Dewan Ulamak PAS Perak ingin menasihatkan agar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menghentikan tindakannya yang suka mengelirukan orang ramai dengan kenyataannya yang jelas mengandungi unsur politik yang tidak seimbang. Walaupun beliau mengatakan bahawa nasihatnya kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai peringatan sesama Islam namun ianya boleh dianggap sebagai mempermainkan hukum Islam.
Ungkapan beliau bahawa dalam soal mengundi atau memilih parti politik, kita tidak boleh menggunakan hukum sewenang-wenangnya sewenang-wenangnya jelas menunjukkan adanya hukum dalam soal mengundi atau memilih parti politik.
Soal syurga dan neraka memang bukan hak kita tetapi Allah telah memberikan garis panduan bagi mendapatkan syurga atau neraka. Bagi orang awam adalah mencukupi dengan fahaman bahawa Allah SWT menjanjikan syurga dan neraka bergantung kepada amalan manusia walaupun hakikat sebenarnya kita hanya akan masuk syurga hanya dengan keredhaanNya semata-mata. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 81 - 82 :
بَلَى مَنْ كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (81) وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالدُونَ (82)
Malah sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.
Apakah salah jika kita menasihatkan seseorang agar jangan mencuri atau berzina agar tidak dicampakkan ke dalam neraka, lalu dikatakan bahawa syurga dan neraka hanya Allah sahaja yang menentukan. Apakah wajar orang yang mencuri dan berzina itu mengatakan "Kami tetap akan masuk syurga jika dikehandaki Allah walaupun terus mencuri dan berzina semahunya".
Menyokong atau mengundi sesebuah parti politik adalah amalan yang tertakluk kepada dosa dan pahala. Menyokong atau mengundi parti yang sentiasa menzalimi rakyat adalah sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang terhumban ke dalam neraka. Hud ayat 113, Allah swt berfirman :
وَلاَ تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لاَ تُنْصَرُونَ (113)
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api Neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
No comments:
Post a Comment