Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Thursday, August 7, 2014

MEMAHAMI WALA’


MEMAHAMI WALA’ (KESETIAAN) KEPADA JAMAAH ISLAM
MENERUSI AYAT 55-56 SURAH AL-MAIDAH :
APLIKASI RINGKAS DALAM ERA TAHALUF SIASI

Suhaimi Azhari:
Ketua Urusan Ulamak Tambun.
AJK Dewan Ulamak PAS Negeri Perak.

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ (٥٥) وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ (٥٦)

Maksudnya: Sesungguhnya pelindung kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku’ (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman itu pelindungnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang. (Al-Maidah 5:55-56)

PENJELASAN AYAT

Perkataan wala’ diambil daripada perkataan kedua dalam ayat di atas iaitu wali yang bererti pelindung, tempat bersetia, memberikan ketaatan dan meletakkan kepatuhan dan kasih sayang. Semua pengertian ini difahami melalui rujukan akar bahasa dan nas-nas al-Quran dan hadis.

Diakhir ayat 56, Allah ta’ala menjelaskan bahawa kumpulan atau parti yang berpegang teguh kepada agama Allah adalah kumpulan yang mendapat kemenangan.

Namun begitu sebelum kemenangan diberikan, Allah ta’ala terlebih dahulu meletakkan syarat dalam ayat sebelumnya iaitu keperluan pemberian wala’ yang sempurna. Persoalan timbul, kepada siapa wala’ perlu diberikan? Lalu Allah menjawab, wala’ perlu diberikan kepada tiga golongan:

1. Allah ta’ala;
2. RasulNya dan;
3. Orang-orang yang beriman

Wala’, kesetiaan dan kasih sayang kepada Allah dan rasulNya perlu diberikan secara mutlak, tanpa sebarang pertikaian dan bersyarat.

Namun wala’, kesiataan dan kasih sayang kepada orang-orang beriman, bukan semua orang beriman boleh diberikan wala’, lalu Allah ta’ala terus menjelaskan syarat yang perlu ada pada orang-orang beriman yang wajib diberikan wala’ kepada mereka, dengan tiga ciri berikut:

1. Orang beriman yang menunaikan solat;
2. Orang beriman yang mengeluarkan zakat dan;
3. Orang beriman yang tuduk terhadap peraturan dan syariat Allah ta’ala.

Maka jelaslah melalui ayat, kepada petugas yang memperjuangkan agama Allah, bahawa kemenangan akan tertangguh dan tergantung melainkan setelah para petugas menyempurnakan wala’ dengan syarat-syarat telah dinyatakan.

WALA’ DAN TAHALUF SIASI

Tahaluf Siasi atau perjanjian politik yang berlaku antara sesebuah jemaah Islam dengan gerakan politik lain tidak sama sekali menyebabkan berlakunya pertindihan wala’. Wala’ ahli jamaah tetap dan wajib hanya kepada jamaah Islam dan pemimpinannya, tidak kepada yang lainnya, malah wala’ yang diberikan oleh ahli jamaah kepada jamaah Islam dan kepimpinannya, sebenarnya akan mengharmonikan lagi sesebuah pakatan atau perjanjian politik.

Ini kerana ahli gerakan Islam sepatutnya memahami tuntutan wala’ kepada gerakan Islam dan pemimpinnya seperti yang dinyatakan oleh Allah ta’ala dalam firmanNya, yang berbunyi

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ...(٥٩)

(Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil-Amri (pemimpin) dari kalangan kamu [ An-Nisa’ 4: 59].

Juga sabda Rasulullah s.a.w.:

اسمعوا وأطيعوا وإنِ استعملَ عليكم عبدٌ حبشيٌّ كأنَّ رأسه زَبيبة.

Dengar dan taatilah, walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba Habasyi yang rambutnya seperti kismis. [Hadis riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya,no hadis 6723]

Ahli jamaah Islam juga perlu mengetahui bahawa setiap gerakan politik mempunyai matlamat masing-masing yang tercatat dalam perlembagaan mereka untuk dicapai dalam perjuangan mereka, sebagai contoh jamaah Islam, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), matlamat jelas tercatat dalam perlembagaan untuk:

“memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”

Maka, wala’ ahli jamaah kepada jamaah Islam dan pimpinannya, bermaksud wala’ mereka kepada matlamat yang diperjuangkan oleh jamaah.

Tahaluf siasi atau perjanjian politik yang berlaku dengan gerakan politik yang lain ialah kesepakatan dan perjanjian terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat, seperti keadilan sejagat (universal justice), pentadbiran yang baik (good governance), kebertanggungjawaban (accountability), ketelusan (transparency), dan lain-lain.

Ahli jamaah Islam perlu mengimani dan meyakini bahawa pemangkin kepada prinsip-prinsip tersebut mestilah berteraskan aqidah dan syariah Islamiah, bukan berteraskan sekularisme, libralisme dan ideologi-ideologi kufur yang lain. Kerana maksud prinsip-prinsip tersebut dapat difahami dan diaplikasikan secara bersepadu melalui kerangka aqidah dan syariah Islamiah. Inilah yang perlu difahami oleh ahli jamaah dalam memperjuangkan matlamat mereka.

Oleh itu, tahaluf siasi atau kesepakatan politik dengan gerakan politik yang lain adalah bersifat wasilah, bukanlah matlamat. Matlamat yang ingin dicapai daripada kesepakatan ini ialah untuk menjelaskan kepada umat manusia, Islam adalah satu-satu sistem yang dapat menyelamatkan umat manusia di dunia dan akhirat dan dapat menggantikan sistem yang ada, yang telah terbukti meruntuhkan sistem nilai dan akhlak manusia. Maka wala’ hanya kepada jamaah dan pimpinannya, tahaluf siasi hanya wasilah dakwah yang perlu diperbaiki dan diperkasakan, selama mana tidak menggadaikan matlamat jamaah.

PERBEZAAN WALA’ DAN HUBUNGAN BAIK

Apabila disebutkan bahawa wala’ hanya boleh diberikan kepada Allah, Rasul dan orang-orang yang beriman seperti huraian di atas, bukanlah bererti tidak boleh mengadakan hubungan yang baik dengan non-muslim. Wala’ dan hubungan baik adalah dua perkara yang berbeza. Malah hubungan baik perlu dilakukan kepada seluruh umat manusia dan makhluk Allah ta’ala. Perkara ini dinyatakan dalam nas-nas al-Quran dan hadis yang banyak. Antaranya firman Allah ta’ala:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (٨)

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil [Al-Mumtahanah 60: 8].

Jelas, ayat menganjurkan berbuat baik, sekalipun kepada mereka yang kafir.

KESIMPULAN

1. Adalah menjadi akidah dan pegangan ahli jamaah, kemenangan tetap akan diberikan kepada parti dan jamaah yang mendukung agama Allah ta’ala setelah wala’ mereka sempurna terhadap Allah, RasulNya dan orang-orang beriman (jamaah Islam dan kepimpinannya).
2. Wala’ ahli jamaah dalam tahaluf siasi hanya kepada jamaah dan pimpinannya sahaja. Tahaluf siasi hanya salah satu wasilah dalam mencapai matlamat dan cita-cita Islam.
3. Wala’ dan hubungan baik adalah dua perkara berbeza. Wala’ hanya kepada Allah, RasulNya dan orang-orang beriman (jamaah Islam dan kepimpinannya). Hubungan baik perlu dilakukan kepada semua umat manusia, malah kepada seluruh makhluk.

