadi Ketua Pemuda PAS, Ustaz Jaiz melantik Ustaz Hassan Shukri menjadi Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Jabatan Pelajaran dan Tabligh Pemuda PAS. Dewan Pemuda PAS pada 1968 telah melancarkan Gerakan Insaf untuk membentuk kesedaran politik Islam di kalangan belia. Ketika itu, Umno sedang giat menggerakkan Pemuda Tahan Lasak yang agak ganas ketika itu. Ustaz Jaiz kemudian telah melancarkan satu gerakan, iaitu Gerakan Syuhada', gerakan untuk melahir pemuda-pemuda PAS yang berani berjuang menghadapi Pemuda Tahan Lasak Umno, terutama dalam pilihan raya 1969. Ustaz Jaiz sendiri telah menjadi calon di Parlimen Besut pada 1969 yang merakamkan kisah pahit dalam perjuangan beliau. "Saya berseorangan dikepung oleh Pemuda Tahan Lasak Umno yang bersenjata dalam pilihan raya di Besut," cerita Ustaz Jaiz dalam satu temuramah dengan Ustaz Misbahul Munir di London pada 2002. Pengalaman yang serupa juga dialami oleh Ustaz Hassan Shukri yang bertanding di Sabak Bernam ketika itu. Ustaz Jaiz tewas kepada calon Perikatan dengan majoriti yang tipis selepas ugutan-ugutan Umno. Dewan Pemuda PAS selepas Peristiwa 13 Mei 1969 telah melancarkan satu lagi gerakan iaitu Gerakan Seksi Pembinaan Mental atau lebih terkenal sebagai Gerakan SPEM pada 1970. Melalui Gerakan SPEM inilah lima prinsip yang diasaskan oleh Hassan al-Banna diterapkan iaitu Allah matlamat kami, Rasul pemimpin kami, Al-Quran perlembagaan kami, jihad jalan kami, dan mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Dalam satu pertemuan dengan Ustaz Jaiz di London pada 2001, beliau memberitahu bahawa ketiga-tiga gerakan ini bertujuan untuk membina kesedaran Islam di kalangan pemuda PAS. Setelah berjaya melaksanakan perubahan dalam tarbiah Dewan Pemuda PAS, pada 26 September 1970, Ustaz Jaiz telah meletakkan jawatan beliau sebagai Ketua Pemuda PAS merangkap Pegawai Penerangan Luar PAS kerana ingin melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang undang-undang di United Kingdom. Sebelum ke sana, Ustaz Jaiz telah diambil menjadi menantu kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Muda. "Semasa belajar di UK, Ayah Mat (panggilan untuk Dato� Asri) yang banyak membantu dari segi kewangan," kenang Ustaz Jaiz terhadap jasa mentuanya itu. Semenjak berhijrah ke London pada akhir 1970 itu, Ustaz Jaiz terus menetap di sana hingga akhir hayatnya. Bagaimanapun Ustaz Jaiz memberitahu cita-citanya untuk belajar tidak tercapai apabila terpaksa berhenti di pertengahan jalan dan mula menceburi bidang berniagaan di sana.

Walaupun sudah tidak lagi memimpin PAS, Ustaz Jaiz tidak berdiam diri di London. Selain pernah mewakili PAS dalam satu persidangan antarabangsa Islam ketika PAS dalam BN, Ustaz Jaiz giat dengan gerakan dakwah kepada pelajar Melayu di sana. Pendek kata selama hampir 40 tahun beliau menjadi 'duta PAS' di London. "Antara yang mengikuti tarbiah saya di UK ialah Wan Ismail Wan Ibrahim (bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, 1974-1978)," beritahu Ustaz Jaiz. Menurut Ustaz Jaiz juga selain berniaga, beliau juga berdakwah di Kelab Melayu Clapton, Oxford, Cambridge, Brighton dan lain-lain semenjak 1970-an. Beliau turut menjadi rujukan para pelajar Malaysia di sana khususnya yang menyertai gerakan Islam. Allahyarham Ustaz Fadzil, setiap kali ke London akan mengunjungi beliau. "Ustaz Fadzil ketika baru tiba dari Mesir, sayalah yang membawa borang PAS kepadanya," getus Ustaz Jaiz apabila mengenangkan keahlian Presiden PAS itu pada 1968.

