Thursday, December 26, 2013

KHUTBAH JUMAAT - 27 DISEMBER 2013 / 24 SAFAR 1435H



JIHAD MENGEKALKAN TAQWA

Khutbah Pertama

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ 
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ 
أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتَمُوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Saya mengulangi pesanan taqwa ini untuk diri saya dan saudara-saudara sekelian. Pesanan ini sangat penting untuk diulang-ulang dan dihayati khususnya di zaman kita mudah lupa dengan Allah. Bahkan hubungan kita lebih rapat dengan facebook, dengan whassap, dengan televisyen, dengan perkembangan handphone berbanding dengan al Quran, dengan zikir, dengan perkembangan nasib umat Islam. Umat ini bukanlah umat pertama yang sentiasa diperingatkan dengan wasiat taqwa bahkan umat terdahulu lebih awal menerima wasiat ini.

Firman Allah SWT :

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ وَإِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَكَانَ اللَّهُ غَنِيًّا حَمِيدًا (النساء:١٣١)

Dan bagi Allah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan juga (perintahkan) kamu, Iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah; dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) Sesungguhnya Allah jualah Yang memiliki Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Saudara-saudara sekelian,

Adakalanya taqwa itu dikaitkan dengan nama Allah dan adakalanya ia dikaitkan dengan azab Allah, tempat azab Allah iaitu neraka dan waktu berlaku azab Allah SWT. Contoh ayat Allah SWT yang mana taqwa itu dikaitkan dengan nama Allah ialah :

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ المائدة : ٩٦

bertaqwalah kepada Allah, Yang kepadanya kamu akan dihimpunkan.

Firman Nya lagi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (الحشر: ١٨) 

Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.

Ulamak mengambil kesimpulan bahawa taqwa apabila dikaitkan dengan nama Allah seperti di atas ia membawa maksud takutlah kemurkaan dan kemarahan Allah. Cari lah jalan dan binalah dinding supaya kita terdinding dari kemurkaan Allah yang pasti mengundang pembalasan yang tiada tolok bandingnya.

Saudara-saudara sekelian,

Membina dinding dan benteng yang menghalang kita dari kemurkaan Allah adalah lebih susah daripada meruntuhkannya. Adakalanya usaha meruntuhkan benteng dan dinding itu datang daripada dalam diri kita sendiri. Kitab Ihya Ulumiddin merekodkan :

كَمْ مِن اَكْلَةٍ مَنَعَتْ قِيَامَ الّلَيْلِ، وَكَمْ مِنْ نَظْرَةٍ مَنَعَتْ قِرَأَةَ السُّورَةِ، وإِنَّ الْعَبْدَ لَيَأْكُلُ أَكْلَةً أَوْ يَفْعَلُ فَعْلَةً، فَيُحْرَمُ بِهَا قِيَامُ سَنَةٍ، وكَمَا أَنَّ الصَّلاَةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ فَكَذَلِكَ الْفَحْشَاءُ تَنْهَى عَنِ الصَّلاَةِ وَسَائِرِ الْخَيْرَاتِ

Betapa banyak makanan yang dimakan telah menghalang dari bangun malam, berapa banyak pandangan yang telah menghalang dari membaca surah al Quran. Dan sesungguhnya ada di kalangan hamba yang makan makanan mahupun membuat sesuatu perbuatan. Ia tertegah daripada bangun malam selama setahun. Dan seperti mana Solat itu mencegah daripada kekejian dan kemungkaran, begitu jugalah sebaliknya kekejian itu akan menghalang daripada solat dan sekelian amal kebajikan.

Imam Al Thaury berkata :

حُرِمْتُ قِيَامُ الّليَلِ خَمْسَةَ أَشْهُرٍ بِذَنْبٍ أَذْنَبْتُهُ. قِيلَ وَمَا ذَاكَ الذَّنْبُ ؟ قَال : رَاَيْتُ رَجُلاً يَبْكِى، فَقُلْتُ فِى نَفْسِى : هَذَا مُرَاء

Aku terhalang daripada bangun malam selama 5 bulan disebabkan satu dosa yang aku lakukan. Ditanya apakah dosa itu? Ia menjawab : Aku pernah melihat seorang lelaki sedang menangis lantas aku berkata kepada diri ku bahawa ia sengaja menunjuk-nunjuk.