Artikel asal ini boleh dimuat turun dari sini.

Wednesday, March 26, 2014

(gambar hiasan)

ARAHAN SOLAT HAJAT & MUNAJAT SOLIDARITI 529 MANGSA KEZALIMAN REJIM AS-SISI

Kepada:
1- Dewan Ulamak PAS Negeri/Wilayah
2- Urusan Ulamak PAS Kawasan
3- Semua Ahli PAS

Arahan supaya diadakan Solat Hajat & Munajat seperti maklumat berikut:

Tarikh: 27 Mac 2014
Hari: Khamis
Masa: Selepas Solat Isyak
Tempat: seluruh Masjid, Surau & Markaz Tarbiyah PAS

Sahabat seperjuangan,

YAB Dato' Us. Hj. Ahmad Yakob
Pemangku Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat

Monday, January 13, 2014

SIDANG MEDIA: ISU PETISYEN PILIHANRAYA DUN LUBUK MERBAU

Dalam pilihanraya umum ke 13 yang lalu, kerusi Dun Lubuk Merbau telah ditandingi calon Pas, Haji Mohd Zainudin bin Mohd Yusof. Hasil dari keputusan pilihanraya tersebut di mana Suruhanjaya Pilihanraya telah mengisytiharkan bahawa calon Barisan Nasional, Dato' Siti Salmah binti Mat Jusak memenangi kerusi tersebut, seorang pengundi yang berdaftar di Dun Lubuk Merbau, Mohd Ridzuan bin Asit telah memfailkan petisyen pilihanraya mencabar kemenangan calon Barisan Nasional tersebut.

Pada peringkat awal di Mahkamah Pilihanraya, petisyen pilihanraya tersebut telah ditolak oleh hakim setelah pihak responden membangkitkan beberapa bantahan awal. Namun pempetisyen telah merayu ke Mahkamah Persekutuan. Pada 23.12.2013, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan dan menghantar semula kes ke Mahkamah Pilihanraya untuk dibicarakan.

Dalam situasi kebanyakan petisyen pilihanraya yg difailkan oleh Pas dan Pakat

an Rakyat ditolak, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut memberikan sinar terhadap persepsi masyarakat terhadap sistem kehakiman di negara ini.

Pas Perak turut mengikuti perkembangan perbicaraan kes yang dijalankan di Mahkamah Pilihanraya di hadapan Yang Arif Dato' Abdul Rahman bin Sebli dari 08,9 dan 10 Januari 2014.

Namun sesi perbicaraan yang diharapkan bermula dengan saksi-saksi sepatutnya memberikan keterangan tidak berlaku.

Pas Perak melahirkan rasa dukacita terhadap situasi ini dan berharap agar kes petisyen didengar berdasarkan merit kes. Pas Perak juga menzahirkan sokongan terhadap pempetisyen, Mohd Ridzuan bin Asit dan berharap keadilan diberikan kepadanya.

Haji Razman Zakaria

(Pesuruhjaya PAS Perak)

Saturday, November 2, 2013

Kitar Semula Idea Islam Liberal

posterWPRJILID2


Date: Saturday, 14 December 2013
Time: 3:00PM – 5:30PM
Venue: The Black Box, Publika, Sri Hartamas
Registration: http://wacana2.eventbrite.com/

Islam menentang pemikiran jumud yang tidak sedia untuk mendepani zaman. Kemajuan berfikir dalam Islam adalah ciri utama Islam, ia bukan satu pilihan tetapi satu kewajipan. Sejak dari awal wahyu diturunkan, keperluan memartabatkan keupayaan intelektual melalui pembacaan adalah asas permulaan wahyu. Sepanjang sejarah wahyu, terpasaknya kepentingan ilmu didahului dengan ketawhidan yang mutlak kepada Sang Pencipta. Pencerahan ilmu membuka ruang untuk kita menilai, merungkai, malah mencabar fahaman kita terhadap sesuatu isu yang difikirkan sudah beres polemiknya selama ini. Melalui proses pentaakulan ini kita akan menemui ide baru, pemikiran baru yang amat diperlukan untuk mendepani zaman yang berubah-ubah dan lebih penting nilai keberadaan Islam dalam lingkaran masyarakat terkini dapat dibuktikan. Demikian inilah yang kita fahami terhadap maksud Tajdid atau Pembaharuan yang dianjurkan oleh Islam. Sepanjang sejarah perkembangan pemikiran Islam, berbagai aliran bertembung antara satu sama lain, bermula dari perkembangan dan pembentukan teologi kepada perkembangan mazahib dan politik Islam adalah tidak lain tidak bukan, produk kebebasan berfikir yang ditampong genangannya oleh Islam. Walaupun sejarah ini sesekali menyaksikan campurtangan kepentingan politik dari istana Khalifah, namun penjanaan intelek tetap subur sehingga budaya ilmu menjadi mercutanda kejayaan Tamadun Islam. Alangkah berhajatnya kita kepada kegemilangan berfikir ini, khususnya dalam era Islam mendapat tempat dalam pentas acara utama dunia. Kebangkitan dalam revolusi musim semi dunia Arab tiba-tiba meletakkan wacana politik Islam dalam daerah operasi sedangkan sebelumnya ia di dalam buku-buku yang dibaca oleh golongan tertentu sahaja. Sinergi antara teori dan operasinya kadangkali mencabar antara konsep Pan-Islamisme dan gagasan negara bangsa. Begitu juga dengan konsep Tatbiq Syari’ah yang dilaungkan dengan keperluan yang lebih utama dari segi sosio-ekonomi rakyat yang memerlukan pembungkahan semula dari regim lama. Bagaimanakah pula sinergi dari segi teori dan operasinya kepada soal-soal konstitutionalisme yang selama ini ditolak oleh golongan Islamis kerana kerangka sekularnya? Tidak syak lagi satu pemikiran sinergi yang kontemporari sifatnya amat diperlukan. Ia bukan sesuatu yang sukar apabila pandangan-pandangan daripada ulama’ dan pemikir pasca-Khilafah sudahpun membuat percubaan-percubaan berani untuk mencabar status-quo pemikiran umat. Malah jika kita melusuri pemikiran ulama’ era Khilafah sekalipun, pasti kita akan ketemui ijtihadad ketika itu yang mendahului zamannya. Apa yang dipersembahkan dalam penulisan buku ini adalah inisiatif pemikiran kritis dan progresif, manakala muatan esei-esei dalam buku ini adalah bukti kepada kesungguhan para penulisnya untuk menggali persoalan sinergi teori dan operasi di mana konsep asasnya ialah Tajdid Pemikiran atau membentuk sebuah Renaissance. Tajdid adalah dua serampang yang membentuk keperluan dalaman umat memahami agamanya dalam zamannya dan ia juga adalah keperluan luaran bagi menzahirkan kesungguhan Islam mengungguli cabaran semasa yang dihadapinya.

