Tuesday, December 17, 2013

UCAPTAMA PRESIDEN MUKTAMAR PAS KE 59 : RAHMAT UNTUK SEMUA

Mukaddimah

Yang dihormati Dato' Pengerusi Tetap, YB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Mursyidul 'Am, Sohibul Fadhilah Dato' Timbalan Mursyidul 'Am, Ashab al Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulama, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato' Setiausaha Agung, Ketua-Ketua Dewan Ulama – Pemuda - Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS, seluruh Anggota Dewan Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Pengarah Muktamar dan ahli Jawatan kuasanya, sahabat-sahabat pimpinan dari Pakatan Rakyat, pimpinan NGO, Wakil-wakil Kedutaan Asing, semua para jemputan, para perwakilan, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

Selamat datang (Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum) kepada semua rakan taulan seperjuangan dan para tetamu jauh dan dekat, serta para pemerhati yang sudi memeriahkan Muktamar PAS kali ke 59 ini.

Pertamanya marilah sama-sama kita mengucapkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita anugerah Islam yang sempurna yang kita imani, menjadi penyelamat kita untuk bertemu Tuhan Rabbul Jalil di hari yang tidak ada naungan melainkan naungan rahmat Allah SWT. Dengan Iman dan Islam inilah kita mesti beristiqamah di atas jalan perjuangan yang dirintis oleh para Nabi dan Rasul A.S. sejak zaman berzaman, berdepan dengan cabaran dan dugaan yang menguji iman kita sehinggalah kita bertemu dengan Allah SWT nanti. Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah SWT :

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ (٣١)

Maksudnya :
"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar ternyata yang Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu." [Muhammad :31]

Hadirin-hadirat sekalian,

MUKTAMAR KE 59 : RAHMAT UNTUK SEMUA

1. Kita berkumpul pada hari ini, dalam Muktamar Agung Tahunan kali yang ke 59, dengan tema "RAHMAT UNTUK SEMUA" adalah berpaksikan kepada keyakinan kita bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS menerusi wadah tarbiyah-dakwah-siyasah yang tidak berpisah, membawa mesej Islam yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul A.S. yang di khatam (tamat) dan disempurnakan dengan Nabi Muhammad S.A.W. bagi membawa RAHMAT ke seluruh alam. Firmah Allah SWT :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ (١٠٧)

"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam" [al-Anbiya : 107]

2. Marilah sama-sama kita memahami, bahawa apa yang kita bawa ini bukan bersifat retorik dan bukannya suatu janji-janji indah yang ingin mengaburi pandangan manusia atau mengelirukan kefahaman. Maudu' kita adalah ISLAM yang berteraskan kepada keyakinan yang dipahat dengan tegas dalam Fasal 3 Perlembagaan PAS. Inilah Islam yang yang nyatakan oleh Rasulullah S.A.W. membawa RAHMAT adil kepada masyarakat majmuk yang bersaudara di atas kemanusiaan yang di isytiharkan oleh Allah :

إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا (١٠٥)

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah Engkau menjadi Pembela bagi orang-orang yang khianat. [An Nisa' : 105]

Bukannya Islam mengikut takrifan sekularisma yang memberikan makna Islam itu sebagai agama yang tidak mempunyai kaitan antara kehidupan dunia dan akhirat.

3. Dasar Islam dan mesej inilah yang menjadi RAHMAT kepada semua manusia, termasuklah kepada semua makhluk dan alam ciptaan Allah SWT. Oleh yang demikian, kerahmatan yang ingin dibawa oleh PAS untuk semua pihak ini berlaku apabila PAS adalah sebuah gerakan islah dan tajdid, berbeza dengan kumpulan Islam lain yang menjadi saudara seperjuangan mengikut medannya yang terhad. Tugas kita ialah membetulkan fahaman salah dalam masyarakat dan negara yang dipengaruhi oleh pemikiran asing yang pernah menjajah umat Islam. PAS memperjuangkan rahmat Allah daripada ajaran Islam yang membawa keadilan sejagat.

4. Untuk membawa mesej ini, maka organisasi parti kita hendaklah menyediakan rangka kerja yang berstruktur, mempunyai objektif dan sasaran kerja yang konstruktif, pejabat yang lengkap, sistem pengurusan konflik, petunjuk prestasi dalam mencapai sasaran jamaah, dan bukannya sekadar retorik ucapan semata-mata.

5. Sebagaimana yang selalu saya pertegaskan, bahawa PAS bukanlah parti politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang bergerak dalam jalur tarbiyah – dakwah – siyasah mewarisi cita-cita perjuangan yang menjadi tugas kita sebagai khilafah di atas muka bumi ini yang meletakkan politik menjadi agenda penting yang tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam. Maka tentulah menjadi satu kesilapan sekiranya menyamakan PAS dengan parti-parti dan kumpulan Islam yang lain.