Saudara-saudara sekelian,

Adakalanya usaha meruntuhkan benteng dan dinding itu datang daripada luar yang sengaja diprojekkan agar bergabung dengan faktor dalaman dalam diri kita sendiri. Contoh faktor luaran seperti maksiat dan kemungkaran yang ditaja sehingga berjuta-juta ringgit seiring dengan kenaikan harga barang. Api persengketaan sesama muslim yang sentiasa diperbaharui nyalaannya. Pesalah-pesalah syariah yang sering dilindungi dengan selimut hak asasi manusia.

Tidak cukup dengan itu, projek mega meruntuhkan benteng taqwa umat Islam ini sampai peringkat menjemput kuasa-kuasa luar agar umat ini terlepas bebas dari panduan syarak seperti yang dilakukan oleh Coalition Of Malaysian NGO (COMANGO) - Gabungan Badan-badan bukan kerajaan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) terhadap prestasi Hak Asasi Manusia di negara ini pada Oktober 2013 lepas.

Ia adalah satu tindakan yang sangat bertentangan dengan asas-asas Islam dan perlembagaan negara. Tindakan mereka ini boleh menggugat kedaulatan negara dan keharmonian hubungan antara agama dan kaum di negara ini. Ia bukan saja tidak menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Negara bahkan meletakkan negara, termasuk institusi agama Islam, di bawah telunjuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam lapuran itu COMANGO menuntut negara antaranya :-

1. Menandatangani dan memeteraikan International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) yang mengizinkan umat Islam untuk murtad tanpa boleh diambil tindakan.

2. Mengiktiraf hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBTIQ) yang mengamalkan seks songsang.

3. Mempersoalkan Enakmen-Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan menuntut penghapusan hukuman terhadap kesalahan syariah yang dianggap menggangu hak peribadi.

4. Penyamaan hak wanita sama seperti hak seorang lelaki (Gender Equality) baik dalam hak nikah & cerai, pembahagian harta pusaka dan berpakaian.

5. Menghapuskan Fasa 153 Perlembagaan yang memberikan hak keistimewaan kepada orang Melayu.

6. Mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama di Malaysia.

Di antaranya :-

a. kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang masih belum diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah tertinggi di Malaysia.

b. mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran Syiah menyebarkan fahaman mereka di kalangan orang-orang Islam.

c. mempersoalkan hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur.

Hendaklah kita membantah sekeras-kerasnya tindakan mereka ini dan menuntut pihak kerajaan tidak tunduk kepada tuntutan tersebut. Kita juga mendesak kerajaan supaya tidak akur dengan tekanan yang diberikan pihak luar yang melabelkan negara kononnya negara akan ketinggalan jika tidak menandatangani semua perjanjian (Covenant) yang melibatkan perkara-perkara di atas.

Saudara-saudara sekelian,

Melihat betapa banyaknya ranjau dan rintangan dalam membina dan mempertahankan binaan benteng taqwa ini, maka layak benarlah nilai kemuliaan seseorang itu letaknya pada kehebatan taqwanya.

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (الحجرات:١٣)

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ






Khutbah Kedua

اَلْحَمْدُ ِللهِ الْقاَئِلِ :

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا (٨) قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (٩) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا (١٠) - سورة الشمس


Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa manusia (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.


أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَــهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ،

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلى ءَالــِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ .

فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيـَّايَ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hari silih berganti dan tahun berganti tahun. Namun Kebodohan dan kedegilan manusia menyebabkan keadaan yang hampir sama berulang saban tahun. Kita diingatkan dengan pesanan taqwa, namun sebahagian dari kita masih memilih kemunafiqan, kefasiqan dan kederhakaan terhadap Allah berbanding taqwa.

Di antara kita ada yang berikrar dan berazam memulakan tahun baru dengan segala bentuk kebaikan tetapi hangatnya hanya terasa separuh jalan. Sebahagian kita memulakannya dengan kebaikan tetapi akhirnya lalai sehinggalah Allah menimpakan bala bencana lalu menyedarkan kita. Sebahagiannya kita menyambutnya dengan acara dosa dan maksiat dan tidak merasa bersalah sehingga menjadi budaya hidup kita selama-lamanya.

Hanya segelintir sahaja yang terus istiqamah menjaga batas ketentuan Allah demi mencari keredhaanNya. Maka terserahlah kepada kita semua kerana iman dan taqwa tidak mampu dipaksakan ke atas manusia. Jika Allah mengurniakan kita umur yang panjang hingga kita mampu kembali ke pangkal jalan pada tahun hadapan maka itulah nikmat kurniaan yang amat besar darinya. Jika tahun ini merupakan tahun terakhir kita menyedut udara di bumiNya, maka yakinkah kita bahawa kita benar-benar sudah bersedia menemuiNya.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment