MUQADDIMAH
Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya: ”Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: ”Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (Al-Kahf : 13 – 14)
Golongan muda (syabab) adalah merupakan asset penting dalam memastikan kesinambungan gerakerja Islam.
Sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam telah membuktikan bahawa golongan ini memainkan peranan penting dalam memastikan tertegaknya panji Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.
Ayat di atas telah meletakkan syarat dan asas untuk memastikan golongan ini berjuang dan bersandarkan kepada panduan inilah kita mengambil sikap untuk menjadi golongan syabab li inqaz al ummah (pemuda yang berperanan untuk mengangkat darjat ummah).
Golongan yang ingin menegakkan panji Allah s.w.t. ini perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. agar pertolongan Allah s.w.t. dan kemenangan daripadaNya menjadi milik pejuang Islam.
Antara syarat-syarat tersebut ialah:
Syarat Pertama
Syarat pertama yang disebut dalam ayat ini adalah iman yang kental dan hanyalah dengan iman yang sebegini kita akan dapat menjalankan tugas dakwah yang begitu banyak tanggungjawabnya ke atas kita tetapi begitu sedikit pula kemampuan yang kita miliki.
Ciri iman yang perlu kita miliki adalah iman yang ditasdiqkan (dibenarkan) bukan sahaja pada hati dan jiwa kita tetapi iman yang dicernakan dalam bentuk amalan sehingga golongan pemuda tadi menjadi contoh dan tauladan ibarat al-Quran dan al-Sunnah yang berjalan di atas muka bumi.
Syarat Kedua
Syarat kedua adalah al-huda (petunjuk dari Allah s.w.t.). Tugas dakwah adalah tugas untuk memindahkan panduan dan arahan al-Quran ke alam waqi’ie (realiti) dan ianya berhajat kepada pentafsiran dan penjelasan permasalahan semasa ummah dengan petunjuk dan hidayah yang digagaskan oleh Islam.
Islam tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk abstrak mahupun khayalan.
Dengan demikian hanyalah dengan al-Huda dari Allah s.w.t. kita akan dapat menjawab segala persoalan yang dihadapi samada pada peringkat fardi (individu) mahupun jama’i (jamaah) ataupun dauli (antarabangsa).
Syarat Ketiga
Syarat yang ketiga adalah pertautan hati yang antara lain bermaksud untuk memerintahkan kita berjuang dan bergerak sebagai jamaah dan perhimpunan yang hati kita ini ditaut dengan ikatan iman, Islam dn ukhuwwah yang tidak mengenal sebarang perbezaan melainkan taqwa kepada Allah s.w.t.
Ikatan ini adalah ikatan yang simpulannya tidak boleh terungkai dengan permasalahan dan perbezaan furu’ tetapi yang sentiasa diarahkan oleh panduan Al-Quran dan Al-Sunnah.
Syarat Keempat
Syarat keempat yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah konsep haraki (gerakan) apabila Allah s.w.t. menyebut ‘ketika mana mereka berdiri’.
Islam bukanlah merupakan al-din untuk golongan al-mutafajirin (golongan yang hanya melihat) ataupun al-mutaqa’idin )golongan yang berpeluk tubuh) tetapi ianya bersifat haraki yang dinamik lagi produktif untuk sentiasa melahirkan suatu natijah dan tidak bersifat jumud (beku).
Ini tidaklah bermakna kita mengharapkan kepada natijah yang cepat tetapi ianya adalah merupakan satu rangsangan daya juang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.
Seterusnya ayat ini diakhiri dengan ikrar yang mengikat kuat hati pemuda-pemuda tadi kepada Allah s.w.t. dengan syahadah bahawa sesungguhnya Tuhan kami adalah Allah yang mencipta dan memiliki langit dan bumi, dan kami sesungguhnya berikrar bahawa Dialah sahaja yang wajib disembah dna ditaati perintahnya dan kami dengan syahadah ini membebaskan diri kami dari sebarang kompromi dan ikatan dengan sesuatu yang tidak bersifat rabbani.
Ikrar ini adalah sebagai janji setia kita dengan Allah yang bersifat aqad (ikatan) yang tidak boleh diingkari apatah lagi kalau diputuskan.
Keseluruhan tuntutan di atas adalah merupakan tugas yang dipikul oleh golongan pemuda.