Al-Faqir Ila Afwi Rabbihi


Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

see more at: http://irfront.net/post/events/pelancaran-wacana-pemikiran-reformis-ii/#sthash.DiEFRFkE.dpuf


Inilah Pelancaran Buku Wacana Pemikiran Reformis Jilid 11 yang disebutkan oleh Muhammad Atiullah Bin Othman, dalam Liqa' Fikri, Air Kuning malam kelmarin. 

Bahan penulisan dan idea pemikiran yang begitu ditatang oleh dua dari pimpinan pusat yang begitu berbahaya bukan sahaja kepada parti malah kepada akidah umat Islam sejagat. Bagi yang mempunyai access internet, layarilah laman web yang dinyatakan. Bagi yang mampu memiliki bukunya sama ada jilid 1 atau jilid 11, maka nilailah dari kaca mata iman. Sesungguhnya cara hidup yang diterima oleh Allah hanyalah Islam.

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلاَمُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلاَئِكَةٌ غِلاَظٌ شِدَادٌ لاَ يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ


Sunday, June 2, 2013

Kenyataan Dangkal Mengenai Bughah


Dewan Ulamak PAS Perak begitu kesal dengan pandangan dangkal Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengatakan mana-mana pihak yang cuba menentang kerajaan yang sah boleh dianggap sebagai penderhaka kepada negara. Ianya seoalah-olah menganggap pihak kerajaan adalah maksum dan tidak mungkin melakukan sebarang kesalahan sama sekali.

Beliau seolah-olah tidak langsung memahami sistem demokrasi apabila mengatakan ‘Kalau tidak puas hati, failkan petisyen ke mahkamah. Mengapa mahu tunjuk perasaan? Malang bagi seorang yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan begitu cetek pengetahuannya tentang demokrasi apabila menyangka hanya mahkamah sahaja satu-satunya cara dan kaedah menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Apakah beliau begitu naïf sehingga tidak menyedari mengenai kewujudan Akta Perhimpunan Aman yang telah diluluskan sendiri oleh Kerajaan Barisan Nasional yang didokonginya selama ini.        

Di antara kenyataan beliau yang boleh dianggap sebagai gambaran kecetekan ilmunya dalam bidang ini adalah :

 Sebarang usaha untuk menentang kerajaan yang sah, itu namanya penderhaka. Menentang secara aman pun dianggap sebagai penderhakaan kepada Negara, apatah lagi, jika ada yang mahu melakukannya dengan keganasan.”

 Dari sudut agama istilah penderhaka di sebut sebagai Bughah. Beliau beberapa kali menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat sebagai tindakan Bughah dan wajib dijatuhkan hukuman sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah. Allah menjelaskan dalam surah al-Hujurat ayat 9 :

“Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.”

Ulamak Feqah berselisih pendapat dalam mendefinisikan Bughah. Di antara pendangan ulamak adalah seperti berikut :

1.    Mazhab Hanafi mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)’ (Hasyiyah Ibn `Abidin, 3/426; Syarhu Fath al-Qadir, 4/48).

2.    Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai ‘sekumpulan orang Islam yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana pemimpin itu telah melakukan kesalahan.’ (Syarhu al-Zurqani, m.s. 60).

3.    Mazhab Syafie pula memberikan bermaksud ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ (Nihayah al-Muhtaj, 8/382).

4.    Mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan yang patut (ta’wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua.’ (Asna al-Matolib, 4/111).

5.    Mazhab al-Zahiri pula, ‘menentang pemimpin yang sah atas alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.’ (al-Muhalla, 11/97, 98)

6.    Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai ‘orang yang berpegang bahawa pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada kekuatan senjata.’ (al-Rawdh al-Nadhir, 4/331).

Dr. Abdul Qadir `Awdah menyatakan, “para ulama Islam tidak sekata dalam membuat takrifan tentang al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat (bukan tentang rukun-rukun) sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah. Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrif yang disepakati yang meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah ‘penentangan terhadap pemerintah secara kekerasan.’

Di antara takrif yang popular di kalangan ahli-ahli Feqah adalah sebagaimana berikut :

هُمْ مُخَالِفُوا الإِمَامِ بِخُرُوجٍ عَلَيْهِ وَتَرْكِ الاِنْقِيَادِ أَوْ مَنْعِ حَقٍّ تَوَجَّهَ عَلَيْهِمْ بِشَرْطِ شَوْكَةٍ لَهُمْ وَتَأْوِيلٍ وَمُطَاعٍ فِيهِمْ

“Mereka (bughah) adalah golongan yang menyalahi imam dengan keluar atasnya, dan meninggalkan ketaatan atau mencegah diri dari melakukan kewajipan yang wajib dilakukan oleh mereka; dengan syarat mereka mempunyai ketenteraan dan mempunyai ta’wil dan mereka ada orang yang ditaati.

Merujuk kepada situasi pada hari ini, selagi mana segala tindakan yang dilakukan oleh mana-mana rakyat, apatah lagi ianya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan malah dibenarkan melalui akta yang diluluskan oleh kabinet, maka istilah Bughah ini tidak timbul sama sekali. Bughah hanya boleh dibincangkan bila mana membabitkan tindakan kekerasan oleh pihak yang berkumpul dan tindakan membawa saputangan dan sedikit garam bagi mengurangkan kesan gas pemedih mata tidak sama sekali munasabah untuk dianggap sebagai senjata.

Sekiranya peluang untuk pihak pembangkang bersuara secara sah disekat sedangkan itu adalah hak mereka yang wajib ditunaikan pemerintah, maka jika ada di kalangan mereka yang tidak mampu bersabar lalu keluar beramai-ramai di jalan raya secara aman tanpa senjata, ketika itu mereka tidak dikira sebagai al-Bughah dan pemerintah tidak berhak menghalang mereka untuk bersuara dan menyatakan bantahan.

Oleh kerana memberikan rakyat bersuara secara sah itu merupakan kewajipan, maka kerajaan yang tidak menunaikan kewajipan itu adalah kerajaan yang fasiq dan zalim. Mentaati pihak yang fasiq dan zalim adalah tidak wajib, bahkan rakyat wajib mencegahnya daripada terus berlaku fasiq dan zalim. Perkara ini disebutkan oleh Ibn `Abidin dalam kitabnya al-Durr al-Muhtar yang terkenal dengan nama Hasyiyah Ibn `Abidin (3/430) bahawa :

“Keengganan untuk mentaati pemerintah dalam perkara maksiat bukanlah al-baghyu (pemberontakan), sebaliknya adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk tidak taat dalam maksiat, kerana tiada ketaatan melainkan dalam perkara makruf….”  