Kini perjuangan Ustaz Jaiz selama 68 tahun telah berakhir apabila beliau dijemput menemui Allah pada jam 5.30 petang waktu London, 17 Mac 2009 di Hospital UCL, London. - Mohd Fadli Ghani -

Tuan Guru Dato' Haji Ghazali Arshad

SALAH seorang ulama besar Perak yang bersama-sama mengasaskan PAS pada 1951 selain Mufti Haji Ismail Hamzah, Sheikh Zubir al-Filfulani, Mufti Haji Ghazali Abdullah, Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh ialah Tuan Guru Dato' Haji Ghazali Arshad atau lebih masyhur namanya sebagai Tuan Guru Haji Ghazali Batu 26.

Penglibatan para ulama terkenal ini dalam PAS telah meletakan PAS sebagai sebuah parti yang berpengaruh di Perak dan negeri ini menjadi kubu kuat PAS pada dekad 1950-an.

Tuan Guru Haji Ghazali walaupun lebih terkenal kerana institusi pendidikannya di Batu 26, Bagan Datoh dan kegiatan dakwah beliau sebagai penasihat Sultan Perak dalam soal agama, beliau sebenarnya pakar rujuk PAS dalam soal hukum agama.

Tuan Guru Haji Ghazali bin Arshad bin Muhamad Rashid bin Sheikh Mansur telah dilahirkan di Pasir Panjang Laut, Setiawan Perak pada 13 Rabiul Akhir 1319 Hijriyah (1901).

Moyangnya Sheikh Mansur berasal dari Yaman, manakala ibunya, Hajah Puteri Madinah Mat Saman berketurunan Megat Terawis, pahlawan Perak yang terkenal itu. Walaupun bapanya tinggal di luar bandar tetapi mempunyai kesedaran agama yang tinggi kerana di sekitar Setiawan ketika itu terdapat beberapa orang ulama seperti Kadi Haji Alias Hussein (ayahanda Dr Haji Abbas Alias, bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan Kiyai Haji Abdul Latif Abdul Hamid (ayahanda Ustaz Baharuddin Latif, bekas Setiausaha Agung PAS).

Pada awalnya, Haji Ghazali dihantar belajar di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut selama lima tahun। Pada 1912, beliau dimasukkan ke Pondok Lubuk Merbau, kemudian berhijrah ke Kedah kerana berguru dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Bagan Ulu, Pantai Merdeka dan Pondok Selengkoh, Sungai Limau, Yan. Setelah itu, beliau mengambil masa lima tahun lagi untuk mendalami ilmu agama di Madrasah al-Masriyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam di bawah bimbingan Sheikh Salleh Masri sehingga 1919.

Setelah pengajian peringkat asas ditamatkan, Tuan Guru Haji Ghazali bertolah ke Makkah kerana mahu menambahkan lagi ilmu agamanya. Di Makkah beliau mengambil kesempatan untuk menadah kitab dengan ulama-ulama di Masjidil Haram. Dalam masa yang sama, Haji Ghazali telah memasuki Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, sebuah pusat pendidikan Islam yang terkenal di Makkah ketika itu dan dikendalikan oleh ulama-ulama anti-British dari India.

Selepas empat tahun, beliau lulus Syahadah Nihayah pada 1926। Haji Ghazali tidak terus pulang, sebaliknya menyambung pengajian dalam halaqat ulama di Masjidil Haram dan pusat pengajian lain di Makkah sehingga 1930. Antara gurunya di Makkah ialah Sheikh Hassan al-Masyat, Pak Da Ail al-Fathani, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Sheikh Ahmad Khurasan, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok, Sheikh Harun Kambang Minangkabau, Syed Hussin Abdul Nabi, Sheikh Ibrahim Zaidan dan Sheikh Mokhtar Atarid.

Selepas 11 musim haji menggali ilmu di Makkah, barulah beliau pulang di Malaya. Beliau dikatakan alim dalam ilmu balaghah, mantik, falakiah, tafsir, hadis dan fekah. Selepas kembali ke Tanah Melayu, Haji Ghazali menyambung pengajiannya dengan Tuan Hussin Kedah di Pondok Pokok Sena, Seberang Prai dan sempat bersama dengan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, bekas Bendahari Agung PAS.