Tanggungjawab berat yng dipikul dalam era al-Shahwah al-Islamiyah (kebangkitan Islam) ini memerlukan kepada golongan syabab tadi melalui satu proses yang dikenali sebagai tajnid yang membawa erti memperkemaskan pemuda tadi ibarat satu kumpulan junud (tentera).
Proses ini adalah proses memupuk kefahaman yang jelas, tanzim (penyusunan) yang rapi dan amal yang mutawasil (berterusan) yang dibuat dalam bentuk tanzim ‘amal jama’i(penyusunan gerak kerja secara berjamaah).
KONSEP ‘AMAL JAMA’I DALAM GERAKAN ISLAM
‘Amal jama’i adalah merupakan satu tuntutan harakah yang panduannya disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud:
”Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff: 4)
Di dalam hadith, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
”Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yamani r.a. katanya:
”Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikut selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenali dan ada yang kamu tidak mengenalinya. Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahannam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu. Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami. Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasullullah menjawab denga bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jamaah Islam dan pemimpin mereka. Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jamaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian.”
Saidina Umar al-Khattab juga ada menyebut yang bermaksud:
”Tidak wujud Islam tanpa jamaah dan jamaah pula tidak akan wujud tanpa kepimpinan dan tidak wujud pula kepimpinan tanpa ketaatan.”
Bersandarkan kepada nas-nas di atas, kita hendaklah menyedari hakikat bahawa penglibatan diri di dalam jamaah Islam yang berbentuk haraki adalah merupakan satu tuntutan syara’.
Di dalam merealisasikan tuntutan ini ke dalam waqi’ kita di Malaysia, ikhwah yang sedang melalui proses tajnid ini hendaklah peka terhadap beberapa zaadun ‘ala tariq (bekalan sepanjang perjalanan) yang perlu difahami, diamalkan dan diistiqamahkan sepanjang perjalanan ini.
Sehubungan dengan itu, dua perkara yang perlu kita programkan sepanjang kewujudan kita di sini adalah al-ghayah (matlamat) dan al-wasilah (kaedah atau cara) untuk sampai dan memenuhi al-ghayah tersebut.
Al-Ghayah (Matlamat)
Satu persoalan yang sewajibnya diulangi oleh setiap ikhwah dan akhawat sepanjang komitmen kita terhadap Islam dan jamaah ini ialah apakah dia matlamat kita?
Hanyalah dengan matlamat yang jelas akan dapat mengurus arah perjalanan dan keberkesanan perjuangan kita. Sasaran utama dalam konteks matlamat kita ini adalah:
a.Fard al-Muslim (individu muslim) yang terangkum di dalamnya rumahtangga dan keluarga Islam
b.Masyarakat dan negara Islam yang terlaksana di dalamnya keseluruhan hukum dan tuntutan Allah Azza
Dalam mengisi tuntutan ini Al-Syeikh Sa’id Hawwa menyebut bahawa maratib (peringkat) amal yang dituntut adalah:
1.Individu muslim hendaklah memperbaiki dirinya sehingga memiliki anggota tubuh badan yang kuat, akhlak yang suci, daya intelektual yang tinggi (muthaqqaf), keupayaan untuk menguasai suasana aqidah yang bersih, ibadah yang benar, berjihad dengan dirinya,menjaga waktunya, teratur hidupnya, mampu memberi manfaat kepada orang lain dan setiap ikhwah hendaklah berusaha untuk mencernakan tuntutan ini dengan kesungguhan.
2.Membentuk rumahtangga muslim sehingga keluarganya dapat menampung fikrah yang dibawanya, memelihara adab-adab Islam dalam setiap urusan rumahtangganya, memilih isteri yang solehah dengan memberikan panduan kepada hak dan tanggungjawabnya, mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya.
Begitu juga dengan pembantu rumah, membesarkan mereka dalam suasana Islam dan setiap ikhwah hendak berusaha dengan satu kesungguhan untuk memenuhi tuntutan ini.
3.Memberi panduan kepada masyarakat dengan menyebarkan dakwah dengan baik dan menghapuskan segala kemungkaran, mengajak kepada yang ma’aruf, berlumba-lumba ke arah kebaikan, menjadi unsur yang dominan dalam masyarakat sehingga dapat menguasai pendapat am (public opinion) yang disandarkan dengan pandangan Islam dan menghidupkannya dalam kehidupan am.Tuntutan ini adalah ke atas setiap individu dengan didukung oleh jamaah sebagai tenaga yang menggerakkan.
