Sunday, August 14, 2011

PENGAJARAN ISU SIASATAN JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS) TERHADAP PENGANJURAN PROGRAM DI DAMANSARA UTAMA METHODIST CHURCH


Islam mewajibkan penganutnya  mempertahankan aqidah masing-masing. Islam juga mewajibkan pemimpin-pemimpin Islam mempertahankan aqidah rakyatnya dari sebarang usaha mencemarkannya dari mana-mana pihak.
Dalam masa yang sama Islam juga membenarkan penganut agama lain mengamalkan agama mereka dengan bebas di dalam Negara Islam. Islam juga melarang mana-mana orang Islam dan pemimpin Islam melakukan kezaliman terhadap penganut agama lain. Al Quran meletakkan garis panduan dalam surah Al Haj, ayat 40 :
وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لَّهُدِّمَتْ صَوَ‌ٰمِعُ وَبِيَعٌۭ وَصَلَوَ‌ٰتٌۭ وَمَسَـٰجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا ٱسْمُ ٱللَّهِ كَثِيرًۭا ۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
Rasulullah S.A.W  telah menafsirkan perintah Allah secara amalan, apabila Islam melarang penganut Islam menceroboh gereja dan paderi walaupun ketika berlakunya perang. Walaubagaimanapun ini tidaklah menafikan hak pemerintah Islam dari mengawal gereja-gereja dan paderi-paderi daripada melakukan sesuatu yang salah dan menjejaskan keselamatan Negara. Jika sekiranya gereja digunakan sebagai tempat simpanan senjata untuk melakukan pemberontakan maka adalah menjadi tanggungjawab pemerintah Islam bagi melakukan pemeriksaan malah melakukan serbuan termasuk menutup gereja tersebut sehinggalah ianya digunakan bagi tujuan asal ianya didirikan. Maka apakah keselamatan yang lebih utama berbanding keselamatan agama dan aqidah Umat Islam yang tinggal di negara yang dipimpin oleh Umat Islam itu sendiri.
Dalam usaha menjaga kesucian Islam, Allah juga memerintahkan para pemimpin Islam agar memastikan tidak berlaku pencemaran terhadap aqidah dan kesucian Islam walaupun kelihatannya seolah-olah tidak berlaku adil terhadap penganut agama lain. Allah dengan jelas melarang umat Islam yang mempunyai kuasa daripada membenarkan orang bukan Islam daripada memasuki Masjidil Haram (termasuk Tanah Haram) bagi memastikan kesuciannya.
 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْمُشْرِكُونَ نَجَسٌۭ فَلَا يَقْرَبُوا۟ ٱلْمَسْجِدَ ٱلْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـٰذَا ۚ وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةًۭ فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦٓ إِن شَآءَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌۭ ﴿٢٨﴾
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidilharam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Adalah  tidak wajar sama sekali mana-mana umat Islam menggadaikan aqidah mereka dengan harga yang begitu murah.  Jika para sahabat sangup mati dan menanggung berbagai penyiksaan bagi mempertahankan aqidah mereka, apakah wajar kita menggadaikan aqidah kita dengan hanya mengharapkan bantuan kewangan yang tidak seberapa daripada musuh-musuh Allah.
وَلَا تَشْتَرُوا۟ بِعَهْدِ ٱللَّهِ ثَمَنًۭا قَلِيلًا ۚ إِنَّمَا عِندَ ٱللَّهِ هُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٩٥﴾ مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ ٱللَّهِ بَاقٍۢ ۗ وَلَنَجْزِيَنَّ ٱلَّذِينَ صَبَرُوٓا۟ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ﴿٩٦﴾
Dan janganlah kamu jual belikan agama Allah dengan  keuntungan dunia yang sedikit, sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahuinya. Apa yang ada pada kamu akan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan ganjaran yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. – An-Nahl : 95-96

Kemiskinan yang berlaku ke atas Umat Islam tidak sepatutnya dituding ke atas pihak Baitulmal semata-mata. Kita seharusnya berlaku adil dalam melakukan penilaian dengan mengambilkira jumlah kutipan zakat yang tak seberapa berbanding pemohon bantuan yang mengaku layak menerimanya. Tidak kurang juga berlakunya cubaan menipu bagi mendapatkan peruntukan walaupun hakikatnya mereka tidak layk menjadi asnaf. Berbagai pihak termasuk agensi dan yayasan yang ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan, wakil-wakil rakyat, pemimpin tempatan dan para hartawan yang beragama Islam perlu bertanggungjawab terhadap nasib umat Islam di negara ini. Dengan kemewahan negara yang kita  kecapi ini tidak sepatutnya masih ada lagi rakyat yang melarat. Sikap kita yang sering melakukan diskriminasi dalam menyalurkan bantuan sering menyebabkan ada sesetengah pihak yang tidak mendapat hak mereka sebagai rakyat. Jika rasuah dan penyelewengan berjaya dihapuskan secara menyeluruh pastinya rakyat negara ini akan dapat hidup dengan selesa menikmati kemewahan negara bersama-sama.