Tindakan rakyat keluar berdemontrasi untuk menyuarakan tentang ketidakadilan pemerintah dalam membuat pendakwaan di mahkamah, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan kuasa, skandal pihak atasan, kenaikan harga minyak dan sebagainya adalah satu perjuangan dan mereka adalah pejuang kebenaran, penyeru makruf pencegah mungkar dan tidak sekali-kali menjadi Bughah, pemberontak atau penceroboh. Pihak pemerintahlah yang sebenarnya telah memberontak dan menceroboh hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah jaminan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perlembagaan negara dan seluruh agama di dunia.

Sebagai Mufti yang sepatutnya menjadi pendamai antara pemerintah dan rakyat, apabila rakyat mendakwa tentang kezaliman dan penyelewengan pemerintah, maka menjadi kewajipan para Mufti agar menasihati pemerintah agar menghapuskan dulu kezaliman dan penyelewengan itu jika ada. Selepas itu barulah membantu pemerintah menyeru rakyat supaya kembali taat dan bukannya mendesak dan menghasut pemerintah agar menekan dan menghukum rakyat.

Rakyat wajib kembali taat kepada pemerintah (selepas kezaliman dan penyelewengan dihapuskan). Jika mereka enggan, maka pemerintah berhak memerangi mereka. Tugas para Mufti adalah sebagai pemdamai bukan pemecahbelah antara rakyat dan pemerintah.

Kenyataan liar seperti ini bukanlah pertama kali dilontarkan oleh beliau kerana sikap berat sebelah yang ditunjukkannya telah menghakis sedikit demi sedikit penghormatan masyarakat terhadap beliau. Tanpa disedari sikap berat sebelah yang ada di hatinya telah mendedahkan kepada masyarakat terhadap kegagalan beliau menguasai beberapa sudut ilmu yang selama ini terhijab daripada pandangan umum.

Oleh yang demikian, demi menjaga nama baik beliau, Dewan Ulamak Pas Perak mengharapkan agar pada masa akan datang, beliau hanya bercakap mengenai perkara-perkara yang benar-benar difahami dan dikuasainya sahaja. Serahkan sahaja perkara yang beliau tidak fahami dan tidak melibatkan diri kepada pihak yang lebih arif agar di penghujung usia beliau, dapat dikenang sebagi ilmuan dan tokoh Islam yang hebat, berani dan wira penyatuan ummat di Negara ini, bukan tokoh upahan yang bergerak mengikut telunjuk pemerintah walaupun meninggalkan kebenaran yang sepatutnya diperjuangkan oleh orang seperti beliau.

والله أعلم بالصواب

Tuesday, May 7, 2013

PRU 13

      Walaupun terlalu sedih dengan kekalahan dalam menentang kezaliman BN, namun terlalu banyak pengajaran yang bermain di fikiran ini. Walaupun mereka yang tidak pernah mengerti erti perjuangan menegakkan Perjuangan Islam sering memandang sinis dengan ungkapan " Kita tidak kalh tapi masih belum diberikan kemenangan oleh Allah". Mana mungkin kita mengatakan Nabi Nuh tewas dalam usaha dakwahnya sehingga terpaksa mengambil masa 950 tahun tanpa menuai hasil yang memberangsangkan.
      Dengan peningkatan 89 perwakilan PR berbanding 133 perwakilan BN, tidak mungkin sesiapapun menafikan pertambahan kemenangan bagi PR jika dinilai dari sudut kemenangan 82 perwakilan PR berbanding 140 perwakilan BN dalam pilihanraya lepas. Ini belum lagi diambilkira melalui peningkatan undi popular yang masih menyebelahi PR berbanding BN.
      Walaupun kehilangan Kedah dan Perak, namun BN sebenarnya tidak lagi boleh mendabik dada lantaran BN sudah kehilangan talian hayat melalui beberapa negeri yang dulunya seolah-olah kubu kuat mereka seperti Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah. Kemenangan majoriti 2/3 di semua negeri yang dimenangi PR iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan pastinya menyesakkan dada pihak Barisan Nasional.
      Apa yang menarik pada PRU13 kali ini adalah penguasaan Cina dalam hampir kesemua kerusi yang ditandingi oleh mereka melalui wadah DAP. Dengan hanya tinggal 6 kerusi parlimen yang dimenangi MCA berbanding 15 kerusi pada PRU12, dan hanya 1 kerusi milik Gerakan berbanding 2 kerusi pada pilihanraya lepas, bolehlah dianggap bahawa MCA dan Gerakan sudah tidak begitu relevan bagi Barisan Nasional. Umno sepatutnya sudah mampu bertindak meminggirkan mereka jika mereka benar-benar mengasaskan perjuangan mereka terhadap bangsa Melayu sebagaimana hujahan mereka agar PAS memutuskan hubungan dengan DAP.
     Bagaimana mungkin rakyat boleh menerima keputusan ini memandangkan di Perak, Kedah, Perlis dan Terengganu, PR tewas selepas kiraan semula dengan peningkatan jumlah kerusi kepada BN walaupun kiraan awal PAKATAN menang di kerusi tersebut. Ini ditambah lagi dengan penglibatan pengundi-pengundi Bangla yang dilihat sebelah mata oleh pihak SPR. Apapun kita tetap terpaksa redha dengan ketentuan Allah, walaupun keredhaan itu tidak menafikan hak kita untuk menyatakan rasa tak puashati dengan penipuan yang dilakukan.
     Apa yang membimbangkan dengan keputusan ini adalah apakah hala tuju pemikiran bangsa Melayu dan ke manakah kita akan dibawa selepas ini. Dengan kempen racist secara berterusan menggunakan slogan DAP adalah komunis dan Pas menjadi kuda tunggangan DAP amat jelas begitu berkesan meracuni pemikiran bangsa Melayu. Apakah salahnya strategi PAS yang meletakkan calon yang lebih banyak daripada DAP, namun DAP yang lebih banyak mendapat kemenangan. Apakah wajar DAP dicanangkan sebagai memperdayakan PAS sedangkan kesemua ahli dan penyokong DAP mengundi PAS tetapi malangnya ahli dan penyokong UMNO yang gagal menyokong bagi memberikan kemenangan kepada PAS.
     Wajarkah kita berterusan menghina dan memandang serong kepada orang Cina sedangkan mereka hanya bersatu untuk meruntuhkan BN dimaklumi menzalimi rakyat yang tidak bersama mereka. Dengan manifesto PR yang begitu jelas mendahulukan rakyat merangkumi peningkatan taraf hidup dan pendapatan rakyat serta pengurangan kos sara hidup, ianya mampu menarik perhatian kaum Cina berbanding Melayu yang lebih terfokus kepada rasa terhutang budi terhadap pemberian One-Off seperti BRIM dan retorik kebimbangan terhadap terjejasnya ketuanan Melayu yang hakikatnya hanya tinggal sejarah semata-mata.
    Ini semua membayangkan perbezaan yang amat ketara dalam corak pemikiran Bangsa Melayu dan Bangsa Cina. Tidak hairanlah kerana Bangsa Cina adalah bangsa yang jauh lebih awal memiliki tamadun kemanusiaan di Negara China berbanding Kesultanan Melaka. Dari sudut keagamaan, Bangsa Cina jauh lebih awal menerima Islam berbanding Bangsa Melayu sehingga tidak keterlaluan jika diistilahkan Bangsa Melayu adalah Muallaf jika dinisbahkan kepada Bangsa Cina. Maka Bangsa Cina hanya tidak mengungkapkan dua kalimah syahadah sebagaimana kita sedangkan nilai-nilai Islam lebih banyak dimiliki dan dihayati oleh mereka berbanding kita.
     Mungkin bagi Pas ada hikmah yang terlalu besar dengan kegagalan ini. Dengan sikap BN yang sanggup melakukan apa sahaj untuk mempertahankan kuasa, mungkin kemenangan PR pada PRU ini akan menyebabkan kekacauan yang besar akibat BN yang mungkin masih gagal menerima kekalahan dan kehilangan kuasa. Mungkin Allah sengaja melambatkan kemenangan PR ini bagi memberi masa mereka menyedari kehendak hati rakyat melalui catatan keputusan terperinci di peringkat parlimen dan pertambahan 71 kerusi DUN bagi pihak PR yang pastinya disedari oleh pihak BN. Boleh jadi juga Allah menghendaki agar pengaruh DSAI berlalu sehingga tidak ada lagi yang benar-benar layak menerajui negara melainkan seluruh rakyat ketika itu melihat Presiden PAS ketika PRU14 nanti paling sesuai untuk menerajui negara dan membawa Islam yang akan diterima oleh semua.
     Apa yang pasti tugas kita masih terlalu banyak dalam membangunkan pemikiran Bangsa Melayu dan corak pemikiran mereka. Keputusan pilihanraya tetap merupakan satu ketetapan Allah yang perlu kita terima bersama. Namun ada beban dan amanah yang amat berat sedang menanti kita terutamanya mereka yang menerima anugerah ilmu agama daripada Allah.