Hadirin – hadirat sekalian,

SOROTAN PRU KE-13

6. Muktamar ke-59 pada tahun 2013 ini diadakan pada penghujung bulan November 2013, di luar kebiasaan muktamar tahunan PAS yang biasanya diadakan pada bulan Jun atau Julai setiap tahun. Penangguhan ini adalah untuk memberi ruang yang seluasnya kepada persiapan dan gerakerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang baru sahaja berlalu pada bulan Mei lalu.

7. PAS bersama Pakatan Rakyat telah turun ke gelanggang PRU-13 di padang yang tidak sama rata dengan Barisan Nasional, kerana proses demokrasi pilihan raya sesebuah negara yang merdeka bukan sahaja aktiviti berkempen dan hari pembuangan undi atau pun urusan keputusan pilihan raya sahaja. Pilihan raya juga bukanlah semata-semata janji jalanraya dan rumah, tiang elektrik, tilam – bantal, basikal percuma dan sebagainya, tetapi adalah medan rakyat memilih parti yang akan menjalankan amanah memimpin negara.

8. Kita terus berdepan dengan media arus perdana yang tidak berlaku adil, betapa parahnya rasuah wang ringgit dan projek segera yang dijanjikan kepada rakyat, sedangkan projek terdahulu ada yang belum pun nampak tandanya, penggunaan jentera dan agensi kerajaan dalam aktiviti berkempen, dan berbagai lagi bentuk penyalahgunaan serta kepincangan yang merendahkan taraf pemikiran rakyat malah mengancam sistem demokrasi di negara kita.

9. Dalam keadaan kekurangan ini, alhamdulillah kita masih mampu bertahan dalam keadaan undi popular di kalangan rakyat yang bertambah sehingga kerajaan BN yang ada di hari ini adalah kerajaan minoriti sokongan pengundi, dan hanya mempunyai majoriti jumlah kerusi parlimen, disebabkan sistem first past the post yang diamalkan dalam sistem pilihan raya. Kita kekal di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Kerajaan Persekutuan BN minoriti rakyat ini pula hanya mampu memperolehi 46.53% sokongan pengundi, berbanding Pakatan Rakyat yang mencapai sokongan 49.96% melalui jumlah undi keseluruhan.

10. Kedudukan kita yang sedemikian ini, hendaknya sedikit pun tidak melemahkan semangat kita semua untuk terus berjuang. Kekalahan kita yang menyebabkan hilangnya kerajaan negeri Kedah pula, wajar diteladani, tetapi janganlah sehingga melemahkan semangat sehingga kita lupa erti sebenar perjuangan. Kita masih menjadi pilihan rakyat di DUN Sungai Limau Kedah, dalam Pilihan raya Kecil yang baharu sahaja berlalu. Kita wajib muhasabah diri sendiri secara dalaman, bukan hanya menjadikan lawan sahaja sebagai penyebab kekalahan kita. Semua itu wajar menjadi sempadan dalam lipatan sejarah dalam kita bergerak ke hadapan. Allah berfirman kepada generasi awal yang tewas dalam peristiwa Uhud :

أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (١٦٥)

(Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [ali - Imran : 165]

Hadirin – hadirat sekalian,

11. Alhamdulillah, kita juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera parti, rakan – rakan dalam Pakatan Rakyat, dan rakyat yang memberikan respon positif dengan benih sulung PAS menerusi PRU-13 lalu di Melaka iaitu di kerusi DUN Bukit Baru, dan lain – lain tambahan kerusi DUN dan Parlimen yang baharu dimenangi di seluruh negara.

12. Kepada ahli PAS yang dipikulkan amanah kemenangan dalam PRU-13, seterusnya memegang tampuk kuasa pemerintahan dalam sebuah kerajaan, termasuklah yang dilantik ke jawatan penting seperti Ahli Dewan Negara, Ahli Majlis Perbandaran dan Daerah, Ketua Kampung dan Ahli Lembaga Pengarah; marilah sama-sama kita menghayatinya dengan membaca firman Allah SWT :

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ (١٦٥)

"Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" [al – An'am :165]

Semua di kalangan mereka ini perlulah sabar dengan ujian, melakukan persiapan rapi, bermaklumat, mendampingi rakyat tanpa penat lelah; insyaAllah semua amalan yang dilakukan dengan ikhlas ini akan diberikan kebaikan oleh Allah SWT.

link ke laman yang memaparkan teks penuh ucaptama tersebut :

VIDEO UCAPTAMA TUAN GURU PRESIDEN

No comments:

Post a Comment