Sebaik sahaja pulang ke Perak, Haji Ghazali telah melangsungkan perkahwinan dengan Hajah Zabedah Haji Salleh. Ketika itu juga, beliau memasang tekad untuk membuka pusat pengajian sendiri. Dengan menggunakan bangsal kendurinya, beliau mengasaskan Madrasa ad-Diiniah di Kampung Matang Kunda, Bagan Datoh iaitu di rumah mentuanya.

Penubuhan ini disokong kuat oleh iparnya, Haji Arshad Haji Salleh sehingga Haji Ghazali menamakan madrasah tersebut sebagai Madrasah Irshadiyah Diiniyah. Di peringkat awal madrasah ini mengajarkan ilmu-ilmu asas Islam seperti fiqh, usuluddin, akhlak, tajwid dan bahasa Arab. Bagaimanapun pada 1935, madrasah ini telah berpindah ke Hujung Matang atau sekarang ini lebih dikenali sebagai Batu 26, Bagan Datoh. Sejak itu, Tuan Guru Haji Ghazali menghabiskan perjuangannya membangunkan generasi baru Islam di madrasah ini seingga akhir hayatnya. Nama Haji Ghazali terkenal dengan cepat di Perak selepas pembukaan madrasah ini. Hal ini menarik perhatian Sultan Iskandar Alang Shah. Pada 1935 baginda mahu melantik beliau sebagai guru agama kepada Sultan Perak. Bagaimanapun beliau memohon sembah derhaka dengan menolak permintaan Sultan itu.

Haji Ghazali kemudian dilantik oleh Sultan Perak sebagai Ahli Majlis Ulama Perak pada 1936. Bagaimanapun kegiatan dakwah beliau terganggu pada 1942 ekoran meletusnya Perang Dunia Kedua yang menyebabkan keluarganya terpaksa berpindah ke Sungai Manik.

Pada 1946 madrasah ini dibuka semula dan menerima pelajar dari seluruh negara. Pada 1960, Haji Ghazali telah mengetuai jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar-pelajar untuk mencari dana bagi membina bangunan baru. Akhirnya pada 1970, madrasah ini berwajah baru dengan nama Sekolah Menegah Agama Irshadiyah Persendirian, dan pada 1998 madrasah ini diambil alih oleh Kementerian Pelajaran. Sekolah Menegah Agama Irshadiyah telah memperkenalkan sistem pembelajaran agama dan Arab pada sesi pagi, manakala kelas akademik di sebelah petang. Sijil keluaran madrasah ini, iaitu Syahadah Thanawi telah mendapat pengiktirafan Universiti al-Azhar.

Dalam pada itu juga, madrasah ini telah menjadi pusat kegiatan Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) semenjak awal 1960-an lagi. Selain memberikan tumpuan kepada kegiatan dakwah khassah di madrasah ini, beliau juga memberi tumpuan kepada dakwah am seperti mengajar di masjid-masjid dan terlibat dalam kegiatan masyarakat.

Kerana keilmuan beliau, pada 1964 Sultan Perak telah menawarkan beliau jawatan Mufti Perak, tetapi beliau sekali lagi memohon sembah derhaka menolak tawaran itu kerana ingin memberi tumpuan kepada madrasahnya.

Pada 1976, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Menilai Darjah Kealiman Calon-calon Mufti Kerajaan Negeri Perak yang memilih bekas Imam Besar Masjid Negara, Haji Ghazali Abdullah yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS sebagai Mufti Perak pada 1977.

Selain kgiatan dakwah ini, Haji Ghazali juga terlibat dalam kegiatan politik semenjak di Makkah lagi. Beliau sebagi pelajar lepasan Madrasah Shaulatiyah mempunyai semangat antipenjajah yang kuat. Kerana itu, beliau mendukung perjuangan Hizbul Muslimin pada 1948 dan terlibat secara aktif dalam Majlis Ulama Hilir Perak. Majlis ini bertanggungjawab mencadangkan kepada Umno supaya mengadakan Persidangan Ulama Se-Malaya pada 1950. Setelah Persatuan Ulama Se-Malaya ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, Haji Ghazali menjadi salah seorang pengasas PAS apabila beliau turut menyertai Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterwoth pada 24 November 1951 Dalam persidangan ini nama persatuan ini diubah kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).

Haji Ghazali tidak pernah memegang jawatan tinggi dalam PAS kerana memberikan tumpuan kepada madrasahnya. Namun begitu, beliau telah menjadi tempat rujukan pimpinan PAS dalam hukum-hakam agama. Pada 1962, beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Tarjih Dewan Ulama PAS Pusat, iaitu sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam soal hukum agama seumpama majlis fatwa PAS.