Tuesday, December 18, 2012

Jangan Jadi Mufti Melayu

KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria diharap dapat menjadi mufti Islam, bukan mufti Melayu supaya kewibawaan beliau dihormati.

Persepsi umumnya beliau lebih banyak mengkritik pemimpin Pakatan Rakyat daripada mengkritik Umno, seolah-olah Pakatan Rakyat ini merbahaya kepada Melayu, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, lebih malang lagi pada fahaman beliau mesti mempertahankan Melayu dan bersatu atas nama Melayu.

“Salahkah PAS dan Pakatan Rakyat menentang Melayu perasuah, pengkhianat, penindas sesama bangsa.

“Doktrin yang beliau pegang, amat memburukkan Islam di kaca mata orang bukan Islam. Manhaj mana yang beliau rujuk?” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Nabi Muhammad SAW tidak pernah mendahului Arab daripada Islam.

Menurutnya, peperangan yang baginda bertempur ialah sesama Arab dahulu, sebelum baginda melawan Parsi dan Rom.

Jelas Idris lagi, walau pun baginda menyatakan di dalam hadisnya "pemimpin mesti di kalangan Quraisy", baginda menyebut hadis itu apabila ketika itu orang Arab yang kuat, apabila mereka berpegang dengan Islam.

“Apabila Arab sudah lemah, syarat ini tidak terpakai lagi,” jelasnya lagi.

Idris berkata, sejarah tercatat yang membebaskan Baitul Maqdis ialah Salahudin al-Ayyubi dari bangsa Kurdis, bukan Arab.

Begitu juga, ujar beliau Kesultanan Melayu Melaka berjaya menguasai hampir 2/3 Kepulauan Melayu kerana Islam bukan kerana Melayu.

Justeru, beliau mempersoalkan kenapa Harussani takut sangat dengan kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau juga mengajukan pertanyaan kepada mufti itu, berapa masjid yang ditutup oleh Datuk Seri Nizar semasa PR memerintah 11 bulan di Perak.

“Berapa masjid YAB Lim Guan Eng tutup di Pulau Pinang? Adakah kerajaan Pulau Pinang menangkap guru-guru agama yang mengajar di surau dan masjid?

“Adakah Harussani menegur sikap kerajaan Umno yang memerintah Selangor dahulu yang menutup surau al-Rahmah Seksyen 8 Shah Alam, Surau di Taman Puchong Perdana, Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi.

“Bukankah ini kerajaan Melayu? Apakah Melayu seperti ini yang kita hendak sokong?” soalnya lagi.

Beliau berkata, Tanah Rizab Melayu hilang seluas 1.3 juta hektar setelah 38 tahun merdeka (1995) dan sekarang sudah 55 tahun merdeka, berapa banyak tanah Melayu hilang.

“Kenapa beliau tidak bersuara dengan lantang wang pampasan buruh paksa yang telah diberi oleh kerajaan Jepun sebanyak RM207 bilion lesap?

“Bukankah yang menjadi mangsa ini majoriti Melayu, yang telan duit ini juga Melayu,” katanya.

Menurutnya, Harussani hendaklah ingat bahawa PAS bersedia untuk dikritik, tetapi biarlah dengan fakta.

“Dalam masa yang sama beliau sebagai mufti jangan lupa pula untuk menegur kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan.

“Jika beliau takut untuk kritik penyelewengan kerajaan BN lebih baik beliau diam daripada menjadi pelampung Umno untuk menyelamatkan kapal yang sudah hendak karam,” ujarnya lagi.

Laporan: Harakahdaily

Wednesday, October 3, 2012

Ulasan Bajet 2013; Ketirisan

Saban tahun rakyat ternanti-nanti bajet untuk meraih ‘secubit keuntungan atau merasa sesuap kenikmatan’. Tetapi sebarang bajet seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara sentiasa menunjukkan harga yang tidak setimpal dalam hampir semua Agensi Kerajaan dan Kementeriannya. Menariknya bermula tahun lepas dan juga tahun ini, pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) selepas Belanjawan 2013 seolah-olah mempunyai agenda tersirat.

Presiden PAS dalam ulasan spontan berkenaan dengan bajet yang baru dibentangkan antara lain menyebut: “Selama puluhan tahun dibentang dan dijanjikan, rakyat perlu sedar tentang ketirisan berbilion duit Khazanah Negara yang telah hilang entah ke mana????

Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa ketidak bertanggungjawaban mereka yang diamanahkan memegang kuasa dalam melaksanakan tugas dengan sejujurnya.

Timbalan Presiden PAS memberi contoh dengan menempelak belanjawan tersebut. Katanya: “Tetapi dalam pelaksanaan, beli pemutar skru lima kali ganda daripada harga biasa. Itu contoh yang kecil dari pelbagai perbuatan khianat kepada yang menyebabkan negara mengalami kerugian sehingga RM 28 bilion seperti yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara. Belanjawan YAB PM juga sebagai ‘belanjawan sembunyi fakta’ kerana keengganan membentang laporan Ketua Audit Negara bersama belanjawan.”

Pelik bin ajaib di mana Malaysia terlalu banyak mempunyai Jabatan atau Institusi dalam menghalang ketirisan seperti Institut Integriti Negara (IIN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk badan-badan agama. Setiap tahun angka ketirisan bertambah dan makin bertambah.