Di antara pengajaran yang perlu diambil oleh semua pihak daripada isu adalah :
a.     Setiap pihak mestilah mendapatkan maklumat yang lengkap daripada semua pihak sebelum membuat apa-apa komen dan ulasan.
b.     Setiap umat Islam wajib mempertahankan aqidah dan menyokong apa sahaja usaha dari mana-mana pihak dalam mempertahankan aqidah.
c.      Umat Islam hendaklah menyerahkan perkara ini kepada kebijaksanaan pihak berkuasa agama memandangkan mereka lebih tahu arif berkaitan bidangkuasa mereka sendiri.
d.     Setiap pandangan yang dilontarkan oleh mana-mana pihak berkaitan hukum hakam terutamanya yang bersangkutan dengan isu pentadbiran dan Siasah Syar’iah hendaklah berdasarkan maklumat yang tepat dan menggunakan dalil yang tepat dan meraikan suasana dan keadaan semasa tanpa terlalu terikat dengan suasana zaman terdahulu semata-mata.
e.      Umat Islam mestilah melihat sesuatu isu dan mengambil pendirian berdasarkan keutamaan mengikut ketentuan Syarak. Persoalan aqidah wajib diutamakan berbanding persoalan lain seperti persoalan akhlak, persoalan dakwah bagi menjaga dan mengambil hati orang kafir dan sebagainya.
Setiap kita wajib berusaha mencari jalan mengatasi masalah dalam masyarakat kita dan jangan hanya pandai bercakap dan mencari kesalahan berbagai pihak . 

2 comments:

  1. "Persoalan aqidah wajib diutamakan berbanding persoalan lain seperti persoalan akhlak, persoalan dakwah bagi menjaga dan mengambil hati orang kafir dan sebagainya."

    -Saya bersetuju dgn kalam Abu Izzah, aqidah perkara pokok, tanpa aqidah yang benar, tak berguna segala akhlak, usaha dakwah dan sebagainya. Baguslah ulamak PAS menyentuh soal ini.
    -Benar sekali lagi, dakwah yang sepatutnya bukanlah untuk menjaga dan menarik hati orang kafir, tetapi untuk memahamkan mereka tentang Islam. Kalau mereka dah faham, secara automatik mereka akan tertarik, bukan tugas kita untuk menarik, tugas kita adalah untuk memahamkan.

    ReplyDelete
  2. Dlm memastikan umat Islam tidak tergelincir setelah mereka beriman dgn aqidah yg benar, mungkin ulamak boleh perbanyakkan majlis ilmu yg menyentuh bab aqidah.

    Tapi maksud saya, bukan kuliah aqidah. Saya mewakili masyarakat dewasa ni terlalu mentah, tak kuat dan tak matang untuk memahami ilmu2 dn soal aqidah yg berat2. Kami sukar nak faham perbahasan aqidah yang berat dan tinggi. Jadi, maksud saya perbanyakkanlah menyampai isu aqidah dlm bentuk yg lbh ringan.

    Misalnya, perbanyakkan bawa cerita sirah. Dengar nasyid Sumayyah saja dh buat saya dn kwn2 terfikir betapa kuat iman sumayyah seorg perempuan pulak tu, dn kami membandingkan dgn iman kami, kami memang rasa terpukul dn tercabar. Jadi perbanyakkanlah membawa sirah2 kehebatan sahabat dlm mempertahankn iman mereka dlm kuliah2 ya para ustaz sekalian...

    Selain itu, boleh bawa cerita2 kisah2 muallaf negara ini mahupun negara asing yg terpanggil utk mendalami Islam, hingga mereka terima hidayah, dn bagaimana pula mereka berdepan cabaran hidup setelah menjadi muslim. Mudah-mudahan ini serba sedikit dapat membantu saudara semuslim yang lain menjadi lebih kuat semangat menghadapi pancoraba hidup hari ini yang sangat menekan dan mencabar iman dan aqidah. Semoga Allah emmelihara kita semua, amin.

    ReplyDelete