Penglibatan Haji Ghazali bersama PAS berterusan sehingga akhir hayatnya walaupun beliau tidak menonjol dalam kepemimpinan parti. Selepas bersara daripada kegiatan pendidikan kerana usia lanjut, Haji Ghazali mentelaah kitab-kitab agama di sebuah pondok berhampiran Madrasah Irshadiyah.

Kerana sumbangan besar beliau dalam dunia dakwah dan pendidikan, pada 1989 Tuan Guru Haji Ghazali dianugerahkan sebagai Tokoh Ulamak Silam oleh UKM, diikuti oleh anugerah Tokoh Maal Hijrah Hilir Perak (1989), Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak (1990) dan anugerah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1992 yang membawa gelaran Dato'.

Lima tahun kemudian, iaitu pada 10 Mei 1997, Tuan Guru Dato' Haji Ghazali Arshad telah meninggal dunia dalam usia 98 tahun. Antara muridnya yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh, Ketua Dewan Ulama PAS, Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar (Mudir Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan) dan Prof Madya Dato' Salleh Haji Ahmad, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang juga bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS.
- Mohd Fadli Ghani -

Monday, April 13, 2009

Sheikh Abdullah Fahim, Ketua Dewan Ulamak Pusat Pertama

Kepulangan Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulamak dan guru di Masjidil Haram ke Tanah Melayu pada 1922 telah mencetuskan pemikiran baru tentang perjuangan kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini.

Sheikh Abdullah Fahim atau nama sebenarnya Abdullah bin Ibrahim adalah ulamak berdarah campuran Arab-Pattani yang berasal dari Makkah. Beliau dilahirkan di Kota Suci pada 1869 di mana ayahnya, Sheikh Ibrahim bin Tahir adalah guru di Masjidil Haram semenjak berhijrah dari Pattani ke Kedah, kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Makkah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam pada 1830-an.

Dengan keistimewaan beliau sebagai anak seorang ulamak di Makkah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk mendalami pelbagai ilmu agama di sana. Sepanjang pengajiannya, Haji Abdullah telah berjaya menguasai ilmu-ilmu agama seperti usuluddin, fiqh, tasawuf dan tarekat, tafsir al-Quran, hadis, falak serta ilmu alat seperti arudh dan qawafi dalam rumpun sastera Arab.

Beliau dikata berguru dengan lebih 50 orang ulamak dan mendapat 42 ijazah dalam pelbagai bidang pengajian termasuk politik. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921.

Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanah air dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun.

Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai “Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah”. Perkataan “al-Wathaniyah” atau Bumiputera itu jelas memperlihatkan semangat kemerdekaannya.

Tuan Guru Haji Abdullah Fahim bukan sahaja mengasas dan mengajar di sini, tetapi turut menjadi mudir sehingga 1930. Antara murid beliau yang paling terkenal ketika ini ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin. Di sini, Haji Abdullah telah memperkenal pengajian berkelas (nizami) dan juga umum (adami).

Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Antara pelajar beliau di sini termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Prof Zulkifli Mohammed.

Setelah meninggalkan Bukit Chandan, Haji Abdullah kembali ke Kepala Batas dan menguruskan Madrasah Daeratul Maarif. Walau bagaimanapun, beliau hanya berkhidmat sebagai penaung, manakala anaknya, Tuan Haji Ahmad Badawi sebagai mudir dan murid kesayangannya, Ustaz Abdul Halim al-Hadi sebagai guru besar. Beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai Sheikhul Islam Kedah kerana menjaga maslahat madrasah ini. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana.

Selepas Perang Dunia Kedua tercetus, Sheikh Abdullah Fahim telah mula terlibat dalam politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai. Ketika Umno ditubuhkan pada 1946, beliau adalah ahli Umno pertama dari Pulau Pinang. Beberapa ketika kemudian, kerana kemasyhuran beliau sebagai seorang ulama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Meskipun menjadi ahli Umno, kemahuan beliau untuk melihat kemerdekaan tidak padam walaupun Umno ketika itu tidak memperjuangkan kemerdekaan.