Satu soalan lucu kalau anda beli barang, anda mahu harga murah atau mahal? Sudah pasti harga yang paling murah. Inilah pengamalan seluruh manusia yang berakal. Tetapi jangan terkejut budaya BN, jika beli barang mahu yang paling mahal mahupun di pasaran harganya 10 kali ganda lebih murah. Kenapa??? Faham-fahamlah sendiri……

Semoga sifat tamak haloba, pentingkan diri sendiri, rakus harta rakyat tiada lagi dalam sanubari dan hati pemimpin yang takutkan Allah dan berkhidmat semata-mata mencari keredhaannya.

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib
Penolong Setiausaha dewan Ulama PAS Pusat

Tuesday, September 11, 2012

Mursyidul Am PAS : Kefahaman Bukan Alasan Tangguh Hudud

Sabtu, 25 Ogos 2012 07:42 Webmaster DUPP
   
Oleh : Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sukacita saya merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian (23 & 24 Ogos 2012) yang membicarakan persoalan hudud, terutamanya apa yang dibangkit oleh seorang ahli parlimen PAS dan seorang lagi mantan mufti.

Bagi saya tidak ada asas hukum dan keperluan atas dasar logik untuk melengah-lengah pelaksanaan kerana hudud adalah sebahagian daripada perundangan syariah yang diwajibkan dalam Islam. Ini kerana tidak ada hukum atau undang-undang di dunia ini, sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dulu, baru dilaksanakan.

Atas kerana itu, apa sahaja undang-undang di Malaysia, ia dibuat dan dilaksanakan tanpa menunggu semua pihak faham atau setuju. Termasuklah pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri pun yang menguatkuasakan pembentukan negara Israel di bumi Palestine yang ditentang hebat oleh orang Palestine sendiri. Hatta Presiden Amerika, Barrack Obama sendiri turut bersetuju dengan perundangan ‘kahwin sejenis’ meskipun majoriti masyarakat dunia menolaknya.

Secara faktanya, persoalan sesuatu hukum boleh dilaksana setelah ada kefahaman dan persetujuan semua pihak, ia sesuatu yang tidak tepat dalam kaedah perundangan yang ingin mengawal dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan. Tambahan lagi, soal hukum Islam (hudud) bukannya pilihan untuk menusia menolak atau menerima. Tugas pihak berkuasa atas nama Islam adalah kewajipan dan tanggungjawab. Jadi keperluan kepada suasana kondusif bukanlah penghalang ke arah pelaksanaan hukum Allah.

Atas dasar ini, pada masa Nabi Muhammad SAW sendiri umat Islam tidak mempersoalkan kewajaran perintah (hukum) Allah SWT. Apa yang utama membuktikan ketaatan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi. Bukan sepertimana sesetengah pihak sekarang ini, ada yang sanggup rosak akidahnya atas dasar menolak mentah-mentah hudud atau mana-mana perintah Allah SWT. Tidak kurang pula berdolak dalih dan beralasan kononnya suasana belum kondusif untuk memakai hukum Allah SWT.  Tidak terkecuali juga, masih ada pihak yang bersimpati kepada si-jahil, maka isu hukum hudud ini perlu dibincangkan terlebih dulu. Sampai bila? Lepas bincang, bincang dan bincang, namun si-jahil tetap beralasan.

Pengalaman Negeri Kelantan dalam usaha melaksana hukum hudud ini, sebenarnya telah melalui proses memperkenal, membincang dan meluluskannya secara masak. Usia enakmen kanun jenayah syariah (termasuk hudud) kini akan genap 19 tahun pada November ini. Sejarah penggubalannya cukup matang kerana ia merupakan sumbangan cendikiawan perundangan Islam Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan sekarang, Dato’ Daud Muhammad.

Selain ia turut dikongsi dengan pakar-pakar perundangan bidang syarie dan jenayah sivil.  Malah tidak terkecuali  poses menerima maklum balas dan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk badan NGO turut dibuat di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Turut serta adalah Tengku Razaleigh Hamzah selaku presiden parti Semangat 46 ketika itu telah juga menganjurkan perbincangan terbuka sebagai melebar kefahaman dan tanda sokongan serta persetujuan atas usaha Negeri Kelantan. Justeru pada persidangan dewan negeri, semua ahli dewan termasuk daripada Umno turut menyokong. Namun selepas itu, permohonan ke arah pelaksanaannya telah ditolak oleh Kerajaan Pusat.

Kini berbangkit isunya, pelaksanaannya masih tertangguh meskipun telah diluluskan sejak November 1993 lagi. Bagi Kelantan, ia tertangguh bukan kerana usaha dan keperluannya masih tidak memenuhi suasana yang kondusif. Sebaliknya ia tertangguh disebabkan halangan Kerajaan Pusat, termasuk ‘amaran’ menerusi satu surat rasmi perdana menteri ketika itu yang masih tidak ditarik balik.

Justeru persoalan yang ada di depan umat Islam hari ini, adakah ingin terus meraikan suara bangkangan seumpama suara daripada sesetengah pemimpin bukan Islam? Ataukah kita ingin terus meraikan pihak si-jahil yang sentiasa beralasan atas kefahamannya yang tidak bersandarkan nilai-nilai keimanan?

Sampai bilakah segala alasan tanpa keimanan dan hujah akal sentiasa dijadikan alasan untuk menidakkan penerimaaan dan pelaksanaan hukum Allah SWT ini?  Apa yang pasti, hukum Allah SWT tetap serasi dengan hukum alam dan makhluk ciptaan-Nya. Kalaulah menunggu alunan ombak reda, sampai bila nelayan akan dapat ke laut? Ketika laut berombak itulah, nelayan boleh meluncur perahunya ke laut bagi menangkap ikan.

Wednesday, July 4, 2012

Wakil Rakyat Umno Dinasihat Bangkit Dari Lena

Kuala Lumpur : Wakil rakyat Umno diminta bangkit daripada lena mereka selama ini yang diulit dengan undang-undang ciptaan manusia yang gagal menangani pelbagai permasalahan jenayah yang berlaku di negara kita pada hari ini.

Demikian tegas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat,Ustaz Dr Khairuddin Razali At-Takiri dilaman sosial peribadi beliau ketika mengulas tindakan salah seorang Adun Umno yang mencadangkan hudud dilaksanakan di Johor.

Pada 20 Jun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mencadangkan Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia di mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12.

Jesteru itu, Dr. Khairuddin menggesa supaya seluruh Adun Umno agar bangkit daripada lena mereka.

"Tahniah kpd wakil rakyat UMNO Johor yg mencadangkan UMNO segera laksanakan Hudud. Moga ramai lagi wakil rakyat Muslim dari UMNO yg bangkit dari lena mereka." tegas beliau.

Ujar beliau lagi, Undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud menjadi suatu tanggungjawab ke atas pihak berkuasa.

Malah menjadi hak rakyat untuk menangani pelbagai jenayah berat yang menggugat keamanan negara hari ini."ujar beliau lagi.

