Saturday, November 2, 2013

Kitar Semula Idea Islam Liberal

posterWPRJILID2


Date: Saturday, 14 December 2013
Time: 3:00PM – 5:30PM
Venue: The Black Box, Publika, Sri Hartamas
Registration: http://wacana2.eventbrite.com/

Islam menentang pemikiran jumud yang tidak sedia untuk mendepani zaman. Kemajuan berfikir dalam Islam adalah ciri utama Islam, ia bukan satu pilihan tetapi satu kewajipan. Sejak dari awal wahyu diturunkan, keperluan memartabatkan keupayaan intelektual melalui pembacaan adalah asas permulaan wahyu. Sepanjang sejarah wahyu, terpasaknya kepentingan ilmu didahului dengan ketawhidan yang mutlak kepada Sang Pencipta. Pencerahan ilmu membuka ruang untuk kita menilai, merungkai, malah mencabar fahaman kita terhadap sesuatu isu yang difikirkan sudah beres polemiknya selama ini. Melalui proses pentaakulan ini kita akan menemui ide baru, pemikiran baru yang amat diperlukan untuk mendepani zaman yang berubah-ubah dan lebih penting nilai keberadaan Islam dalam lingkaran masyarakat terkini dapat dibuktikan. Demikian inilah yang kita fahami terhadap maksud Tajdid atau Pembaharuan yang dianjurkan oleh Islam. Sepanjang sejarah perkembangan pemikiran Islam, berbagai aliran bertembung antara satu sama lain, bermula dari perkembangan dan pembentukan teologi kepada perkembangan mazahib dan politik Islam adalah tidak lain tidak bukan, produk kebebasan berfikir yang ditampong genangannya oleh Islam. Walaupun sejarah ini sesekali menyaksikan campurtangan kepentingan politik dari istana Khalifah, namun penjanaan intelek tetap subur sehingga budaya ilmu menjadi mercutanda kejayaan Tamadun Islam. Alangkah berhajatnya kita kepada kegemilangan berfikir ini, khususnya dalam era Islam mendapat tempat dalam pentas acara utama dunia. Kebangkitan dalam revolusi musim semi dunia Arab tiba-tiba meletakkan wacana politik Islam dalam daerah operasi sedangkan sebelumnya ia di dalam buku-buku yang dibaca oleh golongan tertentu sahaja. Sinergi antara teori dan operasinya kadangkali mencabar antara konsep Pan-Islamisme dan gagasan negara bangsa. Begitu juga dengan konsep Tatbiq Syari’ah yang dilaungkan dengan keperluan yang lebih utama dari segi sosio-ekonomi rakyat yang memerlukan pembungkahan semula dari regim lama. Bagaimanakah pula sinergi dari segi teori dan operasinya kepada soal-soal konstitutionalisme yang selama ini ditolak oleh golongan Islamis kerana kerangka sekularnya? Tidak syak lagi satu pemikiran sinergi yang kontemporari sifatnya amat diperlukan. Ia bukan sesuatu yang sukar apabila pandangan-pandangan daripada ulama’ dan pemikir pasca-Khilafah sudahpun membuat percubaan-percubaan berani untuk mencabar status-quo pemikiran umat. Malah jika kita melusuri pemikiran ulama’ era Khilafah sekalipun, pasti kita akan ketemui ijtihadad ketika itu yang mendahului zamannya. Apa yang dipersembahkan dalam penulisan buku ini adalah inisiatif pemikiran kritis dan progresif, manakala muatan esei-esei dalam buku ini adalah bukti kepada kesungguhan para penulisnya untuk menggali persoalan sinergi teori dan operasi di mana konsep asasnya ialah Tajdid Pemikiran atau membentuk sebuah Renaissance. Tajdid adalah dua serampang yang membentuk keperluan dalaman umat memahami agamanya dalam zamannya dan ia juga adalah keperluan luaran bagi menzahirkan kesungguhan Islam mengungguli cabaran semasa yang dihadapinya.

Al-Faqir Ila Afwi Rabbihi


Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

see more at: http://irfront.net/post/events/pelancaran-wacana-pemikiran-reformis-ii/#sthash.DiEFRFkE.dpuf


Inilah Pelancaran Buku Wacana Pemikiran Reformis Jilid 11 yang disebutkan oleh Muhammad Atiullah Bin Othman, dalam Liqa' Fikri, Air Kuning malam kelmarin. 

Bahan penulisan dan idea pemikiran yang begitu ditatang oleh dua dari pimpinan pusat yang begitu berbahaya bukan sahaja kepada parti malah kepada akidah umat Islam sejagat. Bagi yang mempunyai access internet, layarilah laman web yang dinyatakan. Bagi yang mampu memiliki bukunya sama ada jilid 1 atau jilid 11, maka nilailah dari kaca mata iman. Sesungguhnya cara hidup yang diterima oleh Allah hanyalah Islam.

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلاَمُ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلاَئِكَةٌ غِلاَظٌ شِدَادٌ لاَ يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ


No comments:

Post a Comment