Ketika murid beliau, Ustaz Abu Bakar al-Bakir menubuhkan Hizbul Muslimin, beliau bukan sahaja memberikan sokongan tetapi telah dilantik mempengerusikan Majlis Penasihat Hizbul Muslimin pada 1948 dan dalam masa yang sama mengetuai Bahagian Agama Umno. Ekoran beberapa krisis dalaman Umno berkaitan sikap Umno terhadap isu-isu agama seperti isu judi loteri, fun-fair, kaberet, isu pemurtadan Natrah dan lain-lain, Haji Abdullah telah berundur sebagai Pengerusi Bahagian Agama pada 1950. Selepas itu, jawatan ini diambil alih oleh muridnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan.

Walaupun Haji Abdullah tidak menyertai dua Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 1950 dan 1951, tetapi beliau menghantar anaknya, Haji Ahmad Badawi untuk menyertainya. Apabila Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, persatuan tersebut telah merancang mengadakan Persidangan Ulamak di Butterworth pada 24 November 1951 untuk meluluskan undang-undang tubuh dan melantik jawatankuasanya. Haji Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang telah merasmikan persidangan ini yang akhirnya telah mengambil keputusan menukar nama Persatuan Ulama Se-Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Abdullah Fahim sendiri dicalon sebagai Yang Dipertua Agung PAS tetapi tewas kepada Tuan Haji Ahmad Fuad.

Sebaik sahaja PAS ditubuhkan, Madrasah Daeratul Maarif telah dipilih sebagai Pejabat Agung PAS yang pertama sebelum berpintah ke Bukit Mertajam. Selepas itu ia kembali ke madrasah ini pada 1953 sebelum menumpang beberapa ketika di rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki iaitu berhampir madrasah ini juga.

Kerana penyertaan Haji Abdullah dalam PAS, hampir seluruh murid dan keluarganya menjadi tenaga penting PAS. Turut menyertai PAS di kalangan jawatankuasa madrasah ini ialah Cikgu Ahmad Awang, Ustaz Abdul Halim al-Hadi, Ustaz Abdul Kadir Kamal dan Ustaz Mohd Saghir. Di kalangan keluarganya pula ialah anaknya, Haji Ahmad Badawi; menantunya, Hajah Kailan Hassan; iparnya, Haji Mansor Hassan JP dan beberapa yang lain.

Pada 3 April 1952, Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulama PAS bagi menyatukan tenaga ulama dan mengelola urusan hukum-hukum agama, maka Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama. Antara langkah penting dilaksanakan oleh beliau ialah mengadakan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat pada 22 Mei 1952 bagi merundingkan usaha untuk menyatukan sekolah agama dan membentuk kumpulan wang untuk membangunkan sistem pendidikan tersebut. Beliau juga telah membuka Pejabat Dewan Ulama PAS di Madrasah Khairiyah, Pokok Sena iaitu sekolah milik Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein.

Pada akhir 1953, telah berlaku krisis kepemimpinan PAS ekoran sokongan PAS terhadap National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman. PAS mula membentuk disiplin parti dengan mencegah pimpinan PAS menjadi ahli parti lain. Pada Ogos 1954, bertempat di Madrasah ad-Diiniyah, Bagan Serai, PAS meluluskan usul tersebut. Akibatnya, beberapa pimpinan PAS seperti Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Maansor JP, Tuan Guru Haji Huseein Che Dol, Haji Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Badawi terpaksa memilih untuk kekal dalam PAS atau menjadi ahli Umno. Haji Hussein Che Dol, Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki memilih untuk meninggalkan PAS dan kekal bersama Umno. Pendirian ini turut diambil oleh Sheikh Abdullah Fahim.

Walaupun tidak lagi bersama PAS selepas 1954, Haji Abdullah Fahim selaku Mufti bersama Ustaz Abdul Halim al-Hadi (Guru Besar Maarif Wathaniyah) dan Sheikh Salleh Masri (Pengerusi Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang) telah mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam keluar mengundi dan melarang mereka mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya 1955. Isu ini menjadi hangat kerana ia dilihat merugikan Perikatan dan Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang pula menyokong fatwa ini. Pada 31 Mei 1955, pendaftaran PAS telah diluluskan dengan beralamat di “Arabic School, Kepala Batas” iaitu madrasah milik Haji Abdullah Fahim.

Sumbangan penting Haji Abdullah dalam politik negara ialah menetapkan tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Berdasar keilmuan beliau dalam bidang falak, beliau mengatakan itu tarikh terbaik untuk Tanah Melayu merdeka. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia pada 27 April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.