Monday, October 31, 2011

Membantah Maksiat Berleluasa - Apakah Hanya Taliban

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur desakan dalam PAS untuk menghalang konsert rock Elton John di Pahang pada bulan depan atas alasan penyanyi gay itu menggalakkan maksiat. Dr Asri berkata, halangan itu tidak perlu dan cukup sekadar meminta kerajaan tidak membenarkan orang Islam menyertainya. Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Dr Asri menasihatkan parti Islam itu "jangan tiru Taliban", sebalinya mencontohi pendirian Islam yang matang, sederhana dan praktikal.
 
Entah ke mana hala tuju dakwah yang nak dibawa oleh bekas mufti yang dikagumi ramai ini. Dalam sesetengah kes kelihatan terlalu ketat dalam mempertahankan kebenaran. Dalam sesetengah kes kelihatan seoalah-olah lebih banyak mempertahankan maksiat daripada mempertahankan dakwah dan perjuangan. 
 
Atas dasar apa beliau menyalahkan PAS yang berusaha menghalang aktiviti maksiat dari dilaksanakan. Mungkin pendekatan beliau berbeza dan dirasakan lebih baik dan diterima oleh orang ramai. Namun dia tidak ada hak menghina dan memperlekehkan pendekatan pihak yang lain dalam menyatakan kebenaran.
 
Memang orang bukan Islam dibenarkan menjalankan aktiviti yang tidak dianggap haram bagi mereka. Namun ini tidak menafikan hak kerajaan daripada bertegas terhadap kemasukan unsur-unsur yang boleh membawa kepada keburukan yang telah ditolak oleh manusia sejagat.
 
Isu ini bukan sangat berkaitan konsert, maksiat dan hiburan tetapi unsur homoseksual yang menjadi barah dalam kehidupan yang sihat. Negara ini tidak mengiktiraf golongan gay yang beramal dengan aktiviti seks luar tabi'i. Ianya juga menjadi penyebab kepada penyebaran penyakit yang mengancam manusia seluruhnya.
 
Apakah wajarnya pejuang agama dan kebenaran dalam masa yang sama memperjuangkan kebebasan melampaui batas. Apakah wajar dibiarkan orang-orang bukan Islam berbuat apa sahaja di negara Islam sehingga melibatkan unsur-unsur yang tidak wajar dibenarkan mempengarahi rakyat.
 
Apakah wajarnya menyamakan bangkangan tersebut dengan pemikiran Taliban yang sentiasa disalahertikan mengikut kaca mata musuh Islam. Apakah belia boleh menerima jika dikatakan kepadanya ; Jangan ikut macam golongan "Islam Liberal" yang memboleh apa sahaja tanpa batas. 

Friday, October 21, 2011

Himpunan Sejuta Umat (Himpun)

PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program yang memaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik. Sehubungan dengan itu PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.

PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.

Dengan tidak melibatkan diri dalam himpunan tersebut tidak sama sekali menunjukkan bahawa PAS tidak prihatin dengan persoalan aqidah Umat Islam. Selama ini PAS lah pihak yang paling lantang dan paling istiqamah dalam memperjuangkan isu seperti ini. PAS tidak pernah menyalahkan mana-mana NGO yang tidak bersama dengan PAS dalam menyuarakan isu ini kerana menghormati pendirian mereka untuk terus bebas dari kelihatan memihak kepada mana-mana parti politik. Maka mana-mana pihak juga seharusnya menghormati pendirian PAS yang tidak mahu memasukkan unsur-unsur politik dalam tindakan seperti ini. Walaupun dari segi dasarnya PAS tidak melibatkan diri, tetapi PAS tidak menghalang mana-mana ahli yang ingin menyertainya sebagai mewakili diri mereka sendiri, bukan mewakili parti.

Penglibatan UMNO dalam himpunan ini juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk membuktikan keperihatinan mereka. Sebagai mewakili parti pemerintah, mereka tidak perlu bersama rakyat jelata untuk menyatakan pendirian seperti ini tetapi mereka sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk merungkai segala permasalahan yang berkaitan.

Sunday, August 14, 2011

PENGAJARAN ISU SIASATAN JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS) TERHADAP PENGANJURAN PROGRAM DI DAMANSARA UTAMA METHODIST CHURCH


Islam mewajibkan penganutnya  mempertahankan aqidah masing-masing. Islam juga mewajibkan pemimpin-pemimpin Islam mempertahankan aqidah rakyatnya dari sebarang usaha mencemarkannya dari mana-mana pihak.
Dalam masa yang sama Islam juga membenarkan penganut agama lain mengamalkan agama mereka dengan bebas di dalam Negara Islam. Islam juga melarang mana-mana orang Islam dan pemimpin Islam melakukan kezaliman terhadap penganut agama lain. Al Quran meletakkan garis panduan dalam surah Al Haj, ayat 40 :
وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لَّهُدِّمَتْ صَوَ‌ٰمِعُ وَبِيَعٌۭ وَصَلَوَ‌ٰتٌۭ وَمَسَـٰجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا ٱسْمُ ٱللَّهِ كَثِيرًۭا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Rasulullah S.A.W  telah menafsirkan perintah Allah secara amalan, apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang. Walaubagaimanapun ini tidaklah menafikan hak pemerintah Islam dari mengawal gereja-gereja dan paderi-paderi daripada melakukan sesuatu yang salah dan menjejaskan keselamatan Negara. Jika sekiranya gereja digunakan sebagai tempat simpanan senjata untuk melakukan pemberontakan maka adalah menjadi tanggungjawab pemerintah Islam bagi melakukan pemeriksaan malah melakukan serbuan termasuk menutup gereja tersebut sehinggalah ianya digunakan bagi tujuan asal ianya didirikan. Maka apakah keselamatan yang lebih utama berbanding keselamatan agama dan aqidah Umat Islam yang tinggal di negara yang dipimpin oleh Umat Islam itu sendiri.
Dalam usaha menjaga kesucian Islam, Allah juga memerintahkan para pemimpin Islam agar memastikan tidak berlaku pencemaran terhadap aqidah dan kesucian Islam walaupun kelihatannya seolah-olah tidak berlaku adil terhadap penganut agama lain. Allah dengan jelas melarang umat Islam yang mempunyai kuasa daripada membenarkan orang bukan Islam daripada memasuki Masjidil Haram (termasuk Tanah Haram) bagi memastikan kesuciannya.
 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْمُشْرِكُونَ نَجَسٌۭ فَلَا يَقْرَبُوا۟ ٱلْمَسْجِدَ ٱلْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـٰذَا ۚ وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةًۭ فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦٓ إِن شَآءَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ ﴿٢٨﴾
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidilharam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Adalah  tidak wajar sama sekali mana-mana umat Islam menggadaikan aqidah mereka dengan harga yang begitu murah.  Jika para sahabat sangup mati dan menanggung berbagai penyiksaan bagi mempertahankan aqidah mereka, apakah wajar kita menggadaikan aqidah kita dengan hanya mengharapkan bantuan kewangan yang tidak seberapa daripada musuh-musuh Allah.
وَلَا تَشْتَرُوا۟ بِعَهْدِ ٱللَّهِ ثَمَنًۭا قَلِيلًا ۚ إِنَّمَا عِندَ ٱللَّهِ هُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٩٥﴾ مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍۢ ۗ وَلَنَجْزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوٓا۟ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ﴿٩٦﴾
Dan janganlah kamu jual belikan agama Allah dengan  keuntungan dunia yang sedikit, sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahuinya. Apa yang ada pada kamu akan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan ganjaran yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. – An-Nahl : 95-96