4.Membebaskan negara dari belenggu pemerintahan yang bukan Islam dalam bidang siyasah (politik), iqtisad (ekonomi) dan ruh (kerohanian).
5.Membaiki kerajaan sehingga menuruti Islam yang sebenarnya serta berkhidmat sebagai khadam ummah yang bekerja untuk kepentingan ummah. Antara sifatnya adalah sifat belas terhadap rakyat, keadilan sesama manusia dan berjimat dalam urusan perbendaharaan dan ekonomi negara. Menjadi kewajipan negara inipula untuk menjamin keamanan, perlaksanaan system perundangan pendidikan sehingga melahirkan kekuatan, menjaga kesihatan am dan sebagainya.
6.Mengembalikan penyatuan umat Islam secara keseluruhan dengan membebaskan negara yang dijajah, mendekatkan budaya antara kaum dan berusaha untuk mengembalikan system khilafah yang telah dimusnahkan.
7.Berusaha untuk mewujudkan ciri ”ustaziyat al-’alam” (penguasaan alam) dengan penyebaran dakwah di segenap pelusuk dunia ini sehingga tidak ada lagi fitnah dan meletakkan al-Din keseluruhannya adalah milik Allah.
Keempat-empat peringkat di atas merupakan kewajipan yang perlu dipikul dengan jamaah dan setiap individu yang bersama dengannya sebagai pendukung yang utama.
Lihatlah betapa beratnya tugas ini dan betapa besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul yang mungkin dirasakan sabagai satu khayalan dan impian yang tidak akan tercapai oleh manusia tetapi Allah s.w.t. telah mengingatkan kita di dalam firmanNya yang bermaksud:
”Dan (setelah Yusuf dujualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: ”Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Dan demikianlah caranya kita menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf: 21)
Kita hendaklah menganggap kehadiran kita di sini adalah kehadiran dalam marhalah al-bina’ (peringkat pembinaan) dan pengemasan barisan kader perjuangan.
Maka dengan itu, antara matlamat yang perlu kita hadirkan adalah:
Pertama
Memperkemaskan diri kita dengan kefahaman Islam yang sebenarnya dengan memahami konsep tarbiyah yang syumul merangkumi tarbiyah ruhiyah; tarbiyah ‘aqliyah, tarbiyah jihadiyah, tarbiyah siyasiyah (politik), tarbiyah ijtima’iyah (kemasyarakatan) dan tarbiyah jasadiyah (fizikal).
Perkara yang perlu ditekan dalam pembentukan individu adalah:
1.Melahirkan insane yang bertaqwa pada Allah dengan pembentukan Iman dan aqidah yang benar.
2.Pembentukan fikrah Islam yang syumul (menyeluruh)
3.Pembentukan syakhsiyah Islamiyah (personality Islam) yang sempurna melalui akhlak yang benar, hati yang bersih lagi suci, ubudiyah hanya pada Allah dan memastikan hudud (sempadan) Allah dalam setiap urusan. Perlu ditegaskan di sini bahawa musuh dan mereka yang tidak bersama dengan kita akan sentiasa mencari unsur yang negatif pada kita sebagai bahan untuk dijadikan hujah. Pastikan sahsiah ini berjalan pada setiap ketika samada ketika bersendirian, berdua mahupun ketika ramai. Cara berpakaian, cara mengatur rumah, perkembangan akademik dan budaya berfikir, cara bermuamalah dengan masyarakat semuanya mengajak kepada menzahirkan syakhsiyah Islamiyah.
4.Mewujudkan intima; dan iltizam kepada Islam, dakwah dan jamaah pada setiap masa dan di dalam suasana mana sekalipun.
5.Membentuk ciri-ciri kepimpinan dengan berpandangan jauh dan tajam terhadap isu sensitive terhadap perkembangan ummah dan bertanggungjawab dalam memikul tugas dan boleh memimpin.
6.Membentuk matlamat perjuangan yang jelas terhadap tanggungjawab individu kepada PAS dengan memahami dengan jelas akan perjuangnya iaitu:
a)Perjuangan yang bercita-cita untuk membentuk Daulah Islamiyah
b)Tanzim yang bersifat terbuka
c)Muwajahah silmiyah
d)Kepimpinan ulama dan penggabungan bersama oleh tenaga professional
e)Penglibatan dalam politik sebagai wasilah selain aktiviti-aktiviti lain yang mencerminkan gerakan Islam yang syumul.
