Sunday, June 2, 2013

Kenyataan Dangkal Mengenai Bughah


Dewan Ulamak PAS Perak begitu kesal dengan pandangan dangkal Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengatakan mana-mana pihak yang cuba menentang kerajaan yang sah boleh dianggap sebagai penderhaka kepada negara. Ianya seoalah-olah menganggap pihak kerajaan adalah maksum dan tidak mungkin melakukan sebarang kesalahan sama sekali.

Beliau seolah-olah tidak langsung memahami sistem demokrasi apabila mengatakan ‘Kalau tidak puas hati, failkan petisyen ke mahkamah. Mengapa mahu tunjuk perasaan? Malang bagi seorang yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan begitu cetek pengetahuannya tentang demokrasi apabila menyangka hanya mahkamah sahaja satu-satunya cara dan kaedah menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Apakah beliau begitu naïf sehingga tidak menyedari mengenai kewujudan Akta Perhimpunan Aman yang telah diluluskan sendiri oleh Kerajaan Barisan Nasional yang didokonginya selama ini.        

Di antara kenyataan beliau yang boleh dianggap sebagai gambaran kecetekan ilmunya dalam bidang ini adalah :

 Sebarang usaha untuk menentang kerajaan yang sah, itu namanya penderhaka. Menentang secara aman pun dianggap sebagai penderhakaan kepada Negara, apatah lagi, jika ada yang mahu melakukannya dengan keganasan.”

 Dari sudut agama istilah penderhaka di sebut sebagai Bughah. Beliau beberapa kali menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat sebagai tindakan Bughah dan wajib dijatuhkan hukuman sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah. Allah menjelaskan dalam surah al-Hujurat ayat 9 :

“Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.”

Ulamak Feqah berselisih pendapat dalam mendefinisikan Bughah. Di antara pendangan ulamak adalah seperti berikut :

1.    Mazhab Hanafi mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)’ (Hasyiyah Ibn `Abidin, 3/426; Syarhu Fath al-Qadir, 4/48).

2.    Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai ‘sekumpulan orang Islam yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana pemimpin itu telah melakukan kesalahan.’ (Syarhu al-Zurqani, m.s. 60).

3.    Mazhab Syafie pula memberikan bermaksud ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ (Nihayah al-Muhtaj, 8/382).

4.    Mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan yang patut (ta’wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua.’ (Asna al-Matolib, 4/111).

5.    Mazhab al-Zahiri pula, ‘menentang pemimpin yang sah atas alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.’ (al-Muhalla, 11/97, 98)

6.    Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai ‘orang yang berpegang bahawa pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada kekuatan senjata.’ (al-Rawdh al-Nadhir, 4/331).

Dr. Abdul Qadir `Awdah menyatakan, “para ulama Islam tidak sekata dalam membuat takrifan tentang al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat (bukan tentang rukun-rukun) sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah. Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrif yang disepakati yang meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah ‘penentangan terhadap pemerintah secara kekerasan.’

Di antara takrif yang popular di kalangan ahli-ahli Feqah adalah sebagaimana berikut :

هُمْ مُخَالِفُوا الإِمَامِ بِخُرُوجٍ عَلَيْهِ وَتَرْكِ الاِنْقِيَادِ أَوْ مَنْعِ حَقٍّ تَوَجَّهَ عَلَيْهِمْ بِشَرْطِ شَوْكَةٍ لَهُمْ وَتَأْوِيلٍ وَمُطَاعٍ فِيهِمْ

“Mereka (bughah) adalah golongan yang menyalahi imam dengan keluar atasnya, dan meninggalkan ketaatan atau mencegah diri dari melakukan kewajipan yang wajib dilakukan oleh mereka; dengan syarat mereka mempunyai ketenteraan dan mempunyai ta’wil dan mereka ada orang yang ditaati.

Merujuk kepada situasi pada hari ini, selagi mana segala tindakan yang dilakukan oleh mana-mana rakyat, apatah lagi ianya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan malah dibenarkan melalui akta yang diluluskan oleh kabinet, maka istilah Bughah ini tidak timbul sama sekali. Bughah hanya boleh dibincangkan bila mana membabitkan tindakan kekerasan oleh pihak yang berkumpul dan tindakan membawa saputangan dan sedikit garam bagi mengurangkan kesan gas pemedih mata tidak sama sekali munasabah untuk dianggap sebagai senjata.

