Isu haram atau harusnya perhimpunan Bersih 2.0 masih lagi diperkatakan. Rasa kurang selesa untuk menyokong himpunan ini bukan sahaja melanda rakyat biasa, malah turut mempengaruhi sebahagian penyokong PAS selama ini. Perasaan kurang selesa ini amat kuat apabila UMNO mula memainkan sentimen latar belakang Ambiga yang pernah mempertahan isu-isu yang bercanggah dengan kehendak Islam. Bagi rakyat biasa, salah faham ini menjadi lebih parah apabila JAKIM turut memutar belitkan isu ini melalui khutbah Jumaat yang diedarkan ke seluruh negara.
Bagi menjelaskan isu ini secara ringkas dinyatakan beberapa ulasan mengenai persoalan yang ditimbulkan :
a. Haramkah menyertai Perhimpunan ini.
Oleh kerana perhimpunan secara aman dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan maka tidak timbul persoalan bahawa mereka yang terlibat adalah pengkhianat negara sebagaimana yang dinyatakan dalam khutbah JAKIM. Persoalan undang-undang hanya timbul kerana Polis tidak mahu memberikan permit bagi menganjurkan perhimpunan ini secara sah. Jika sekiranya Polis memberikan permit dan menunaikan tanggungjawab mereka menjaga ketenteraman dan keselamatan peserta perhimpunan maka tidak akan berlaku sebarang huru hara dan kacau bilau. Persoalan yang perlu ditimbulkan adalah apakah hukumnya pihak polis bersikap tidak adil dalam pengeluaran permit untuk berhimpun. Dari segi undang-undang adakah wajar Polis menafikan hak rakyat bagi berhimpun sebagaimana yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
b. Apakah hukum Patriot dan Perkasa yang mengadakan perhimpunan bagi menghalang perhimpunan Bersih.
Dari segi undang-undang, sebarang atau pelanggaran yang berlaku hendaklah diambil tindakan oleh pihak keselamatan. Oleh yang demikian, tindakan kedua-dua pihak tersebut adalah menyalahi undang-undang negara. Dari segi hukum, oleh kerana keduanya melakukan provokasi bagi menimbulkan ketegangan dan kacau bilau terhadap perhimpunan aman, maka tindakan tersebut adalah haram hukumnya.
c. Apakah hukum bagi orang Islam yang menyokong perhimpunan menuntut keadilan yang dianjurkan oleh orang bukan Islam.
Haram bagi mana-mana orang Islam yang menyokong segala program yang dianjurkan samada oleh orang Islam atau bukan Islam jika sekiranya program tersebut bermatlamat jahat ataupun bercampur aduk dengan unsur maksiat terhadap Allah. Walaubagaimanapun jika sekiranya program tersebut adalah bermatlamat baik dan tidak bercampur aduk dengan maksiat terhadap Allah maka harus hukumnya orang Islam menyertainya walaupun dianjurkan oleh orang bukan Islam. Rasulullah saw mengungkapkan keharusan ini ketika mengulas tentang Perjanjian Al-Fudhul yang yang berlaku di zaman jahiliah yang diketuai oleh pemimpin kafir Quraisy. Dalam kitab Raheqqul Makhtum oleh Mubarakfuri dinukilkan :
Ekoran kepada peperangan al-Fujjar, telah diadakan satu perjanjian di dalam bulan Zulkaedah. Salah satu bulan Haram, padanya dijemput qabilah-qabilah Quraisy seperti Banu Hashim, Abu Abdul Mutalib, Asad bin Abdul al-Uzza, Zuhrah bin Kilab, Taiyim bin Murrah. Kesemua mereka berkumpul di kediaman Abdullah bin Jadaan al-Taiyimi kerana faktor kedudukannya yang dihormati dan antara yang tertua.
Di dalam perjanjian ini semua mereka bersetuju dan berjanji untuk memihak kepada sesiapa sahaja yang dianiayai, dan bertindak terhadap mereka yang zalim, hingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya.
Rasulullah telah turut serta di dalam perjanjian ini setelah Baginda diutuskan dan memuji perjanjian berkenaan, dengan sabdanya:
Daku telah menyertai satu perjanjian yang dilangsungkan di rumah Abdullah bin al-Jadaan. Perjanjian yang menyenangkan hatiku, lebih dari kesenanganku kepada unta-unta gemuk, sekiranya aku dijemput semasa di dalam Islam nescaya daku beri persetujuan segera.
Perjanjian ini menafikan semangat kefanatikan Jahiliah yang biasanya dimarakkan oleh perasaan asabiah kebangsaan atau perkabilahan, dikatakan bahawa perjanjian ini berpunca ialah lantaran seorang lelaki dari Zubaid memasuki Kota Makkah dengan barangan perniagaannya, barangan itu telah dibeli oleh al-A’as Ibnu Wail al-Sahmi, namun harganya tidak dibayar.
Sebagai tindakbalas darinya, beliau telah meminta pertolongan dari sekutunya Abdul al-Dar, Makhzum, Jumah, 'Adi, malangnya tidak dipenuhi. Beliau kemudiannya mendaki bukit Abi Qubis dengan menyatakan perihal kezaliman yang dialaminya. Al-Zubair bin Abdul Mutalib bangun berteriak: Kenapa semua membisu belaka? Lantas mereka mengikat janji al-Fudhul dan segera menemui al-A'as bin Wail dan mengambil barangan lelaki Zubaid tadi lalu dipulangkan kepadanya.
No comments:
Post a Comment