Kedua
Dalam hubungan ‘amal jama’i setiap nuqaba’ hendaklah jelas akan konsep tanzim kita di sini dan keperluan kepada konsep wala’ dan thiqah pada pimpinan. Kerja kita di sini adalah kerja yang dihasilkan dari konsep syura dan bukannya pandangan individu.
Setiap keputusan yang melibatkan jamaah samada dari segi perencanaan, perjalanan dan hal ehwal ahli yang ada kaitan dengan jamaah hendaklah merupakan keputusan syura.
AL-WASILAH DAN KEPENTINGAN USRAH DALAM TARBIYAH
Bila kita menyebut tentang wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa’aI (sedar) dan waqi’I (realistik).
Kita hendaklah sedar bahawa kita adalah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksima mungkin untuk memanggil dan mengajak dan bukan untuk berebut mahupun memaksa.
Maka dengan demikian dua wasilah yang kita gunakan adalah wasilah umum dan wasilah khusus.
Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk mnyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah samada dengan lisan, tulisan ataupun dengan qudwah hasanah (contoh tauladan yang baik).
Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh), apa itu aqidah yang benar yang kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.
Kita mengadakan majlis-majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan lain-lain majlis yang boleh mesej Islam disampaikan.
Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta’rif (pengenalan) yang kandugnan utamanya adalah Islam dan Iman dan bukannya perkumpulan.
Hanya apabila telah diyakini bahawa mad’u (sasaran dakwah) telah boleh menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan kepada wasilah khusus.
Dalam wasilah khusus pula, konsep ‘amal jama’i adalah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan Islam.
Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu di lalui iaitu:
1) Takwin (pembentukan)
2) Tanfiz (perlaksanaan).
Di dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenalpasti boleh menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa’id Hawwa sebagai nizam al-da’wah yang berbentuk sufi pada ruhnya dan ketenteraan dalam amalannya yang syiarnya adalah perintah dan taat.
Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berasa dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja.
Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan keder yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan kita.
Di sini beberapa pengorbanan adalah diperlukan dan ianya akan merupakan sebab kepada peningkatan Iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.
Marhalah al-tanfiz sebagai marhalah ketiga pula adalah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani bila mana di dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keihlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.
Ramai yang boleh berteori dan ramai yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang ramai tadi akan sanggup menanggung berbagai mehnah dan ibtila’ (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.
Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangna yang didatangkan oleh manusia samada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.
USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIYAH HARAKIYAH
Proses tarbiyah Islamiyah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.
Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa makna keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina si atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.
Bila mana kita menyebut ianya sebagai satu proses pembentukan ia membawa makna penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.
Penekanan terhadap unsur-unsur yang akan menlahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam sebagai system yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) yang akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atas oleh kebatilan yang kemas.
Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar keberkesanannya akan dapat menguntungkan Islam dan jamaah.
PENTADBIRAN USRAH
Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas dan jangan sampai kepada peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah.
Dalam hubungan ini, isi usrah hendaklah jangan dijumudkan hanya kepada pembacaan teks dan hafalan tetapi dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiyah kita yang mempertekankan segenap aspek Islam itu sendiri.
Kepelbagaian ini boleh dibuat dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadhah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.
Usrah mempunayi beberapa ciri yang membezakannya dari nizam al-tarbiyah yang lain dan di antara cirri-ciri tersebut ialah:
1.Usrah hendaklah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
2.Merangkumi keseluruhan ahli samada pengikut, pekerja mahupun pimpinan. Ini adalah untuk memastikan agar tidak ada ahli yang terlepas dari program tarbiyah.
3.Mempunyai perancangan (al-takhtit) yang rapi dalam semua sudut.
4.Kesungguhan semua pihak yang terlibat samada nuqaba’ mahu pun ahli.
5.Di antara ciri-ciri keberkesanan sesuatu usrah itu akan dapat dilihat bila persoalan ini ditanya dan dapat dijawab dengan sempurna mungkin:
a.Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam
b.Sejauh mana pula konsep al-ta’awum (bekerjasama) di kalangan para ahli dalam membantu proses penghayatan Islam
c.Sejauh mana ikatan dibentuk dan sejauhmana pula pelaksanaannya dalam bentuk amalan.
Akhirnya marilah kita sama-sama memperbahrui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za’imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur’an perlembagaan kami), al-Jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).
Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam danhajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.
Semoga ada manfaatnya dalam proses kebangkitan ummah.
No comments:
Post a Comment