Kemiskinan yang berlaku ke atas Umat Islam tidak sepatutnya dituding ke atas pihak Baitulmal semata-mata. Kita seharusnya berlaku adil dalam melakukan penilaian dengan mengambilkira jumlah kutipan zakat yang tak seberapa berbanding pemohon bantuan yang mengaku layak menerimanya. Tidak kurang juga berlakunya cubaan menipu bagi mendapatkan peruntukan walaupun hakikatnya mereka tidak layk menjadi asnaf. Berbagai pihak termasuk agensi dan yayasan yang ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan, wakil-wakil rakyat, pemimpin tempatan dan para hartawan yang beragama Islam perlu bertanggungjawab terhadap nasib umat Islam di negara ini. Dengan kemewahan negara yang kita  kecapi ini tidak sepatutnya masih ada lagi rakyat yang melarat. Sikap kita yang sering melakukan diskriminasi dalam menyalurkan bantuan sering menyebabkan ada sesetengah pihak yang tidak mendapat hak mereka sebagai rakyat. Jika rasuah dan penyelewengan berjaya dihapuskan secara menyeluruh pastinya rakyat negara ini akan dapat hidup dengan selesa menikmati kemewahan negara bersama-sama.



Di antara pengajaran yang perlu diambil oleh semua pihak daripada isu adalah :
a.     Setiap pihak mestilah mendapatkan maklumat yang lengkap daripada semua pihak sebelum membuat apa-apa komen dan ulasan.
b.     Setiap umat Islam wajib mempertahankan aqidah dan menyokong apa sahaja usaha dari mana-mana pihak dalam mempertahankan aqidah.
c.      Umat Islam hendaklah menyerahkan perkara ini kepada kebijaksanaan pihak berkuasa agama memandangkan mereka lebih tahu arif berkaitan bidangkuasa mereka sendiri.
d.     Setiap pandangan yang dilontarkan oleh mana-mana pihak berkaitan hukum hakam terutamanya yang bersangkutan dengan isu pentadbiran dan Siasah Syar’iah hendaklah berdasarkan maklumat yang tepat dan menggunakan dalil yang tepat dan meraikan suasana dan keadaan semasa tanpa terlalu terikat dengan suasana zaman terdahulu semata-mata.
e.      Umat Islam mestilah melihat sesuatu isu dan mengambil pendirian berdasarkan keutamaan mengikut ketentuan Syarak. Persoalan aqidah wajib diutamakan berbanding persoalan lain seperti persoalan akhlak, persoalan dakwah bagi menjaga dan mengambil hati orang kafir dan sebagainya.
Setiap kita wajib berusaha mencari jalan mengatasi masalah dalam masyarakat kita dan jangan hanya pandai bercakap dan mencari kesalahan berbagai pihak . 

Monday, May 2, 2011

UMNO kena tinggalkan Barisan Nasional


Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar membawa UMNO keluar daripada Barisan Nasional sebelum mencadangkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Jika benar UMNO mahu memperjuangkan kepentingan dan perpaduan Melayu dan Islam, maka UMNO perlu membuktikannya terlebih dahulu.  Jika sekiranya UMNO benar-benar memperjuangkan Islam maka mereka mestilah meninggalkan MCA dan MIC yang bersifat perkauman dan memusuhi Islam secara terang-terangan. Ini terbukti melalui  kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, bahawa pendirian MCA yang menolak penubuhan Negara Islam adalah jelas dan diketahui parti komponen Barisan Nasional khususnya UMNO. MCA meletakkan syarat bagi menerima penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional dengan mengenepikan dasar menubuhkan Negara Islam. Jika sekiranya UMNO sendiri masih terus bersama dengan parti yang bersifat perkauman dan tidak menghormati perjuangan memartabatkan Islam, maka tidak ada sebab untuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat untuk bersama dengan UMNO.  Malah PAS akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat walaupun terpaksa bersama DAP kerana DAP selama ini menjadi mangsa propaganda UMNO yang selama ini memburukkan Islam di mata orang bukan Islam. Malah DAP pada hari ini semakin selesa dengan Islam semenjak bersama dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, UMNO perlu menunaikan tanggungjawabnya sebagai Umat Islam dan Bangsa Melayu dengan menunaikan amanah dengan adil. UMNO perlu menghentikan segala penindasan dan penganiayaan terhadap PAS dengan berlaku adil dalam mengagihkan peruntukan, kebebasan menggunakan kemudahan awam, keadilan dalam menggunakan media massa, perlantikan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam dan swasta serta berbagai ketidakadilan UMNO terhadap PAS selama ini. Jika ini tidak diperbetulkan maka masih adakah maruah UMNO yang kononnya inginkan perpaduan atas nama Islam dan Melayu.

Friday, March 4, 2011

Janji Syurga Dan Neraka dari Allah

Dewan Ulamak PAS Perak ingin menasihatkan agar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menghentikan tindakannya yang suka mengelirukan orang ramai dengan kenyataannya yang jelas mengandungi unsur politik yang tidak seimbang. Walaupun beliau mengatakan bahawa nasihatnya kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  sebagai peringatan sesama Islam namun ianya boleh dianggap sebagai mempermainkan hukum Islam.


Ungkapan beliau bahawa dalam soal mengundi atau memilih parti politik, kita tidak boleh menggunakan hukum sewenang-wenangnya sewenang-wenangnya jelas menunjukkan adanya hukum dalam soal mengundi atau memilih parti politik.

Soal syurga dan neraka memang bukan hak kita tetapi Allah telah memberikan garis panduan bagi mendapatkan syurga atau neraka. Bagi orang awam adalah mencukupi dengan fahaman bahawa Allah SWT menjanjikan syurga dan neraka bergantung kepada amalan manusia walaupun hakikat sebenarnya kita hanya akan masuk syurga hanya dengan keredhaanNya semata-mata. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 81 - 82 :
بَلَى مَنْ كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ    (81) وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالدُونَ (82)

Malah sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.

Apakah salah jika kita menasihatkan seseorang agar jangan mencuri atau berzina agar tidak dicampakkan ke dalam neraka, lalu dikatakan bahawa syurga dan neraka hanya Allah sahaja yang menentukan. Apakah wajar orang yang mencuri dan berzina itu mengatakan "Kami tetap akan masuk syurga jika dikehandaki Allah walaupun terus mencuri dan berzina semahunya".
 
Menyokong atau mengundi sesebuah parti politik adalah amalan yang tertakluk kepada dosa dan pahala. Menyokong atau mengundi parti yang sentiasa menzalimi rakyat adalah sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang terhumban ke dalam neraka. Hud ayat 113, Allah swt berfirman :

وَلاَ تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لاَ تُنْصَرُونَ (113)
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.