Sekiranya peluang untuk pihak pembangkang bersuara secara sah disekat sedangkan itu adalah hak mereka yang wajib ditunaikan pemerintah, maka jika ada di kalangan mereka yang tidak mampu bersabar lalu keluar beramai-ramai di jalan raya secara aman tanpa senjata, ketika itu mereka tidak dikira sebagai al-Bughah dan pemerintah tidak berhak menghalang mereka untuk bersuara dan menyatakan bantahan.

Oleh kerana memberikan rakyat bersuara secara sah itu merupakan kewajipan, maka kerajaan yang tidak menunaikan kewajipan itu adalah kerajaan yang fasiq dan zalim. Mentaati pihak yang fasiq dan zalim adalah tidak wajib, bahkan rakyat wajib mencegahnya daripada terus berlaku fasiq dan zalim. Perkara ini disebutkan oleh Ibn `Abidin dalam kitabnya al-Durr al-Muhtar yang terkenal dengan nama Hasyiyah Ibn `Abidin (3/430) bahawa :

“Keengganan untuk mentaati pemerintah dalam perkara maksiat bukanlah al-baghyu (pemberontakan), sebaliknya adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk tidak taat dalam maksiat, kerana tiada ketaatan melainkan dalam perkara makruf….”  

Tindakan rakyat keluar berdemontrasi untuk menyuarakan tentang ketidakadilan pemerintah dalam membuat pendakwaan di mahkamah, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan kuasa, skandal pihak atasan, kenaikan harga minyak dan sebagainya adalah satu perjuangan dan mereka adalah pejuang kebenaran, penyeru makruf pencegah mungkar dan tidak sekali-kali menjadi Bughah, pemberontak atau penceroboh. Pihak pemerintahlah yang sebenarnya telah memberontak dan menceroboh hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah jaminan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perlembagaan negara dan seluruh agama di dunia.

Sebagai Mufti yang sepatutnya menjadi pendamai antara pemerintah dan rakyat, apabila rakyat mendakwa tentang kezaliman dan penyelewengan pemerintah, maka menjadi kewajipan para Mufti agar menasihati pemerintah agar menghapuskan dulu kezaliman dan penyelewengan itu jika ada. Selepas itu barulah membantu pemerintah menyeru rakyat supaya kembali taat dan bukannya mendesak dan menghasut pemerintah agar menekan dan menghukum rakyat.

Rakyat wajib kembali taat kepada pemerintah (selepas kezaliman dan penyelewengan dihapuskan). Jika mereka enggan, maka pemerintah berhak memerangi mereka. Tugas para Mufti adalah sebagai pemdamai bukan pemecahbelah antara rakyat dan pemerintah.

Kenyataan liar seperti ini bukanlah pertama kali dilontarkan oleh beliau kerana sikap berat sebelah yang ditunjukkannya telah menghakis sedikit demi sedikit penghormatan masyarakat terhadap beliau. Tanpa disedari sikap berat sebelah yang ada di hatinya telah mendedahkan kepada masyarakat terhadap kegagalan beliau menguasai beberapa sudut ilmu yang selama ini terhijab daripada pandangan umum.

Oleh yang demikian, demi menjaga nama baik beliau, Dewan Ulamak Pas Perak mengharapkan agar pada masa akan datang, beliau hanya bercakap mengenai perkara-perkara yang benar-benar difahami dan dikuasainya sahaja. Serahkan sahaja perkara yang beliau tidak fahami dan tidak melibatkan diri kepada pihak yang lebih arif agar di penghujung usia beliau, dapat dikenang sebagi ilmuan dan tokoh Islam yang hebat, berani dan wira penyatuan ummat di Negara ini, bukan tokoh upahan yang bergerak mengikut telunjuk pemerintah walaupun meninggalkan kebenaran yang sepatutnya diperjuangkan oleh orang seperti beliau.

والله أعلم بالصواب

3 comments:

  1. DEWAN ULAMAK INI TERLALU BIJAK. ANDA MENGULAS ATAU ANDA MENGELAURKAN KESEPAKATAN DARI SUARA MAJLIS ULAMA. JANGAN AMBIL PANDANGAN SYIAH DLM PENULISAN INI.MOGA KITA BERSATU. JANGAN CEPAT CARI SALAH.

    ReplyDelete
  2. HARAP DALAM BLOG INI TIDAK MEMBUSUKKAN ORANG, MENGHINA ORANG... APAPKAH KITA KUMPULAN YG TERLALU MULIA...TAK BAIK ... IKUT CARA NABI DALAM BERDAKWAH.

    ReplyDelete
  3. Betul tu.... terutma dalam kolom Isu Semasa (43)... apakah ini dakwah...udah-udah tu....

    ReplyDelete